"YANG" NAK MAKAN APA HARI INI?

>> Thursday, August 18, 2011



MARHABAN YA RAMADAN

“...YANG” NAK MAKAN APA HARI INI?”

“Yang nak makan apa hari ini?”.



Begitulah kira-kira bunyi pertanyaan isteri yang prihatin setiap hari sepanjang bulan Ramadan terhadap suaminya yang tercinta.



Walau pun kadang-kadang isteri yang bertanya itu tidak berkesempatan untuk memasak kerana sibuk dengan kerja, mereka akan mencarinya di pasar Ramadan, khususnya makanan yang digemari dan ingin dimakan oleh suaminya itu.



Kalau sempat memasak, terutama pada hari minggu atau hari cuti, tentu isteri yang prihatin itu akan memasaknya sendiri untuk hidangan keluarga waktu berbuka dan bersahur.



Makanan yang dimasak oleh isteri atau ibu sendiri tentu lebih sedap daripada makanan yang dibeli di mana-mana pasar sekali pun. Itulah air tangan seorang wanita, yang menjadi isteri kepada suaminya, dan menjadi ibu kepada anak-anaknya yang tersayang.



Sebenarnya bukan sahaja makanan yang dimasak oleh isteri merupakan masakan yang sedap, malah segala apa yang dimiliki oleh seorang isteri adalah indah, indah seindah-indahnya, tidak ada yang dapat menandinginya, kalau tidak bagaimana seorang lelaki boleh memilih khusus seorang daripada ribuan wanita di dunia ini untuk dijadikan teman hidudpnya?



Kalau ada suami yang berfikir dalam mangkuk yang lain,-isterinya tak pandai masak, rupa tak secantik bidari, perangai huduh dan seumpamanya, bererti dia telah membuka pengkalan baru untuk dicerobohi oleh unsur-unsur negatif yang akan mengacau tanggungjawab rumah tangganya yang murni sebagai seorang suami dan ayah yang mulia.



Sedemikan juga kra-kira pertanyaan yang dikemukakan oleh arwah isteri saya, [Asiah Yaacob-semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] setiap hari di bulan Ramadan- bertanyakan apakah yang saya hendak makan hari itu?



Jawapan saya simpel sahaja, “Ikutlah, apa-apa yang ada”. Saya tahu, beliau cukup arif dengan makanan yang saya sukai, dan apa makanan yang tidak boleh saya makan, terutama kerana alahan makanan.



Suami lain, tentu lain pula jawapannya, kerana selera makan manusia jauh berbeza antara seorang dengan seorang.



Mungkin ada yang suka makan nasi berlauk ayam kerutuk, ada yang suka makan kuzi daging, ada yang suka makan ikan panggang dengan penyicah, ada yang suka makan nasi beriani, nasi tomato, nasi minyak, nasi kerabu dan sebagainya.



Di samping itu ramai pula yang sukakan pembasuh mulut selepas berbuka, seperti akok, jala emas, onde-onde, lepat pisang bengka ubi, kueh lapis, nasi kaya pulut dan sebagainya, malah ada juga suka makan mertabak sebagai pencuci mulut.



Kepada arwah isteri saya, antara pembasuh mulut yang paling disuakinya ialah onde-onde. Saya juga sukakan onde-onde atau nonder, tapi tak sukakan intinya manisan atau gula melaka yang rasanya cukup manis. Kalau saya nak makan juga, saya buang dulu ketulan gula melaka di dalamnya itu, atau saya minta isteri saya memasak onde-onde menggunakan sedikit gula biasa sebagai ganti manisan untuk intinya, atau saya buat sendiri untuk tidak membebankan isteri..



Walau apa yang anda hendak makan, biarkan makanan yang wajar dan disediakan dengan sebaik-baiknya, dan tidak terlalu banyak hingga berlebih-lebihan dan menjadi makanan tong sampah di tepi jalan.



Membazir itu amalan syaitan, dan jika jadi teman syaitan, terutama dalam bulan Ramadan ini, adalah dibimbangi puasa kita akan kekurangan berkatnya, kerana sikap boros membazir kita itu.



Teman-teman Bertanya


Selain daripada suami isteri yang berbicang soal makan, kadang-kadang kalau kita bertemu dan berbual dengan teman atau sahabat handai dalam bulan Ramadan, sedikit sebanyak kita akan menyentuh soal makanan: berbuka dan bersahur.



Kita merasa simpati dengan sahabat-sahabat kita, terutama dari kalangan warga emas, jika ada di antara mereka yang tidak berselera untuk makan, baik ketika berbuka, lebih-lebih lagi ketika makan sahur.



Mereka hanya mampu minum beberapa teguk air, dan sedikit makanan berupa juadah-juadah tertentu.



Waktu sahur lagilah teruknya selera mereka. Namun begitu, mereka masih terus juga berpuasa, tanpa ponteng, walau pun badan terasa letih. Demikian juga solat tarawih pun tidak pernah tercicir selagi boleh bangkit dan bergerak.



Sebaliknya di satu pihak pula, selera mereka tak ralat, seperti sebelum bulan Ramadan juga, terutama dari kalangan orang-orang muda.



Baik waktu berbuka atau bersahur pun selera mereka terngangga luas, malah lebih luas dari biasa, menyental apa sahaja yang dihidangkan, kerana membalas dendam tidak dapat makan di siang hari.



Saya pernah bertemu dengan orang yang berpuasa, tapi berat badannya bukan sahaja tidak pernah turun-turun sepanjang bulan Ramadan, malah terus meningkat lebih dari hari-hari yang biasa.



Apa Yang Dimakan?


Tidak berselera untuk makan itu satu perkara, dan apa benda yang kita makan sepanjang bulan Ramadan ini satu perkara yang lain pula.



Sebenarnya banyak makanan yang menjadi pilihan kita untuk berbuka. Serba neka. Tak mampu buat sendiri, pergi beli di pasar. Sedap tak sedap itu lain kira, asalkan barang ada utuk dimakan


Dan kalau sesuatu masakan itu menjadi kegemaran kita, maka kita akan sentalnya habis-habisan, membuat pertu kita bergelembung, dan kita pun tak mampu lagi untuk bangun bersolat, apa lagi solat tarawih 20 rakaat campur 3 witir.



Maka tergoleklah kita di hadapan kaca TV., kadang-kadang langsung berdengkur.



Sememtara itu Baginda Rasulullah saw. pula berbuka dengan memakan rutab atau buah tamar.



Anas bin Malik berkata, “Rasulullah saw. berbuka puasa sebelum solat [Maghrib] dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar, dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air”.HR:Tirmizi.



Mengenai keistimewaan buah kurma sebagai makanan, terutama dalam bulan Ramadan, ia merupakan makanan yang cukup unggul yang mengandungi kandungan aneka zat yang tinggi mutunya, hingga dikatakan dengan memakan sebiji buah kurma sahaja pun sudah memadai untuk mengembalikan seluruh tenaga dalam badan kita.



Berhubung dengan makan berbuka atau bersahur dalam bulan puasa ini, semalam yang mulia guru kami yang dihormati menerusi talipon dari luar negara memberi nasihat supaya berhati-hati ketika makan. Jangan makan sebarangan, jangan makan terlalu banyak, terutama orang-orang tua. Makanlah dengan berpada-pada, jika dirasakan sesuatu makanan itu tidak sesuai dengan kita, berhentilah memakannya. Kesihatan itu amat perlu dijaga.



Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat [mengerjakan solat] dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampau batas”.Al-A’araf:31.



xxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP