Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

MENCARI REZEKI DALAM MENCARI REDA ALLAH

>> Saturday, February 20, 2016







MENCARI REZEKI DALAM MENCARI REDA ALLAH


Setiap hari dan setiap waktu, kita melihat manusia di sekitar kita bekerja. Mereka melakukan beraneka pekerjaan. Ada yang menjawat jawatan kerajaan, ada yang bekerja di syarikat-syariat swasta dan ada juga yang bekerja sendiri. Jika dalam sektor makan gaji banyak mempunyai bidang kerja, maka demikian juga dengan kerja sendiri. Banyak mempunyai jurusannya, bertukang, berkebun, berternak, bertani, berniaga dan bernelayan. Para petani bertugas di darat, sementara para nelayan bertugas di laut, menempuh ombak dan gelumbang untuk mencari sesuap rezeki.








Ada di antara mereka bukan sahaja bekerja di siang hari, tapi ada juga menyambung kerja di malam-malam hari, dengan berjualan di pasar-pasar malam. Ada yang berniaga di kedai-kedai makan atau restoran-restoran. Malah ada yang bekerja selama 24 jam, dari pagi ke pagi, dan dari malam ke malam, tidak henti-henti.


Demikianlah manusia sentiasa sibuk dengan urusan mencari rezeki, tegasnya mencari makan. Akibatnya dunia ini riuh-rendah dan gegak-gempita dengan aneka bunyi manusia dalam kesungguhan usahanya mencari rezeki.


Semua orang ingin yang terbaik. Inginkan yang terbanyak. Yang berlebihan. Demikian juga dalam memburu harta dunia. Mereka ingin memperolehi sebanyak-banyaknya. Justeru nafsu inginkan yang terbanyak ini sering membuat mata mereka terhijab. Terlindung. Oleh itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat yang terbaik dan terbanyak itu. Tidak memadai dengan usaha-usaha halal, mereka lakukan kerja-kerja haram, menipu, mengecek, mencuri, merompak, menyamun, menguggut, menggertak, mengancam, memperdaya, mengkhianat, merasuah dan membunuh sekalipun.


Tujuan mereka berbuat demikian untuk memperoleh pendapatan yang lumayan dengan kepercayaan mereka akan memperolehi kebahagian hidup di dunia. Untuk tujuan itu mereka membeli makanan dan minuman yang enak-enak, membeli pakaian yang mahal dan cantik, membeli alat-alat rumahtangga yang mewah, membelli rumah besar dan mewah  dan membeli kenderaan mewah dan serba neka barang yang canggih yang tidak terbeli oleh manusia biasa. Mereka membeli tanah-tanah dan kebun-kebun yang melaut luasnya. Semuanya itu dengan harapan yang tinggi akan memberi kebahagian kepada mereka untuk mengharungi kehidupan dunia yang sementara ini.


Demikianlah manusia di seantero dunia, baik tua atau muda, remaja atau dewasa, bercawat kotel, memburu harta dan kekayaan dengan harapan dapat membahagiakan hidup  mereka. Namun begitu, tidak semua dari mereka berjaya mencapai puncak kemewahan yang mereka kejarkan, malah sebaliknya kebanyakan mereka tumbang dan berselerak-tok di tengah jalan dan sesat tanpa arah tujuan. Mereka telah kehilangan arah, tanpa pendoman, tidak mengetahui matlamat mereka yang sebenarnya dalam memburu kebahagian hidup, kerana telah tersalah sangka, tersalah pandang, bahawa wang ringgit dan kekayaan itu akan menimbunkan kebahagian kepada mereka.


Mereka telah salah sangka dalam menilai harta dan kekayaan dapat memberikan kebahagian yang abadi kepada mereka. Anda tentu mengetahui berapa ramai orang-orang yang dianggap berada, yang kaya dan jutawan, tapi mereka tidak pernah berbahagia, malah kecewa dengan berbagai karenah yang menimpa akibat kecuaian diri sendiri. Ada di antaranya yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan haram, rasuah, tipu daya; dan kerana kesihatan yang tidak memuaskan atau buruk, atau pun anak-anak yang telah rosak akhlak, kerana terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang buruk, seperti penagihan dadah, gejala-gejala sosial yang buruk dan sebagainya.

Kekayaan Yang Sebenanrya?


Orang-orang yang dikelilingi oleh harta yang menibun, yang memiliki wang ringgit yang besar, dikatakan orang kaya atau jutawan. Sebaliknya orang-orang yang tidak berduit atau berharta benda, dikatakan orang miskin atau fakir.


Lumrahnya, kian berharta dan kian kaya seseorang itu maka kian besar dan banyaklah keperluan hidupnya, baik dari segi makan minum dan kemudahan-kemudahan yang lain, sepertu rumah dan kenderaan. Sebaliknya kian miskin dan fakir, seseorang itu maka kian sedikit dan kecillah keperluan-keperluan yang dibutuhinya.


Marilah kita renung sejenak, apakah hakikat kekayaan atau kemiskian itu yang sebenarnya? Menurut para Hukama, orang-orang yang miskin ialah orang yang banyak keperluannya, tapi sebaliknyan orang-orang yang kaya adalah orang-orang yang sedikit keperluan atau kemustahakannya. Justeru kian banyak keperluan seseorang itu, maka kian miskin hakikat dirinya, sebaliknya kian sedikit keperluan seseorang itu, maka kian kayalah dia. Allah yang Maha Kaya, Maha Besar dan Maha Segala-galanya tidak memerlukan sebarang keperluan atau hajat. Maka kerana itulah Dia dikatakan Maha Kaya.


Berdasarkan hakikat ini, orang-orang kaya, orang-orang jutawan yang memiliki banyak harta kekayaan dan banyak kerperluannya, maka mereka termasuk dalam kategori orang miskin. Demikian mengikut definisi miskin dan kaya mengikut para Hukama.


Justeru jika kita ingin menjadi orang miskin, panjangkan angan-angan, banyakkan keperluan itu dan ini, cintakan barang-barang yang belum dimiliki, ingin rumah kediaman yang lebih besar dan cantik, walaupun rumah sekarang sudah lebih besar dan lebih cantik, inginkan kereta baru yang lebih besar dan canggih, walaupun kereta sekarang masih baru dan utuh, inginkan lagi tanah dan ladang, walaupun ladang sekarang sudah tidak terurus dan terbiar, ingin lebih banyak emas, intan dan berlian, walaupun badan sudah penuh bersalut dengan emas dan permata; Malah ada pula suami yang telah mempunyai isteri yang telah cukup baik, dan anak pinak, ingin menambahi isteri atau lebih buruknya ingin meninggalkan isteri lama itu untuk mencari isteri baru yang masih muda’ demikian juga si isteri walaunpun telah berusami dan beranak pinak selama bertahun-tahun tapi masih ingin mencari laki lelain yang lebih muda, dan lebih malang lagi kalau bermain kayu tiga, untuk menikmati pucuk muda secara haram. Demikianlah kuasa dan harta  kekayaan itu boleh mempengaruhi diri manusia ke jalan yang kelam dan keji jika tidak berhati-hati dan berwaspada.

Justeru untuk menjadi orang kaya, sedikitkan keinginan, bataskan keperluan, kurangkan hajat. Berpada-pada dengan apa yang ada. Jangan perbesarkan perbelanjaan yang tidak perlu, dan jangan banyakkan kerperluan kepada barang-barang yang remeh-temeh. Biasanya benda-benda yang remeh-temah inilah yang memperbesarkan perbelanjaan, dan bukannya perkara pokok yang  penting. Tentanglah segala nafsu meragam dengan taqwa. Jangan kikir untuk memberi sedekah kepada fakir miskin, atau kepada orang-orang yang memerlukan pertolongan. Berbelanja hanya dijalan yang dibenarkan oleh Allah. Di sana nanti, kita akan bertemu dengan kebahagian yang hakiki.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Bukanlah kekayaan itu disebabkan seseorang mempunyai banyak harta, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa”.


Ini bererti, mereka yang tidak mempunyai harta benda yang banyak itu pada hakikatnya bukanlah orang miskin, malah sebaliknya dia dianggap seorang yang kaya, kerana darjah keruhaniannya yang tinggi dalam memberi ketaatan kepada Allah SWT.


Sebaliknya pula orang yang banyak mempunyai harta benda itu tidaklah dianggap tinggi di sisi Allah, kiranya dia tidak mempunyai kekayaan dari segi keruhaniannnya dan tidak diselaraskan dengan syariat agama yang suci. Kekayaan yang sebenar ialah kekayaan ruhani yang berkekalan keadaannya.

Di sisi agama seorang yang mempunyai harta benda yang banyak itu masih belum dianggap kaya selagi dia tidak  memperseimbangkan kekayaan kebendaan itu dengan kekayaan keruhanian yang sejajar dengan syariat Allah. Kekayaan keruhanian, tidak seperti kekayaan kebendaan, merupakan kekayaan yang kekal dan abadi hingga ke akhirat.


Kebahagian kebendaan, tidak menjamin kebahagian hidup seseorang, sebaliknya kekayaan keruhanian memberi jaminan yang utuh kepada kebahagian hidup seseorang. Orang-orang yang berjiwa besar sudah tentu dapat menghadapi rintangan hidup dengan aman dan tenang. Selagi seseorang belum dapat menikmati kepuasaan dan ketenangan, maka selama itulah dia tidak akan dapat merasa kenikmatan kebahagian hidup. Andainya kita memiliki kekayaan jiwa, maka selama itulah kita akan merasa bahagia, walaupun kita tidak mempunyai harta dan kekayaan, dan kiranya dalam masa yang sama kita juga seorang yang mempunyai banyak harta maka kebahagian kita akan bertambah, dan kita akan menjadi sebahagia-bahagia manusia di dunia ini.


Namun kita tidak dilarang berusaha mencari harta dan kekayaan dengan cara yang benar dan halal. Dan kita hanya mencintai harta benda itu semata-mata kerana ianya merupakan pengurniaan daripada Allah, tegasnya kita mencintai harta kerana Allah, dan bukan sama sekali kerana harta itu harta atau kerana kekayaan itu kekayaan yang telah berjaya merosakkan umat manusia di dunia ini. Dan harta itu merupakan sokongan untuk memperkuatkan iman dan membina keteguhan hati dalam ketaatan kepada Allah.


Agama memang menyuruh kita mencari rezeki, mencari harta, kerana harta itu banyak kegunaannya. Apa yang dilarang ke atas kita ialah memprsalahgunakan harta itu, memuja dan menilainya lebih dari sewajarnya. Kerana pemilik harta yang banyak itu sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakana anugerah yang melimpah-ruah dari Allah.


Dengan memiliki harta benda, kita dapat menolong diri sendiri, menolong keluarga dan semua orang-orang yang memerlukan pertolongan. Dengan harta benda kita dapat membantu sesama manusia. Dengan harta benda kita dapat menunai perintah Allah dalam menegak agama-Nya. Dan dengan harta benda kita dapat mencegah diri kita dari jatuh ke lembah kekejian dan kehinaan.





Dengan memiliki harta kita dapat memenuhi keperluan lahiriah badan kita, kerana badan kasar kita ini mmerlukan makanan dan minuman untuk hidup, dan badan kita memerlukan pakaian untuk melindunginya dari kekotoran, kesejukan dan kepanasan. Dan semuanya itu memerlukan harta untuk memperolehinya. Ini semua sebahagian daripada keperluan asasi seseorang insan sebelum nyawanya diragut maut.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Barangsiapa mencari dunia yang halal dengan tujuan agar dia tidak meminta-minta, dikasihi jiran tetangga dan memenuhi kewajibaan untuk keluarga, niscaya pada hari kiamat ia akan muncul dengan wajah berseri-seri seperti bulan purnama raya”.

Malangnya, banyak orang telah menukar Tuhan yang sebenar dari Allah kepada harta benda. Siang malam, petang pagi usahanya mencari harta semata dengan langsung melupakan Allah. Hatta harta yang dimasukkan ke poket itupun tidak dikira halal atau haram. Semuanya disebat. Orang seperti ini lebih suka menurut nafsunya daripada menurut agamanya. Walaupun agama kata haram, dia kata halal, maka halallah baginya. Inilah bibit-bibit kemusnahan yang menimpa pemburu harta yang pelahap semata-mata untuk jadi kaya.


Justeru sesiapa yang terdampar di lubuk kemiskinan hidup, janganlah merasa keji dan hina, kerana rezeki adalah kurnia Allah kepada semua makhluk-Nya. Cuma apa yang berbeza ialah pengurniaan rezeki itu berbeza-beza atau tidak sama antara seorang dengan seorang. Ertinya ada orang yang dikurniakan dengan banyak dan melimpah-ruah, dan sebaliknya ada pula dikurniakan dengan rezeki yang sedikit. Walau bagaimana kedua-dua golongan itu hendaklah berterimakasih, bersabar dan bersyukur kepada Allah, kerana semua ketentuan dari Allah. Apa yang perlu dilakukan oleh mereka kesempitan ialah berusaha dan berikhtiar, dan tidak berpeluk tubuh menunggu rezeki jatuh dari langit.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan



Read more...

AMBO PUN NAK KECEK JUGOK

>> Wednesday, March 18, 2015






                           AMBO PUN NAK KECEK JUGOK

 
                                         N.M.Syahmi Zaini
                                        


Bilo mok ambo ajak ambo make sekali
Dio dok kecek denge nenek, tok kecek denge ambo ni,
Ambo raso sedih sangat lagu tu, tok tau nok kato gapo,
Tapi ambo laung habih deras, “Kito pun nok kecek jugok ni”.

Lepah tu ambo dengar  mok denge nenek kecek  ngarut,
“Budok-budok boleh kelih sajo, tapi tok lih dengar dio kecek”.
Ambo cerlung tengok mok dan nenek, sebab dua - dua tipu ambo
Lalu ambo  kecek kohor-kohor denge beralus, “Kita pun nok kecek jugok”.
Tapi mok dan nenek bual jugok, mace ambo tak dok situ,
Dok kecek sabit makan dan baju hok padan denge ambo,
Tunggulah satu hari nati ambo buat geger sengoti
Biar semuo orang tahu ambo pun nak kecek juga.


Diadun semula dari karya
F,Politzer

Kg. Parit, Pasir Tumboh,
KB. Kelantan.







Read more...

TASHA AZIZ DAN DAUN PUN BERZIKIR

>> Saturday, April 19, 2014







TASHA AZIZ DAN DAUN PUN BERZIKIR








Saya terbaca sebuah rencana tentang Tasha Aziz  berjodol “Tergamak Mereka Aibkan Saya” sebagaimana tersiar dalam Berita Harian, Ahad 6 April 2014 yang lalu. Rencana itu merupakan wawancara wartawan BH dengan beliau berhubung dengan kelewatan membuat bayaran kepada sebahagian daripada pelakon-pelakon drama bersiri terbitannya, iaitu Apam Lemak Manis.


Jujur saya katakan, saya bukannya seorang peminat drama TV dan sebagainya. Saya juga tidak tahu apakah drama Apam Lemak Manis itu. Dan saya juga tidak pernah mengikuti kecoh-kecoh mengenai bayaran yang tertonggak itu yang menyebabkan beliau dikecam dan dikutuk oleh pelakon-pelakonnya sendiri.

 


Beliau menjelaskan kelambatan melunaskan bayaran itu berlaku kerana sebab-sebab tenikal berhubung dengan drama tersebut yang tidak memuaskan hati pehak tv dan terkapksa berkali-kali disunting semula. Inilah pokok pangkalnya menurut beliau.


Tapi para pelakonnya itu tidak puas hati dengan penjelasannya itu dan membuat berbagai-bagai tuduhan yang memalukannya, menurut beliau. Sepatah kata beliau, “Ada yang tuduh saya makan hasil titik peluh mereka.......Saya terkilan sangat. Saya terkilan sangat.....Tergamak mereka mengaibkan saya!”.


“Sakit hati hanya Tuhan saja yang tahu.......”.


Saya tidak bermaksud untuk mencampuri perbalahan mereka. Saya juga percaya, Tasha yang tidak pernah saya kenali bahawa dunia kerjaya yang beliau bergelumang dalamnya adalah dunia yang penuh dengan cabaran, dunia hiburan yang terpakasa berdepan dengan aneka fitnah sepanjang masa.


Tapi apa yang tersentuh di hati saya ialah jawapan kepada pertanyaan apakah tindakan yang akan beliau ambil? “Kalau ikutkan hati, saya nak saman malu. Mereka malukan saya.....Tapi, TIADA GUNANYA SAYA MEMANJANGKAN SENGKETA”. Ertinya dia reda apa yang berlaku dan tidak bermaksud untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka yang memusuhinya itu.


Alhamdulillah. Memberi maaf adalah sikap yang terpuji. Sebagai seorang manusia biasa saya biasanya tidak berani menasihat orang supaya bersabar. Sebab saya tidak yakin saya sendiri boleh bersabar bila ditimpa oleh musibah, walaupun tidak sebesar musibah yang menimpa orang saya berikan nasihat itu.

Apa yang ingin saya sebutkan ialah di masa itu saya sedang membaca novel DAUN PUN BERZIKIR karya Taufiqurrahman Al-Azizy, dan ketika rencana pendek ini diketip kemudiannya saya sudah pun selesai memabacanya. Sebenarnya novel itu telah lama benar berada dalam simpanan saya, tapi baru berkesempatan membacanya.

Novel menjalin kisah mengenai muda-mudi yang sedang mencari cinta. Watak utamanya seorang pemuda miskin tapi berhati cukup mulia, iaitu Haydar dari Desa Gagatan. Dan seorang pemuda lagi dari kota bernama Bram yang menurut novelisnya, “Perjalanan pencarian cinta yang panjang telah dilalui oleh Bram. Jiwa, harta dan air mata telah dikorbankan. Namun, hanya cinta kepada sang Rabb-lah yang dapat merobohkan hati kekasih yang beku. Sesungguhnya, cinta kepada-Nya jauh di atas segala cinta dunia”.


Pemuda Haydar ini amat malang nasibnya. Dia dihina lahir dan batin, Dicaci maki, di buruk-burukkan, di cerca dan difitnah dan dikatakan gila, kerana kemiskinannya. Tapi dia tetap sabar menerimanya, dan sedia memaafkan semua mereka yang menzalaminya itu.


Ketika menjelaskan sikapnya terhadap mereka itu, Haydar berkata, “Semoga Allah mengampuni orang yang bersalah. Semoga, Dia memberi kesabaran kepadaku dan kepada ibuku”.


Selepas sedar dari pengsan kerana dibelasah akibat fitnah yang jahat, beliau dinasihati pula oleh seorang tua, ayah seorang gadis bernama Nayla yang berdoakan untuknya dan doanya itu menydedarkan Haydar  dari pengsan.


Kata orang tua itu, “Berilah maaf kepada orang yang menyakitimu, Haydar. Bersabarlah atas ujian yang diberikan Allah kepadamu. Barang siapa bersabar, maka Allah akan memberi pertolongan kepadanya, sebab sabar adalah penolong. Bersabarlah dengan hatimu, sebab sabar akan menerbitkan cahaya di dalam hati. Tahanlah marah, sebab marah adalah nyala api neraka yang boleh membakar jiwamu”.


Selepas pondok usangnya dibakar menjadi abu kerana fitnah, ibunya Makcik Salamah masih memberi nasihat kepadanya supaya bersabar. Ujar ibunya, “Haydar. Kita memang sudah tidak punya gubuk lagi, tetapi cepat atau lambat, gubuk kita pasti musnah. Tidak ada yang kekal, kecuali wajah Allah, nak. Tidak ada yang abadi, kecuali DiriNya. Engkau bersedih, ibu pun berduka. Kita memang sudah tidak memiliki tempat tinggal, tapi setiap tempat adalah milik Allah. BERILAH MAAF KEPADA ORANG RAMAI YANG MEMFITNAHMU. Kuatkan hatimu, nak, agar hati ibumu ini juga kuat menerima ujian yang diberikan Allah..............Semua sudah diatur oleh Yang Maha Kuasa. Rumah kita telah musnah, semoga kecintaan kita kepada-Nya tidak musnah”.


Dan novel cinta fantasi ini berakhir dengan Haydar memberi kemaafan kepada semua orang yang telah menganiyanya, memfinahnya, mencaci makinya dan menyeksakan jasadnya. Alangkah indahnya kalau watak Haydar ini wujud dalam masyarakat kita di sepanjang masa. Alangkah cantiknya dan indahnya dunia ini, bila fiksi menjadi kenyataan.


Saya tidak berani menasihati sesiapa pun supaya mencontohi watak yang hebat ini. Saya belum pasti saya akan dapat bersabar sebegiitu rupa jika diuji oleh Allah. Harapkan dijauh.


“Wahai Tuhan kami. Jangan Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami”. Al-Baqarah: 286

Read more...

Waspadalah Penggembara Di Aidilfitri

>> Friday, August 9, 2013




WASPADALAH PENGGEMBARA DI ADILFITRI


Tidak seperti biasa tanah perkuburan Pohon Rambai, Kampung Salor, pagi Aidilfitri kelmarin kelihtan hidup. Kalau biasanya tidak begitu ada peminat, walaupun di hari Jumaat, tapi pagi kelmarin ia mendapat kunjungan mesra dari keluarga-keluarga yang telah berpergian terlebih dahulu dan disemadikan di tanah perkuburan itu.



Seperti lumrahnya pada setiap hari raya kami sekeluarga berada di perkuburan. Demikianlah pagi Aidilfitri kelmarin kami sekeluarga berangkat ke Kubur Pohon Rambai, Kedai Salor. Di situlah sebahagian besar daripda keluarga kami disemadikan. Datok, nenek, ibu, isteri, abang, bapak saudara, sepupu dan sebagainya.

Ketika kami sampai pagi kelmarin sudah ada penziarah-penziarah yang kelihatan baru sampai dan mengambil tempat di beberapa buah pusara yang berhampiran. Ada di antara mereka memulakan bacaan Yasin sebelum memanjatkan doa kepada Allah memohon ksejahteraan orang-orang yang dikasihi yang telah berpergian terlebih dahulu itu. Mereka terdiri daripada lelaki dan perempuan, tua dan muda serta juga kanak-kanak dengan berpakaian hari raya. Kunjungan mereka menghidupkan suasana perkuburan yang biasanya sepi pada hari-hari yang biasa itu, kecuali jika ada pengebumian jenazah.



Ketika kami sampai itu matahari telah agak tinggi di langit yang cerah. Bahan panasnya telah terasa membakar kulit. Mereka yang tidak tahan dengan bahang panas terpaksa berpayung ketika berada di pusara. Tapi kami amat bernasib baik, kerana pusara-pusara yang kami kunjungi hampir sepanjang hari terletak di bawah teduhan pokok-pokok yang melindunginya daripaa timpaaan cahaya matta hari yang membakar.

Demikian jugalah kami berharap mereka yang berada di sana akan sentiasa merasa berada dalam suasaana aman dan damai di bawah lindungan rahmat Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Demikianlah doa dan harapan kami sepanjang masa.

Kami juga berharap, semoga kunjungan berkala kami ke pusara ini dapat melembutkan hati kami yang keras membaja ini, dapat mencairkan hati kami yang beku disalut nafsu, dapat mencerahkan hati kami  yang hitam legam dibungkus oleh godaan syaitan yang tidak pernah mengenal penat dan lelah untuk memperdayakan setiap insan yang diulit oleh kelupaan dan kelalaian yang meracun hati dan jiwanya untuk menuju kebinasaan.


Semoga kunjungan ke kubur itu Allah melimpahkan kesedaran di hati kami dengan ingatan bahawa kematian itu suatu kepastian yang merupakan satu hakikat kepada setiap yang hidup. Lambat dan bangat ia mesti akan datang, melabuhkan tirainya, menutup kehidupan para insan. Justeru itu berpisah kerana kematian adalah suatu hakikat, satu kepastian  azali yang akan menimpakan kesedihan di hati mereka yang ditinggalkan. Mereka yang pergi mmendului itu mungkin ibu, mungkin ayah, mungkin suami, mungkin isteri, mungkin anak, mungkin sauadra-mara dan mungkin sesiapa sahaja yang jauh dan dekat di hati, dan tidak dikenali ataupun dikenali. Tiada ada siapa yang hidup, akan terlepas dari landaan kematian.

Sesungguhnya hidup ini hanya kembara dan kita adalah penggembaranya menuju ke sautu matlamat yang pasti, tapi tidak ada sesiapa pun mengetahui hakikatnya yang sebenar. Tidak ada jalan untuk berpatah balik dan undur ke belakang, kerana hidup ini hanya jalan sehala. Sekali kaki melangkah, kita terpaksa terus mengharung, baik kita suka atau tidak kita sukai sehingga sampai ke titik tertentu kita terpaksa berhenti secara mutlak. Justeri sebagai musafir kita terpkasa menyiapkan segala perbekalan yang mencukupi untuk menghdapai segala kemungkinan yang tidak kita ketahui.

“Setiap orang musafir mesti melengkapi perbekalannya. Siapkan amal dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada akan mendapat pahala atau seksa, sama ada senang atau susah”. Demikianlah nasihat Umar bin Abdul Aziz.


Seperti biasalah, setelah selesai urusan di perkuburan itu barulah kami memulakan langkah kembara Aidilfitri ke rumah saudara mara pada hari yang berbahagia itu. Bermaaf-maafan lahir dan batin. Memohon dan menghulur maaf. Semoga dipanjangkan usia dalam keadaan sihat dan afiat, beriman dan bertakwa dalam langkah-langkah suci menuju keredaan Allah SWT. selama hayat dikandung badan.

Sebelum kami betolak dari rumah, selepas solat Aidilfitri, Al-hamdulillah kami sempat melayan tetamu-tetamu yang berkunjung ke pondok kami di pagi Aidilfitri yang gema takbirnya menyejukkan hati dan jiwa raga. Semoga ketibaan mereka membawa rahmat yang berganda. Datanglah wahai makhluk-makhluk keredaan Allah membawa rahmat dan bahagia bersama kalian semua. Pondok kami sentiasa terkuak lebar untuk menyambut kalian.

Demikianlah kembara Aidilfitri kami sebagaiman biasa, bermula dari sejak hari pertama dan akan menysusl beberapa hari berikutnya ke rumah saudara-mara. Demikianlah semoga Allah merhamati kita semua dengan melimpah-ruahkan keredaan dan keampunan-Nya, dan dapat kita menikmati keindahan bulan Ramadan dan menyambut  ketibaan Aidilfitri yang mulia membawa seribu rahmat-Nya kini dan di tahun-tahun yang mendatang. Amin.




Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP