RAKYAT KELANTAN TENTANG MALAYAN UNION [Mengutip Daun Sejarah 2]

>> Friday, February 28, 2014






                                                  KELOHAN DARA - WAN SALMAN   

RAKYAT KELANTAN MENENTANG MALAYAN UNION
[Mengutip Daun Sejarah 2]
                                                               



                                                   Dato' Nik Ahmad Kamil

Dalam Kongres Melayu Malaya Pertama yang diadakan pada 1 April, 1946 itu para perwakilan daripada pertubuhan itu telah mengeluarkan pendapat masing-masing dengan terus terang dan berani, termasuklah wawkil-wakil dari Negeri Kelantan yang terdiri daripada Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan [PPMK] dan Persatuan Melayu Kelantan [PMK].

Pada hari kedua kongres itu, Dato’ Nik Ahmad Kamil wakil PMK telah mengemukakan cadangan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan melaksanakan nanti segala keputusan yang dibuat oleh kongres itu.


Di samping itu beliau juga telah membuat beberapa cadangan lain lagi, salah satu daripadanya membuat rang undang-undang tubuh Persatuan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Cadangan beliau itu disokong oleh Haji Abdul Wahab bin Tok Muda Abdul Aziz [Panglima Bukit Gantang] dan dipersetujui oleh ramai.


Dato’ Nik Ahmad Kamil telah dilantik menjadi salah seorang daripada lima orang ahli jawatankuasa untuk menggubal undang-undang  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO]. Empat orang lagi terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang, Perak, Dato’ Orang Kaya Selangor, Zainal Abidin bin Ahmad  [ZAABA] dan Dato’ Onn bin Jaafar.


Selepas selesai membincang tentang penubuhan UMNO,  kongres itu meneruskan pula perbincangan mengenai rancangan Malaya Union yang dikutuk oleh umat Melayu itu. Wakil-wakil pertubuhan dalam kongres itu mengutarakan pendapat masing-masing, termasuklah juga wakil-wakil dri PMK.


Wakil PPMK, antara lain menegaskan, “Umat Melayu Kelantan pada hari Sir Harold Mac menjejak kaki di atas bumi Kelantan pada ketika itu juga umat Melayu Kelantan telah berkumpul dan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan meminta supaya jangan membuat apa-apa, maka jawab Duli Yang Maha  Mulia Sultan itu kehendak rakyat akan ditimbangkan apa telah jadi Sultan telah sains juga, maka nampaklah sembah rakyat itu disia-siakan”.


Sementara wakil PMK pula menyuarakan bantahannya terhadap Malayan Union dan mencadangkan supaya bantahan-bantahan segera dihantar kepada Kerajaan British.


Antara lain katanya, berkenaan Malayan Union ia berkata tidak bersetuju dan tidak terima, di dalam perkara ini ia mengesyurkan supaya bantahan-bantahan kita itu dihantar dengan seberapa segera, satu daripada jalannya ialah mengirim telegram hantar kepada pihak berkuasa dan kemudian itu bolehlah diadakan jawatankuasa memeriksa memorandum itu..


Kongres itu berakhir dengan membuat tiga keputusan penting, iaitu:


-menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO]


-menolak Malayan Union


-mengadakan  Derma Pelajaran yang disusulkan oleh Dato’ Nik Ahmad Kamil dari cadangan Tengku Mahmud Mahyuddin.



                                                 
                                                 [Dato'] Ishak Lutfi


Senbilan hari selepas Kongres itu berlangsung, maka 13 April 1946, PPMK telah mempersembahkan surat kepada KDMM Al-Sultan Kelantan, antara lain menggesa baginda supaya tidak mengiktiraf Malayan Union.


Pada 11 Mei, 1946 Kongres Melayu Ketiga diadakan di Istana Besar, Johor Bharu di mana piagamnya telah ditandatangani oleh 29 buah pertubuhan yang hadir, dan tujuh buah pertubuhan lagi menandatangani piagam itu  pada 29 Jun 1946 dalam persidangan UMNO yang didakan di Ipoh.


PPMK tidak dapat hadir ke Kongres itu , tapi memberi mandat kepada  Haji Abdul Wahab bin To Muda Abdul Abdul Aziz {Panglima Bukit Gantang] wakil Perikatan Perak yang menyertai Kongres itju untuk menurunkan tanda tangan bagi pihak PPMK. Dengan itu lahirlah UMNO secara rasmi.


Walaupun seluruh umat Melayu bangkit menentang Malayan Union  dengan hebatnya, tapi pada 22 Januari 1946, wakil British, Sir Harold Mac Michael dengan tipu helahnya telah berjaya mengambil tanda tangan Raja-Raja Melayu. Kemudiannya kerajaan pentadbir Tentera British [BMA] di Tanah Melayu secara rasmi telah mengistiyarkan kertas putih mengandungi Perlembagaan Malayan Union untuk Tanah Melayu.


Pada 1 April, 1946 pula, Malayan Union diistiharkan oleh British, di mana Gabenor dan Penasihat-penasihatnya telah dilantik secara resmi pada hari tersebut. Sir Edward Gent telah dilantik menjadi Gabenor  Malayan Union yang pertama dan terakhir. Hanya seorang sahaja yang hadir menyaksi upacara angkat sumpah, iaitu seorang pegawai dalam Pasukan Askar Melayu.


Sebelum itu, UMNO telah mendesak Raja-Raja Melayu supaya memulaukan majlis tersebut, dan mengancam jika mereka hadir juga, rakyat Melayu tidak akan mengakui mereka sebagai raja lagi. Demikian juga orang-orang Melayu yang dijemput hadir untuk dilantik sebagai anggota Majlis Undangan dengan nama Majlis Penasihat Malayan Union [Malayan Union Advisery Council]  memulau majlis tersebut atas desakan UMNO, walaupun mereka pada mulanya telah setuju untuk hadir.




                                      Perarakan Rakyat Kelantan


Mereka telah menulis surat menarik diri, antara lain kandungnannya berbunyi, “Kami tidaklah sanggup hadir dalam istiadat  yang dijalankan untuk mengkuburkan hak kami sebagai putera bumi negeri ini, juga kemerdekaan tanah kecintaan kami”.


Perarakan


UMNO juga telah menetapkan bahawa semua orang-orang Melayu mestilah berkabung selama seminggu untuk melahirkan rasa dukacita dengan kelahiran Malayan Union itu yang telah menumpas kedaulatan bangsa Melayu.


Beberapa hari kemudian,Kerajaan British telah melantik dua orang wakilnya berkunjung ke Tanah Melayu untuk meninjau lebih dekat lagi pandangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union. Wakil-wakil Kerajaan British itu terdiri dari Kapten L. D. Gumans dari Parti Konservatif dan Lt. Kol. D. R. Rees Willion dari Parti Buruh dan mereka sampai ke Tanah Melayu pada bulan Mei 1946.

Bila Kapten L. D. Gaman dan Lt. Kol. Rees Willion  tiba di Kota Bharu pada pertengahan bulan Mei 1946, orang-orang Melayu Kelantan sekali lagi mengadakan perarakan besar-besaran menunjukkan penentangan mereka terhadap Malayan Union. Ribuan orang menyertai perarakan itu yang dianjurkan oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan [PPMK].

Akhirnya hasil daripada kerjasama dan perpaduan yang kental seluruh umat Melayu pada masa itu, maka penjajah British terpaksa tunduk dan Malayan Union terpaksa dibubarkan pada 1 Febuari, 1948 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu  [Federation of Malaya].

                                                                                                                                                                    




Read more...

MALAYAN UNION DITENTANG RAKYAT KELANTAN- Mengutip Daun Sejarah 1

>> Wednesday, February 26, 2014





                                            BERDENDANG SAYANG-ISMAIL ALI MUDA
       

MALAYAN UNION DITENTANG RAKYAT KELANTAN

                                                          Sultan Ismail

JEPUN menyerah kalah pada bulan Ogos, 1945 dalam Perang Dunia Kedua bila sebutir bom atom digugukan ke atas Kota Hiroshima pada 16 Ogos, 1945.


Sebaik sahaja Jepun menyerah kalah, maka Kerajaan British telah mengarah Lord Mounbatten menduduki semula Tanah Melayu. Beliau tiba di Tanah Melayu pada 5 September, 1945 untuk menyambung semula pemerintahan British di Tanah Melayu yang telah terputus dengan kedatangan Jepun.



                                                                                                                                                                                    [Datin] 
                                                                         Cik Kamariah Idris


Pada 11 Oktober, 1945 Kerajaan British telah mengumumkan di Parlimennya rancangan untuk menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu. Malayan Union ditubuhkan pada  1 April 1946 di King House [Carcosa Seri Negara].


Malayan Union terdiri daripada negeri-negeri Melayu, negeri-negeri Selat, tanpa Singapura sebagai penganti “British Malaya”. Sedangkan Singapura kekal sebagai tanah Jajahan British. Sebab utama Singapura tidak dimasukkan ke dalam Malayan Union ialah dipercayai kerana kepentinga ekonomi British.


Secara ringkasnya, Malayan Union mengandungi Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh Gabenor British. Walaupun Raja-raja Melayu dikekalkan kedudukannya, tapi mempunyai kuasa yang amat terbatas, iaitu hanya mengenai Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu sahaja.


Walau bagaimana pun British akan terus mengekalkan pemerintahannya melalui Majlis Penasihat yang dilantik oleh Gabenor Malayan Union itu sendiri.


Berikutnya, Setiausaha Tanah Jajahan British, George Hall ketika mengumumkan rancangan  Malayan Union itu antara lain menegaskan, “Penyatuan negeri ini dan membaharui kandungan undang-undang kerakyatan yang akan memberikan hak kerakyatan yang sama rata kepada sekalian penduduk yang mengaku negeri ini sebagai tanah air mereka”.


Kerajaan British berani memaksa rancangan Malayan Union itu kerana orang-orang Melayu pada masa itu telah berpecah belah dalam perjuangan dengan kelahiran berbagai-bagai persatuan dan pertubuhan yang memperjuangkan rancangan masing-masing.


Setiausaha Tanah Jajahan British itu juga mengumumkan bahawa Sir Harld Mac Michael telah dilantik oleh Kerajaan Britih untuk mengurus dan mendapatkan persetujuan mengenai rancangan baru itu daripada Raja-raja Melayu.


Mac Michael telah datang ke Tanah Melayu membawa rancangan itu. Tapi di luar dugaan British, umat Melayu telah bangkit menentang Rancangan Malayan Union itu. Di seluruh pelosok tanah air mereka  bangkit menunjukkan tentangan dan cabaran terhadap Malayan Union.


Demikian juga dengan rakyat Kelantan yang telah menganggap Malayan Union itu satu penghinaan kepada kedaultan negeri-negeri dan Raja-raja Melayu.


                                            Rakyat Kelantan Beraka Di Jalan-jalan Raya


Pada waktu itu telah wujud beberapa pertubuhan yang aktif di Negeri Kelantan. Antaranya ialah Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan yang telah aktif dalam masa menjelang pendudukan Jepun lagi. Ianya merasa tercabar dengan rancangan Malayan Union British itu, dan  mengambil langkah bertindak untuk menghadapinya.


Antara tindakan-tindakan penting yang pernah dilakukan oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan ialah menyembah sepucuk surat kepada Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim memperingatkan Baginda supaya tidak menandatangani perjanjian Malayan Union itu. Antara lain kandungan surat itu berbunyi:


“........ Pendudukan tanah air hari ini dan akan datang bergantung kepada keteguhan ikatan setia di antara kedua-dua belah pihak, iaitu rakyat jelata Melayu dengan pemerintahan Melayu. Sekira sepihak telah mencuaikan kewajipannya maka di situlah terlahirnya nasib buruk Bangsa Melayu, Tuanku dan Kemulian taraf Sultan-sulatan Melayu. Akan tetapi sekiranya kedua-dua pihak telah berikat setia dan berpegang teguh menunaikan kewajipan masing-masing mengikut keadaan dan masa kehendak orang Melayu, maka pada masa itulah kemulian dan  kebesaran yang belum pernah dirasai oleh pemerintah-pemerintah Melayu pada beratus-ratus tahun dahulu akan terlahir dengan sejelas-jelasnya”.

Di samping itu PPMK juga telah melancarkan gerakan-gerakan penerangan kepada rakyat Kelantan mengenai bahaya-bahaya dan keburukan Malayan Union jika benar-benar dilaksanakan nanti.


Dengan itu timbullah kesedaran yang meluas di kalangan orang ramai terhadap keburukan-keburukan yang akan dialami oleh bangsa dan negara mereka angkara rancangan Malayan Union itu. 

Mac Michael tiba di Kota Bharu dalam usahanya untuk mengambil persetujuan dan tandatangan Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim pada 15 Disember, 1945. Beliau meminta Sultan Kelantan menandatangani perjanjaian Malayan Union sebagaimana dilakukan oleh raja-raja yang lain juga. Melihat raja-raja Melayu lain telah menandatangani perjanjian itu, maka Sultan Ibrahim pun ikut menandatangnainya dengan disaksikan oleh pembesar-pembesar negeri Kelantan. Dengan itu bererti Sultan Kelantan menyerahkan negeri ini kepada Kerajaan British.


Orang-orang Melayu Kelantan, seperti juga orang-orang Melayu di negeri-negeri lain menyambut ketibaannya dengan mengadakan satu rapat raksaksa menentang Rancangan Malayan Union itu.


Perarakan bermula dari Padang Bank, [Padang Merdeka], lalu berarak menuju ke kediaman Penasihat British di Jalan Sultanah Zainab.


Perarakan diketuai oleh Allahyarham [Dato’] Ishak Hamid. Di antara pemimpin yang ikut serta dalam perarakan itu ialah seorang pemimpin wanita, Cik Kamariah Idris. Kumpulan itu telah merempuh masuk ke kediaman Penasihat British itu untuk menyerahkan surat bantahan. Bila melihat kumpulan orang ramai datang menemuinya, Penasihat British merasa cemas dan cuba memalu gong untuk memanggil pengawal keselamatan. Ishak Hamid melarangnya berbuat demikian, dan sebaliknya menjelaskan tujuan mereka hanya untuk menyerahkan surat bantahan terhadap Rancangan Malayan Union, dan bukan sama sekali untuk mencetuskan kekacauan.

Kemudian perarakan raksaksa itu menghala ke Istana Mahkota Sri Chemerlang untuk mengadap Sultan Ibrahim. Wakil Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan yang menganjurkan rapat raksaksa itu telah mengadap Sultan Ibrahim, dan mempersembahkan bantahan terhadap penubuhan Malayan Union.

                                                   Rakyat Kelantan Dalam  Perakaran

Semua golongan rakyat menyertai rapat itu,baik kanak-kanak, para belia, orang-orang tua, lelaki dan perempuan telah memenuhi jalan-jalan raya untuk mengambil bahagian dalam rapat itu. Adalah dipercayai demonstrasi yang diadakan di Negeri Kelantan itu mengatasi dmonstrasi yang diadakan oleh orang-orang Melayu di negeri-negeri lain.


Perhimpunan itu merupakan perhimpunan terbesar yang pernah diadakan dalam sejarah Negeri Kelantan. Kira-kira 30,000 orang dikatakan membanjiri Padang Bank dan jalan-jalan seluruh bandar Kota Bharu.  Ini membuktikan perpaduan orang-orang Melayu Kelantan yang kukuh untuk menentang penjajah British.


Dalam perhimpuan raksaksa itu, bergai-bagai cogankata dipaparkan, antaranya berbunyi, “Jahanam Malayan Unon”, “Kembalikan Hak Kami”, “British Pecah Amanah” dan “British Mungkir Janji”.


Kemudian pada 10 Febuari, 1946 Sultan Ibrahim  telah menganjurkan sendiri satu perhimpunan rakyat di halaman Istana Sri Chemerlang, di Jalan Kebun Sultan di mana Baginda sendiri menyampaikan titah ucapannya di majlis itu.


Kemuncak gerakan orang-orang Melayu menentang Malayan Union itu ialah Kongres Melayu Malaya Pertama yang diadakan pada 1, 2, 3 dan 4 April 1946 di Sultan Sulaiman Kelab Kuala Lumpur. Ia dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor, tanpa menghiraukan Tanah Melayu pada masa itu dalam pemerintahan tentera British.


Sebanyak 41 buah persatuan telah hadir, terdiri dari 107 orang perwakilan, 56 orang pemerhati, termasuk Persekutuan Persetiaan Melayu dan Persatuan Melayu Kelantan.


Tiga orang wakil PPMK yang menghadiri kongres tersebut ialah Haji Fadullah Suhaimi sebagai ketua, dan dua oang lagi ialah, Mohammad bin Busu dan Haji Ishal Lotfi Omar.


Wakil Persatuan Melayu Kelantan juga tiga orang, iaitu terdiri daripada Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmud [Dato’ Setia Di Raja} sebagai ketua deligasi dan dua orang lagi ialah Ahmad Mahir Ismail dan Ismail Ibrahim.


Ini membuktikan bahawa pada masa itu telah timbul kesedaran di kalangan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak boleh berjuang secara bersendirian ataupun berpuak-puak, tapi sebaliknya memerlukan perpaduan dan pengembelingan tenaga yang kental. Oleh sebab itulah agenda pertama kongres tersebut ialah menubuhkan sebuah badan yang akan dijadikan pusat perjuangan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu.

                                                             

Bersambung Ke Bahagian 2:


RAKYAT KELANTAN 
MENENTANG MALAYAN UNION























Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP