Showing posts with label Sutera Cinta. Show all posts
Showing posts with label Sutera Cinta. Show all posts

RABI'AH AL-ADAWIYAH, TAK KAHWIN SAMPAI KE MATI

>> Sunday, February 2, 2014





 
RABIAH AL-ADAWIYAH, TAK KAHWIN SAMPAI KE MATI

PERISTIWA PERTAMA:

SESEORANG BERTANYA: “WAHAI RABIAH, TIDAKKAH  ENGKAU PERNAH MENERIMA PINANGAN DAN LAMARAN DARI LELAKI?”.

RABIAH: “CINTA DAN KASIHKU KEPADA ALLAH TELAH MENUTUP HATIKU UNTUK MENERIMA SELAIN DARI DIRI-NYA”.

PERISTIWA KEDUA:

SEORANG KERABATNYA BERTANYA: “KENAPA ENGKAU TIDAK BERKAHWIN WAHAI RABIAH?”.

RABIAH: “TIDAK ADA TEMPAT DI HATIKU KECUALI UNTUK KEKASIH SEJATI”.




SESUNGGUHNYA Rabiah Al-Adawiyah “mencintai Allah dengan sepenuh hati dan jiwanya. Dia mencintai Zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Dia bertafakur, berzikir mmemaknai segala sesuatu tentang Kuasa dan Kebesaran-Nya, sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Allah. Dia relakan menjadi perawan abadi, dia tidak ingin berkahwin, bukan kerana tidak ada yang meminangnya, dia memilih hidup bersendiri kerana tidak tertarik dengan kenikmatan alam realiti di dunia yang memperdaya”.Demikian tutur Misbah Em Majidy ketika berbicara tentang cinta Rabiah Al-Adawiyah kepada Allah S.W.T.



"Oh Tuhan betapa agung dan indah Diri-Mu,
Malam-malamku hangus terbakar kerinduan, merayu-Mu, Air mataku kering dek rindukan pada-Mu".RAW.


Mengikut Rabiah Al-Adawiyah cintakan makhluk tidak akan memberikan kebahagian yang abadi, kerana tidak berkekalan. Malah sering membuat seseorang menderita dan merana kerananya. Hanya cinta kepada Allah sahaja yang akan membuahkan kebahagian dan kenikmatan yang kekal abadi.

Kepada pertanyaan, kenapa dia kerap menangis, walaupun melakukan kesilapan yang kecil, ataupun lupa kepada Allah walaupun sedetik sahaja beliau menjawab, “Aku takut berpisah dengan Allah walaupun sedetik, dan aku tidak boleh hidup tanpa-Nya. Aku takut Tuhan berkata kepadaku, ketika akan menghembuskan nafas terakhriku, “Jauhkan dia dari-Ku, kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku”.


Justeru itu Rabiah Al-Adawiyah menumpukan penuh perhatiannya kepda beribadat kepada Allah yang dicintainya dengan sepenuh hati dan jiwanya. Beliau memuji dan memuja-Nya dengan penuh keikhlasan, sepenuh perasaan dan jiwa raganya tanpa mengharapkan apa-apa pembalasan. Beliau telah menyingkirkan dari relung jiwanya segala-galanya yang berbentuk keduniaan dan mengabdikan seluruh jiwa raganya hanya semata-mata kepada Allah S.W.T.


Ketika berdialog dengan Allah beliau antara lain sering mengunggkapkan kata-kata sebagai seorang sufi yang kemudiannya menjadi kata permata yang sentiasa menjadi buah sebutan,”Wahai Tuhanku, apa sahaja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah sahaja kepada musuh-musuhku, dan apa sahaja kebaikan yang hendak Engkau kurniakan kepadaku  berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya berkehendakkan Engkau dan kerana Engkau. Biarlah aku tidak mendapat syurga atau neraka. Aku berkehendakkan pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada Engkau ialah berilah kepadaku sepanjang hayatku, dapat mengingati-Mu, dan bila aku mati kelak berilah aku dapat meningati-Mu”.


Beliau juga sering berdoa, “Ya Allah! Jika ibadatku hanya untuk menjauhkan diriku daripada api neraka-Mu, maka kelak bakarlah aku dengan api neraka-Mu. Jika sembahku hanya untuk mendapat syurga-Mu, maka haramkanlah syurga-Mu atas diriku. Sekiranya ibadahku hanya ingin beroleh kasih sayang-Mu, berilah aku kurnia agung-Mu. Anugerahkan kepadaku nikmat boleh melihat  Wajah-Mu, wahai Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mulia”


Pada waktu malam beliau juga berdoa, “Oh Tuhanku! Bintang-bintang bersinar gemerlapan, manusia sudah tidur nyenyak dan raja-raja telah menutup pintunya, setiap orang bercinta sedang asyik dengan kesayangannya dan di sinilah aku bersendirian bersama-Mu”.


Kerana cintanya kepada Allah begitu agungnya, beliau enggan membenarkan sesuatu apa pun muncul sebagai batu-batu kerikil yang dapat menghadang aliran cintanya kepada Allah. Tidak juga perkahwinan.   Sedangkan sudah menjadi kebiasan kepada semua makhluk, khususnya manusia, baik lelaki atau perempuan untuk hidup berpasangan. Mencari suami kepada wanita, dan mencari isteri kepada lelaki. Mereka berkahwin atau bernikah mengikut keprcayaan atau agama masing-masing.


Sedangkan Rabiah Al-Adawiyah adalah seorang wanita jelita yang kecantikannya tidak kalah dengan wanita-wanita sezaman dengannya. Beliau juga mempunyai suara merdu yang mempesonakan orang yang mendengarnya jika dia mengalunkan suara untuk menyanyi. Beliau pernah dilamar untuk dijadikan isteri, tapi beliau menolaknya, semata-mata kerana cintanya kepada Allah,


Beliau menghabiskan masa malamnya dengan menghampirkan dirinya kepada Allah dengan beribadat, berzikir dan membaca al-Quran sambil meratap dan menangis dan bermunajat kepada Allah memohon petunjuk, keredaan dan keampunan-Nya. Memang selayaknya beliau telah dianugerahkan sebagai seorang kekasih Allah.


Menyingkap secebis riwayat Rabiyah Al-Adawiyah, beliau dilahirkan pada abad pertama Hijriah, di Kota Basrah yang trletak di pinggir Sungai Dajlah, Iraq. Beliau adalah anak keempat dan anak bongsu dari sebuah keluarga yang miskin. Ayahnya Ismail bin Muhammad Dawi, seorang yang warak. Keluarga mereka adalah sebuah keluarga yang taat kepada agama, dan menjadikan al-Quran sebegai teman hidup mereka sekeluarga. Malah Rabiyah Al-Adawiyah telah menghafal al-Quran sejak masih kanak-kanak lagi.


Beliau pernah mengingatkan ayah kesayangannya dengan kata-kata yang penuh denga makna, “Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana kelaparan di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat nanti”.




"Dan sujudlah dan dekatkanlah [dirimu kepada Tuhan".-Al-Alaq:19.


Rabiatul Al-Adawiyah meninggal dunia pada tahun 801 Masihi, dimakamkan di  kediamannya. Ramai sekali orang mengiringi jenazanya ke tanah perkuburan di mana beliau disemadikan sebagai seorang hamba yang melimpahruahkan seluruh cinta murninya kepada Allah, mereka termasuklah orang-orang soleh dan ahli-ahli sufi.


Walaupun beliau telah lama pergi, tapi masih tetap menjadi ingatan dan sebutan orang sampai ke hari ini. Beliau adalah pencetus ajaran mencintai Ilahi, malah dianggap sebagai pengasas mazhab cinta dalam Islam. Kehadirannya tetap menjadi cabaran kepada seluruh umat Islam, baik lelaki atau perempuan untuk menyambungkan perjuangan cinta murninya kepada Kekasih mereka Yang Maha Pencipta.


Menurut Misbah Em Majidi, “Rabaiah Al-Adawaiyah mengenalkan kepada ummat Muhammad, bahawasannya cinta adalah tanda kehidupan spirtual seorang Muslim, yang sedemikian itu, hakikat iman dalam Islam ditegakkan di atas sendi-sendi cinta dan Rahmat [kasih sayang]. Rabiah Al-Adawiyah adalah wanita yang utuh dalam mengabadikan dirinya kepada Allah, hidupnya untuk dan demi Sang Kekasih Sejati”.


Demikian sekilas pandang wanita yang agung ini, Rabiah Al-Adawiyah yang berjaya  menegakkan cinta kepada Ilahi mengatasi segala cinta yang dianggapnya sebagai palsu belaka, cinta yang tidak akan membawa manusia ke mana-mana, selain daripada kehampaan dan kekosongan kerana disaluti oleh wajah-wajah cinta keduniaan yang fana dan palsu ini.



Read more...

Wahai Dinda Maafkan Kanda

>> Wednesday, July 7, 2010

WAHAI Dinda Maafkan Kanda

Dinda Yang Dicintai!

Sejak kanda mengucap selamat berpisah kepada dinda dan tinggal menyepi seorang diri di Kota Paris, kanda telah berkali-kali cuba menulis untuk menyudahkan drama yang baru kanda gubah, tapi percubaan kanda itu telah gagal sama sekali..........Perhatian kanda telah tercurah kepada dinda, fikiran dan kenangan kanda telah berpusat kapada dinda dan seluruh ruang yang kosong dalam jiwa kanda telah terisi dengan rupa paras dinda.

Justeru itu kanda kini tidak mampu lagi mencipta karya-karya seni yang ditimba dari fantasi, maka tercetuslah hasrat kanda untuk mencipta sebuah hasil seni yang ditimba dari kenyataan dan dijalin dari benang-benang kisah hidup kanda sendiri......ya kanda ingin mengisahkan kepada dinda dan kepada diri kanda sendiri cerita perkahwinan kita berdua........Kalau dalam novel-novel rekaan, kanda melukis watak-watak manusia yang fantasi, maka dalam cerita ini kanda akan cuba melukiskan watak kanda sendiri dan watak dinda yang dikasihi. Kanda akan menganalisakan jiwa kanda dan jiwa dinda, kanda akan memuja-muja roh, hati dan fikiran dinda semoga kanda dapat menjelmakan, dinda di hadapan kanda sekarang ini juga, dan dapatlah kanda membayar hutang budi dinda biar pun tidak semuanya.

Kenalkah dinda siapakah diri dinda yang sebenarnya? Tahukah dinda rahsia cinta kanda yang begitu besar terhadap dinda?

Dinda! Sebenarnya rahsia itu adalah tersembunyi dalam pertarungan batin yang dasyat di antara kanda dan dinda sejak kanda berkahwin dengan dinda........Kanda dahulu seorang peria yang tiada tandingnya perungus, pemarah, pembengis dan pengasar di samping bernafsu liar dan jahat........Kanda seolah-olah dijadikan dari semburan darah dan nyalaan api dan keganasan, keangkuhan, kelobaan, kerakusan, kedegilan dan ketidakpedulian....Keinginan nafsu curang sentiasa menarik minat kanda dan perlakuan-perlakuan yang jahat sentiasa mempesona hati kanda....... Malah kejahatan itu telah bersarang di dalam otak kanda seperti bersarangnya fikiran-fikiran yang mekanis dalam otak seorang gila.

Dahulu kanda fikir kanda boleh jadi seorang suami dan senafa itu juga kanda jadi seorang peria yang bebas menyahut segala panggilan keinginan yang bebas melepaskan segala dendam berahi naluri yang bengis mengejar kenikmantan jasmani dengan rakusnya.......bila satu sudah dipuasi maka beralih pula mencari yang lain.

Begitulah cara hidup kanda hingga pernah kanda digelar “syaitan” oleh kawan-kawan kanda dan memang kanda syaitan dalam segala-galanya, syaitan dalam hati, syaitan dalam tigkah laku dan syaitan dalam keangkuhan kanda.......kanda berasa lazat berlaku curang, berasa manis menyakiti hati orang, merasa senang memijak adat dan mempersenda tradisi semata-mata untuk membuktikan bahawa kanda memang seorang yang besar, berani dan handal mengatasi orang lain.

Demikianlah gambaran peribadi kanda di zaman lampau......tetapi setelah kanda berkahwin dengan dinda, hati kanda meradang kerana segala sesuatu yang ada pada diri dinda adalah semuanya bertentangan dengan sesuatu yang ada pada diri kanda. Sejak itu kanda bulatkan seluruh azam dan mengerahkan seluruh daya kanda untuk menentang pengaruh dinda.

Kanda dapati diri kanda berhadapan dengan seorang perempuan yang dijadikan dari kelem- butan cahaya, kedinginan air, kegemalian angin dan dari kejernihan dan kebeningan. Fikiran kanda kacau dan kemarahan kanda menyala bila kanda dapati diri kanda tersurut di hadapan pancaran sinar dinda yang terang benderang dan bagi pertama kalinya kanda merasa akal fikiran dan diri kanda kecil. Perasaan itu telah menyinggung keangkuhan kanda dan menampar kelakian kanda dan seterusnya menimbulkan satu pemberontakan batin yang meremangkan bulu roma kanda bila terkenang hari ini.

Kanda sedar dinda memandang kanda dari langit jiwa dinda yang tinggi dan sebagai reaksi membalas bela, kanda kian menjadi-jadi menurut hawa nafsu dan kian asyik bergelumang dalam kecurangan dan kefasikan hidup. Dari sini bermulalah pertarungan hebat yang tidak kanda lupai, pertarungan di antara kekuatan dan kelemahan, di antara akal dan naluri dan di antara tenang dan gempar, tapi dalam pertarungan itu dindalah yang melambangkan kekuatan, bukannya kanda, dindalah yang melambangkan ketenangan bukan kanda.....Ya! Dinda di waktu itu adalah seorang perempuan yang tiada tandingannya.....dindalah malaikat yang cuba memperbaiki akhlak syaitan.

Kanda sering kali menengking dinda dengan kasar, tapi dinda tidak pernah marah, kanda sering membiar dinda dengan penuh kejaman, tapi dinda tidak pernah memasam muka, kanda sering menipu dinda terang-terangan, tapi dinda tidak pernah meradang.....dinda terlalu sabar .....dinda memandang kanda selaku seorang ibu yang memandang anak kecilnya yang nakal

Dan yang lebih anih dari itu, dinda begitu percaya kepada diri dinda, sedangkan kepercayaan kanda kepada diri kanda sendiri begitu merosot sekali.

Dinda telah berjaya menewas kanda dengan kekuatan lemah lembut, dinda telah menawan kanda dengan senjata-senjata sopan santun, senjata diam dan tenang.....Ya! Diam dindalah yang selalu mengkagumkan dan mengelisahkan kanda........diam yang kelihatan angkuh, tapi mesra dan merendah diri, diam yang kelihatan patuh, tapi mengecam, diam yang kelihatan lemah lembut, tapi duka.......diam yang selalu menusuk jantung hati kanda seperti menusuknya mata pisau.

Kanda tidak mengerti hendak membangkitkan kemarahan dinda, tidak tahu hendak mengapi-apikan dinda, tidak tahu hendak mencari swic –swic berang dan marah dalam hati dinda yaang suci.

Kanda merasa begitu lemah dan kaku bila berhadapan dengan dinda.....Ya! Apakah yang dapat dibuat oleh syaitan terhadap Malaikat? Apakah yang boleh dibuat oleh orang yang bersenjata untuk melawan tembuk yang membisu diam? Apakah yang dapat dibuat oleh kekuatan yang bersandar kepada mata benda untuk melawan kekuatan yang bersandar kepada hati dan jiwa?

Kekuaan jiwa dinda begitu meresap dalam hidup kanda hingga mengkagumkan kanda. Kebesaran peribadi dinda begitu menjalar dalam dalam darah kanda hingga tidak dapat ditahan-tahan lagi. Wujud dinda telah memberi kesedaran dan pembangunan kepada jiwa kanda dan telah melambai kanda menuju ke dunia keluhuran budi seperti musim bunga melambai manusia ke dunia meriah dan dunia cahaya.

Kanda sungguh hairan merasa perubahan yang begitu besar dan pesat pada diri kanda, dan bila kanda merenung-renung mencari faktor-faktor perubahan itu bersualah kanda dengan pengaruh dinda.

Kanda sedar bahawa dinda memberi sepenuh kebebasan kepada kanda agar kanda insaf, agar kanda kembali siuman dan menyesal dan agar kanda kembali mendengar suara hati kecil kanda yang luhur.

Sebenarnya bila sahaja kanda nikmati kebebsan yang penuh itu, tiba-tiba terasalah oleh kanda bahawa kebebasan itu telah menikam kanda balik. Dan terasalah oleh kanda betapa tidak wajarnya seorang perempuan yang lemah lembut seperti dinda telah menjadi lebih kuat dan lebih luhur pekertinya dari seorang lelaki seperti kanda......Malulah kanda kepada diri sendiri, malulah kanda kepada tabiat kasar dan sikap kanda yang tidak mengerti mengenang budi.

Sampai di sini timbullah hasrat dalam hati kanda untuk melawan dinda dengan kekuatan jiwa kanda...... Ya! Kanda ingin mengatasi dinda, ingin bersaing dengan dinda dalam kelebihan peribadi, kanda ingin meyakinkan dinda bahawa kanda juga boleh menjadi seorang manusia yang gagah dalam dunia kebaikan seperti gagahnya kanda dalam dunia kejahatan di zaman yang lalu.

Akhirnya kanda kemabli ke pangkuan dinda, kembali membawa cinta kasih dan perangai-perangai luhur dan alangkah teperanjatnya hati kanda bila perkembalian kanda itu disambut dengan kemesraan, kepatuhan dan diam dinda yang biasa seolah-olah kanda tidak pernah melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan dinda dan seoah-olah kanda seorang suami yang selama-lamanya berbudi dan setia kepada dinda.....

Melihat sikap yang seperti itu bergegarlah hati kanda dengan rasa keharuan dan mahu tidak mahu syaitan kanda terpaksa meleburkan sifat angkuhnya dan terus berlutut di hujung kaki dinda Malaikat yang suci.

Inilah kisah hidup kita berdua dinda..... Dan buat kanda kisah ini lebih indah dari segala kisah khayal..... dan kisah ini sengaja kanda utarakan kepada dinda sebagai menyatakan pengakuan terhdap jasa dinda yang besar kepada kanda.....

Sekarang terimalah kasihku dinda...... Dan percayalah dinda telah menyelamatkan kanda....kalau tidak kerana dinda, tidaklah kanda menjadi seorang mansia yang ternama di dunia ini.

Terimalah ciuman kanda yang penuh mesra dan kanda akhiri dengan doa semoga Tuhan memelihara dinda untuk anak-anak kita dan untuk kanda bersama.

Dari kandamu
Victor Sardo

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP