MENUNGGU BEDUK BERBUNYI
>> Thursday, August 11, 2011
MARHBAN YA RAMADAN
MENUNGGU BEDUK BERBUNYI
Menjelang waktu Maghrib dalam bulan Ramadan suasana kampung bertukar menjadi sunyi dan sepi. Senja mulai melabuhkan tirainya untuk menyambut ketibaan malam.
Kanak-kanak yang sibuk bermain di siang tadi, dengan suara yang riuh rendah, telah menjadi sepi.
Orang-orang tua yang berkeliaran di halaman rumah telah menghilangkan diri, masuk ke rumah masing-masing.
Mereka semua sedang dalam penungguan, ketibaan waktu Maghrib yang akan membawa rahmat kepada mereka.
Maghrib itulah waktu berbuka puasa, setelah sehari berlapar dan berdahaga kerana menunaikan ibadat puasa bulan Ramadan.
Bila tiba saatnya, beduk di masjid atau di surau akan bergema memecah kesunyian petang di seluruh kampung, seolah-olah melaung-laungkan, “waktu berbuka telah tiba, mari kita berbuka!”.
Itu dahulu, ketika saya masih kanak-kanak dan tinggal di kampung, Kg. Salor yang terletak di pinggir Sungai Kelantan yang pada masa itu masih belum diresapi oleh kemajuan teknologi moden.
Menjelang beduk ditabuh semua anggota keluarga dalam sebuah rumah akan berkumpul menghadapi hidangan, tidak kira tua muda, kecil besar, semuanya berkumpul untuk berbuka puasa, termasuk kanak-kanak kecil yang tidak berpuasa sekali pun. Kita makan bersama-sama.
Alangkah seronoknya makan bersama keluarga dengan duduk bersela di lantai yang di hampar dengan tikar. Kadang-kadang kanak-kanak berebut-rebut makanan yang mereka sukai, walau pun disuruh diam untuk menghormati orang-orang yang berpuasa berbuka.
Kanak-kanak hanya akan diasingkan dari majlis berbuka, dengan memberi mereka makan terlebih dahulu bila ada tetamu yang diormati berbuka bersama.
Kami sekeluarga duduk bersela dalam satu lengkaran bulatan seramai tujuh orang, termasuk ayah dan bonda yang dikasihi. Arwah ibu yang memasak semua hidangan mengikut kemampuan beliau, dan semua masakan ibu adalah menjadi kegemaran kami sampai ke hari ini. Ya Allah cucurilah rahmat ke atasnya.
Oleh sebab masa itu bekalan elektrik masih belum ada di kampung kami, maka kami menggunakan pelita catak minyak tanah yang dipasang sebanyak dua atau tiga buah pelita untuk menerangakan suasana tempat makan. Kadang-kadang kalau silap-silap langkah, pelita itu boleh jatuh terbalik bila tersentuh secara tidak sengaja, dan ini menumpahkan minyak yang terdapat di dalamnya. Ia perlu segera diangkat, kalau tidak api akan menyambar minyak dan ia akan membakar.
Selepas berbuka, kami semua bergegas pergi ke sungai untuk mandi dan mengambil wuduk, kerana pada masa itu bekalan air paip masih belum sampai ke kampung kami. Selepas solat Maghrib, kami menunggu masuk waktu Isya’ untuk bersolat Tarawih di masjid atau madarah yang diterangi oleh lampu gaslamp minyak tanah yang digantung dalam masjid atau balaisah.
Sejak kebelakangan ini pelita minyak tanah itu tidak diperlukan lagi, kerana bekalan elektrik hampir merata ke seluruh kampung, oleh itu pelita minyak tanah hanya digunakan sebagai hiasan di pasang pada pagar sekeliling rumah kerana menyambut hari kebesaran sebagai ganti lilin.
Demikian juga dengan beduk. Beduk mungkin sudah tidak ada lagi. Beduk tidak dipalu lagi untuk menandakan waktu solat fardu telah masuk sebnyak lima kali sehari semalam.
Kini beduk hanya meninggalkan kenangan zaman silam dan menjadi hiasan di sudut-sudut masjid sebagai barang antik.
Paluan beduk telah diganti dengan kemundang azan. Suara azan itu akan bergema jauh di seluruh kampung dengan adanya alat pembesar suara.
Azan yang menembusi tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Azan yang mengeggari dedaun-dedaun di seluruh kampung, menyusuri sawah-sawah ketika padi menguning dan meniti permukaan air kampung yang gemerlapan dengan alunan-alunan ombak kecil di bawah sinar rangkaian warna petang di langit senja.
Segera Berbuka
Gambaran itu menunjukkan bahawa semuanya bersiap sedia menunggu untuk berbuka. Seluruh alam berpesta untuk menyambut waktu berbuka puasa.
Sememangnya kita semua digalakkan untuk menyegerakan berbuka puasa bila waktunya telah masuk, iaitu bila mata hari mulai terbenam di kaki langit senja, di mana ditandai dengan berkemundangnya azan Maghrib.
Berhubung dengan segera berbuka ini Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa”.HR:Bukhari.
Dan sebuah Hadis lagi, iaitu Hadis Qudsi, Allah Taala berfirman, “Sebaik-baik hamba-Ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa”.HR:Tirmizi.
Justeru itu, kita hendaklah segera berbuka bila saat tersebut telah tiba, pada waktu itu, berbuka puasa lebih utama daripada ibadat-ibadat yang lain, seperti berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.
Menyegerakan berbuka puasa membezakan kita umat Islam dengan kaum Yahudi yang berpuasa, kerana mengikut amalan kaum Yahudi, mereka memperlambat-lambatkan berbuka puasa hingga mereka melihat bintang-bintang di langit.
Sungguh malang sekali, andainya ada di antara kita menunda-nundakan berbuka puasa, kerana menunggu siaran tv yang sedang ditonton sampai habis lima minit lagi, atau bercat-cat dengan teman facebook di internet masih belum selesai.
Sedangkan perbuatan menempoh-nempoh waktu berbuka itu sama dengan amalan kaum Yahudi yang suka menempoh-nempoh waktu berbuka.
Sebaliknya menyegerakan berbuka puasa merupakan amalan para nabi dan orang-orang yang saleh. Baginda Rasulullah saw. berbuka puasa terlebih dahulu sebelum solat Maghrib.
Daripada Abu Ad-Darda’ Ra, “Tiga hal dari akhlak kenabian: iaitu mempercepatkan berbuka puasa, mentakhirkan makan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat”.
xxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment