Berhati-hati Dengan Permainan Yang Sia-sia

>> Sunday, July 31, 2016







BERHATI-HATI DENGAN PERMAINAN YANG SIA-SIA




Kisah ini berlaku dalam zaman pemerintahan Khalifah al-Mansur [712-775], salah seorang khalifah Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.


Pada suatu hari Khalifah telah berangkat menghadiri satu pesta yang menarik dan menyeronokkan.


Pada suatu ketika, seorang lalaki datang menghadap baginda dan dengan yakinnya menunjukkan kepandaiannya bermain membaling jarum.


Pada mula-mulanya dia membaling sebatang jaram ke arah dinding untuk membuat sebuah lubang kecil. Kemudian dia melontarkan sebatang jarum lagi, tepat melulusi lubang kecil yang telah dibuatnya tadi. Demikianlah dibuatnya beberapa kali sehingga semua jarum-jarum yang dibawanya sebanyak lima puluh batang itu dibaling dan tepat mengenai lubang tersebut, tanpa sebatang pun melencong melekat pada dinding.


Khalifah al-Mansur yang melihat permainan itu merasa kagum dengan kepandian lelaki itu. Justeru beliau memerintahkan pegawainya supaya memberi hadiah kepada lelaki itu sebanyak seratus dinar.


Di samping itu Khalifah al-Mansur juga memerintah menjatuhkan hukman rotan sebanyak seratus kali ke atas lelaki tersebut yang pada mula-mulanya merasa bangga dikurniakan hadiah seratus dinar oleh khalifah.


Dengan rasa amat terkejut lelaki itu bertanya khalifah kenapa dia dihukum seratus rotan dan juga dikurniakan hadiah seratus dinar.


Khalifah al-Mansur pun menjawab, “Saya memberi kamu hadiah seratus dinar kerana kepandian kamu melontar jarum dan  menjatuhkan  hukuman denda seratus rotan kerana menghabiskan masa  dengan sia-sia dengan permainan yang tidak memberi faedah”.

Cubalah kita ambil peristiwa ini sebagai iktibar kepada kita yang hidup hari ini yang terlalu banyak dengan aneka hiburan yang bukan sahaja merugikan tapi juga boleh merosakbinasakan diri kita, dari segi diri dan ruhani.


Sekian untuk renungan.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.


Read more...

AIDILFITRI TERUS SEMARAK

>> Wednesday, July 20, 2016







AIDILFITRI TERUS SEMARAK


Semangat Aidilfitri masih membahang. Sambutan-sambutan hari raya masih diadakan di sana ini di kalangan umat Islam, terutama oleh ajensi-ajensi dan institusi-intitusi tertentu. Ianya hanya dijangka akan berakhir bila berakhir bulan Syawal nanti.




 Dengan mengadakan acara-acara sambutan itu dapat mereka berjumpa dan bertemu, kerana mereka tidak berkesempatan bertemu pada hari raya yang lalu, akibat halangan masa dan tempat yang memisahkan mereka. Mereka makan minum dan bergelak ketawa di majlis tersebut.









Tentulah tidak kita lupa semangat dikendung oleh hari raya yang mulia itu:



-Mengejatkan kembali silaturahim.

-Kunjung mengunjugi antara satu sama lain, terutama di kalangan anak saudara dan jiran tetangga.
-Berkenalan antara satu sama lain.






 -Bermaaf-maafan.

Pada hari yang mulia ini kita gampang memohon maaf dengan siapa sahaja yang kita temui, terutama mereka yang kita merasa bersalah dengannya. Tapi jangan kita lupa untuk memberi maaf, kerana memohon maaf tidaklah semudah memberi maaf.

Salam diberi salam disambut. Tangan dihulur tangan dijabat. Habislah segala kabus yang membungkus masa lalu, dan mari kita buka medan baru selagi hayat dikandung badan dengan hati yang suci bersih. Dunia kembali tenang.





Adalah diharapkan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah sanak saudara itu dapatlah diteruskan walaupun selepas raya, kerana ia dapat mengikat tali persaudaran dan silaturahim, kiranya kita masih mempunyai ruang dan masa yang terbuka untuk berbuat demikian, dalam kesibukan harian kita di zaman moden  ini.








Saya mengambil kesempatan menyiarkan sedikit foto-foto Aidifitri yang lalu untuk menghiasi tulisan pendek ini, walaupun masa telah agak lewat dan tanpa disengajakan. Ini berlaku kerana saya telah kehilangan semua ratusan gambar yang dirakam sepanjang hari raya itu kerana tanpa semena-mena terpadam daripada kamera handfon saya. Harap dimaaf jua.




 Foto-foto yang disiar ini merupakan foto-foto yang tidak begitu bermutu yang dibekalkan olah Ahmad Faris Zaini, dan juga merupakan kiriman daripada keluarga. Diucapkan ribuan terimakasih.

Ribuan maaf dipohonkan daripada keluarga Zaini.





























 \









Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.





Read more...

PASIR TUMBOH TERUS BERKEMBANG

>> Friday, July 15, 2016







PASIR TUMBOH TERUS BERKEMBANG



Pasir Tumboh terletak dalam Jajahan Kota Bharu Kelantan, iaitu kira-kira 11 km dari Kota Bharu. Ia mengambil masa selama kira-kira 20 minit untuk memandu dari Pasir Tumboh ke pusat bandar melalui jalan biasa. Ianya sebuah kampung yang diangkat menjadi sebuah Mukim yang terletak dalam daerah Limbat.


Dari segi politik ia terletak dalam kawasan DUN Salor dan dalam Parlimen Kubang Kerian.



                                 Lorong Masjid Kg.Kubang Siput


Dulunya Pasir Tumboh sebuah perkampungan yang kebanyakan penduduknya terdiri dari orang-orang Melayu yang terdiri dari kaum tani. Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ianya telah berubah corak menjadi sebuah bandar kecil di pinggir ibu negeri Kota Bharu.


Hari ini di kawasan bandarnya telah tumbuh bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan yang memaparkan berbagai-bagai barang kerperluan para pengguna. Ini menyebabkan Pasir Tumboh sentiasa sibuk, terutama di hari-hari cuti dan menjelang hari perayaan, tidak seperti  beberapa tahun yang lalu.


 Masjid al-Qasimi 
Terletak Di Muka Lorong 
Kubang Siput


Di Pasir Tumboh terdapat sebuah pusat pengajian agama yang terkenal yang dipanggil Pondok Pasir Tumboh yang telah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Ramai pelajar-pelajarnya tersebar bukan sahaja  di seluruh negara, tapi juga di seluruh nunsantara.


Secebis Sejarahnya


Pada masa dahulu, sebelum Perang dan selepas Perang Jepun di Pasir Tumboh terdapat sebuah pasar harian yang besar dan maju. Ramai orang daripada kawasan-kawasan yang dekat dan jauh datang berniaga dan membeli barang-barang keperluan mereka di pasar tersebut.


Pasar itu terletak di pinggir Sungai Pasir Tumboh. Para peniaga membawa barang-barang jualan mereka seperti beras, ikan-ikan, dan buahan-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya melalui  ikut sungai itu menggunakan sampan-sampan kecil yangi kayuh dengan pengayuh atau pendayung. 


Pasar itu terletak di seberang Sungai Pasir Tumboh, di sebelah bandar Kota Bharu. Ia terletak berhampiran dengan jambatan Pasir Tumboh sekarang dan di suatu kawasan lembah yang kini telah dipenuhi dengan rumah-rumah kediaman. Bila berlaku hujan lebat pasar yang dikenali dengan panggilan "Kedai Buruk" itu selalu ditenggelami air, kadang-kadang sampai ke paras dada. Hari ini bila hujan lebat mencurah-curah kawasan-kawasan itu masih ditenggelam air dan banjir yang dapat dilihat setiap tahun berlaku kepada mereka yang melalui jalan tersebut. Dulunya ia dihubungi oleh sebeuah gertak kayu yang rendah yang turut tenggelam bila hujan lebat, dan terpaksa menggunakan perahu untuk berhubung.


Kemudian dibina pasar baru di di kawasan tinggi di sebelah Pasir Tumbuh Ia terletak di sebelah kiri dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu, dan tidak jauh daripada jambatan sekarang. Kemudian pasar itu pun dipindah pula berhampiran dengan pasar lama Pasir Tumboh yang masih ada sampai sekarang. Pada masa dulu kawasan itu dipenuhi dengan pokok-pokok kelapa yang dipunyai oleh Bomba [nama seseorang usahawan India]. Kelapa-kelapa itu dipajak kepada penduduk tempatan. 


Sungai itu tidak seluas mana, kerana merupakan sebuah anak sungai, tapi keadaannya memanjang meliputi beberapa buah tempat yang jauh. Para peniaga sejauh Sabak dan Bachok akan datang berkayuh ikut sungai tersebut membawa dagangan mereka.


Sungai inilah yang memisah bandar Kota Bharu di sebelah utara dengan kawasan-kawasan di Selatan, seperti Pasir Puith dan negeri Terengganu. Kemudiannya sebuah jambatan telah dibina merentangi sungai tersebut di Pasir Tumboh yang terus kekal sehingga sekarang.


Pada masa tersebut Pasar Pasir Tumboh itu amat popular, di mana penduduk-penduduk Kota Bharu datang mencari keperluan mereka setiap hari. Di samping pasar tersebut yang merupakan sebuah pangkalan perniagaan, ada lagi sebuah pengkalan yang terkenal yang terletak arah ke hulu sedikit di mana perahupperahu berlabuh.



Peniaga-peniaga ini menjual barang-barang dagangan mereka, dan kemudian membli pula barang-barang yang mereka perlukan. Umpamanaya peniaga-peniaga dari kawasan Pantai Sabak dan Bachok yang menjual ikan akan membeli beras dan bahan-bahan lain untuk dibawa pulang ke kampung mereka, sama ada untuk dimakan sendiri atau dijual.


Tapi keadaan ini tidak berbekalan, kerana bila jalanraya dibina menghubungkan Kota Bharu di Utara dengan kawasan-kawasan di Selatan, maka pasar besar Passir Tumboh itu berangsur-angsur pudar dan tidak mendapat sambutan, walaupun telah dipindah  berhampiran dengan jalan raya.


Keadaan seperti ini menimpa beberapa buah pasar di sepanjang Sungai Kelantan yang masyur sebelumnya telah padam, bila jalan raya menyambung ke Kota Bharu dibina. Umpamanya Pasar Kedai Salor yang begitu masyur sehingga tahun 1970an tapi telah lenyap bila siapnya pembinaan Jambatan Sultan Yahaya Petra yang menrentangi Sungai Kelantan menghubungkan bahagian uatara dan Selatan Negeri Kelantan, khususnya bandar Kota Bharu dengan tempat-tempat lain.


Walau bagaimanapun hari ini Pasir Tumboh telah membangun kembali untuk mengejar harus pembangunan negara setelah ketinggalan sekian lama.


Kampung Kubang Siput & Kampung Parit

Seperti biasa setiap buah Mukim terdiri daripada beberapa buah kampung. Demikian jugalah dengan Pasir Tumboh. Dalam tulisan ringkas ini saya hanya ingin menyebut tentang dua kampung sahaja, dan itu pun secara kontot sekali sbagai penulisan asas semata.



                                 Pokok-pokok Di sisi Lorong Masjid

Tempat terletaknya Pondok Rahmat sekarang ialah Kampung Kubang Siput. Ia dipanggil Kampung Kubang Siput, kerana di dalam kampung  ini terdapat sebuah kubang di mana terdapat banyak siput-siput yang boleh dimakan. Kubang ialah kawasan berlumpur di mana biasanya tempat kerbau kerkubang. Sebenarnya ikan-ikan darat seperti ikan haruan, keli dan pepayu lebih banyak daripada siput di kubang tersebut. Kawasan kubang itu sekarang sudah hampir tertimbus.


Jalan utama untuk masuk ke Kampung Kubang Siput itu dipanggil Lorong Masjid yang bermula di sisi bangunan Mmasjid al-Qasimi yang terletak di pangkal lorong. Jika kita menyusuri lorong tersebut, kira-kira sesuku kilometer kita akan dapati terdapat tiga buah kedai kopi yang terletak berdeaktan menjual nasi belauk pagi. Ketiga-tiga kedai kopi ini biasanya penuh dengan pelanggan untuk makan di situ dan juga untuk dibungkus untuk dibawa pulang.


Sebelah petang pula ada sebuah gerai yang terletak tidak jauh dari belakang masjid al-Qasimi di sisi lorong yang dibuka sejak beberapa bulan yang lalu untuk menjual nasi dagang, nasi kerabu dan nasi belauk petang/malam. Kueh-mueh juga ada disediakan digerai itu.


Sementara itu Kampung Parit pula mempunyai sejarah yang khusus.  Kampung ini dinamakan Kampung Parit kerana terdapat parit yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri.


Parit itu asalnya bukan digali manusia, tapi merupakan jalan diraja yang digunakan oleh raja-raja dan para kerabat yang tinggal di Kota Bharu untuk pergi ke kawasan di Selatan seperti ke Bukit Marak atau Bachok. Pada masa itu justeru kenderaan masih belum ada mereka menggunakan gajah-gajah sebagai kenderaan. Akhirnya jalan-jalan yang mereka lalui itu tenggelam di kawasan tersebut dan merupakan parit. Sempena  perkara itulah orang-orang tua di situ menamakan kampung mereka sebagai  Kampung Parit yang terus melekat shingga ke hari in i.


Wallahu’klam.

Rencana ini terlalu pendek, justeru memerlukan lebih banyak maklumat untuk memperlengkapkannya sebagai sebuah rencana. Saya menulis ini sebagai teras permulaan daripada maklumat awal yang saya perolehi, dan berharap dapat melengkapkanya dalam masa terdekat. Insya-Allah.


Sumber:
A]Pak Su Omar
B]Pak Chek


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.




Read more...

BAGAIMANA UNTUK MEREBUS TELUR?

>> Monday, July 11, 2016






BAGAIMANA MEREBUS TELUR?






Telur ada berbagai-bagai jenis, tergantung kepada haiwan yang menelurkannya itu. Bentuk dan saiz telur juga bermacam-macam bentuk dan rupa. Telur yang paling popular ialah telur ayam dan telur itik yang ditelurkan oleh ayam betina dan itik betina. Telur ayam dan itik memang boleh dimakan, terutama untuk dijadikan sebagai lauk atau bahan untuk membuat kuih-muih.


Telur-telur itu pula ada yang dimakan dan sedap rasanya, dan ada pula telur yang tidak  dimakan, seperti telur cicik, telur semut, telur lipas dan telur ular.


Ada beberapa cara pula untuk memasak telur ayam atau itik untuk dimakan sebagai lauk dan sebagainya. Biasanya ia digoreng sebagai telur “mata kerbau” atau telur dadar. Ia juga dimasak gulai lemak kuning dan  dicampur dengan timun batang, atau digoreng kicap, dan sebagainya lagi mengikut selera masing-masing.


Untuk rebusan pula ada dua cara ianya dimakan, iaitu masak separuh, iaitu isinya masih setengah cair dan telur yang direbus sampai masak keras.


Adakah semua orang tahu untuk memasak telur masak keras? Kalau anak-anak atau cucu-cucu kita yang baru belajar memasak bertanya berapa lama untuk memasak telur supaya masak keras, kerana mereka ingin meliciknya untuk dijadikam sandiwic atau memakannya begitu sahaja untuk dicicah dengan budu atau kicap, atau dibelah untuk dimakan dengan nasi lemak? Dan berapa banyak air yang diperlukan? Apa jawapan kita?


Kalau terlalu banyak air tentu tidak ekonomik, kerana ianya membazirkan penggunaan air dan juga bahan bakar untuk memasakkannya


Sebenarnya untuk memasak enam biji telur masak keras memerlukan tiga cawan air kosong sahaja. Masa yang diperlkukannya hanya 15 minit, malah kalau telur itu tidak sejuk dan tidak baru dikeluarkan dari peti sejuk, selama 12 minit sudah mencukupi untuk memasakkannya.


Air hendaklah  dididih secara perlahan-lahan, bukannya secara mendadak dengan api yang besar.


Kemudian telur yang masak itu hendaklah disejat airnya, kemudian segera dimasukkan atau direndam ke dalam air yang dingin supaya ia segera sejuk. Dan ini dapat menghalang telur kuning menjadi hitam sekelilingnya yang menyebabkannya kelihatan huduh sebagaimana sering kita lihat ketika membeli nasi lemak dan sebagainya.


Selepas itu buanglah kulitnya untuk mendapatkan isinya yang masak keras itu.


Sementara itu secara tradisi pula orang-orang tua kita di kampung-kampung  bila mereka merebus telur, terutama dengan banyak seperti untuk majlis-majlis perkahwinan mereka memasukkan beberapa biji beras dalam periuk yang mengandungi telur dan air sebelum dinyalakan api di atas dapur.


Bila api dinyalakan dan air mendidih, dan bila beras yang dijerang bersama telur tadi masak menjadi nasi, itulah tandanya telur itu telah masak dan boleh diangkat.


Semoga memberi manfaat jua.
 

Sekian.



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.



Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP