Showing posts with label tanah air. Show all posts
Showing posts with label tanah air. Show all posts

TUN GHAFAR BABA DAN HUTANG MARA

>> Saturday, January 18, 2014





 TUN GHAFAR BABA DAN HUTANG MARA

Allahyarham Tun Ghafar Baba bekas Timbalan Menteri Malaysia dalam masa Dr. Mahathir Mohammed sebagai Perdana Menteri Malaysia, iaitu daripada 10 Mei 1986 hingga 15 Oktober 1993.



Sebelum itu, beliau yang dilahirkan pada 18 Febuari 1925 telah menyandang berbagai-bagai jawatan penting dalam kerajaan dan banyak menabur jasa kepada bangsa dan negara.

Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau ialah sebagai Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi MARA yng pertama. Beliau memegang jawatan tersebut daripada 1 September 1967 sehingga 31 Oktober 1971.

Sepanjang masa tersebut beliau telah berjaya mengasaskan penubuhan Kolej MARA  pada tahun 1971.

Beliau juga berjasa sebagai pengasas Institut Kemahiran MARA, Yayasan Pelajaran MARA, dan Institut Teknologi MARA, sekarang Universiti Tekonologi MARA atau UiTM.

Beliau meninggal dunia 23 April 2006 meninggalkan begitu besar jasanya kepada anak watan tercinta.

Semasa mula-mula menyandang jawatan Pengeusi MARA itu beliau berdepan dengan problam-problam hutang yang melengkari badan tersebut. Ketika berucap di Parlimen beliau telah menyebut mengenai hutang lapuk pada waktu itu yang terpaksa ditanggung oleh MARA sebanyak RM600,000.

Ucapan beliau itu telah mendapat liputan media masa waktu itu. Ini berdasarkan salinan kenyataan akhbar beliau yang membetulkan ketidaktepatan laporan yang dibuat oleh Strait Times Berita Harian tentang ucapan beliau itu.

Kanyataan akhbar beliau itu menonjolkan beberapa perkara penting yang masih relevan hingga ke hari ini. Justeru kita siarkan salinan kenyataan akhbar itu yang ditujukan kepada Pengarang Straits Times dan Berita Harian dan salinannya kepada Ahli-ahli Parlimen.





Untuk memudahkan anda mengikuti kandungan kenyataan akhbar beliau itu maka di sini kami salinkan sepenuhnya untuk direnung bersama.

MAJLIS AMANAH RA’YAT


Ibu Pejabat MARA
Tingkat 8,
Bangunan MARA,
Kuala Lumpur.
30hb. April, 1968

Pengarang

Staits Times dan Berita Harian,
Kuala Lumpur.

Tuan,

Kenyataan di Surat Khabr

Saya percaya berita yang terkeluar dalam surat khabar tuan pada 30. 4. 1968 berkenaan dengan ucapan saya kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berhubung dengan perkara  mengeluarkan wang pinjaman MARA itu akan menimbulkan silap faham kepada orang ramai terutama sekali kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri.

2. Saya tidak sekali-kali ada membuat tuduhan mengatakan hutang RM600,000 yang tidak dapat dipungut itu disebabkan oleh buatan Ahli-ahli Dewan Wakyat seperti yang disiarkan itu. Hutang lapuk sebanyak RM600.000 itu ialah hutang dari semenjak 10 tahun dahulu  dan tidak ada sebab  saya hendak menyalahkan Ahli-Ahli Parlimen yang ada sekarang kerana tidak ada sangkut pautnya. Saya pun baru sahaja  7 bulan bertugas  di dalam MARA dan tentulah saya tidak bertanggung jawab atas hal yang berlaku 10 tahun dahulu.  Saya hanya sekadar menyatakan kebimbangan saya dan cuba mengelakkan supaya hal yang demikian tidak berlaku pada masa akan datang.

3. Apa yang sebenarnya berlaku dalam perjumpaan itu ialah saya telah menceritakan bagaimana kesulitan MARA sewaktu menimbangkan pemohon-pembohon yang hendak meminjam wang dari MARA. Saya adalah mengalu-ngalukan Wakil-Wakil Rakyat yang selalu berusaha bagi menolong orang ramai  datang bertemu saya bagi memberikan sokongan atas pinjaman  mereka. Saya telah menerangkan dalam pertemuan saya dengan Wakil-wakil Rakyat  supaya jangan berkecil  hati jika saya tidak dapat meluluskan pinjaman itu, kerana MARA terpaksa menghalusi permintaan itu  dengan teliti dan jika didapati permohonan itu tidak patut diluluskan, maka permintaan itu adalah ditolak. MARA terpaksa mengambil sikap seperti ini kerana MARA tidak mahu berlaku lagi seperti mana yang telah lalu di mana lebih kurang RM600.000 wang yang dipinjamkan telah tidak dapat dipungut.

4. Jika hal yang seperti itu berlaku lagi, tidak dapat tidak MARA akan menerima kecaman daripada orang ramai ataupun di dalam Dewan-Dewan Undangan.

5. MARA juga adalah menggalakkan usaha-usaha Wakil-wakil Rakyat yang selalu datang berunding dengan pehak MARA bagi mencari jalan yang sesuai apabila MARA mengambil tindakan hendak mengutip balek wang pinjaman itu. Sesetengah rayuan yang dibuat oleh Ahil-Ahli Dewan Rakyat itu adalah berpatutan dan munasabah dan dapat diterima oleh MARA. Seterusnya saya menerangkan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang hadir dalam perjumpaan itu supaya tidak merasai tersinggung  apabila MARA mengambil tindakan yang tegas pada akhirnya  apabila peminjam-peminjam  tidak taat di atas  seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen. MARA terpaksa  berbuat begitu kerana wang pinjaman yang diberi oleh MARA  itu adalah wang daripada orang ramai.

6. Demikianlah isi kandungan ucapan yang telah saya keluarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang menemui saya itu. Dengan ini saya berharap tidaklah berbangkit apa-apa keleliruan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri. Terima kasih.

Yang benar

[Tada tangan Ghafar Baba]
Abdul Gfafar b Baba
Pengerusi MARA.

Salinan kepada: YB Ahli-Ahli Parlimen.

xxxxxxxx

Kesimpulan

Daripada kenyataan akhbar Tun Abdul Ghafar Baba itu dapatlah dibuat beberapa kesimpulan untuk menjadi renungan bersama, khususnya kepada mereka yang bertanggungjawab dalam agensi-agensi kerajaan dalam memberi pinjaman kepada orang ramai.

a. Kejadian salah lapor atau laporan tidak tepat media masa  memang berlaku dari masa ke masa. Cuma adakah salah lapor itu disengaja atau tidak disengajakan. Kalau disengajakan apakah tujuannya?

b. Kenyataan akhbar beliau itu menunjukan beliau perihatin dengan masalah hutang yang ditanggung oleh MARA dan berharap perkara yang sama tidak akan berulang lagi di zaman beliau memegang jawatan Pengerusi MARA.

c. Ahli-ahli politk, wakil-wakil rakyat, ada memain peranan dalam membuat sesuatu pemohonan kepada pehak berkuasa untuk menjamin kejayaannya, khususnya dalam membuat sesuatu permohonan untuk berhutang daripada agensi-agensi kerajaan, seperti MARA.

d. Beliau bimbang jika perkara seperti itu  berulang lagi, MARA akan mendapat kencaman daripada orang ramai yang akan merasa tidak puas hati dengan cara pengurusan MARA dalam memberi hutang kepada orang ramai yang layak diberikan pinjaman, kerana wang yang dipinjamkan itu adalah wang rakyat.

Sekian.






Read more...

JEMAAH WANITA DISAMUN DI SUBUH HARI DEKAT MASJID

>> Friday, November 29, 2013












JEMAAH WANITA DISAMUN DI SUBUH HARI DEKAT MASJID



KETIKA para jemaah sedang menunggu bilal Qamat untuk memulakan solat Subuh di pagi Jumaat di sebuah masjid kampung kami di pinggir Bandaraya Islam Kota Bharu Kelantan pagi tadi, tiba-tiba kedengaran hon kereta dibunyikan beberapa kali di luar masjid, kemudian dikuti oleh suara yang membising. Sebahagian daripada jemaah lelaki kelihatan bangkit dan berkejar  ke pintu  belakang masjid  untuk meninjau apa yang telah berlaku di sana. Saya pun ikut sama.

Pada sangka saya satu kemalangan telah berlaku, kerana masjid kami ini terletak di sisi jalan besar dan di sebelah rusuk kirinya dibatasi oleh jalan panjang melewati kampung. Tapi bukan aksiden, sebaliknya kejadian samun. Seorang jemaah menceritakan kepada saya, seorang wanita sedang berjalan ke masjid telah terkena samun. Katanya ketika Muslimah itu sedang berjalan ke masjid sebuah kereta tiba-tiba berhenti dan menarik beliau masuk ke dalam kereta dan melarikannya.

Pada masa itu juga kebetulan sampai sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang melihat kejadian itu, lalu mengejar kereta penyamun itu. Mungkin kerana ketakutan, penyamun itu meninggalkan mangsanya di tepi jalan dan terus melarikan diri. Lelaki yang mengejar kereta penyamun itu, mengambil wanita itu dan menghantarkannya ke masjid. Lelaki itu kelihatan masih berdiri di situ menceritakan sesuatu yang saya tidak dengar dengan jelas kerana kedudukan kami agak jauh.

Pada masa  itu ramai jemaah-jemaah wanita sedang mengerumi mangsa itu di pintu pagar belakang masjid yang masih dalam pembinaan. Kemudian saya lihat seorang wanita yang bertelekung masuk ke masjid, yang saya percaya itulah mangsa samun itu. Kasihan. Kenapa seorang wanita yang sedang berjalan ke masjid di pagi Jumaat yang mulia ini dijadikan mangsa samun oleh manusia yang tidak berhati perut?

Peristiwa itu menambahkan aneka kejadian jenayah yang berleluasa setiap hari di negara kita yang dikatakan selamat dan aman damai ini. Perisitiwa ini juga meminta kaum Muslimah lebih berhati-hati tentang keselamatan diri mereka di masa-masa akan datang supaya tidak lagi terjebak dalam segala macam kejadian yang tidak diingini.

Hanya dengan kembali kepada Hukum Allah sahaja jenayah seperti ini dapat dibendung.

Oleh sebab Qamat telah dialunkan oleh Pak Bilal dan Imam telah hendak memulakan solat kami pun bergegas masuk ke masjid untuk solat Subuh bersama imam. Tidaklah kami ketahui bagaimanakah cerita yang selanjutnya mengenai kejadian samun yang terkutuk itu. Adakah dia terselamat dari samun?

Yang pentingnya, kami bersyukur kerana Muslimah itu diselamatkan Allah daripada bencana yang lebih besar ekoran daripada kejadian tersebut. Mungkin berkah Solat Subuh, beliau terselamat. Mungkin aura suci masjid itu telah menyelamatkannya dengan izin Allah.

Walau apapun sebabnya bersykurlah dan marilah kita kembali ke Hukum Allah yang sebenarnya.

Sukacita dimaklumkan saya sedang dalam persiapan untuk menyiarkan sebuah kertaskerja oleh seorang tokoh perundangan Islam yang terkenal, Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri  Ahmad Ibrahim mengenai HUKUM HUDUD dalam Blog Pondok Rahmat. Insya-Allah.


Read more...

Rebana Ubi Gegar Semangat Juang

>> Wednesday, January 9, 2013




REBANA UBI GEGAR SEMANGAT JUANG


Rebana adalah salah sejenis alat muzik tradisional  yang disukai oleh orang-orang Melayu khasnya dan masyarakat di Nunsantara amnya. Sejauh yang diketahui ada berbagai-bagai jenis rebana yang mempunyai berbagai-bagai rupa dan fungsinya.

Salah sejenis rebana yang istimewa ialah rebana ubi, iaitu sejenis alat muzik dari jenis paluan yang amat digemari oleh orang-orang Melayu Kelantan, khususnya pada masa-masa yang lalu.

Rebana saiz rebananya yang besar dan bunyinya yang kuat. Kenapa dipanggil rebana ubi,  kenapa tidak dinamakan rebana pisang atau rebana jagung? Ia memerlukan kajian yang khusus.

Perkataan rebana berasal daripada perkataan Arab “Robbana” yang bererti “Tuhan kami”. Tapi tidak jelas pertalian “rebana ubi” dengan perkataan “RabbanaTuhan kami”.




Rebana ubi amat populer di kalangan masyarakat tradisi di Pantai Timur, khususnya di Kelantan Darulnaim.

Rupa rebana ubi ini dihias cantik, di mana di bahagian badan dan hadapan atau mukanya didekorkan dengan corak-corak yang tertentu.

Bentuk bahagian hadapan atau bahagian mukanya bulat, dan diperbuat daripada kulit kerbau jantan yang dipasak dengan kayu pada badannya yang diperbuat daripada sebatang kayu balak yang dipotong dalam ukuran yang tertentu dan dilubangkan untuk mengeluarkan bunyi bila dipalu.

Kadang-kadang sesebuah rebana itu besarnya satu hingga dua pemeluk orang-orang dewasa atau dua kaki besar garis pusatnya.

Pada bahagian hadapan atau mukanya yang diperbuat daripada belulang kerbau inilah yang dipalu dengan menggunakan tangan atau pemalunya yang khas seperti pemalu gong. Hanya orang-orang yang kuat tapak tangannya sahaja yang mampu memalunya dengan tangan, kalau tidak hati-hati ia boleh membuat tangan pecah-pecah.


Gambar Hiasan:Datok Hj Wan Hashim, bekas EXCO Kerajaan Kelantan memalu gong merasmikan Pesta Rebana Antarabangsa

Pemalunya pula diperbuat daripada sebatang kayu pendek kira-kira sekaki panjang, dan di bahagian hujungnya dibalut dengan kain atau getah segerap.

Bila rebana itu dipalu, sudah tentu ia akan mengeluarkan bunyi yang kuat, “degun-degun.....” yang akan bergema begitu jauh, terutama jika dipalu pada waktu malam.

Setiap buah rebana ubi dipalu oleh dua orang sambil berdiri, di sebelah kanan dan kirinya. Pemalu yang di sebelah kanan, perlu menggunakan tangannya yang sebelah kiri untuk memalu rebana ubi.

Dalam setiap buah pasukan mempunyai enam buah rebana ubi, dan seramai dua belas orang pemain atau pemalu.

Biasanya di majlis-majlis keramaian yang bukan pertandingan, sesiapa sahaja dibenarkan memalukan rebana-rebana itu, termasuk juga kanak-kanak. Justeru mereka yang berniat untuk turut memalu rebana mestilah membawa pemalunya bersama untuk kemudahannya memalu tanpa meminjam daripada orang lain.

Biasaya di majlis kermaian pesta rebana terbuka, kita tidak tahu atau kenal  siapa pemalunya yang asal, kerana siapa sahaja yang datang dan berhajat untuk memalunya dibenarkan tanpa perlu meminta kebenaran dari sesiapa pun, jika ada peluang kosong yang biasanaya dipalu secara bergiir-gilir.

Pada masa-masa yang lalu, majlis-majlis perkahwinan atau majlis-majlis kermaian akan diserikan dengan permaianan rebana ubi di samping pancak silat yang khusus.

Selain daripada majlis kahwin, majlis kenduri, bersunat dan selepas selesai musim menuai padi juga disambut dengan permainan rebana ubi.

Di samping itu biasa juga diadakan pertandingan rebana ubi yang dinilai dari segi kecantikan hiasan rupanya dan juga dari bunyi dan paluan rebana-rebana itu.

Seperti biasa di majlis-majlis keramaian lelaki dan perempuan, khususnya dari kalangan muda-mudi mereka akan mengambil peluang untuk bertemu, berkenalan dan beramah mesra.

Dan seperti biasa juga di majlis-majlis seperti itu mudah tercetus perseteruan antara satu sama lain kerana sebab-sebab yang kecil sahaja pun.

Kerajaan negeri Kelantan Darulnaim dalam usaha untuk mempopulerkan kebudayaan tradisi pernah menganjurkan pertandigan rebana peringkat kebangsaan dan juga peringkat antarabangsa.

Sebagaimana alat-alat muzik tradisional yang lain juga ia dipalu dengan irama yang berbeza-beza oleh pemalu-pemalunya yang khas supaya enak didengar dengan alunan bunyi yang tingkah meningkah.

Biasanya pada masa-masa yang lalu pesta rebana ubi diadakan selepas musim menuai atau mengetam padi yang dimulakan daripada petang sampai ke larut malam, malah kadang-kadang sampai menjelang waktu subuh.

Saya tidak suka mendengar paluan rebana ubi dari jarak yang dekat kerana bunyinya yang kuat itu. Namun saya suka memerhati pemalu-pemalunya yang begitu bersungguh-sungguh ketika memalu rebana, sampai berpeluh-rejuh, menitis dari muka dan sekujur badannya. Tapi saya suka mendengar paluannya dari jarak yang jauh.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Gambar Hiasa:Rebana Ubi sedang dipalu

Pada zaman kanak-kanak dan di awal remaja dahulu saya sering menghadiri pesta-pesta rebana yang diadakan di kampung Salor, di atas tanah sawah padi yang diadakan selepas musim mengetam. Kampung Salor pada suatu ketika dulu pernah menjadi lubuk penyebar seni budaya Kelantan.

Pada masa-masa dahulu kebanyakan orang-orang tua suka memakai kain sarung, kerana itu ketika memalu rebana ubi mereka terpakasa bercawat, iaitu bercawat kotel, takut kain pelikat yang dipakainya terukai mengelunsur jatuh ketika dia asyik memalu rebana.

Ketika memalu rebana, pemalunya tidak memalunya secara pasif tanpa bergerak, malah seluruh badannya terpaksa berhingguk-hingguk mengikut kemahuannya yang penuh bersemangat  memalu rebana.

Ketika ada kesempatan cubalah ke majlis-majlis rebana, dan cubalah perhatikan bagaimana kesungguhan pemalu-pemalunya yang memalukan dengan seluruh perasaan dan gerak badannya, dan akhirnya cubalah palu sendiri.

Saya terkenang satu kisah yang lucu tapi serius berhubung dengan rebana ubi yang diceritakan oleh seorang budayan dan penulis veteran yang terkenal, Allahyaraham Pak Su Hat. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.

Katanya ketika MAHA yang pertama kali diadakan dahulu di Kuala Lumpur, berbagai-bagai pasukan budaya dari Kelantan telah dijemput ikut serta mempersembahkan seni mereka di majlis tersebut bersama-sama dengan pasukan negeri-negeri lain dari seluruh Tanah Melayu.

Kemudian pada tahun 2010 dan 2012 yang lalu kerajaan Malaysia juga menganjurkan pameran MAHA-Malaysia Agricluture, Horticulture And Agrotourism yang diertikan dalam bahasa Melayunya “Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan” Malaysia.

Ikut serta dalam rombongan budaya dari Kelantan dulu itu ialah pasukan rebana ubi yang membawa rebana-rebananya sekali untuk  persembahan pada majlis pembukaan MAHA itu.

Setelah majlis perasmian selesai, hari sudah jauh malam, dan semua pertunjukan dan permainan dihentikan, dan peserta-pesertanya di benarkan berihat dan kembali ke tempat tinggal masing-masing.

Tapi ada sekumpulan perserta bukan dari Kelantan yang juga membawa sejenis alat bunyian yang agak deras bunyinya ketika dipalu, meneruskan permaiannya memalu gendang-gendang mereka. Ini menganggu orang-orang lain yang hendak berihat dan tidur yang letaknya tidak berapa jauh dari situ.

Orang-orang Kelantan yang hendak berihat juga merasa terganggu, lalu beberapa orang daripada mereka menemui pasukan tersebut dan dengan baik meminta mereka berhenti memalu gendang kerana menganggu orang-orang lain yang hendak tidur.

Tapi larangan itu tidak diendahkan oleh pasukan tersebut. Dengan bangganya mereka terus juga memalukan gendang-gendang mereka memperdulikan larangan tersebut.

Merasa tidak puas hati dengan tindakan itu, anggota pasukan rebana ubi Kelantan keluar dan pergi ke tempat pasukannya meninggalkan rebana mereka yang letaknya tidak jauh dari situ lalu memalu rebana ubi mereka dengan sekuat hati, menenggelamkan bunyi paluan gendang pasukan tadi.

Pasukan Kelantan tidak henti-henti memalukan buat beberapa waktu, mengejutkan bukan sahaja pasukan yang enggan berhenti itu, tapi juga menganggu seluruh anggota-anggota rombongan dan juga orang-orang lain yang ingin berihat.

Setelah pasukan yang enggan berhenti memalu gendang itu berhenti pun, pasukan rebana Kelantan itu terus juga memalu rebana ubi mereka untuk memberi pengajaran kepada mereka yang sombong. Bayangkanlah bagaimana bunyinya rebana ubi yang dipalu sekehdak hati itu?

Akhirnya pehak penganjur terpkasa datang meminta maaf dan meminta supaya pasukan rebana ubi Kelantan  segera berhenti memalu rebana mereka.

Dengan itu barulah keadaan menjadi tenang semula bila pasukan rebana ubi Kelantan berhenti memalu rebana mereka atas permintaan penganjurnya yang faham  tujuan pasukan rebana ubi Kelantan berbuat demikian adalah untuk memberi pengajaran.

Demikianlah rebana ubi yang bunyi paluannya seperti genderang perang mengajak bersiap sedia untuk mara ke garis hadapan dalam medan perjuangan. Ia mengeggarkan semangat kampung dan penduduknya untuk bersatu, dan bersama-sama bangkit dengan kekuatan yang ampuh dan dengan kemeriahan dalam menempa tapak-tapak perjuangan dalam segenap bidang kehidupan.

Bunyinya “degun-degun” seolah-olah berseru:

“Bangkitlah! Bangkitlah
Maralah
Mari kita berjuang
Dengan semangat waja
Berkobar-kobar
Mara ke garis hadapan
Menempuh segala rintangan
Menuju kejayaan”.


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP