Showing posts with label Sejarah Salor. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Salor. Show all posts

MASJID SALOR YANG DIKENANGI

>> Friday, December 6, 2013






 MASJID SALOR YANG DIKENANGI




SEBAGAIMANA biasa saya dan dua orang cucu balik ke Kampung Salor pagi tadi. Hari Jumaat. Hujan telah berhenti walaupun cuaca tidak memberi pertanda akan panas sepanjang hari. Dalam perjalanan pulang kami singgah di Masjid Salor yang letaknya tidak berapa jauh dari jalan utama Kota Bharu-Pasir Mas ikut jalan lama. Jalan ke masjid Salor itu dipanggil Lorong Masjid, di mana di kiri kanan lorong terdapat rumah-rumah penduduk hingga sampai ke perbatasan tanah perkuburan masjid.






Sebenarnya kami telah lama tidak menghadirkan diri di masjid itu, kerana kami bersolat di masjid-masjid tempat kami tinggal. Masjid yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan itu telah jauh berubah wajahnya, menjadi lebih kemas, cantik dan bersih, berkarpet, tidak seperti puluhan tahun yang lalu. Demikian juga dari pengisian aktiviti keagamaannya telah jauh meningkat maju.



 
Seperti masjid-masjid lain juga hari ini, masjid bukan lagi semata-mata digunakan sebagai tempat bersolat lima kali sehari, atau solat Jumaat seminggu sekali, atau solat tarawih di bulan Ramadan, tapi juga telah menjadi pusat dakwah dan penyebaran agama Islam dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan dan sebagainya.



 
Justeru kami sampai awal benar, tidaklah sempat bertemu dengan tok imam atau kakitangan-kakitangan masjid untuk mendapat maklumat lengkap tentang masjid. Pada masa itu ada tiga orang, dua lelaki, seorang wanita sedang bekerja membersih masjid. Dua orang sedang mencucui karpet dan seorang sedang membasuh bahagian luar masjid. Saya sempat bertegur sapa dan berbual-bual sepatah dua dengan lelaki yang berkhidmat memabasuh masjid itu.



Masjid ini dinamakan Masjid Salor kerana letaknya di Kampung Salor dan untuk kegunaan  penduduk Mukim Salor. Tidak seperti sesetengah kampung lain, menggunakan nama-nama tertentu untuk menamakan masjid mereka, seperti nama tokoh-tokoh  yang berjasa atau nama pembina masjid yang pemurah itu.






Mengikut riwayatnya, Masjid Kampung Salor asalnya terletak di tepi Sungai Kelantan, di mana sebahagian besar daripada bumi Kampung Salor telah hilang ditelan sungai yang airnya sentiasa deras mengalir dan menerjah dalam musim hujan atau banjir yang sentiasa meruntuhkan tebing-tebing sungai dan menghanyutkannya. Sebidang tanah nenek saya juga turut ditelan sungai.



Kira-kira pada tahun 1925 sebuah masjid baru telah dibina di atas tapak barunya yang ada sekarang. Letaknya kira-kira 50 meter dari tapak masjid lama yang dibina dari kayu dirobohkan dalam masa yang sama itu. Masjid baru itu dipercayai telah dapat digunakan pada tahun 1926.





 Masjid Salor yang baru ini dikatakan  corak seni binaannya terpengaruh  dengan senibina penjajah British yang menguasai negara pada masa itu.



Hari ini sukar untuk mendapat maklumat-maklumat terperinci mengenai kedua-dua masjid itu, kerana sudah tidak ada lagi orang-orang yang sezaman dengannya boleh ditemui di Kampung Salor yang mempunyai maklumat dan boleh menceritakannya.



Di bahagian belakang masjid terdapat sebuah kelas yang dibina bersambung dengan bangunan ibu masjid yang digunakan untuk kelas belajar Fardu Ain yang diharap masih lagi hidup hingga sekarang. Pada masa dulu kelas ini beroperasi selama tiga hari seminggu mulai pukul 1.30 hingga 3.30, setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu.






Alangkah baiknya kalau kita mempunyai kemampuan. menjalankan kajian yang lebih lanjut mengenai Masjid Salor, terutama kepada generasi-generasi muda di Kampung Salor sendiri, yang akan mendedahkan bukan sahaja tentang masjid tua itu tapi juga berbagai-bagai latar belakang sejarah lagi mengenai sejarah Salor yang mempunyai kisah yang amat menarik. Saya percaya sebahagian daripada maklumatnya ada tersimpan di Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan [MAIK].



Saya tinggalkan Masjid Salor dengan penuh nostalgia dan kenangan yang sukar untuk dilupakan sebagai salah seorang anak buahnya yang sudah sekian lama merantau meninggalkan kampung tercintanya itu.
--------------------------------------------------------------------------------------------
kALAU ANDA BERMINAT :
KAMPUNG SALOR ADA DI JAWA

DARI KELANTAN BERJASA DI PAHANG
--------------------------------------------------------------------------------------------







Read more...

KAMPUNG SALOR ADA DI JAWA, SALA [SOLO]

>> Monday, December 2, 2013




KAMPUNG SALOR ADA DI JAWA, SALA [SOLO]

Petang Sabtu lepas [hari ini Isnin 2 Disember 2014] saya balik kampung. Biasanya kami balik hari Jumaat, untuk menziarhi pusara ibu, isteri dan keluarga. Tapi sepanjang dua minggu lebih yang lalu, hujan hampir tidak henti-heti sepanjang siang dan malam, termasuk hari Jumaat yang menyebabkan kelajuan pergerakan kami tidak lancar. Kami tidak dapat balik kampung, Kampung Salor.



    Bersama dengan pengantin baru "Nahri", diapit oleh dua orang kakaknya, Sajidah & Sarina

Petang Sabtu lepas hujan berhenti sekejap sehingga malam barulah hujan turun semula dengan lebatnya sampai ke Subuh. Kami balik kampung kali ini kerana kenduri kecil yang diadakan oleh anak saudara saya untuk menyambut isterinya.

Upacara diadakan di rumah pusaka peninggalan ayahandanya, abang saya Ariffin Saleh [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] yang terletak di sebatang lorong, beberapa meter dari jalan lama Salor- Pasir Mas.



                             Hadapan rumah pengantin digenangi air

Seperti biasalah bila hujan turun mencurah-curah seluruh kawasan rumah pusaka itu ditakungi air menenggelami  beberapa anak tangga. Tapi hari itu yang tenggelam hanya sebatang anak tangga sahaja kerana air telah mulai surut bila hujan berhenti sekejap. Namun begitu, beberapa kayu leper terpakasa diletak sebagai titian untuk menghubungkan lorong bertar itu dengan rumah. Kalau tidak mereka terpakasa mengharung air yang tingginya menenggelami buku lali.

Ketika memasuki lorong tadi, di kepala lorong terpacak sebuah tulisan nama lorong itu, iaitu Lorong Kubur Pohon Manggis, kerana di atas kubur yang luas yang terletak tidak berapa jauh dari rumah itu  ada dua pohon pokok manggis  tua. Namun begitu sebelumnya lorong itu  pernah dipanggil Lorong Kubur Pohon Seta. Perkataan Seta ialah bahasa Kelantan yang bermaksud manggis- buah seta erti buah manggis, pohon seta erti pohon manggis. Sampai hari ini pun orang-orang Kelantan tetap menyebut buah seta bukannya buah manggis.




Sejarah nama lorong itu agak unik. Pada suatu ketika Lorong Kubur Pohon Seta itu pernah ditukar namanya kepada nama Lorong  Cikgu Ariffin. Allahyarham ini terkenal dengan seorang yang petah bercakap dan pandai bercerita menyebabkan orang tidak pernah kering gosi jika ada bersamanya. Dia juga seorang yang kelakar dan suka bercakap berterus terang. Tapi bila beliau mengubah halaun perjuangannya, nama Lorong Cikgu Ariffin itu terus ditukar kembali kepada nama Lorong Kubur Pohon Seta, kemudian ditukar lagi kepada nama baru  yang moden Lorong Kubur Pohon Manggis sebagaimana tertera pada kenyataan di pintu masuk lorong itu.



Dalam perjalanan pulang fikiran saya tiba-tiba terlintas kepada nama Kg. Salor, di mana Lorong Kubur Pohon Manggis itu terletak. Adalah dipercayai Kg. Salor itu berasal daripada perkataan “alur” atau “salur” yang bererti saluran di mana air mengalir. Memang di sini terdapat sebuah saluran yang panjang membelah kampung dan membelah petak-petak sawah padi yang memang luas terbentang di Kampung Salor itu. Memanjang di tepi-tepi salur itulah  pokok-pokok sagu tumbuh merimbun kehijauan. Tapi sejak kebelakangan ini sebahagian besar daripada pohon-pohon sagu itu telah dikorbankan untuk melicinkan perjalan arus airnya.

Seorang pengkaji sejarah Indonesia Darodji Aryo B. A. Gajah Muda pernah menegaskan bahawa di Jawa pernah ada sebuah tempat yang namanya juga Salor yang dieja “Sala” atau Solo. Kemudian nama Sala/Solo ini ditukar namanya kepada Surakarta.



     Suatu pemandangan di Kota Surakarta, Jawa, yang lebih dikenali dengan nama Sala/Solo

Mengikut sejarahnya di Kampung Salor ini terdapat sebuah Istana Raja Salor yang semua keturunanya telah dibunuh oleh Raja Kota Bharu yang berpunca daripada upacara berlaga kerbau sekitar tahun 1800-an. Kini yang tinggal hanya pusara Raja Salor di selimuti semak samun. Tapi baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa keturunan seorang puteri Raja Salor yang diceritakan  terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai yang kejam itu masih lagi hidup. Saya berharap saya dapat menemui mereka dalam masa terdekat ini.



Lokasi Kg.Salor

Sementara Sala atau Solo di Indonesia itu asalnya sebuah desa yang menjadi pilihan Sunan Pakubuwana II untuk didirikan Istana baginda sebelum ditukar namanya kepada Surakarta. Namun hingga ke hari ini nama Sala/Solo lebih popular di kalangan rakyat Indonesia, daripada Surakata yang merupakan panggilan rasmi untuk urusan pentadbiran atau urusan pemerintahan. Mereka lebih suka menyebutnya Solo/Sala daripada Surakarta.

Di Sala ini terdapat sungai yang terkenal dengan nama Bangawan Solo, yang tekenal dengan legenda percintaan yang telah diabadikan dalam lagu Bangawan Solo yang begitu popular hingga sekarang.

Salor, Sala atau Solo kedua-duanya, satu di Malaysia, dan satu di Indonesia masing-masing menyimpani ukiran sejarahnya yang tersendiri yang patut menjadi renungan iktibar sepanjang zaman.




Read more...

Dari Kelantan Berjasa Di Pahang

>> Wednesday, December 21, 2011




DARI KELANTAN BERJASA DI PAHANG




Haji Cik Man atau Pak Da Haji Cik Man, seorang ahli al-Quran dan tukang lagu yang terkenal.



Beliau adalah peneroka tanah di Lubuk Kawah Pahang dan pengasas Pondok Lubuk Kawah yang termasyur itu.



Anak beliau, Haji Mat Saman pernah menjadi Imam Mukim Salor dan ayah kepada Hajah Faridah bt Mat Saman, Johan Qariah Kebangsaan dan Antara Bangsa yang masyur itu dengan isterinya Hajah Cik Yam.



Tandanya kita sampai di Kampung Salor yang termasyur dalam banyak perkara



Haji Cik Man yang berjasa ini berasal dari Salor, tapi beliau mungkin telah dilupai oleh generasi-generasi baru penduduk Salor hari ini.



Kemunculan Haji Cik Man ini merupakan sebahagian daripada keunikan Kampung Salor, yang meruapakan salah sebuah kampung yang istimewa di negeri Kelantan Darulnaim, baik dari segi penduduk, pendidikan, budaya, agama dan sejarahnya yang unik.



Pada masa dahulu Kampung Salor ini pernah muncul sebagai pusat pengajian agama yang termasyur dan menjadi tempat kelahiran beberapa orang tokoh agama yang termasyur yang termasuk dalam kategori ulamak.



Salah seorang dari mereka, ialah Haji Cik Man Salor; nama sebenar beliau ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Samad, salah seorang guru pondok dan ulama yang terkenal di negeri Pahang. Beliau berasal dari Kampung Gertak Lembu, Salor.



Beliau lebih dikenali dengan nama Haji Cik Man, tapi di kalangan masyarakat tempatan beliau lebih dikenali dengan panggilan “Pak Da Haji Cik Man”.



Beliau kembara ke Pahang dan merupakan peneroka Kampung Lubuk Kawah.



Sehingga kini masih belum diketahui dengan jelas pendidikan awal Haji Cik Man. Namun ada cerita-cerita mengatakan beliau pernah sampai ke Patani untuk belajar agama. Patani pada masa dahulu memang terkenal sebagai tempat berkembangnya syiar Islam dan banyak mempunyai pondok-pondok agama.



Sebelum beliau berhijrah ke Pahang pada tahun 1920an beliau diketahui sempat bersahabat dengan Tok Jerulung, dan merupakan salah seorang daripada murid perintisnya di peringkat awal, bersama dengan Pak Nik Awang Pengkalan Ujid, Salor [Pengkalan Ujid ini masih ada sampai sekarang, dan dianggap sebagai kawasan yang keras oleh penduduk tempatan sampai ke hari ini], Pak Nik Haji Hamzah Gertak Lembu. [Surau di tepi jalan berhampiran dengan gertak Lembu itu adalah Surau Pak Nik Haji Hamzah].



Jerulung ialah sebuah kampung kecil dalam daerah Salor yang letaknya berhampiran dengan Sekolah Salor, tak berapa jauh dari Kedai Salor.



Tukang Lagu


Haji Cik Man adalah seorang yang terkenal ahli dalam bidang al-Quran dan termasyur sebagai tukang lagu, di mana pada masa dahulu seorang tukang lagu sering mendapat undangan untuk mengalunkan suaranya yang merdu itu di majlis-majlis keramaian atau keraian.



Dengan kebolehannya itu beliau telah dilantik menjadi Imam Mukim Salor yang keempat, di mana masjid Salor itu letaknya tidak begitu jauh daripada kampungnya, Kampung Gertak Lembu. Ketiga-tiga imam sebelumnya ialah Haji Samat Alim bin Hj. Ahmad, Ibrahim bin Haji Samat Alim, Haji Ali bin Salih, iaitu adik ipar Ibrahim.



Di samping itu beliau juga berkhidmat sebagai guru al-Quran. Dua orang daripada muridnya yang terkenal, ialah Haji Idris bin Salih dari Kampung Lubuk Jambu dan Pak Nik Mahmud “Api” bin Osman dari Kampung Kur [1896-1984].



Kemudian beliau meninggalkan Kg.Gertak Lembu dan berhijrah ke Pahang. Pada permulaan penghijrahannya beliau tinggal di Kampung Bintang, Temerluh.


Jalan Pasir Mas-Salor, bermula dari Wakaf Cik Yeh sampai ke Kepala Tembak, dikenali dengan nama Jalan Salor



Saya masih ingat, pada suatu ketika dahulu, ketika saya masih kanak-kanak, ramai orang-orang dari Kg. Salor berjirah ke Pahang untuk membuka tanah, di antaranya termasuk keluarga penulis sendiri, seperti keluarga Hj. Mat Sa’d Mak Wok, dan sepupu saya sekeluarga, Mek Yah masih ada lagi di Pancing, sekarang. Kebanyakan mereka beranak pinak di sana dan tidak balik ke kampung halaman lagi, antara tempat yang menjadi tumpuan mereka ialah Lubuk Kawah, Mila dan Ulu Tembeling.



Di Kampung Bintang, Hj. Cik Man berkahwin dengan anak perempuan, Khatib Ahmad, seorang pendekar yang kaya.



Sebagai menantu kepada pendekar Khatib Ahmad dia dihormati oleh masyarakat sekitar dan menjadi seorang yang berpengaruh.



Dari situ Haji Cik Man menjadi peneroka Kampung Lubuk Kawah yang letaknya kira-kira 5 batu dari bandar Temerloh.



Di situ beliau telah berjaya membuka sebuah pusat penganjian pondok yang terkenal dan mendapat sambutan menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat.



Beliau termasyur alim dalam kitab Jawi dan dalam bidang bacaan al-Quran.



Pondok Lubuk Kawah mencapai puncak kegemilangannya pada pertengahan tahun 1920an. Pada masa itu terdapat seramai kira-kira 550 orang pelajar di pondok tersebut.



Tapi akibat Bah Merah yang melanda pada penghujung tahun 1926 dan awal tahun 1927 telah memusnahkan Pondok Lubuk Kawah. Di negeri Kelantan Bah Merah mulai berlaku pada 24 Disember 1926, menenggelamkan bandar Kota Bharu selama kira-kira 4 hari.



Pondok Lubuk Kawah dibangun kembali pada tahun 1928 dan pembelajarannya disambung semula seperti biasa, sehinga sampai ke zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada awal tahun 1940an.



Tapi pengistiyaran Undang-undang Darurat telah memusnah pusat pengajian pondok itu. Lubuk Kawah termasuk dalam kawasan darurat yang dikenali dengan Kawasan Hitam, di mana semua penduduknya terpaksa mengosongkan kawasan itu. Undang-undang Darurat diistiyarkan pada bulan Jun 1948.



Beliau sendiri sebagai pengasas pondok telah berpindah ke Kampung Berhala Gantang. Beliau hanya kembali semula ke Kampung Lubuk Kawah selepas ianya diistiyarkan sebagai kawasan putih pada tahun 1955.



Beliau meninggal dunia pada 2 Mahram 1375 H bersamaan dengan 20 Ogos 1955.



Keluarga


Beliau mempunyai 12 orang anak lelaki dan perempuan hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri, iaitu Sofiah Abdul Karim, dari Kelantan, Rafiah Khatib Ahmad dari Kg. Bintang, Pahang dan Jaamah Hussin dari Kampung Lonik, Negeri Sembilan.



Anank-anak beliau dengan isteri tuanya Sofiah ialah Daud, Haji Mat Saman, Embong, Zainab, Deraman, Aminah dan Aisah.



Anak beliau dengan isterinya Rafiah Khatib Ahmad ialah Haji Ibrahim.



Sementara anak-anak beliau dengan isteri terakhirnya, Jaamah ialah Maimunah, Salamah, Rokiah dan Kalsom.



Anaknya Haji Mat Saman pernah menyandang jawatan Imam Mukim Salor dan pernah beristerikan Hajah Cik Yam bt Ci Had, seorang tukang lagu termasyur di sekitar tahun 1950an . Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Hajah Faridah, johan Qariah Kebangsaan dan Antara Bangsa yang termasyur itu. Haji Mat Saman meninggal dunia di Kampung Bukit Tingkat, Temerloh, iaitu kampung yang diterokainya, pada tahun 1987



Rencana ini ditulis berdasarkan tulisan sahabat saya, Ismail Cik Daud, seorang penulis yang terkenal dalam bidang biografi tokoh-tokoh ulama. Dan tulisan ini merupakan sebahagian daripada bahan-bahan yang dapat saya kumpulkan dalam kajian yang saya lakukan mengenai sejarah kampung saya, Kampung Salor yang unik itu. Kajian ini sebenarnya telah lama saya lakukan, tapi tidak pernah selesai dan sebahagian daripadanya pernah diterbitkan.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP