CIKGU ZUBAIDAH TELAH PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA

>> Sunday, December 25, 2016








CIK GU ZUBAIDAH TELAH PERGI.........





                                      cikgu zubaidah

Pagi Selasa, 20 Rabiulawal 1438 bersamaan dengan 20 Disember 2016 yang lalu saya menerima panggilan telefon yang mengejutkan.





Dihujung sana, kdengaran suara abagn ipar saya, dengan suara bergetar memberitahu sesuatu yang amat mengejutkan. Bertia yang membuat saya terpaku mendengarnya.

Abang ipar saya, Abdul Rahman Awang Besar memberitakan, isterinya, iaitu kakak saya Zubaidah Saleh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.

Waktu itu kira-kira pukul lapan pagi. Beliau tidak dapat mempstikan dengan tepat pukul berapakah kakak saya itu mengehmbus akhirnya.

Sebelum itu, kakak saya merasa letih dan beliau menasihatkannya supaya berihat sementara dia mencari makan pagi di kedai.

Tapi bila dia balik, dan mengejutkan isterinya untuk makan pagi yang dibelinya itu, beliau dapati isterinya sudah tidak bernafas lagi.

Saya pun amat terkejut mendengar berita itu, kerana kami tidak pernah mendengar Allahyarhmah sakit yang membawa kepada kematiannya itu.

Tapi saya segera sedar itulah haikat hidup, sebagai hamba Allah, sesiapa sahaja, bila-bila masa sahaja, dan di mana sahaja tanpa mengira waktu, tempat, usia, sakit atau sihat boleh dijemput Allah kembali ke pangkuanNya.





Justeru itulah kita selalu digesa supaya sentiasa dalam berjaga-jaga dengan amal soleh dan kebajikan untuk menghadapiNya bila dijemput nanti yang tidak dapat dipsatika bila dan di mana.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali!

Allahyarhman Zubaidah meninggalkan dua orang cahayamata, seorang putera, Azlan binAbdul Rahman, dan seorang puteri, Armawati bte Abdul Rahman serta beberapa orang cucu.

Beliau meninggalkan dalam usia 76 tahun, dan sesbelumnya berkhidmat sebagai seorang pendidik, dan aktif bergiat dalam kebajikan masyarakat.

Justeru selama beliau berkhidmat berpuluh-puluh tahun itu seudah tentu beliau mempunyai ribuan anak murid yang bertaburan di seluruh negara.

Dalam masyarakat seharian beliau dikenali dengan panggilan “Cik Gu Zubaidah”, tapi kepada mereka berdamping atau berurusan dengannya memanggilnya “Kak Dah”.

Beliau seorang yang peramah, mudah bertegur sapa, dan seorang yang pemurah.

Dengan pemergian beliau itu, bererti tiga orang saudara kami telah kembali ke sisi Allah, termasuk dua orang lagi, iaitu Sofiah dan Ariffin yang telah pergi mendului semuanya. Dan kini kami masih mempunyai enam orang adik beradik, daripada sembilan orang adik beradik semuanya.

Ayahanda kami, Saleh bin Hj. Muhammad meninggal di Makkah untuk menunai ibadat Haji, kra-kira empat puluh tahun yang lalu, sementara ibu saya, Maimunah bte Ismail meninggal kira-kira dua dekad yang lalu dan dikebumikan di tanah perkuburan Pohon Rambai, Salor, di mana keluarga kami dikebum ikan.



                          Bersama Suami Cik Gu Man Di Tanah Suci


Isteri saya Asiah Yaacob, meninggal dunia beberapa tahun yang lalu di tanah perkuburan itu juga dikebumikan.

Ya Allah, tempatkanlah Kak Dah dan semua mereka yang telah kembali ke Rahmatulah iyiu di kalangan orang-orang Mukmin yang suci dan mulia di sisiMu, dan cucurilah sentiasa RahmatMu ke atas mereka.

Catatan Kematian

Masuk Syurga:

A]
“Sesiapa yang berkebetilan matinya:
Selepas selesai Ramadhan, maka dia masuk Syurga;

Sesiapa yang berkebetulan matinya selepas selesai Arafah, maka dia masuk Syurga;

Dan sesiapa yang berkebeulan matinya seleaps bersedekah, maka dia masuk Syurga”. Sabda Junjungan.

B]
Langit Menangisi Kematian Orang Mukmin:
“Setiap manusia mempunyai dua pintu di Langit:

Satu pintun ialah tempat amalannya naik

Dan satu pintu lagi ialah tempat rezekinyan turun”.

Apabila matilah hamba itu [Mukmin] maka kedua-dua pintu itu menangisi kematiannya”.-Sabda Junjungan.

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.



Read more...

NABI MUHAMMAD SAW CAHAYA BUANA

>> Thursday, December 22, 2016




NABI MUHAMMAD SAW CAHAYA BUANA



Dan Kami tidak  utuskan [Muhammad], melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam,”. –Al-Anbia' 107.


Saban tahun, tanggal 12 Rabiul awal, umat Islam di seluruh dunia, mengadakan perayaan menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, yang dipenuhi dengan aneka cara yang difikirkan dapat memberi manfat kepada seluruh umat Islam, seperti meganjurkan ceramah-ceramah, membaca kisah-kisah perjuangan Nabi SAW dalam perjuangannya untuk menegakkan Ke Tuhanan dan ketaqwaan kepada Allah dan berbagai-bagai bentuk persembahan yang menarik lagi.


Walaupun sambutan Maulid Al-Rasul  yang diadakan setiap tahun itu, tidak ada kaitan dengan ajaran syariah, demikian juga dengan tarikh kewafatan baginda pada 12 Rabiulawal 11 Hijriah, tapi tanggal kelahiran baginda adalah memberi petanda yang amat besar akan musnahnya kezaliman, akan runtuhnya kemungkaran, dan akan leburnya segala lambang kedurhakaan yang bermaharajalela sebelum itu, dan seterusnya akan bangkit suatu kekuasaaan murni yang berasaskan tauhid.


Dan dengan menyusuri kembali liku-liku sejarah perjuangan hidup  baginda itu adalah diharapkan menjadi contoh dan tauladan yang akan mencetuskan semangat yang lebih mantap dan waja serta berkobar-kobar untuk mempertingkatkan lagi syiar Islam dan menegakkan kalimah tauhid di seluruh alam buana ini, tanpa menghiraukan ranjau-ranjau  yang menghalang lorong-lorong dan liku-liku yang ditempuhi, sehingga tertegaknya panji-panji keIslaman yang murni.


Dan dengan mengingati kembali keperibadian Nabi SAW yang tidak ada tanding taranya itu, dengan akhlaknya, budi pekertinya, kepimpinannya, amal ibadatnya, dan segala-galanya tentang baginda semoga dapat  menggerakkan kita melaksanakan usaha yang lebih dinamis dan gigih untuk memperbaiki keimanan, akhlak dan budi pekerti kita yang kini nerada dalam kegawatan kerana digugat dan dicongcang oleh berbagai-bagai cabaran dan fitnah keimanan yang sentiasa membawa dan menabur kuman-kuman berbisa untuk membinasakan akidah umat Islam.


Menerusi Risalah baginda sebagai Rasulullah SAW, Allah telah menurunkan perngajaran-pengajaran cara hidup yang sempurna di muka bumi ini, dan menunjukkan cara yang sewajarnya untuk kembali kepada Allah yang Maha Pencipta. Walaupun baginda telah wafat, risalah baginda yang telah berjaya membuka mata dan telinga, serta menyinar pengelihatan minda dan akal budi, terus kekal dalam keadaaan baik dan tulin serta sempurna terrsimpan kukuh dalam Kitabullah dan As-Sunnah.


Risalah yang dibawa oleh baginda SAW merupakan revolusi insaniah yang meliputi seluruh jasmani dan rohani, mental dan fizikal dan spiritual yang teragung yang pernah dikenali umat manusia. Risalah yang dibawa oleh baginda ialah Ketahuidan yang murni dan tinggi yang mempunyai kesan dan pengaruh yang terbesar terhadap seluruh kehidupan manusia, meresapi ke dalam lubuk hati dan jiwa mereka dengan kuat dan utuh yang terus berkekalan di sepanjang zaman, turun temurun sampai ke akhir zaman.


Dengan tauhid yang seperti ini, mereka hidup dengan penuh semangat, dan bebas daripada perasaan ketakutan dan tidak merasa rendah diri terhadap sesuatu yang tidak wajar sama sekali digeruni, kerana hanya Allah SWT sahaja yang patut ditakuti, dan dicari kemuliaan di sisinya, menerusi iman dan taqwa. Maka dengan itu runtuhlah segala tuhan-tuhan palsu yang begitu bermaharajalela pada zaman tersebut.


Risalah yang dibawa oleh baginda itu tidaklah mengajar manusia supaya semata-mata menumpukan perhatian untuk hidup tanpa mengira arah dan tujuan, halal atau haram dalam memburu kesenangan dan kenikmatan dunia yang fana ini. Tapi sebaliknya risalah baginda mengajar manusia dengan akidah yang mengatur hidupnya dalam hubungan dengan Allah, di mana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan untuk mencapai kesempurnaan hidup, supaya manusia memperolehi kebahagian di dunia dan berbahagia di akhirat. Inilah risalah penting yang dibawa oleh baginda untuk hiudp di bawah sinar wahyu Ilahi, dan mendapat keredaan-Nya yang menjadi matlamat hidup seluruh umat manusia.


Allah berfirman, maksudnya:
“Katakanlah, sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku, lain tidak, ialah bahawa tidak ada Tuhan lain, melainkan Tuhan Yang Esa”. Al-Anbia':108.


Ini adalah rahmat risalah Nabi Muhammad SAW yang paling besar, iaitu rahmat aqidah, mengaku, “Tidak ada Tuhan lain yang disembah, melainkan Allah” yang tunggal, dan tiada sekutu bagiNya, iaitu ajaran yang menjadi asas kepada seluruh kehidupan umat manusia, di mana Allah sahaja yang wajib disembah dan kepadaNya kita semua berbakti.


Tauhid adalah seumpama tapak kepada sesebuah binaan, maka jika tapak itu lembek, maka akan runtuhlah binaan itu. Dengan tauhid itu, maka manusia tidak lagi berada dalam kegelapan, menyembah berhala-hala, pokok-pokok, busut-busut, dan semangat-semangat yang mereka anggap berkuasa, dan dapat memberi bekas atau kesan kepada mereka.


Sesungguhnya hidup dan mati manusia adalah kerana Allah. Baginda mengumumkan perkara tersebut dengan ayat suci al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguh solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan semesta Alam”.Al-An’am:162.


Menyatukan Dunia Dan Akhirat

Selain daripada menyampaikan risalah mentauhidkan Allah, baginda juga menyampaikan risalah menutup jurang yang luas antara agama dan dunia, yang sebelumnya diwujdukan dengan pergisiran yang sengit antara keduanya.


Risalah yang dibawa oleh baginda tidak memisahkan antara dunia dan akhirat, malah kedua-duanya dipertemukan kembali dalam satu ikatan kasih sayang yang murni yang tanpa dapat dipisah-pisahkan lagi. Risalah yang dibawa oleh baginda ialah kesatuan antara rohani dan jasmani, bukannya dengan jalan mendera jasmani untuk mencapai ketinggian rohani, ataupun sebaliknya  melupakan rohani, untuk mencapai kelazatan jasmani.


Baginda SAW mengajar umat mnusia dengan sebaris doa yang pada umumnya memberi erti yang amat besar untuk mencapai kebahagian khidup  manusia di dunia dan juga di akhirat.


Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari seksa neraka”.-Al-Baqarah:201.


Sedangkan agama-agama lain, khususnya Kristian telah memisahkan kehidupan dunia dari akhirat, di mana di satu pihak terletak barisan kepimpinan agama, yang terdiri dari wewenang gereja, dan di satu pihak lagi terletak barisan kepimpinan dunia, yang terdiri daripada cendakiawan.


Maka seterusnya lahirlah apa yang dikatakan politik suku, agama suku. Kedua-duanya dipisahkan oleh tembok yang amat tinggi. Akhirnya permusuhan yang sengit telah meledak di antara kedua golongan itu, iaitu pemimpin dunia hanya untuk dunia sahaja, sementara pemimpin akhirat untuk akhirat sahaja.


Dalam suasana seperti itu, mereka yang inginkan kesenangan dunia, hanya bekerja untuk dunia, dan melupakan akhirat, dan sebaliknya kepada mereka yang inginkan kesenangan akhirat pula, mereka hanya berusaha untuk akhirat dan melupakan segala kepentingan dunia, termasuk hidup cara kependetaan, tanpa isteri, anak dan keduniaan yang dianggap hina ini.


Dalam pertarungan sengit ini, para cendakiawan sudah tentu memilih dunia dari akhirat, dan merelakan diri mereka dengan dunia, tanpa menperdulikan akhirat. Akhirnya kebanyakan mereka yang memegang tampuk kekuasaan dunia, terus meninggalkan agama dan memberontak  terhadap wewenangan gereja, dan langsung memisahkan diri mereka dari agama.


Risalah yang dibawa oleh Baginda SAW memberi petunjuk kepada umat manusia jalan yang harus mereka tempoh untuk mencapai kebahagian sebenarnya, dan menunjukkan tempat di mana mereka seharusnya berada, sedangkan sebelumnya manusia tidak mengetahui ke mana arah tujuan hidup mereka yang sebenarnya.


Mereka hidup dalam kesesatan. Kebanyakan mereka hanyut dalam kemewahan dan kelazatan hidup dunia yang menjadi tujuan dan matlamat hidup mereka, dan tenggelam dalam lautan hiburan yang melekakan. Mereka hidup persis haiwan, malah ada yang lebih hina dari haiwan yang merangkak di bumi.  Di mana ada di antaranya kerana kepentingan dunia, merelakan diri  mereka berkorban kepada kepada para pemimpin mereka, berkorban apa sahaja, termasuk maruah dan harga diri sekalipun, semata-mata untuk mendampingkan diri mereka pemimpin-pemimpin keduniaan yang telah sesat itu.


Risalah yang dibawa boleh baginda menjadi tamparan hebat kepada mereka semua untuk kembali ke pangkal jalan, di mana setiap usaha perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan dengan niat untuk mendapat keredaan Allah semata-mata.


Persaudaraan

Risalah Rasulullah SAW membina dasar persaudaraan yang canggih dan meliputi seluruh alam, yang menghapuskan segala kasta, dan sifat-sifat keakuan yang tidak terbatas, dan mewujudkan sifat “kekamian”, maka dengan itu setiap individu berfikir dan bergerak dengan semangat dan jiwa “kekamian” ataupun kemasyarakatan dan berusaha dan bertindak demi kepentingan bersama. Tidak ada siapa memandang dirinya lebih mulia dan lebih unggul dari pihak yang lain, justeru itu hidup meminggirkan diri dari masyarakat, tapi mereka hidup bersama, jatuh dan bangun bersama-sama, tanpa nafsu-nafsi dan bersifat individualistik.


Persaudaran yang berlandaskan “kekitaan” seperti ini telah berjaya menghapuskan semangat kefanitakan, dan kesukuan yang subur di zaman jahiliah, dan tidak ada lagi pengabdian kepada selian dari Allah, maka hancurlah segala bentuk pendewaan yang bersumberkan keturunan, warna kulit, baka atau semangat kebangsaan yang sempit, kerana persaudaran seagama mengatasi segala-galanya, dan lebih kental daripada persaudaraan kerana pertalian suku dan darah. Persaudaraan sejagat yang unggul seperti ini tidak akan cambah dan subur dalam sebuah masyarakat yang dungu, durjana, bejat dan tidak beriman.


Malah persaudaran yang unggul seperti ini, hanya tumbuh dengan sendiri, tanpa di paksa-paksa  oleh peraturan dan undang-undang, atau adat resam, kerana ianya bercambah dalam hati dan minda manusia yang telah bebas dari cengkaman keakuan dan kerendahan budi pekerti. Andainya semangat keakuan masih utuh, maka persaudaraan sejati seperti ini tidak akan cambah, sebaliknya yang akan lahir ialah semangat mementingkan diri sendiri, keluarga sendiri, anak pinak sendiri, kroni dan suku sakat sendiri atau nepotism.


Baginda adalah manusia yang julung-julung kali di dunia, secara lantang, terbuka dan tegas mengumumkan risalah persaudaraan dan persamaan antara sesama manusia, sesudah sekian lama fahaman keakuan atau individualistik mencengkam seluruh dunia, dalam kehidupan yang berpecah-belah, berlandaskan rupa bangsa, suku sakat, kaum kerabat dan puak-juak, dan hidup dalam perseteruan yang sengit antara sama lain, tanpa ada setitis pun fikiran atau usaha untuk menyatukannya dalam sebuah persaudaraaan sejagat seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW itu.


Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat, ayat 13, maksudnya:
“Wahai manusia, sungguh Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. Al-Hujuraat:13.


Ayat yang mulia itu mengalir dari lidah baginda, ketika baginda berdiri di tengah-tengah ratusan ribu jemaah haji di puncak Jabal Rahmat, di Padang Arafah ketika baginda membaca khutbah wad’ dalam melaksanakan ibadah haji baginda yang terakhir. Ayat-ayat ini mengejutkan seluruh alam, seolah-olah ledakan gempa bumi yang kuat yang mengeggarkan seluruh alam dunia, dengan gemanya yang berkekalan sepanjang zaman, meresap ke lubuk hati dan jiwa umat manusia.


Sebelum baginda telah banyak Rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT, tapi risalahnya adalah terbatas kepada kelompok atau lingkungan wilayah di mana mereka diutuskan, dan itupun dalam masa yang terdekat sepanjang hayat mereka, kemudian hilang kembali, dan berikutnya diutuskan pula Rasul-rasul yang lain silih berganti, hingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir yang menutup segala zaman.


Baginda diutuskan untuk menyampai risalah dalam skop yang amat luas, untuk ke seluruh alam buana ini, persis matahari yang cahayanya menjadi sumber kehidupan kepada seluruh alam raya, menyatukan umat manusia dalam lingkungan persaudaran sejagat, yang merupakan rahmat kepada sluruh alam, iaitu persatuan yang tidak mengenal keturunan, rupa bangsa atau iklim, dan hidup berasaskan setaraf di bawah panji-panji keislaman yang semata-mata mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Allah berfirman dalam Surah al-Anbia', ayat 92, maksudnya:
“Dan sesungguhnya inilah agama kamu, agama yang satu, Aku Tuhanmu, maka berabdilah kamu kepadaku”. –al-Anbia':92.


Inilah adalah sebahagian daripada rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Seterusnya Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, maksudnya:
“Demi sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi orang yang sentiasa mengharapkan [keredaan] Allah dan [balasan baik] hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak”. Al-Ahzab:21


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.





Read more...

MENTADAK ANTARA SAYANG DAN BENCI

>> Thursday, November 24, 2016






MENTADAK:ANTARA SAYANG DAN BENCI

Mentadak adalah sejenis serangga, tapi tidak begitu populer di sesetengah tempat, keRana sukar untuk menemuinya, tidak seperti belalang, semut dan seumpamanya.



              Mentadak-Emakmu Tidur Macam Mana?

Kira-kira sebulan lepas saya terbaca sebuah artikel pendek mengenai mentadak yang tersiar dalam sebuah majalah luar negara. Usia majalah itupun telah bertahun-tahun berlalu.

Dalam tulisan singkatnya, seorang lelaki Barat menceritakan bagaimana dia tertarik hati dengan mentadak dan memeliharanya dengan penuh kesayangan. Mentadak itu diletakkan dalam sebuah sangkar khusus, diberikan makan dan dilayan dengan sebaik-baiknya setiap hari.

Katanya setiap hari dia melayan mentadak itu dengan bnaik, melihat dan memerhati gerak gerinya yang menarik dan “berkomunikasi” dengannya?

Katanya dia terpesona dengan tingkah laku mentadak peliharaannya itu dan katanya, kadang-kadang menonjolkan sikap lebih baik dari sikap sesetengah manusia yang pernah ditemuinya.

Sayangnya majalah tersebut tidak dapat saya temui hari ini kerana mungkin berada dalam timbunan majalah-majalah lama yang masih belum terurus dengan baik di rumah saya. Justeru saya tidak dapat memungut dengan agak detail apa yang diujarnya tentang mentadak, makhluk kecil ciptaan Allah ini.

Sesungguhnya semua makhluk adalah ciptaan Allah, baik kecil atau besar. Allah berfirman, “Dan tidak ada seekor binatang pun yang ada dibumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sasyapnya, melainkan semunya merupakan umat-umat [juga] sseperti kamu. Tidak ada sesuatu pun yang Kami luputkan di daslam Kitab, kemudian kepada Tuhan mereka dikumpulkan”.Al-An’Am [6]:38.


Tapi dua tiga hari yang lepas, ketika saya sedang sarapan pagi sendirian, salah seorang cucu saya, N.Syyafia datang dan duduk di seblah saya sedang makan. Dia hanya melayan saya berbual-bual sepatah dua ketika saya makan. Memang begitu kebiasaannyanya suka berbual-bual ketika saya makan, malah suka pula makan bersama saya jika saya makan sendirian dengan membawa makanannya ke meja tempat saya makan.

Tiba-tiba ketika dia asyik bercakap-cakap sambil memerhati saya makan itu, dia memekek dan melolong ketakutan, dengan badannya mengiggil.

“He takut! Takut!”, serunya sambil   menyapu dengan kuat lengan bajunya yang pendek.

Ibunya yang kebetulan berada tidak berapa jauh dari situ segera menghampirinya yang telah pun berdiri sambil menjerit-jerit ketakutan itu.

“Apa ni?”, katanya sambil memereksa lengan anak perempuannya itu.

“Allah mak, mentadak. Ia tidak gigit orang”, lalu  mengkebas mentadak itu dari lengan anaknya.

Walaupun mentadak telah lesap entah ke mana tapi cucu saya itu masih dalam truma ketakutan, dan menangis terisak-isak, walaupun dipujuk oleh ibunya yang tersenyum melihat telatah anaknya itu.

Walau bagaimanapun akhiryang dia tenang kembali, dan isak tangisnya pun mulai mereda dan menghilang. Kemudian saya panggil dia duduk di sebelah saya atas kerusi dan memeluknya untuk memberi keyakinan tidak ada apa-apa bahaya yang akan menimpanhya.

Dan berharap dia tidak lagi akan takut di masa akan datang bila melihat dan dihampiri mentadak.
Demikianlah dua kisah mengenai mentadak yang berbeza-beza antara sayang dan benci ketakutan, dari jenis manusia yang juah berbeza bangsa dan usianya.

Saya lalu terkenang semasa saya kanak-kanak dulu, jika kami menemui mentadak, biasanya di atas rumah, kami tidak akan melepas kesempatan untuk bergurau dengannya.



                             Syyfia dan Alifah

Maka berlakulah komunikasi antara kami dengan mentadak yang dipercayai dapat memahami apa yang kami, kanak-kanak ucapkan kepadanya.

Seringnya kami akan bertanya kepada mentadak, “Mentadak-mentadak bagaimana emak kamu tidur?”, atau “Mentadak-mentadak bagaimana ayah kamu tidur”.

Pertanyaan itu akan diulang berkali-kali sehingga kami merasa ia telah menjawab dengan gerak gerinya.

Gerak geri mentadak secara kebetulan itu yang kami anggap dia telah menjawab pertanyaan kami, “Ha tengok tu dia dah beritahu bagaimana emak dia tidur”.

Kemudian kami bertanya lagi mengenai ayahnya, saudara-saudaranya,  semunya pertanyaan mengenai bagaimana mereka tidur.

Selepas itu kami biarkan dia berlalu, tanpa mengusiknya atau menganggunya.

Demikianlah kisah kami di zaman kecil dengan mentadak yang masih menjadi kenangan yang menyenangkan hingga sekarang.

Wallahu’aklam.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.


 





Read more...

ALAHAI SITI RAHMAH

>> Monday, November 21, 2016






ALAHAI SITI RAHMAH





                           Rahmah bersama atoknya


Generasi-generasi kita yang baru lalu biasanya memilih nama-nama yang tertentu untuk anak-anak mereka yang baru lahir, baik untuk anak-anak lelaki ataupun anak-anak perempuan, iaitu nama-nama yang difikir baik dan mudah pada sebutannya.


Antara nama-nama nama anak perempuan ialah yang populer di kalangan orang-orang kedesaan ialah RAHMAH. Orang Kelantan menyebutnya “Romah” atau “Cik Romah” supaya kedengaran lebih bersopan. Di kampung saya dulu ada beberapa wantia dan gadis yang bernama Rahmah, ada di antaranya masih lagi hidup sampai sekarang.


Sebaliknya pula untuk nama-nama  anak-anak lelaki dipilihnya nama Rahmat. Tapi seingat-ingat saya di kampung saya, sampai sekarang masih belum ada orang lelaki yang bernama Rahmat, walaupun yang perempuannya ada beberapa orang bernama Rahmah.


Kenapa nama Rahmah menjadi pilihan?


Saya terpanggil untuk meninjau sedikit nama Rahmah, bila cucuanda saya “Angah” disarankan menukar namanya kepada nama tersebut, dan telah dipersetujui oleh beliau dan keluarga. Tapi bila pertukaran itu diangkat ke Jabatan Pendaftaran Negara dengan sokongan pihak berkuasa agama ianya telah ditolak. Namun begitu nama panggilan biasanya tetap Rahmah, walaupun nama kad pengenalan tidak berubah. Semoga nama Rahmah akan membawa lebih keberkatan.


Kenapakah nama Rahmah menjadi pilihan. Adakah ia hanya secara kebetulan yang diambil daripada perkataan Arab atau ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik nama itu?


Apa ada pada nama?


Sejauh yang saya ketahui, dan seterusnya saya kutip dan kumpul di sini secara ringkas untuk dikongsi bersama mengenai nama Rahmah. Semoga memberi manfaat jua.


Rahmah ialah nama salah seorang wanita yang agung dalam sejarah kemanusiaan, yang tidak mungkin akan dilupai oleh sesiapa yang mengetahuinya, kerana peranannya begitu besar sebagai seorang insan yang mulia hati dan jiwanya.


Mengikut riwayat Rahmah yang dimaksudkan ialah isteri kepada Nabi Ayyub as. Yang begitu besar mendapat ujian dari Allah untuk menguji keperkasaan iman Ayyub menerusi Iblis yang mendapat keizinan-Nya.


Beliau menderita penyakit yang terlalu kronik yang mengikut kebiasaannya tidak ada harapan lagi untuk sembuh, menghadapi acaman kebuluran, di samping itu semua empat belas orang anak-anaknya telah mati dalam kemalangan yang dicetuskan oleh Iblis untuk menjalankan misi jahatnya merosakkan keimanan Ayyub kepada Allah. Namun Ayyub tidak berdegis, tidak  berganjak sedikit pun dari keimanannya yang utuh  kepada Allah SWT.


Seluruh jasad Ayyub, dari kepala sampai ke kaki dinaiki  kudis yang bernanah dan berulat. Amat menakut dan menjijikkan.


Justeru itu semua saudara maranya tidak lagi sudi menghampirinya, malah mereka menjauhkan diri darinya dengan penuh kejijikan dan kebencian.


Pada waktu itu Ayyub mempunyai tiga orang isteri. Akibat penyakit yang dieritanya itu dua daripada isterinya itu minta diceraikan, dan Ayyub memenuhi permohonan mereka.


Seorang isteri lagi yang berhati mulia, namanya Rahmah tidak minta diceraikan, malah tetap setia bersama Ayyub. Beliaulah yang merawat dan melayan Ayyub sepanjang beliau menderita kesakitaan yang sesetengah riwayat mengatakan selama lapan belas tahun lamanya.


Orang-orang tempatan pula kerana terlalu bencikan Ayyub dan gentar penyakit Ayyub itu akan menular kepada anak-anak mereka lalu meminta isterinya Rahmah membawa Ayyub segera meninggalkan tempat itu.


Kata mereka kalau Rahmah tidak segera membawa Ayyub pergi mereka akan beraramai-ramai mengusirnya dari situ.


Rahmah isteri yang setia itu tidak ada pilihan lagi, lalu mengkendung suami atas punggungnya sambil menangis lalu segera meninggalkan tempat tinggalnya itu dengan hati berkecai penuh kepiluan dan genangan air mata yang mencurah keluar.


Dalam pelarian yang penuh dengan keharuan itu, mereka bertemu dengan sebuah  bangunan runtuh yang telah digunakan oleh penduduk sebagai tempat pembuangan sampah. Tanpa pilihan Rahmah meletakkan suaminya atas timbunan sampah-sampah itu untuk berhenti.


Tapi orang ramai yang melihat mereka berdua berada di situ mereka sangat marah, dan memaksa Rahmah supaya segera membawa Ayyub berhambus dari situ.


“Kalau kamu tidak segera membawanya pergi, kami akan lepaskan anjing-anjing kami untuk memakan suamimu itu”, Ancaman keras mereka.


Mahu tidak mahu Rahmh segera mengkendung suaminya dan berlalu dari situ dengan isak dan tangis yang berpanjangan mengenangkan nasib yang menimpa mereka.


Bila sampai di suatu persimpangan jalan, Rahmah berhenti, kemudian beliau membina sebuah rumah dari kayu untuk tempat tinggal mereka. Beliau mengambil batu-batu untuk dijadikan semacam kerusi tempat suaminya bersandar, dan mengutip sejenis dulang yang digunakan untuk makan hewan ternakan  untuk kegunaan mereka.


Rahmah pergi ke seluruh kampung mencari pekerjaan dan akhirnya bekerja sebagai pemotong roti untuk menampung makan suaminya yang tidak berdaya langsung lagi itu.


Tapi bila orang-orang kampung itu mengetahui beliau adalah isteri kepada Ayyub mereka enggan lagi memberi bantuan kepadanya dan menghalau dia pergi, dan tukang roti juga enggan mengambilnya bekerja lagi.


Rahmah yang berhati kemanusiaan itu, lalu pergi berjumpa dengan isteri tukang roti, dan merayu berhutang sedikit roti untuk diberi makan kepada suaminya Ayyub yang sedang kelaparan itu.


Pada mula-mulanya, wanita, isteri tukang roti itu menghalau Rahmah daripada mendekatiunya, kerana takut dilihatt oleh suaminya dan dia dimarahi nanti.


Tapi kemudiannya, dia menukar fikiran, bila melihat jalinan-jalian rambut yang cantik yang terdapat di kepala Rahmah. Dia meminta Rahmah memotong satu daripada ikatan jalinan rambutnya itu untuk ditukarkan dengan roti.

Rahmah mempunyai dua belas jalinan rambut yang cantik di atas kepalanya, dan rambut itu panjang sampai meleret ke tanah. Dan ini menambahkan lagi kecantikan wajahnya yang memang sedia cantik itu, yang diwarisi dari kecantikan turunan Nabi Yusof as. Dan Ayyub sangat sukakan jalinan-jalinan rambut isterinya yang begitu menawan itu.


Rahmah tanpa berfikir panjang, lalu menggunting semua jalinan rambutnya, dan menukarnya dengan empat buku roti untuk diberi makan kepada suaminya.


Bila melihat roti yang dibawa oleh isterinya dan kepalanya telah gondol dari jalinan-jalinannya yang cantik itu,  lalu timbul salah sangka dan marah kepada isterinya yang setia itu. Beliau lalu terlanjur bersumpah akan merotan isterinya seratus kali bila beliau sihat nanti.


Setelah mengetahui keadaan yang sebenarnya sebagaimana diberitahu oleh isterinya, beliau menangis kesedihan kerana terlanjur melepas sumpah ke atas isterinya yang begitu perihatin terhdap nasibnya itu.


Bila Ayyub benar-benar sembuh dari penyakitnya itu beliau amat keberatan untuk menunaikan sumpah merotan seratus kali isterinya yang amat pengasih, penyayang dan setia itu.

Maka Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Penyayang membuka jalan keluar kepada hamba-Nya yang beriman. Allah berfirman dalam al-Quran, “Dan ambillah seikat [rumput]  dengan tanganmu, lalu pukullah dengan itu, dan janganlah engkau melanggar sumpahmu.Sesungguhnya Kami dapati dia [Ayyub] seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sungguh dia sangat taat [kepada Allah]”- Shad 44.


Sementara itu isterinya memujuk Ayyub supaya tidak bersedih kerana rambutnya itu pasti akan tumbuh lagi dengan lebih baik.


Rahmah lalu duduk di sisi Ayyub, memotong roti itu dan menyuapi suaminya dengan penuh kasih sayang.


Demikian wanita yang bernama Rahmah ini menjaga suaminya selama berbelas-belas tahun sehingga beliau sembuh kembali dengan izin Allah SWT.


Demikianlah Rahmah, seorang wanita yang begitu agung kemanusiaannya dalam seluruh sejarah kemanusiaan.


Dalam keadaan suaminyha menderita kesakitan Rahmah menegaskan, “Jangan kanda bimbang, adikanda tidak akan meninggalkan kanda selagi hayat dikandung badan”.


Adakah wanita-wanita seperti ini mulia hatinya? Mungkin ada di mana-mana, tapi kita tidak menyedari atau mengetahuinya kerana kesibukan diri sendiri.



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP