KITA KEMBALI KE ZAMAN PRIMITIF

>> Saturday, August 27, 2011



MARHABAN YA RAMADAN

KITA KEMBALI KE ZAMAN PRIMITIF



Dalam penerbangan semalam, dari Pengkalan Cepa ke Subang, saya membuat beberapa catatan perjalanan dari apa yang melintas dalam ingatan dan terpandang di hadapan mata yang dirsakan penting. Tapi pemikiran saya ketika berada dalam pengangkutan udara tidaklah sebegitu laju sebagaimana ketika berada dalam kenderaan yang menjalar di bumi.



Selain dari itu, saya juga mempergunakan sedikit daripada masa yang pendek dalam perjalanan itu untuk membaca, dan sebuah rencana pendek yang saya baca itu mengulas tentang kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh manusia zaman sekarang telah membawa mereka kembali ke zaman primitif.



Saya mengambil keempatan untuk bertanya diri sendiri, semalam ialah malam 27 Ramadan dan hari ini pula 27 Ogos, sudah berapa banyak kita menghabiskan masa kita untuk membaca, khususnya membaca al-Quraan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini?



Atau sebaliknya, kita menghabiskan sebahagian besar daripada masa kita yang amat berharga dalam bulan Ramadn ini untuk usaha-usaha lain yang tidak memberi hasil yang positif kepada kehidupan kita?



Kembali Ke Zaman Purba


Saya salin kembali rencana yang saya baca itu, hasil buah tangan saya sendiri 39 tahun yang lalu yang telah disiarkan dalam sebuah majalah tempatan untuk dikongsi dengan pembaca sekalian pada bulan Ramadan ini, semoga memberi manfaat.



“Dunia kita telah diwujudkan oleh Allah sejak jutaan tahun yang lampau lagi. Ia telah melalui berbagai-bagai pes dan proses evolusi dan revolusi yang berlaku dari masa ke masa di sepanjang sejarah.



Menurut teori evolusi, makhluk manusia telah menghuni bumi sejak ribuan tahun yang lampau lagi. Tapi kita hanya mengetahui sedikit sahaja tentang manusia pra-history itu, kerana tidak banyak bahan-bahan yang dapat kita pungut mengenainya untuk membongkar rahsia alam yang telah lama terpendam itu.



Namun begitu daripada pengetahuan yang sekelumit itu, kita mengetahui bahawa manusias primitive hidup dalam suasana yang penuh dengan kezaliman dan kekejaman seperti haiwan yang tidak berakal.



Orang-orang primitif hidup terpisah-pisah, mendiami hutan belantara, tinggal di gua-gua persis binatang buas. Kebudayaan mereka rendah, pakaian mereka hanya menutup kemaluan sahaja. Alat-alat yang mereka pergunakan juga kasar dan tidak banyak.



Mereka saling bunuh membunuh antara satu sama lain, antara satu suku dengan satu suku tanpa merasa kasihan belas. Mereka bertindak dengan undang-undang , “siapa kuat dia dapat”. Undang-undang rimba. Justeru itu yang lemah menjadi mangsa yang kuat.



Hidup mereka penuh kesukaran, kerana selalu berpindah randah, dan selalu diancam oleh alam sekitar, seperti keputusan bahan-bahan makanan atau pun bencana alam yang menimpa. Itulah masa yang gelap gelita dalam sejarah umat manusia.



Kemudian rekaan demi rekaan telah dicipta oleh manusia. Berbagai-bagai rekaan baru telah dapat direkakan oleh makhluk manusia yang kian bertambah-tambah maju dan cerdas untuk membangun kehidupan mereka di dunia. Dari alat-alat yang bersahaja, maka lahirlah alat-alat yang komplikited dan besar-besar, seperti jentera-jentera dan kenderaan-kenderaan yang turut merevolusikan kehidupan umat manusia. Alat-alat dan rekaan-rekaan baru ini bekerja beratus-ratus kali ganda lebih pantas, dan mungkin tidak pernah terfikir oleh manusia sebelumnya. Semuanya itu memberi kemudahan yang besar kepda kehidupan umat manusia.



Malangnya dengan usahaa-usaha yang dinamis itu, manusia bukan sahaja dapat menyingkap masa dan ruang, tetapi juga menjadi ancaman kepada diri mereka, malah mungkin akan menjahanam dan menghapuskasn diri mereka sendiri.



Hasil-hasil rekaan mereka itu telah membawa mereka kembali kepada keadaan zaman lampau di mana manusia hidup dengan penuh kekejaman dan kezaliman. Pendeknya segala rekaan-rekaan baru manusia itu telah membawa mereka ke persimpangan dua jalan, antara kesenangan dan kemusnahan. Inilah satu-satunya krisis besar yang pernah dialami oleh umat manusia di dunia ini.



Krisis berat ini berlaku kerana perkembangan kebendaan lebih pesat daripada perkembangan moral manusia. Maka dengan itu bererti krisis ini sebahagian besarnya berpunca daripada akhlak atau pun moral. Rekaan manusia telah berjalan terlalu laju, tapi moral mereka tidak turut maju sepanatas itu, malah dari segi-segi tertentu, mereka masih berada dalam tahap yang primitif walau pun dalam bentuk yang berlainan. Manusia telah menjadi conggkak dan bongkak dengan kejayaan-kejayaan kebendaan yang telah mereka capai itu.



Justeru itu mata mereka telah menjadi silau dan mereka tidak lagi mengindahkan nilai-nilai eteked dan moral yang amat penting dalam kehidupan mereka. Walau pun mereka dapat terbang di angkasa raya seperti burung-burung, atau berenang dalam air seperti ikan-ikan, tapi hati mereka telah lupa bahawa hidup ini ada nilai-nilai yang tidak boleh disukat dengan kebendaan. Justeru itu dari sudut akhlakknya manusia sudah kembali ke hutan belantara seperti nenek moyang mereka dahulu.



Itulah sebabnya mereka telah menjadi tamak dan haloba. Kalau mereka inginkan sesuatu, mereka akan mengambilnya baik secara halal atau haram, kecek, rompak, tipu, samun, ragut, malah sanggup pula membunuh kerana nafsunya yang rakus itu. Ini bukan sahaja berlaku antara individu-individu dalam masyarakat, malah juga antara satu bangsa dengan satu bangsa.




Umat manusia sekarang terus berpecah-belah, bercakaran antara satu sama lain kerana prejudis yang jahat. Orang-orang kulit putih memandang hina orang-orang kulit hitam. Satu bangsa memandang hina kepada bangsa yang lain. Satu suku memandang hina kepada suku yang lain. Satu kelas dalam masyarakat memandang hina kelas yang lain. Lalu diciptalah pepatah, “Pipit sama pipit, enggang sama enggang”, atau seumpamanya yang meletakkan garis pemisahan dalam masyarakat. Dengan itu mereka hidup mengikut nafsu-nafsi, tanpa memperdulikan kepentingan orang lain, seolah-olah mereka telah lupa kepada perlunya perpaduan di kalangan umat manusia seluruhnya untuk hidup dengan harmonis dan aman damai.



Justeru itu kejayaan kebendaan yang pesat yang dicapai oleh manusia tanpa dasar moral itu, sepertilah sebuah istana yang dibina atas tapak yang tidak kukuh, di atas pasir tepi pantai yang mungkin akan ranap dan roboh bila-bila masa sahaja. Dan bila binaan-binaan baru ditambah di atas tapak yang tidak kukuh itu, maka kian cepatlah ia akan menemui kemusnahan yang akan membunuh penghuni-penghuninya sendiri, iaitu manusia.



Krisis besar yang dihadapi oleh umat manusia ini hanya dapat diatasi dengan jalan menilai kembali harga hidup manusia bukan dari segi kebendaan, tapi yang amat pentingnya dari segi kerohanian. Moral manusia mesti diperbaiki. Mereka mestilah digerakkan daripada tidur yang lena dalam kejayaan kebendaan. Nilai-nilai moral mesti diberi keutamaan lebih daripada segala nilai-nilai yang lain.



Manusia mestilah menjalani hidup yang baik bukan sahaja memburu barang-barang yang baik dalam hidup. Kepentingan ramai mestilah diberikan keutamaan lebih daripada kepentingan diri sendiri. Idea-idea untuk bekerjasama mestiah diberikan keutamaan yang lebih besar daripada idea-idea untuk bertanding dalam hdup.



Kemajuan-kemajuan sains mestilah ditujukan untuk kepentingan kemakmuran dan kebahagian umat manusia seluruhnya, bukannya untuk memusnah dan menjahanamkan mereka seperti senjata-senjata pembunuhan yang kejam, exploitasi seorang ke atas seorang, dan expolitasi satu bangsa ke atas bangsa yang lain mestilah dihentikan. Dan manusia mestilah menyedari tentang perlunya hidup dalam persaudaran dan perpaduan yang kental tanpa mengira darah, warna kulit, bangsa atau pun kepercayaan. Dengan itu barulah mereka dapat hidup dengan aman damai dan bahagia.



Sebenarnya tanggungjawab untuk mewujudkan susana hidup yang damai dan harmonis itu terletak di pondok setiap orang anggota msyarakat, terutama sekali kaum cerdik pandai. Mereka mestilah memiliki akal budi yang luhur, bersikap mahabah dan berpegang kepada falsafah kemanusiaan yang tinggi. Ini adalah satu tugas yang maha berat, tugas untuk mewujudkan komenwel kemanusiaan di seluruh dunia yang akan menjalin hati umat manusia dalam perpaduan hidup yang tulin”.



Itulah sebabnya Haverlock Ellis dengan sinis berkata, “Apa yang kita katakan kemajuan ialah pertukaran dari satu kesusahan kepada kesusahan yang lain”.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP