Showing posts with label Senyumlah. Show all posts
Showing posts with label Senyumlah. Show all posts

Dua Kali Lima:Nujum Pak Belalang

>> Thursday, September 23, 2010


DUA Kali Lima: Nujum Pak Belalang

BILA saya melangkah masuk ke rumah anak saya di Tasik Puteri, dua orang cucu saya sedang menonton TV. Mereka sedang mengikuti cerita Nujum Pak Belalang. Waktu itu Pak Belalang sedang menghadap raja dan di hadapannya ada sebuah mangkuk berisi air untuk mencari harta raja yang telah hilang dilarikan pencuri.

Raja disuruh meninjau ke dalam mangkuk untuk melihat hartanya itu dan diberi amaran, sesiapa yang tak nampak, orang itu pendek umur. Mahu tak mahu raja dan semua yang melihatnya mengaku dia nampak, tapi soalnya di mana?

Saya lalu duduk di kerusi agak jauh dari kaca TV untuk membaca akhbar yang baru sya beli di Medan Tasik Puteri. Tapi belum sempat lipatan akhbar itu saya buka, fikiran saya tiba-tiba melayang kepada perisitiwa yang berlaku kira-kira 40 tahun yang lalu. Masa itu saya masih belum berkahwin.

Pada suatu pagi, ketika itu saya baru sampai ke pejabat, seorang rakan sekerja yang saya panggil “Abang x” segera menemui saya dan meminta tolong saya menghantarnya ke sesuatu tempat untuk berjumpa dengan seseorang. Bila ditanya di mana dan siapa, dia enggan memberitahu hanya berkata, “Tolonglah, dan ikut Abang sahajalah”.

Saya memandu kereta mengkut arahannya. Dari Jalan Tengku Chik kami menuju ke jalan Kuala Krai, dan bila melewati Wakaf Che Yeh, dia menyuruh saya memprlahankan kereta. Tak jauh dari situ dia minta saya belok ke kiri masuk sebuah jalan yang belum bertar, dan tak berapa jauh dari jalan itu kami pun sampai ke sebuah perkampungan. Hari ini saya tidak tahu lagi di mana tempat tersebut, kerana masa selama 40 tahun telah banyak mengubah keadaan.

Abang minta saya berhenti di hadapan sebuah rumah. Abang x keluar dari kereta dan memberi salam kepada orang di atas rumah. Salamnya di jawab, seorang lelaki yang muncul di ambang pintu mempersilakannya naik. Lelaki itu berusia kira-kira 50-an tahun, bertubuh gempal.

Saya ikut Abang x menaiki tangga di belakangnya. Setelah kami bersalaman lelaki itu membentang sebidang tikar mengkuang dan mempersilakan kami duduk. Abang x lalu menceritakan tujuan kedatangannya itu.

Lelaki itu lalu meminta isterinya membawa segelas air kepadanya. Selepas menjampi air itu, dia memanggil seseorang yang berada di dapur rumah supaya keluar.

Dari arah dapur keluar seorang gadis sunti dalam lingkungan usia belasan tahun, berpakaian cara kampung.

Lelaki itu meminta kanak-kanak perempuan itu duduk menghadapi gelas yang berisi air itu, dan menyuruhnya memerhati apa yang dia nampak dalam gelas itu.

Setelah diminta berkali-kali kanak-kanak itupun memerhati dalam gelas tersebut, buat seketika kemudian, di kedengaran menjawab, “Tak nampak apa-apa pun”.

“Tenguk baik-baik. Tenguk lagi”. Kata lelaki itu. Setelah merenungnya beberapa ketika,jawapan yang sama juga diberikan oleh kanak-kanak itu.

“Tenguk sekali lagi baik-baik. Tak kan tak nampak apa-apa”. Desak lelaki itu.

Kanak-kanak itu melakukan apa yang disuruh, tapi jawapannya yang sama juga.

Maka lelaki itu pun bertanya, “Mu tak ambil air sembahayangkah tadi?”.

Bila kanak-kanak itu mengiakan, dia menyuruh kanak-kanak pergi ke dapur mengambil air sembahayang dan keluar semula.

Sejurus kemudian kanak-kanak itu keluar dengan muka dan lengannya masih basah kerana mengambil air sembahayang. Dia disuruh semula melihat ke dalam gelas tadi.

Setelah melihatnya, jawapan yang sama juga diberi, “Tak nampak apa-apa pun”.

Lelaki itu memnyuruhnya membuat berulang-ulang kali, tapi jawapannya sama sahaja. Tak nampak apa-apa.

Akhirnya lelaki itu pun berkata, “ Mu mari cemarkah [maksdunya datang haid], sebab tu tak nampak. Mari biar aku sendiri tenguk”.

Dia mengambil gelas itu lalu merenungnya, kemudian berkata, “Saya nampak, subang berlian itu terletak di dalam car [air bertakung selepas kegunaan rumah] yang terletgak di bawah rumah atau berhampiran rumah”.

Abang x mengatakan rumahnya tak ada car, kerana rumahnya, rumah kedai, di mana airnya terus masuk ke longkang besar.

Lelaki itu menenguk semula ke dalam gelas dan berkata, “Saya nampak macam terletak dalam laci alamari mekup”.

Abang x menjawab rumahnya masih belun ada almari mekup.

Lelaki itu meneguk lagi ke dalam gelas dan berkata, “Kalau tidak dalam laci, ia terletak di atas palang pintu”.

Abang x berkata rumahnya tidak ada palang pintu.

Lelaki itu merenung lagi ke dalam gelas dan bekata, “Ya ni nampak macam terletak atas palang kayu dinding”.

Tapi kata Abang x di rumahnya tak ada kayu palang dinding, kerana semua dinding telah dituutp dengan plywood.

Demikianlah bermacam-macam lagi dinujumkan oleh lelaki itu tapi semunya tidak terdapat di rumah Abang x.

Walau bagaimanapun sebelum meninggalkan rumah itu dia menghulurkan duit RM5 sebagai upah.

Ketika berada dalam kereta, dalam perjalanan pulang, Abang x menceritakan bahwa isterinya menuduh beliau mencuri subang berlian itu untuk diberikan kepada isteri mudanya, kerana dia baru sahaja berkahwin dua. Pergaduhan telah berlaku di antara mereka, kerana isterinya tidak percaya dia tidak mengambilnya.

Beberapa hari selepas itu, bila saya menanya tentang subang berlian yang hilang itu, dia memberitahu subang itu telah ditemui di bawa tilam, tempat yang tidak pernah dinyatakan oleh tukang telek itu.

Saya lalu ketawa, dan dia pun ikut ketawa.

“Kisah ini lebih kurang kisah Pak Belalang”, tiba meluncur kata-kata dari mulut saya.

Menantu saya yang mendengar kata-kata itu lalu bertanya, “Pa kata apa tadi?”.

Sayapun terus memberitahu pengalaman saya itu sambil ketawa........

Sesungguhnya orang-orang yang suka mengambil kesempatan daripada orang yang dilanda kesusahan dan kepayahan itu memang ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja di sepanjang sejarah manusia. Justeru itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada supaya tidak terpedaya dengan tipu daya mereka yang ingin mengambil kesempatan dari kesusahan kita. Jangan sudah terhantuk batu menangadah.
xxxxxxxx
Renungilah:

-“Orang yang paling aku kasihi antara kamu dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat, ialah orang yang paling baik akhlaknya”. HR:Tarmizi.
-“Sesungguhnya akhlak yang baik itu sesuatu yang sangat berat diletakkan di atas mizan [neraca timbangan]. HR:Abu Daud & Tarmizi].
xxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

Read more...

Membunuh Kerana Kentut

>> Tuesday, March 23, 2010


KENTUT

Oleh:Hj.Mohamed Zain Saleh



Kentut adalah buang angin dari dalam perut menerusi dubur. Menggunakan bahasa yang sopan ia dikatakan “buang angin”. Dan untuk bahasa yang lebih sopan sebagai sindiran ialah ‘bau kemenyan hantu”. Bahasa yang terakhir ini jarang sekali kita mendengarnya dipergunakan orang pada hari ini.

Saya ada beberapa versi cerita sisipan yang ringkas berhubung dengan kentut.Tapi tidaklah saya hendak menceritakan semuanya, kecuali satu dua yang mengandungi sedikit pengajaran di dalamnya.


Kentut Durian

Salah seorang anak saya pernah bekerja dengan sebuah firma korporat antarabangsa yang berpengkalan di luar negara.

Justeru itu kadang kala dia terpaksa berangkat ke luar negara kerana menjalankan tugasnya, seperti ke Singapura, Brunei, Korea, Jepun, India, Mesir, Amerika Syarikat, Belanda, Britain dan lain-lain negara di mana dia diperlukan..

Sudah tentu dia juga mempunyai ramai rakan-rakan kerja dari luar negara. Mereka bukan sahaja saling berhubung menerusi telefon, tapi juga saling kunjung mengunjung untuk berbincang tentang kerja-kerja mereka, termasuk rancangan-rancangan yang akan dijalankan.

Pada suatu masa seorang kulit putih dari Britain telah datang ke Malaysia atas urusan kerja. Anak saya ditugaskan melayan Mat Saleh itu, kerana tugasnya datang itu banyak berhubung dengan anak saya.

Pada suatu tengah hari selepas makan tengah hari mereka berdua naik lif untuk ke pejabat mereka di tingkat berapa saya kurang pasti.

Bila lif itu hampir sampai ke tingkat yang dituju, tiba-tiba anak saya mendengar “tembakan” yang kuat dari arah Mat Saleh itu. Rupanya dia terkentut. Kemudian diikuti oleh bau yang “semerbak” dalam lif yang udaranya terkurung seperti itu.

Tapi orang putih itu selamba sahaja, sambil tersenyum dia berkata dalam bahasa Inggeris, “But, that ok”.

Anak saya hanya mampu tersenyum sambil menahan nafas supaya tidak terhidu bau kentut Mat Saleh itu. Mujurnya sekejap sahaja lif berhenti dan pintu lif terbuka. Keduanya keluar menuju ke pejabat mereka.

Keesokannya selepas makan tengah hari juga. Hanya mereka berdua juga yang naik lif untuk ke pejabat mereka.

Sebaik sahaja masuk lif dan pintunya tertutup, tiba-tiba giliran anak saya pula terkentut. Katanya dia tidak merancangnya dan tidak pula untuk mengenakan Mat Saleh itu. Katanya pada sebelah malamnya dia makan durian, menyebabkan perutnya meragamkan sedikit dan membuat dia terkentut-kentut.

Justeru dia makan durian, maka sudah tentu kentutnya berbau busuk campur bau durian memenuhi lif itu yang memuat mereka berdua sahaja.

Anak saya mengucapkan “sorry” kepada Mat Saleh itu yang memaksa dirinya tersenyum, sambil menutup lubang hidungnya dengan jari telunjuk dan ibu jarinya.

Bila lif berhenti dan pintunya terbuka anak saya tergesa-gesa menuju ke tandas. Di mana dia memecahkan ketawa sendirian yang ditahan sejak dalam lif tadi lagi.


Kentut Tiup

Kisah singkat ini berlaku di halaman rumah saya, yang terletak di Kampung Salor, di pinggir Sungai Kelantan. Kerana saya tidak begitu jelas di bahagian mana kampung saya peristiwa ini sebenarnya berlaku.

Pada zaman kanak-kanak dahulu, kira-kira 50 tahun yang lampau salah satu permainan tradisi yang digemari oleh kanak-kanak lelaki di kampung saya ialah bermain guli yang kami orang Kelantan panggil “main gurah”, kerana buah guli itu kami panggil buah gurah.

Di hadapan rumah kami itu ada jalan yang digunakan oleh penduduk kampung untuk pergi balik ke sungai untuk mandi-manda, dan mencuci pakaian. Kami kanak-kanak lelaki juga suka bermain di sungai, tak kira waktu, pagi, tengah hari, atau petang malah kadang-kadang malam juga kami bermain di sungai.

Pagi ini beberapa orang kanak-kanak lelaki bermain gurah di hadapan rumah saya di tepi jalan, tempat orang lalu lalang. Hari itu hari minggu mereka tak sekolah. Biasanya mereka bermain dari pagi sampai ke tengah hari, dan di akhiri dengan terjun sungai untuk mandi, sebelum balik ke rumah untuk makan tengah hari. Kalau tak ada perkara lain yang hendak dibuat, mereka sambung pula main guli di waktu petang, mungkin di tempat lain pula hingga sampai waktu Maghrib, dan berakhir dengan mereka mandi di sungai beramai-ramai.

Ketika sedang asyik bermain itu salah seorang daripadanya membongkokkan sedikit belakangnya sambil memasukkan sebelah tangannya ke dalam seluar di bahagian punggungnya. Tiba-tiba sebuah kentut kedengaran dilepaskannya. Dia segera mengeluarkan tangannya yang dikepal rapat, lalu dibawa ke muka salah seorang daripada kawannya itu yang tercegak berdiri yang sedang memerhati buah guli sedang bergolek untuk masuk lubang. Bila kepalan tanganya itu berada di muka kawannya itu diapun terus membukanya dan diikuti oleh tiupan yang kuat mengenai muka kawannya itu.

Kawannya itu melarikan mukanya sambil menyumpah, “Cih, busuknya kentutmu”.

“Itulah kentut tiup”, kata kanak-kanak yang mengenakan kawannya itu sambil ketawa terbahak-bahak melihat kawannya hampir muntah tersedut kentutnya yang busuk itu.

Petang itu mereka bermain di tempat yang sama di halaman rumah saya, dan yang bermainnya kanak-kanak yang sama, kecuali bilangan bertambah seorang atau dua.

Ketika asyik bermain-main itu, tiba-tiba kanak-kanak yang termakan kentut tiup pagi tadi memasukkan tangannya ke dalam kilas kainnya yang telah dilonggarkan dan seiring dengan itu kendengaran bunyi kentutnya meletup dengan bunyi yang agak ganjil.

Dia terus mengeluar tangannya yang berkepal dan membawa ke muka kawan yang meniup kentut ke mukanya pagi tadi. Dia tidak meniupnya, tapi menyapu tangannya itu ke muka kawannya, sambil berkata, “Nah ambil kentut suap”. Lalu disapunya tangannya itu ke muka kawannya.

Wah tangan yang disapu ke muka kawannya itu bukan lagi mengandungi kentut, tapi berisi najis cair yang keluar bersama dengan kentutnyanya itu. Habis muka kawannya berlumur tahi bubur kacang yang dimakannya tadi.

“Balas yang tadi”, katanya sambil ketawa terbahak-bahak. Namun begitu pada mulanya dia juga tidak menyangka yang disapu ke muka kawannya itu tahi, bukannya kentut.

Bila menyedari hal itu semua mereka yang ada di situ ketawa terbahak-bahak. Sementara kedua kanak-kanak itu berlari menuju ke sungai, seorang nak basuh tangan, dan seorang lagi nak basuh muka yang disapu najis...........

Mencium Punggung

Pada zaman persekolahan dulu pelajar-pelajar dari kampung, terutama pelajar-pelajar perempuan berulang alik ke sekolah yang terletak di Kota Bharu dengan menaiki bas awam SKMK. Tapi saya dan beberapa orang kawan, kadang-kadang naik bas dan kadang-kadang berbasikal sejauh kira-kira 9 batu dari rumah kami. Naik bas leceh sedikit, sebab waktu balik tengah hari bas tidak masuk jalan dekat sekolah, Maktab Sultan Ismail dan Sekolah Menengah Zainab, kerana itu kami terpaksa berjalan kaki kira-kira satu batu untuk menaiki bas di dekat Sk.K.Langgar, dan dari situ kami kena naik bas lagi untuk ke stesen bas r yang terletak di bandar Kota Bharu untuk menaiki bas lain untuk balik ke rumah.

Biasanya di waktu pagi untuk ke sekolah dan waktu tengah hari bas tersebut penuh dengan pelajar-pelajar sekolah yang hendak balik ke rumah. Namun begitu biasanya kami terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang-penumpang biasa yang menggunakan perkhidmatan bas yang sama. Di antara pelajar-pelajar perempuan ada seorang yang becuk mulutnya bila terhidu bau kentut dalam bas.

Lalu dia menuduh orang itu dan orang yang melepaskan kentut. Sudah tentu tidak ada siapa yang mengaku. Yang lucu dia akan membongkok menghidu setiap punggung pelajar wanita yang berada berhampiran dengannya untuk mempastikan siapakah yang melepas kentut. Bila merasa yakin, dia pun melepas kata, "Huh mu lah yang kentut.Bau busuk ni". Walaupun dinapi oleh empunya punggung, tapi dia tidak peduli. Dan ini membuat kami semua yang melihat telatahnya itu akan ketawa.

Membunuh Kerana Kentut


Saya suka menambah cerita itu sebagai satu pengajaran, di mana seorang lelaki di New Britain telah bertindak ganas, membunuh seorang lelaki dan mencederakan tiga orang yang lain lagi.

Mengikut laoran akhbar pada bulan Januari 2011 lelaki itu Marc Higgins berusia 21 tahun telah bertindak ganas di sebuah parti bila empat orang lelaki mengejeknya kerana terkentut busuk dan berbu busuk di majlis tersebut.

Pada mula-mulanya seorang lelaki, Stacy Buccheri telah mengejek dan menamparnya kerana bau kentutnya yang busuk itu telah menganggu ketentramannya.

Marc Higins dalam keadaan mabuk telah meninggalkan parti itu yang diadakan di sebuah pangsapuri, tapi kembali semula ke parti itu kira-kira 45 minit kemudian dengan membawa tiga bilah pisau bersamanya.

Kemudian Marc Higins menikam beberapa orang pengujung parti itu. Akibatnya seorang dari mereka, Matthew Walton berusia 21 tahun telah terkorban, dan tiga orang mangsa lagi yang tercedera ialah Sandra Ranger, 18 tahun, David Klett, 19 tahun dan Tyler Basso, 18 tahun. Mereka telah dirawat di hospital sebagai pesakit luar kerana kecederaan mereka tidak parah.

Dia bertindak kejam untuk melempiaskan kemarahannya kerana diejek akibat terkentut dan mendakwa untuk mengajar mereka supaya tidak mempermain-mainkannya.

Selepas membunuh dan melakukan keganasan itu Marc Higin telah menyerah diri pada polis yang menjalankan penyiasatan.

Menurut laporan dia akan didakwa atas tuduhan membunuh.
xxxxxxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

Read more...

LAWAK

>> Wednesday, March 17, 2010

LAWAK TIGA LEBAI


Tiga orang lebai sedang menghadapi satu hidangan. Tiba-tiba pak lebai pertama berkata. “Dunia ini sifatnya berpusing seperti ini”, sambil dipusingnya talam lauk itu.

Pak lebai yang kedua melihat mangkuk lauk ayam sudah jauh darinya, lalu dia pun berkata, “Sebenarnya dunia berpusing sambil beredar”. Lalu diedarnya talam itu sehingga mangkuk ayam singgah di hadapannya.

Pak lebai yang ketiga pula menyampuk, “Sesudah dunia puas berpusing dan beredar, maka akhirnya dia terbalik begini kerana kiamat”, sambil dibalikkannya mangkuk gulai ayam itu dengan pantas ke dalam pinggannya.


P/S: Lawak ini tulisan saya yang disiar dalam Majalah Dian bilangan 2, tahun 2, April 1963. Ketika Majalah Dian bilangan tersebut sedang dipruf oleh Ketua Pengarangnya [Dato’] Yusuff Zaky Yaacob, maka datanglah SS. Mufti Kerajaan Kelantan, iaitu Dato’ Hj. Muhammad Noor Ibrahim ke pejabat Dian yang terletak di Jalan Cik Su Kota Bharu untuk bertemu dengan beliau seperti biasa. Ketika mereka sedang berbual-bual itu saya denga [Dato’] Yusuff Zaky membaca lawak tersebut, kepada Dato’ Mufti, dan kemudiannya saya dengar mereka kedua ketawa. Saya senyum sendirian di luar bilik.


*************


BUAL SI TOLOL

Si tolol pertama: Aku ada satu cerita, Bapakku dahulu pelihara kerbau besar, panjang tanduknya 40 hari burung terbang tak sampai ke hujungnya.

Si tolol kedua: Aku juga ada cerita, bapakku dahulu tanam pokok cengal besar batangnya 40 hari kerbau bapak kau keliling tidak habis. Ha!Ha!Ha!

Si tolol ketiga: Aku pun ada cerita, bapakku dahulu buat rebana besar, sekali palu bunyi dengungnya 40 hari tidak habis, kulit rebana itu dikupas dari kerbau bapak engkau, dan kayunya pula ditebang dari batang cengal bapamu. Hi! Hi! Hi!


P/S: Cerita tolol ini telah disiar dalam Majalah Dian bilangan 3 tahun 2 1963. Saya telah lupa siapakah yang menceritakannya. Ia berasal dari kampung kelahiran saya, Kg. Salor, yang terletak di pinggir Sungai Kelantan, kira-kira 8 batu Dari bandar Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, Darulnaim.



****************

Read more...

SAJI

>> Friday, March 12, 2010

Mana Saji?

Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Hari itu masih dalam bulan Ramadhan al-Mubarak.

Pagi itu aku tinggal sendirian di rumah lama kami di Padang Bongor, Binjai, Kota Bharu. Isteriku, Asiah Yaacob [Ya Allah cucurilah rahmat Mu ke atasnya] bersama puteri kami, Noorbaiti Zaini dan keluarganya pergi membeli-belah di bandar Kota Bharu, kira-kira tujuh kilometer dari rumah kami. Aku minta maaf kepada mereka kerana tidak dapat ikut serta kerana ingin menyiapkan sebuah buku yang sedang aku taip.

Sebelum waktu zohor mereka sudah sampai balik ke rumah. Pada masa itu aku masih menghadap meja komputer. Kedengaran bunyi enjin kereta, pintu pagar dibuka, kemudian diikuti dengan bunyi pintu rumah dibuka yang sengaja tidak kuncikan untuk membolehkan mereka terus masuk tanpa aku bangun membukanya.

Aku mendengar isteriku memberi salam, dan aku menjawabnya tapi tidak juga bangkit dari kerusi, kemudian diikuti oleh mereka yang lain masuk, termasuk cucu-cucuku.

Sambil menuju ke dapur isteriku berkata, “Yah telah beli saji baru. Baru sampai”. Dia terus berlalu ke dapur.

“Baguslah”, balasku. Dalam kepalaku dia membeli tudung saji baru, kerana malam tadi kami bercakap mengenai tudung saji plastik di atas meja kami yang telah berusia. Warnanya pun telah berubah pudar.

Bila dia keluar dari dapur dan berehat di bawah kipas yang sedang berputar di siling rumah, aku bangkit dari kerusi dan menuju ke dapur untuk melihat tudung saji yang dibelinya itu. Bila aku sampai ke dapur, aku tidak nampak pula tudung saji di atas meja.

“Mana sajinya? Kata beli saji,” tanyaku dengan menguatkan suara sedikit supaya dapat didengarnya.

“Tu. Atas meja tulah”. Tapi hairan, atas meja makan itu hanya ada beberapa plastik yang mengandungi barang-barang yang mereka beli di pasar tadi untuk berbuka puasa dan bersahur malam nanti. Tidak ada pula tudung saji.

Entah bagaimana aku tidak memanjangkan tentang saji itu. Mungkin tudung saji itu masih tertinggal dalam kereta yang diparking di hadapan rumah. Nanti aku dapat melihatnya juga bila mereka mengambilnya. Tak perlulah disusah-susahkan.

Aku kembali ke luar dan membaca akhbar hari itu yang mereka beli, sedangkan isteriku masih berehat menyejukkan badan yang kepanasan di bawah kipas yang berpusing agak laju di atas kepala.

Selepas solat zohor aku pergi lagi ke dapur untuk melihat-lihat apa yang mereka beli yang terdapat dalam plastik di atas meja makan itu. Kot-kot ada yang dapat ku tolong untuk menyediakan masakan hari itu.

Dalam salah satu plastik itu tidak mengandungi makanan, tapi sebuah majalah baru - ‘SAJI”. Aku tersenyum dan hampir memecah ketawa melihatnya. Rupanya yang dikatakan saji oleh isteriku tadi bukan tudung saji tapi majalah SAJI. Biasanya akulah yang membelinya setiap bulan untuk isteriku. Entah bagaimana hari itu dia tergerak untuk segera membelinya, mungkin ada resipi-resipi yang menarik hatinya untuk dibaca.

Sampai hari ini pun aku tidak pernah memberitahu sesiapa pun, baik isteriku atau anak-anakku akan peristiwa saji yang menggelikan hatiku itu. Aku pun tidak tahu apakah sebabnya? Catatan inilah merupakan pemberitahuanku buat pertama kalinya untuk sesiapa yang membacanya. Tentang saji.

Ini adalah merupakan salah satu warna-warna sisi kehidupan yang manis ketika bersama isteriku [ya Allah cucurilah rahmatmu ke atas isteriku] yang membuat aku meleret senyum sendirian sampai ke hari ini.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP