Showing posts with label INSPIRASI. Show all posts
Showing posts with label INSPIRASI. Show all posts

SABARLAH PAK JEMBEL

>> Sunday, April 29, 2018










SABARLAH PAK JEMBEL

Menjelang penamaan calon
Yang pasti berebut datang mendampingi pengundi
Merayu, meratap dan menangis
Membasahi lantai merayu sebuah undi

Selepas calon disyahkan
Jalan jalan lebuk dengan gilis kaki para penyokong
Masuk kampung keluar kampung merayu undi
Dengan janji janji manis bermadu
Beras, gula, gandum dan sabun ditabur mengiring janji

Calon calon berkunjung berjalan kaki
Di atas batas berlumpur dan di lorong sempit bersemak
Ke hulu ke hilir
Menaiki tangga usang dan menjenguk ke dalam gobak
Kok kok ada sesiapa yang perlu bantuan segera diberi

Kedai kedai kopi penuh melilih
Calon calon menunggu menghidang makanan
Semua yang hadir makan free
Ada suara berseru seru, “datang, datanglah jangan malu”.

Selepas mengundi mendapat majoriti
Jalan jalan sepi kembali
Kedai kedai kopi jadi macam biasa sunyi dan  sepi
Siapa makan bayar sendiri
Halaman halaman rumah tidak dijejaki
Wakil rakyat telah mengabur diri
Dengan anak dan bini, serta para kroni yang menagih rezeki

Jangan menyesal Pak Jembel
Panggung wayang kulit ditutup buat sementara
Kelir telah dicabut
Gendang dan kecapi telah berhenti dipalu
Tunggulah tahun tahun mendatang jika ada rezeki
Panggung wayang kulit baru akan dididrikan
Rama dan Sita muncul kembali
Bersama Wak Long dan Pak Dogol
Bermain lagu lama
Untuk tuntunan rakyat jembel yang kelaparan

Sabarlah Pak Jembel kalau ada rezeki,
Beras, gula, gandum dan sabun datang lagi
Tahun tahun yang mendatang belum pasti......
Kalau masih ada rezeki





Lorong Masjid al Qasmi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.

27hb. April 2012








Read more...

TAMANKU

>> Wednesday, April 11, 2018










TAMANKU












Banyak bunga indah mekar di taman sari
Semerbak mewangi,
Tiada bunga di tamanku
Yang kehilangan kembangnya ditelan masa.

Tangan-tangan mesara menghulurkan bunga padaku
Untuk ditanam ditamanku,
Tidak tersentuh oleh daku
Tamanku telah kesusutan nutrien untuk membaja bunga lagi.

Di tamanku ada kumbang kesendirian
Segar menghirup madu dari cakarwala langit
Membasuh segala kesepian

Tamanku tetap indah berseri
Tanpa bunga yang berkembang,
Penuh madu tercurah dari langit,
Seekor kumbang yang keinsafan
Di kala senja berlabuh
Membatasi penerbangan.

Demikianlah tamanku
Keindahannya tetap terjaga
Kewangiannya sentiasa semerbak
Jirusan madu dari Ilahi
Senitasa segar dalam rahmat Ilahi.

Amin!

Pondok Rahmat
11 April 2018.

AKU BUKAN PENYAIR

Aku bukan penyair
Bukan sastrawan,

Sekadar perakam masa
Pencatat peristiwa
Penggoris hatiku
pelakar perasaanku
Kekal di lambaran sejarah.

Aku bukan
Djazlam Zainal
Yang ilham luruh bercelabak
Mewangi medan.


Pondok Rahmat.
11.April, 2018






Read more...

KAWANKU YANG PERGI

>> Sunday, March 18, 2018









                  KAWANKU YANG PERGI



 “Ini bukan sedang mengenangkan kawanku yang pergi, tetapi ini ialah satu babak sandiwara yang bernama “Istiadat Menghantar Cincin”. Sumbangan dari penuntut-penuntut Rembau Negeri Sembilan dalam  Pertunjukkan “Malam Kesenian” yang telah diadakan oleh Kafura Jaya di Dewan Bandaran Kuala Lumpur baru-baru ini.”



TINGGI, bermuka pucat, matanya cengkung. Itulah sifatnya sahabatku itu. Dia telah lama kukenal, sejak kecil aku bersahabat baik dengannya. Rumahku dan rumahnya berhampiran. Ibuku dan ibunya berjiran baik.

Sekarang dia telah pergi. Pergi yang tak akan kembali. Perginya kerana seksaan batin nan hebat padahal tenaganya masih diperlulan masyarakat. Jasanya masih ditunggu.

Kerana dia sahabat karibku, tiap-tiap hariraya aku  mengunjungi pusaranya. Bila di pusara teringatlah aku akan sajak “Ke Makam Bunda”, dan kisahnya pun kembali teringat.

“Kita angkatan pemuda baru diharam berpeluk tubuh, berdiam diri”, tegasnya padaku, pada suatu hari. “Ingat saudara-saudara, pemuda harapan bangsa. Hidup tak bererti, hidup mati”.

Aku berdiam, tak pandai menjawab. Mataku melerek  ke skitar tubuhnya, ke mukanya yang pucat, ke tubunya yang kurus kering. Di tanganya terpegang buku tebal.

“Saudara sakit,” Tanyaku.

“Tidak, aku sihat saudara. Tanganku masih kuat. Otakuku lancar jalannya”.

“Muka kau pucat”.

Dia tidak menjawab. Keningnya berkerut. Dia cuba tersenyum. Tak berjaya.
‘Kau tak percaya rupanya padaku. Pada hal kau sahabat karibku. Kawan dari kecil. Ingatklah kau akan sumpah kita bersama: berat sama dipikul, ringan sama dijinjijng, susah kau susahlah aku”.

Dia tidak menyahut. Aku menyambung, “Oleh itu ceritakanlah penanggungan kau padaku. Mana tahu jika aku dapat meringankan bebananmu itu”.

“Kau sebenar-benarnya sahabat karibku. Tapi kau tak dapat meringankan bebananku. Doktor juga tak mungkin. Hanya dia saja yang dapat”.

“Aku kecewa benar, jika aku sebagai sahabatmu, tak dapat membantumu. Padahal kau perlu pada pertolongan”.

“Kau tak usah kecewa. Kau tak bersalah. Aku sendiri yang bersalah. Aku Insaf. Aku cuba surut dari kesalahan itu. Tapi gagal. Aku kalah”. Dia termenung sedih. Tangannya terketar-ketar.

“Kau seorang pemuda berjiwa teguh. Setahuku perjuangan kau tak pernah menemui gagal. Kali ini baru kau gagal, dan kalah. Apa yang sudah terjadi”.

“Sebenarnya aku aku tak pernah bertemu gagal dan kalah. Aku baru tahu jiwaku lemah. Itu belum lagi mengadap medan peperangan, tempat berlaku pembunuhan. Aku tak boleh diharap membela masyarakat, mengisi kekmerdakaan, kerana jiwa aku lemah”.

“Mengapa begitu saudara. Setahuku kuat dan teguh”.

‘Tidak. Jiwaku lemah, lemah dari sangkaanku dan sangkaanmu”.
“Sekarang hatiku hancur. Sehancur-hancurnya: seperti kaca jatuh ke batu. Jika tidak tegahan agama telah lama akan membunuh diri”.
“Aku tidak memarahi dia. Tidak juga ayahnya. Tidak juga masyarakat. Aku memarahi diriku sendiri kerana aku yang salah”.
“Kau yang salah”.
“Ya aku salah. Aku salah terima. Dulu aku sudah tahu, yang aku miskin, sesak dan hina. Pada hal dia anak orang kaya. Berharta dan mulia”.
“Aku pipit. Dia enggang. Manakan dapat bersama”.
Sudah mengucap kata-kata itu dia meminta diri. Tinggal aku memikirkan hal itu.
Besuknya terkejut besar aku bila mendengar khabar mengatakan dia telah pergi. Pergi tak akan kembali. Air mataku melilih ke pipi di waktu menghantar jenazahnya ke kubur.
Aisyah gadis itu telah menjadi isteri seorang pembesar negara. Hidupnya senang lenang.
“Apa yang dimenungkan”. Kawanku menegur. Aku tersentak.
“Tak ada apa-apa. Hanya aku terkenang pada kawanku yang pergi. Pada hal dia masih perlu hidup”.

“Siapa dia”.

“Uthman”, tegasku pendek.
“Uthman. Ya aku juga kenal. Memang dia pemuda harapan bangsa. Tapi sayang, dia mati hanya dengan kegagalan dalam percintaan”.

Demikian kawanku menutup kata.


SELESAI


[Cerita Pendek ini pernah disiarkan dalam Majalah Fashion. Bilangan 211. Ahad 23 Febuari 1958. [ 4 Syaaban 1377]. HARMY, 101, Jalan Sultan, S’pore 7.

Saya sempat mengirim dua buah cerpen untuk Majalah Fashion, dan Alhamdulillah kedua-duanya mendapat tempat. Saya sedang mencari sebuah cerpen lagi  untuk catatan rekod].

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.







Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP