ISRAK DAN MIKRAJ DAN PENGAJARANNYA
RAJAB ialah bulan yang ketujuh dalam tahun Islam [Hijriah]. Rejab itu
bererti kehebatan dan kebebasan, di mana orang-orang Arab jahliah memuliakan
bulan ini, termasuk salah satu daripada bulan-bulan yang diharamkan berperang.
Sebenarnya dalam Islam ada beberapa perkara penting yang berlaku dalam
bulan Rajab. Antaranya Perang Tabuk belaku pada bulan Rajab, tahun kesembilah
Hijriah. Inilah perang terakhir yang pernah disaksikan oleh Baginda Rasulullah
SAW. Dalam bulan Rajab juga berlaku satu peristiwa penting dalam Islam, iaitu
Peristiwa Israk Dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rajab tahun ke-10 Sebelum
Hijrah. Dalam Mikraj itulah Rasulullah SAW menerima perintah dari Allah SWt supaya
umat Islam bersolat lima kali sehari semalam.
Biasanya umat Islam di seluruh dunia menyambut dan memperingati peristiwa
Israk Dan Mikraj ini dengan berbagai-bagai cara yang sesuai mengikut pilihan
masing-masing.
Sebagai memperingati Peristiwa yang penting itu, di sini kami petik tulisan
saudara saya yang dihormati, Osman bin Hj. Ibrahim untuk dihidangkan
kepada para pembaca sekalian. Karya ini dihasilkan oleh beliau kira-kira tiga
dekad yang lalu. Semoga kita memperolehi manfaat darinya.
Beginilah beliau menulis:
Erti Israk dan Mikraj
Israk dan Mikraj ertinya perjalanan Rasulullah SAW pada suatu malam dari
Masjidil-Haram di Mekah ke Masjidil-Aqsa di Palestine dalam waktu sebentar dan
kemudian naik ke alam langit hingga ke Sidartul-Muntaha.
Peristiwa ini mengikut jumhur ulama’ berlaku pada tanggal 27 Rajab tahun ke
sepuluh Sebelum Hijrah, iaitu setahun sebelum Rasulullah SAW, berhijrah ke
Madinah. Peristiwa ini diterangkan di dalam al-Quran, yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya [Muhammad] pada suatu malam
dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa Kami bekati sekelilingnya untuk Kami
perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami, seungguhnya Allah Maha Mendengar lagi
Maha Melihat”. Al-Isra’:1.
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku sewaktu Rasulullah SAW sedang tidur di
Hijir Ismail, dekat Kaabah bersama-sama Hamzah bapa saudaranya dan Jaafar bin
Abi Thalib. Menurut suatu riwayat yang lain pula, baginda Rasulullah SAW waktu
itu sedang tidur di rumah Ummi Hani binti Abi Thalib.
Setelah baginda menjalani operasi pembersihan jiwa yang dilakukan oleh
Malaikat Jibrail, Mikail dan lain-lain, Baginda Rasulullah SAW dipersilakan
menaiki kenderaan borak yang telah tersedia.
Dalam Hadis Muslim dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Telah didatangkan kepadaku seekor borak, iaitu seekor binatang yang putih
warnanya, lebih tinggi dari keledai, rendah sedikit dari baghal, kakinya
melangkah sekilas mata memandang”.
Tujuan Israk Dan Mikraj
Tujuan Allah memperjalankan Rasul-Nya dalam satu pegembaran yang
bersejarah ini, adalah untuk memperlihatkan tanda-tanda kebesaran-Nya di
samping untuk menyampaikan satu perintah yang amat penting dalam agama Islam,
iaitu sembahayang lima waktu. Peristiwa itu juga untuk menguji iman manusia
bagaimana firman Allah, yang bermaksud:
“Dan tidak Kami jadikan pengelihatan yang Kami tunjukkan kepadamu
[Muhammad] melainkan sebagai ujian kepada manusia”. Al-Isra’:60.
Jelaslah peristiwa ini telah menimbulkan kesan yang berbelah bahagi di
kalangan masyarakat Arab di zaman awal Islam, samada yang telah beriman ataupun
belum. Mereka yang tidak mempunyai keyakinan yang kuat terus mengambil
keputusan meninggalkan Islam [murtad], kerana menganggap perkhabaran Rasulullah
mengenai peristiwa Israk itu sebagai karut. Di samping itu tidak kurang pula
ada yang bertambah kuat keyakinannya terhadap ajaran Islam, setelah mendengar
berita yang benar dan luar biasa itu.
Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj
mengandungi berbagai-bagai pengajaran yang amat besar untuk dijadikan
iktibar kepada umat Islam, kerana setiap sesuatu diperlihatkan kepada Rasulullah
sepanjang perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa mengandungi kisah
simbolik yang ada kaitan langsung dengan kegiatan hidup umat manusia di alam
ini.
Peristiwa Israk Dan Mkkraj tidak harus dijadikan bahan pertikaian atau
perdebatan berdasarkan saintifik atau logik akal, kerana ianya berlaku dengan
kehendak Allah SWT yang di luar keupayaan manusia untuk mengukur atau
mengesannya.
Justeru sebarang percubaan untuk mengukur atau membandingkannya dengan
menggunakan sistem yang digunakan oleh manusia moden, seperti kepantasan
perjalanan borak diukur dengan kelajuan kenderaan atau cara Mikraj Rasulullah ke
langit dibandingkan dentgan sistem peluncuran roket, atau menamakan
langit-langit yang disinggahi Rasulullah semasa Mikraj, dan juga Sidaratul-Muntaha
dengan nama-nama planet-planet yang pernah dikesani oleh ahli-hali kaji
bintang adalah satu ramalan yang keterlaluan dan tidak berpijak di bumi
kebenaran.
Apa yang pentingnya ialah
mempercayai dengan sungguh-sungguh akan
kebenaran peristiwa itu , tanpa sak dan ragu-ragu, dan kenyakinan itu akan
menjadi asas yang kukuh untuk terus menghayati ajaran yang dibawa oleh Nabi
Muhammad SAW.
Untuk gambaran sepintas lalu,
ikutilah ringkasan peristiwa yang berlaku semasa dalam Israk Dan Mikraj Junjungan
Besar Nabi Muhammad SAW itu.
Peristiwa Di Sepanjang
Israk
Beberapa kejadian aneh telah
disaksikan oleh Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan menunggang Borak dari
Mekah ke Baitul Muqaddis di Palestine seperti berikut:
1.Rasulullah dikejar ifrit dengan membawa jamung sehingga menggerunkan
baginda. Setelah membaca beberapa ayat yang diajar oleh Jibrail, ifrit itupun
tersungkur ke bumi dan jamung yang dibawanya pun padam.
Suri teladannya, seseorang yang
berjuang di jalan Allah selalunya akan menghadapi rintangan untuk mengagalkan
usaha suci itu, tetapi semangat gigih, tabah dan sabar seseorang itu akan
berjaya mengatasinya.
2.Rasulullah bertemu dengan
sekumpulan petani sedang menanam padi. Sejurus kemudian padi itu dapat dituai
buahnya, kemudian pokok yang dituai itu mengeluarkan buah lagi, demikianlah
seterusnya.
Suri teladannya, ialah gambaran
umat Muhammad yang suka membelanjakan hartanya pada jalan Allah akan diberi
pahala 700 kali ganda.
3.Rasulullah tercium bau-bau yang
harum semerbak – keharuman Masyitah dan keluarganya yang rela menerima hukuman
mati dengan terjun ke dalam kawah yang sedang mendidih airnya, daripada menurut
kemahuan Firaun yang memkasa supaya menganggapnya tuhan.
Suri teladannya, ialah seseorang
yang rela berkurban, semata-mata kerana yakin kepada kebenaran agama Allah dan
tetap akan menerima pengrahmatan di sisi Allah dan harum namanya pada
pandangtan masyarakat.
4.Rasulullah melihat segolongan
manusia yang sedang menghantukkan kepala mereka ke batu hingga pecah dan berdarah.
Suri teladannya, ialah umat
Muhammad yang suka menagguh-nangguhkan sembahayang dan menunaikannya dalam
keadaan berat dan malas.
5. Rasulullah melihat sekumpulan
manusia berbogel, nercampur gaul lelaki dan perempuan, kotor dan hina,
merayau-rayau ke sana ke mari seperti
unta dan kambing. Mereka makan kayu-kayu berduri, barang-barang busuk dan
batu-batu daripada bara api neraka.
Suri teladannya, menggambarkan keadaan orang yang enggan mengeluarkan zakat
kerana bakhil dan sayangkan harta benda mereka.
6.Rasulullah melihat segolongan orang yang sedang makan daging mentah dan busuk
sedangkan di sisi mereka ada daging yang baik, bersih dan sudah dimasak.
Suri teladannya, menggambarkan keadaan ummat Muhammad yang melakukan zina,
walhal mereka sudah ada isteri atau suami yang sah.
7.Rasulullah menemui kayu dan ranting-ranting berduri yang merentangi jalan
hingga menyusahkan orang ramai untuk menggunakan jalan itu.
Suri teladannya, menggambarkan orang-orang yang berusaha menghalangkan
kebajikan dan tidak senang melihat kemajuan orang lain.
8.Rasulullah melihat orang yang berenang dalam sungai darah sambil menelan
batu neraka yang dicampakkan kepada mereka.
Suri teladannya, menggambarkan orang makan riba.
9.Rasulullah melihat seorang memikul beban kayu, semakin berat beban itu
semakin ditambah lagi, begitulah seterusnya.
Suri teladannya, menggambarkan orang yang tidak berupaya menanggung tugas
yang diamanahkan kepadanya tapi mahu juga menerimanya sehingga membebankan diri
sendiri.
10.Rasulullah melihat orang menggunting bibir dan lidahnya sendiri, sejurus
kemudian bertangkup balik lalu mengguntingnya lagi. Begitulah seterusnya.
Suri teladannya, menggambarkan seseorang yang suka menasihati orang lain
supaya melakukan perbuatan baik dan amal kebajikan sedang mereka sendiri tidak
melakukannya.
11.Rasulullah melihat orang mencakar muka dan dadanya sendiri dengan kuku
yang panjang dripada tembaga sehingga carik kulitnya dan keluar darah.
Suri teladannya, menggambarkan orang yang suka mengumpat, membicara keaipan
orang lain sehingga menjatuhkan maruah dan nama baik orang itu.
12. Rasulullah melihat lembu jantan yang keluar dari lubang batu yang sangat sempit, kemudian cuba masuk
kembali tapi tidak dapat.
Suri teladannya, menggambarkan orang yang suka bercakap besar, kemudian
menyesal atas percakapannya itu, tapi tidak boleh lagi ditarik balik.
13.Rasulullah melihat perempuan berpekek dan menjerit-jerit kesakitan
kerana buah dadanya dicucuk dengan besi tajam dan digantung ke atas seperti
menggantung daging.
Suri teladannya, menggambarkan perempuan yang melakukan perbuatan jahat
[zina] sedangkan dia telah pun mempunyai suami.
14.Rasulullah bertemu dengan perempuan muda yang bergaya, menujukkan
perhiasan dan kecantikan diri sambil menyeru Rasulullah supaya berhenti
sebenatar untuk bertanya sesuatu, tapi baginda tidak memperdulikannya.
Suri teladannya, menggambarkan kehidupan dunia yang mempesonakan manusia.
Sekiranya Rasulullah melayan permintaan perempuan itu niscaya ramailah umatnya
akan mengutamakan dunia dari akhirat.
15.Rasulullah bertemu pula dengan perempuan yang sudah lanjut usianya,
berjalan berbongkok-bongkok sambil menyeru Rasulullah, “Lihatlah aku, tunggu
sebentar, aku hendak bertanya sesuatu”. Rasulullah meneruskan perjalanannya
tanpa menghiraukan seruan perempuan itu.
Suri teladannya, menggambarkan umur dunia sudah pun lanjut dan tinggal
sedikit sahaja lagi.
16.Rasulullah melihat seorang tua duduk jauh dari jalan sambil menyeru
Rasulullah supaya datang kepadanya, tapi Jibrail mengingatkan baginda supaya
jangan memperdulikan seruan itu.
Suri teladannya, itulah iblis laknatullah yang bermaksud hendak menghasut
Rasulullah.
17.Rasulullah terdengar suatu suara memanggilnya datang dari arah kanan
tapi baginda tidak menyahut panggilan itu.
Suri teladannya, menggambarkan seruan Yahudi dan jika Rasulullah
menyahutnya, maka ramailah umatnya akan menjadi penganut Yahudi.
18.Rasulullah terdengar pula suara panggilan yang datang dari arah kiri,
tapi baginda tidak menyahut panggillan itu.
Suri teladannya, menggambarkan seruan Nasrani dan sekiranya Rasulullah
menyahutnya, maka akan ramailah umatnya menjadi penganut Nasrani.
Mikraj Ke Langit
Setelah selesai Israk, Rasulullah dibawa Mikraj ke langit untuk menghadap Allah dan menerima
perintah sembahayang yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam. Dalam
perjalanan ke Sidratul- Muntaha, baginda melalui tujuh lapis langit, dan
menemui beberapa orang Rasul seperti berikut:
1.Di langit pertama berjumpa dengan Nabi Adam as.
2.Di langit kedua berjumpa dengan Nabi Isa as.
3.Di langit ketiga berjumpa dengan Nabi Yusuf as.
4.Di langit keempat berjumpa dengan Nabi Idris as.
5.Di langit kelima berjumpa dengan Nabi Harun as.
6.Di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa as.
7.Di langit ketujuh berjumpa dengan Nabi Ibrahim as.
Naik Ke Sidratul-Muntaha
Rasulullah dibawa pula ke Sidratul-Muntaha dan di sana Jibrail
menghidangkan kepadanya tiga gelas berisi arak, susu dan madu. Baginda memilih
susu untuk diminum. Lalu berkatalah Jibrail as, “Benarlah engkau wahai
Muhammad, itulah lambang kesucian engkau”.
Keindahan panaroma Sidratul-Muntaha tidak ada tolak bandingnya dan tidak
pernah wujud di alam ini. Di sanalah Rasulullah melihat rupa sebenar Jibrail as
yang mengandungi 600 sayap.
Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail
[dalam rupanya yang asal] pada waktu yang lain [iaitu] di Sidratul-Muntaha”.
An-Najm:13.
Melawat Syurga Dan Neraka
Selepas menyaksikan Al-Kauthar, Rasulullah dibawa melihat Syurga dan
neraka. Keindahan Syurga tidak dapat dibayangkan dengan lukisan dan tidak dapat
diceritakan dengan perkataan, malah ia
adalah:
“Ia [Syurga] tidak pernah mata melihat, telinga mendengar dan tidak pernah
terbayang dalam lintasan hati manusia”.
Di Angkat Ke Arasy
Di sana Rasulullah menerima perintah sembahayang dari Allah SWT yang
difardukan ke atas umat Islam, baginda juga menerima khususiat untuknya yang
belum pernah diberikan kepada nabi-nabi yang lain sebelumnya.
Penutup
Demikianlah sepintas lalu peristiwa Israk Dan Mikraj yang berlaku kepada
Junjungan Besar SAW. Semoga ianya menjadi iktibar kepada kita semua dalam
meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah di bumi ini.
xxxxxxxxxxx
Tambahan:
MASJID AL-QASIMI MUKIM PARIT LAMA, PASIR TUMBOH, KOTA BHARU KELANTAN AKAN MENGADAKAN
MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ PADA HARI KHAMIS, MALAM JUMAAT, 15 MEI 2014 [15 RAJAB
1435]. DIHARAP. ORANG RAMAI, KHUSUSNYA ANAK-ANAK MUKIM, TIDAK AKAN MELEPASKAN
PELUANG YANG BERHARGA INI UNTUK MENDENGAR CERAMAH MENGNENAI PERISTIWA ISRAK DAN
MIKRAJ.
xxxxxxxxx

Read more...