Showing posts with label Analisis. Show all posts
Showing posts with label Analisis. Show all posts

KEHIDUPAN DI ZAMAN MODERN, PEMUDA PEMUDI DALAM KERUNTUHAN BUDI

>> Wednesday, April 18, 2018




KEHIDUPAN DI ZAMAN MODEN, PEMUDA PEMUDI DALAM KERUNTUHAN BUDI




KINI Zaman Modern. “Sputnik” atau zaman manusia mahu naik ke bulan. Apa tujuan mereka  hendak naik ke bulan tidak kita tuliskan di sini, yang hendak kita katakan  ialah zaman ini manusia berusaha hendak naik ke bulan.

Manusia bermula dari zaman batu, zaman besi dan kini zaman modern. Umur dunia ini mengikut ilmu sains sudash 2 ribu milion tahun lebih. Oleh itu manusia maskin sehari main maju, makin pandai.

Dalam zaman baru, manusia semuanya mahu baru. Dari sekecil kecilnya  hingga sebesasr besarnya. Bermula dari makan, minum, pakaian, penghiburan, adat resam dan segala galanya mahu diperbaharu, yang modern dipermodernkan lagi.  Kerana terkejar kejarkan modern manusia jadi gila.

Perkataan “modern” bukannya perkataan Melayu jati.  Terjemahan yang tepatnya ialah “baru” atau “baharu”. Kalau dikatakan zaman modern tidak salah juga dikatakan “zaman baru”, tapi kerana masyarakat Melayu menganggap perkataan “baru”  tidak baru lagi lalu dipermodernkan  dengan dipakai “modern”.
Masyarakat Melayu belum puas dengan perkataan “modern” lalu dipermodernkan lagi. Zaman ini dipanggil pula “Zaman Septunik”. Sepuluh tahun lagi “Zaman Septunik”  akan berubah pula menjadi zaman “Sepunik”. Ini kemungkinan kalau orang orang Eropah mahu naik ke bintang dengan kenaikan yang dipanggil “Sepunik” dan orang kita akan memanggil “Zaman Sepunik”.

Manusia modern berusaha pula mempermodernkan dunia.

Mengejar modern memang bagus tapi bukan di semua tempat. Umpamanya kita tidak dapat mempermodernkan perkara perkara yang mengenai ibadat.

Penyakit Gila Modern

Dalam dunia hari ini ada bermacam macam penyakit. Ada penyakit kurap, penyakit panau, penyakit kudis, penyakit gila dan lain lain lagi. Gila ada macam macam pula, ada gila betina, ada gila babi, aga gila thalak, ada gila meriam, ada gila baka, dan gila yang paling baru “Gila Modern”.

Dalam masyarakat kita yang banyak terkena penyakit jenis gila ini ialah pemuda pemudi. Boleh dikatakan 90 peratus daripada pemuda pemudi kita yang terkena penyakit ini.

Penyakit gila babi, gila meriam, gila baka ada dukun dan hospitalnya. Tapi dalam dunia ini tidak ada hospital untuk orang “Gila Modern”.

Saya berharap tidak berapa lagi manusia akan mereka hospital untuk orang orang yang “Gila Modern”.

Penyakit ini mudah berjangkit pada orang orang yang suka meniru niru, tak hairanlah kita kalau pemuda pemudi kita mudah meniru, kerana dari ibu bapa mereka lagi suka meniru.

Penyakit “Gila Modern” ini amat merbahaya sekali. Di dalam masyarakat kita sekarang di mana mana kita dapat melihat kurban kurban penyakit ini.

Gadis gadis lari dari ibu bapa kerana menurut jejaka pilihan hatinya sudah perkara biasa.

Acap kali berlaku wanita melahirkan anak  dengan tidak mempunyai bapa bapa yang syah. Kadang kadang anak itu dilempar ke dalam longkang atau dimasukkan ke dalam tong dan dihanyutkan ke sungai.

Untuk mengelakkan pembunuhan anak anak mengapa kerajaan tidak mengadakan rumah rumah untuk wanita wanita meletak anak yang tidak mempunyai bapa yang syah sebagaimana yang dibuat oleh negerinnegeri barat. Mungkin anak anak itu menguntungkan kerajaan pula.

Pertunjukan tarian bogel, separuh bogel, telanjang bulat telah ditunjukkan dan mendapat sambutan hangat. Dan kerajaan pula tidak mengadakan apa apa bantahan. Selain dari itu tarian tarian roc & roll sangat sangat menjadi jadi hingga banyak gadis gadis yang melupakan kewajipannya di rumah dan di sekolah. Dan banyak lagi korban korban penyakit gila modern ini.

Datangnya Dari Barat

Penyakit gila yang merebak di sini datangnya dari Eropah. Kebanyakkannya dari England, Amerika, Perancis, Amerika Selatan dan lain lain.

Kita hairan bagaimana benda benda yang datang dari barat itu sesuai dengan timur. Pada di sini tidak ada “winter”, dan tidak ada “summer”. Tambahan pula kita di sini beragama Islam, satu agama yang diakui Tuhan.

Keruntuhan Budi

Kerana terkejar kejar modern, pemuda pemudi kita rosak peribadinya. Tubuh kasar mereka sahaja berada di Malaya sedangkan hati dan jiwa mereka berada di barat.

Mereka telah ditipu oleh kemodernan kerana pengaruh penjajahan barat melenakan dari kesempurnaan akal.
Kerana pengaruh baratlah masyarakat kita sekarang jauh merosot. Kerana pengaruh baratlah masyarakat kita sekarang berfahaman kebendaan. Jika ada tetamu yang datang bukan budi pekerti yang ditanya, tapi apa pangkatnya, berapa gajinya. Begitu juga hendak mengkahwinkan anak anak perempuan yang dipentingkan bukan perangai dan budi tapi hartabenda dan kekayaan peminang yang ditanya.

Saya khuwatir kalau gadis gadis kita terjadi seperti gadis gadis di barat yang kebanyakan dari gadis gadisnya menjadi ibu sebelum menikah.

Yang Membiakkan Penyakit Ini

1.Kerana kurang didikan tentang budi dan agama.

Inilah merupakan pokok segala sebab mengapa pemuda pemudi kita rosak peribadinya. Ibu bapa mereka tidak mengambil berat dalam soal agama dan budi pekerti.

2.Pengaruh masyarakat

Masyarakat juga mempengaruhi jiwa pemuda pemudi. Dalilnya kebanyakan pemuda pemudi di bandar telah rosak peribadinya.

3.Suka meniru

Terlampau meniru dengan tidak menggunakan akal dan perasaan sendiri, atau meniru bukan untuk kebaikan negeri dan masyarakat.

4.Buku buku lucah dan cabul

Kini banyak pengeluaran buku buku lucah dan cabul. Buku buku ini bertujuan menaikkan nafsu semata mata. Kadang kadang buku buku itu disertakan dengan gambar gambar yang menaikkan bulu roma.

5.Filem filem lucah dan cabul

Pengaruh buku buku tidaklah begitu mendalam seperti pengaruh filem filem Pengaruh filem amatlah mendalam pada masyarakat.

6. Tempat tempat hiburan

Taman taman hiburan di mana ditempatkan pelacur pelacur menjadi pelayan  rumah rumah pelacuran menjadi tumpuan pemuda pemuda.

7. Sosial

Pergaulan sosial yang terlampau bebas menyebabkan terjadinya perkara perkara yang tak diingini.  Batasan antara pemuda dan pemudi tidak ada. Kita tahu mendekatkan hawa dan adam samalah seperti mendekatkan minyak dengan api.

Demikianlah kehidupan pemuda pemudi di zaman modern dalam keruntuhan budi.

Sekianlah untuk menungan ibu bapa dan juga pemuda pemudi kita, moga moga dengan tulisan ini dapatlah menjadi bandingan kepada masyarakat kita yang sedang kucar kacir mengejar modern dengan tidak berhujung atau pangkal. Sekianlah.

Catatan:
Ketika mencari secara santai sebuah lagi cerpen lama saya dalam Majalah Fesyen [masih belum nerjumpa, saya bertemu dengan sebuah rencana saya yang berjodol seperti rencana ini yang disiarkan oleh Majalah Asmara:

5 Tahun Majalah Asmara
Bilangan 63 tahun 6
Oktover 1959,
GELIGA LIMITED’
16, Nassim Road,
Singapore 10.


Lorong Masjid al Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.








                 

Read more...

SUAMI ISTERI DAN KEIKHLASAN

>> Friday, November 10, 2017







SUAMI ISTERI DAN KEIKHLASAN




[Tulisan singkat ini dikutip dari nota lama yang berberai. Semoga memberi manfaat jua].]


Kata ulama
Ilmu itu seperti benih dan amal itu seprti tumbuh tumbuhan dan IKHLAS itu seperti air yang dijiruskan ke atas tumbuhan tumbuhan itu”.

Demikianlah pentingnya ikhlas itu, terutama di alam kerohanian, dan kehidupan suami isteri. Masing masing suami atau isteri yang memberi sesuatu yang istimewa kepada pasangan masing masing hendaklah tanpa mengharap untuk mendapat apa apa balasan  daripada suami atau isteri yang menerimanya.

Kalau sang suami telah berazam untuk memberi sesuatu yang istimewa kepada isterinya, demikian juga jika sang isteri membuat azam untuk memberi sesuatu kepada suami yang dicintainya itu, janganlah mengharap untuk mendapat apa apa balasan. Kalau semangat rela merela seperti ini wujud antara suami dan isteri maka sudah tentu tidak akan ada lagi problam  antara suami dan isteri, malah semuanya akan selesai dengan sendiri.
Itulah ikhlas dalam memberi dan menerima.
Tapi ikhlas ini mudah untuk diperkatakan tapi amat sukar untuk pelaksanaannya. Seseorang yang rakus dalam mengejar kepentingan diri sendiri, dengan melupakan kepentingan orang lain tidak ada ikhlas padanya.

Justeru itu, antara suami dan isteri perlu ada saling faham memahami, rela merelakan, bukannya saling tuntut menuntut, tagih menagih seperti penjual atau penagih hutang dengan penghutang mereka.

Sikap ikhlas ini amat penting dalam menjaga keharmonian hidup berkeluarga suami isteri.

Pemberi, baik suami atau isteri bukan pemiutang, demikian pula sebaliknya penerima, baik suami atau isteri bukan penghutang.

Keluarga akan terlempar dalam masalah, jika suami menjadi seorang lelaki yang perakus dalam mengejar kesenangan dan kepuasaan hidup sendiri, justeru dengan sikap itu dia dengan mudah melupakan isterinya, kerana perakus seorang yang tidak ikhlas. Dia hanya asyik memburu kepuasan dirinya sahaja dan senafas itu juga membiarkan isterinya terkatung katung kehampaan akibat ketidakikhlasan saang suam.

Cinta suci itu memerlukan keikhlasan. Cinta suci itu memerlukan pengorbanan. Justeru kerana bercinta orang sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan yang dicintai.

Jika anda tidak sanggup berkorban untuk yang dicintai, maka ertinya darjah cinta anda masih di awang awang, tanpa keikhlasan, tanpa sampai ke puncak mahligai cinta.

Lebih lebih lagi cintakan Allah dan Rasul, membuat manusia sanggup berkorban apa sahaja, rela dan gembira masuk ke medan jihad untuk mencarai mati sayhid.
“Berkorban apa sahaja
Diri,
Harta
Ataupun nyawa”.

Dalam agama keikhlasan ini amat penting, khususnya dalam ibadat. Ibadat yang tidak ada keikhlasan di dalamnya tidak ada maknanya di sisi Allah.

Kalau kita berulang alik ke masjid setiap waktu, tapi dalam hati kita berharap supaya dikatakan kita orang alim, bukan kerana Allah. Itu bukan ikhlas.

Kalau kita solat, dengan harapan dipuji orang kita seorang yang wara’, maka itu bukan kerana Allah. Itu bukan ikhlas.

Kalau kita beri nasihat kepada seseorang, kita kata  “Saya cakap ni ikhlas”, tapi dalam hati, kita mengharap untuk mendapat sesuatu darinya, maka itu bukan kerana Allah. Itu tidak ikhlas.

Kalau kita memberi sumbangan atau derma, dengan harapan dipuji orang sebagai dermawan, bukan kerana Allah. Itu bukan ikhlas.

Akasnya semua perbuatan atau amalan kita yang tidak berpaksikan Allah, maka semuanya tidak ikhlas. Ia merupakan amalan yang sia sia di sisi Allah.

Seorang ustaz pergi mengajar di masjid setiap minggu, mengaku dia hanya mengajar dengan ikhlas semata mata kerana Allah. Syukur Alhamdulillah. Tapi bagaimana kiranya pehak berkuasa atau pehak masjid tidak melunaskan bayarannya berturut turut selama emapat minggu, bolehkah dia bertahan dengan keikhlasannya itu.

Justeru berhati hatilah supaya amalan kita tidak sia sia, dan mendapat markah kosong, kerana  hanya amalan yang ikhlas sahaja yang diterima.

Sebenarnya mengucap kata kata “ikhlas” saya ikhlas aku ikhlas, amat mudah, tapi untuk mempraktekkanya, merupakan satu perkara lain yang membutuhkan tarbiah yang khusus.

Sekian sekilas renungan.


Lorong Masjid al Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.


Read more...

BERTANYA SELEPAS BERSALAM

>> Thursday, November 2, 2017




TANYA SELEPAS BERSALAM




SALAM amalan  yang amat digalakkan dalam Islam. Dalam salam itu mengandungi doa kebaikan, dan dapat melahirkan cinta mencintai antara satu sama lain di kalangan umat Islam.

SabdaNabi SAW bermaksud, “Sampaikan salam antara kamu”.

Justeru itu memberi dan menjawab salam ini menjadi amalan umat Islam di antero dunia sejak dulu hingga sekarang.

Kebiasaannya selepas memberi dan membalas salam, atau selepas tangan berjabat salam, kalau masih ada ruang waktu, walaupun sempit, akan lahir dialog singkat antara kedua insan itu.

Lumrahnya ia dimulai oleh orang yang mengucap salam atau yang lebih dahulu menghulur tangan untuk bersalam.

Dia akan bertanya anda, “Tak sihatkah. Lain macam nampak”.

Kalau anda menjawab, “Alhamdulillah, sihat sahaja”. Perbualan akan terhenti di situ. Orang itu pun terus berlalu.

Tapi andainya anda menjawab, “Kurang sihat sedikit”, dan menyatakan kemerosotan kesihatan anda, maka orang itupun akan menjawabnya, “Saya pun begitu juga. Tak berapa sihat ni. Batuk dan demam. Semalam dah pergi jumpa doktor............”.

Atau
Sahabat anda itu akan bertanya, “Bagaimana dengan anak anak saudara. Semua Okkah”.

Jika anda menjawab, “Semua anak anak saya OK. Sihat sihat belaka”. Reaksinya sahabat anda itu akan menyepi.

Tapi jika anda menjawab, “Anak saya, kurang menggembirakan. Yang besar itu payah nak bangun pagi, dan payah nak pergi sekolah. Suka berkawan dengan budak budak nakal. Larang pun tak dengar”.

Anda akan mendengar sahabat anda itu akan memberi reaksi lebih kurang begini. “Anak anak saya pun begitu juga. Malas nak sekolah. Terlalu banyak main telefon. Pelajaran merosot. Suka berkawan dengan budak nakal........”.

Ataupun

Sahabat anda itu akan bertanya, “Bagimana dengan tempat kerja saudara hari ini”.

Kalau anda jawab, “OK. Semua beres. Bos baru ni pun bagus”. Dia akan diam menyepi.

Tapi jika anda menjawab, “Tak sukalah kerja sekarang. Bos suka menekan pekerja. Ramai merungut......”.

Sahabat anda itu akan menjawab, “Saya pun begitu juga. Membosanlah. Bos suka mencari kesalahan pekerja. Buat kita macam budak budak baru bekerja. Semua nak cepat. Nak bodek orang besar..........”.

Ataupun

Ssahabat anda mungkin bertanya, “Awak pakai kereta barukah sekarang”.

Kalau anda jawab, “Ya. Baru beberapa bulan saya beli.....”.

Sahabat anda itu hanya berkata “Oh baguslah!”, atau mungkin bertanya jenis kereta anda itu, atau terus menyepi.

Tapi kalau anda menjawab, “Tidak. Masih kereta lama. Dah beberapa tahun usianya........”.

Sahabat anda itu akan berkata, “Saya pun masih pakai kereta lama. Sudah beberapa tahun juga usianya........ Tunggu ada duit sedikit nak beli yang baru”.

Saya masih teringat, kawan baik saya seorang doktor, sudah meninggal, setiap kali bertemu selepas mengucap salam beliau akan bertanya, “Pak Cik sihatkan. Bagus. Jagalah kesihatan”. Kata kata itu kedengeran penuh keikhlasan.

Demikianlah  secebis contoh beberapa pertanyaan singkat yang menyusul selepas salam.

Apa tujuan pertanyaan seperti itu dikemukakan kepada anda tidaklah saya berhasrat membuat spekulasi atau sebarang prasangka.

Walau bagaimanapun, kita harap di belakang pertanyaan itu tersembunyi maksud baik untuk mendoakan keselamatan kita ke hadarat Allah SWT. Sejajar ucapan salam diberi dan diterima.


Lorong Masjid al Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan.




Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP