PASIR TUMBOH TERUS BERKEMBANG
>> Friday, July 15, 2016
Pasir Tumboh terletak dalam Jajahan Kota Bharu Kelantan, iaitu kira-kira 11 km dari Kota Bharu. Ia mengambil masa selama kira-kira 20 minit untuk memandu dari Pasir Tumboh ke pusat bandar melalui jalan biasa. Ianya sebuah kampung yang diangkat menjadi sebuah Mukim yang terletak dalam daerah Limbat.
Dari segi politik ia
terletak dalam kawasan DUN Salor dan dalam Parlimen Kubang Kerian.
Lorong Masjid Kg.Kubang Siput
Dulunya Pasir Tumboh sebuah perkampungan yang kebanyakan penduduknya terdiri dari orang-orang Melayu yang terdiri dari kaum tani. Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ianya telah berubah corak menjadi sebuah bandar kecil di pinggir ibu negeri Kota Bharu.
Hari ini di kawasan bandarnya telah tumbuh bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan yang memaparkan berbagai-bagai barang kerperluan para pengguna. Ini menyebabkan Pasir Tumboh sentiasa sibuk, terutama di hari-hari cuti dan menjelang hari perayaan, tidak seperti beberapa tahun yang lalu.
Masjid al-Qasimi
Terletak Di Muka Lorong
Kubang Siput
Di Pasir Tumboh terdapat sebuah pusat pengajian agama yang terkenal yang dipanggil Pondok Pasir Tumboh yang telah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Ramai pelajar-pelajarnya tersebar bukan sahaja di seluruh negara, tapi juga di seluruh nunsantara.
Secebis Sejarahnya
Pada masa dahulu, sebelum Perang dan selepas Perang Jepun di Pasir Tumboh terdapat sebuah pasar harian yang besar dan maju. Ramai orang daripada kawasan-kawasan yang dekat dan jauh datang berniaga dan membeli barang-barang keperluan mereka di pasar tersebut.
Pasar itu terletak di pinggir Sungai Pasir Tumboh. Para peniaga membawa barang-barang jualan mereka seperti beras, ikan-ikan, dan buahan-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya melalui ikut sungai itu menggunakan sampan-sampan kecil yangi kayuh dengan pengayuh atau pendayung.
Pasar itu terletak di seberang Sungai Pasir Tumboh, di sebelah bandar Kota Bharu. Ia terletak berhampiran dengan jambatan Pasir Tumboh sekarang dan di suatu kawasan lembah yang kini telah dipenuhi dengan rumah-rumah kediaman. Bila berlaku hujan lebat pasar yang dikenali dengan panggilan "Kedai Buruk" itu selalu ditenggelami air, kadang-kadang sampai ke paras dada. Hari ini bila hujan lebat mencurah-curah kawasan-kawasan itu masih ditenggelam air dan banjir yang dapat dilihat setiap tahun berlaku kepada mereka yang melalui jalan tersebut. Dulunya ia dihubungi oleh sebeuah gertak kayu yang rendah yang turut tenggelam bila hujan lebat, dan terpaksa menggunakan perahu untuk berhubung.
Kemudian dibina pasar baru di di kawasan tinggi di sebelah Pasir Tumbuh Ia terletak di sebelah kiri dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu, dan tidak jauh daripada jambatan sekarang. Kemudian pasar itu pun dipindah pula berhampiran dengan pasar lama Pasir Tumboh yang masih ada sampai sekarang. Pada masa dulu kawasan itu dipenuhi dengan pokok-pokok kelapa yang dipunyai oleh Bomba [nama seseorang usahawan India]. Kelapa-kelapa itu dipajak kepada penduduk tempatan.
Sungai itu tidak seluas mana, kerana merupakan sebuah anak sungai, tapi keadaannya memanjang meliputi beberapa buah tempat yang jauh. Para peniaga sejauh Sabak dan Bachok akan datang berkayuh ikut sungai tersebut membawa dagangan mereka.
Sungai inilah yang memisah bandar Kota Bharu di sebelah utara dengan kawasan-kawasan di Selatan, seperti Pasir Puith dan negeri Terengganu. Kemudiannya sebuah jambatan telah dibina merentangi sungai tersebut di Pasir Tumboh yang terus kekal sehingga sekarang.
Pada masa tersebut Pasar Pasir Tumboh itu amat popular, di mana penduduk-penduduk Kota Bharu datang mencari keperluan mereka setiap hari. Di samping pasar tersebut yang merupakan sebuah pangkalan perniagaan, ada lagi sebuah pengkalan yang terkenal yang terletak arah ke hulu sedikit di mana perahupperahu berlabuh.
Peniaga-peniaga ini
menjual barang-barang dagangan mereka, dan kemudian membli pula barang-barang
yang mereka perlukan. Umpamanaya peniaga-peniaga dari kawasan Pantai Sabak dan
Bachok yang menjual ikan akan membeli beras dan bahan-bahan lain untuk dibawa
pulang ke kampung mereka, sama ada untuk dimakan sendiri atau dijual.
Tapi keadaan ini tidak berbekalan, kerana bila jalanraya dibina menghubungkan Kota Bharu di Utara dengan kawasan-kawasan di Selatan, maka pasar besar Passir Tumboh itu berangsur-angsur pudar dan tidak mendapat sambutan, walaupun telah dipindah berhampiran dengan jalan raya.
Keadaan seperti ini menimpa beberapa buah pasar di sepanjang Sungai Kelantan yang masyur sebelumnya telah padam, bila jalan raya menyambung ke Kota Bharu dibina. Umpamanya Pasar Kedai Salor yang begitu masyur sehingga tahun 1970an tapi telah lenyap bila siapnya pembinaan Jambatan Sultan Yahaya Petra yang menrentangi Sungai Kelantan menghubungkan bahagian uatara dan Selatan Negeri Kelantan, khususnya bandar Kota Bharu dengan tempat-tempat lain.
Walau bagaimanapun hari ini Pasir Tumboh telah membangun kembali untuk mengejar harus pembangunan negara setelah ketinggalan sekian lama.
Kampung Kubang Siput & Kampung Parit
Seperti biasa setiap
buah Mukim terdiri daripada beberapa buah kampung. Demikian jugalah dengan
Pasir Tumboh. Dalam tulisan ringkas ini saya hanya ingin menyebut tentang dua
kampung sahaja, dan itu pun secara kontot sekali sbagai penulisan asas semata.
Pokok-pokok Di sisi Lorong Masjid
Tempat terletaknya Pondok Rahmat sekarang ialah Kampung Kubang Siput. Ia dipanggil Kampung Kubang Siput, kerana di dalam kampung ini terdapat sebuah kubang di mana terdapat banyak siput-siput yang boleh dimakan. Kubang ialah kawasan berlumpur di mana biasanya tempat kerbau kerkubang. Sebenarnya ikan-ikan darat seperti ikan haruan, keli dan pepayu lebih banyak daripada siput di kubang tersebut. Kawasan kubang itu sekarang sudah hampir tertimbus.
Jalan utama untuk masuk ke Kampung Kubang Siput itu dipanggil Lorong Masjid yang bermula di sisi bangunan Mmasjid al-Qasimi yang terletak di pangkal lorong. Jika kita menyusuri lorong tersebut, kira-kira sesuku kilometer kita akan dapati terdapat tiga buah kedai kopi yang terletak berdeaktan menjual nasi belauk pagi. Ketiga-tiga kedai kopi ini biasanya penuh dengan pelanggan untuk makan di situ dan juga untuk dibungkus untuk dibawa pulang.
Sebelah petang pula ada sebuah gerai yang terletak tidak jauh dari belakang masjid al-Qasimi di sisi lorong yang dibuka sejak beberapa bulan yang lalu untuk menjual nasi dagang, nasi kerabu dan nasi belauk petang/malam. Kueh-mueh juga ada disediakan digerai itu.
Sementara itu Kampung Parit pula mempunyai sejarah yang khusus. Kampung ini dinamakan Kampung Parit kerana terdapat parit yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Parit itu asalnya bukan digali manusia, tapi merupakan jalan diraja yang digunakan oleh raja-raja dan para kerabat yang tinggal di Kota Bharu untuk pergi ke kawasan di Selatan seperti ke Bukit Marak atau Bachok. Pada masa itu justeru kenderaan masih belum ada mereka menggunakan gajah-gajah sebagai kenderaan. Akhirnya jalan-jalan yang mereka lalui itu tenggelam di kawasan tersebut dan merupakan parit. Sempena perkara itulah orang-orang tua di situ menamakan kampung mereka sebagai Kampung Parit yang terus melekat shingga ke hari in i.
Wallahu’klam.
Rencana ini terlalu pendek, justeru memerlukan lebih
banyak maklumat untuk memperlengkapkannya sebagai sebuah rencana. Saya menulis
ini sebagai teras permulaan daripada maklumat awal yang saya perolehi, dan
berharap dapat melengkapkanya dalam masa terdekat. Insya-Allah.
Sumber:
A]Pak Su Omar
B]Pak Chek
Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
0 comments:
Post a Comment