Showing posts with label Rahsia Diri. Show all posts
Showing posts with label Rahsia Diri. Show all posts

MERAWAT MASA DENGAN WAJAR

>> Tuesday, May 22, 2018




MASA: MERAWAT MASA DENGAN WAJAR
Uruslah Masa Anda Dengan Sebaik baiknya Supaya Anda Tidak Menyesal, Tidak Meratap, Dan Menangis Di Kemudian Hari Nanti

Allah menyebut tentang Masa dalam al Quran. Malah ada sebuah surah khusus menyebut tentang masa. Sungguhpun surah itu pendek sahaja, tapi ia mempunyai erti yang sangat besar untuk dijadikan menungan umat manusia dalam menjalani kehidupan seharian di dunia ini.

Surah itu ialah Surah“Al Asr”,

maksudnya:

“Demi masa

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,

Kecuali orang orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan pesan dengan kebenaran serta berpesan pesan dengan sabar”.

                                                                             Al Asr: 1,2,3.

Apakah MASA itu sebenarnya.

Masa itu pada hakikatnya sesuatu yang amat unik. Ia sentiasa ada berada bersama kita, selama dua puluh empat jam, dari pagi sampai ke pagi setiap hari dalam hidup kita.  Tapi anehnya ramai orang mengatakan “saya tidak ada masa” atau “saya tidak cukup masa”.

Sedangkan masa itu selalu berada bersama kita, bersama dengan semua benda benda di alam buana ini., baik ia bergerak, atau tidak bergerak, ataupun baik ia hidup atau mati, ia tetap dikelilingi oleh masa.

Ianya suatu sumber ciptaan Allah untuk makhluknya menentukan jangka waktu yang ada di sekeliling mereka. Kepada makhluk manusia masa itu amat unik untuk mereka, kerana ianya sejajar dengan umur atau usia mereka.

Justeru jika ditanya orang “Berapa usia anda”, ertinya dia bertanya berapa lama masa anda telah hidup. Kalau usia anda sudah lima puluh tahun, maka ertinya masa anda telah hidup ialah lima puluh tahun.





Masa itu sentiasa berjalan, dari saat ke detik, dari detik ke jam, dan jam ke hari, dari hari ke minggu, dari minggu ke bulan, dari bulan ke tahun, dari tahun ke abad.... dan demikianlah seterusnya tanpa henti henti. Tidak ada apa apa pun yang boleh mempengaruhinya supaya berhenti untuk apa apa tujuan sekalipun. Ia sentiasa berjalan, walaupun kita telah dijemput Allah ke pangkuan Nya.

Mengurus Masa

Justeru masa itu amat penting kepada kita manusia, maka kita mestilah tahu dan bijak mengurus masa yang sentiasa berada bersama kita itu. Kalau tidak, kita akan ditinggalkan oleh masa dalam kerugian  dan kesia siaan.

Masa yang telah berlalu tidak dapat kita memanggil atau mengambilnya kembali. Ia telah beku dalam sejarah waktu. Ia tidak dapat dibayar dengan harta sebuah dunia sekalipun untuk mewujudkannya kembali. Ia telah kembali kepada Tuhan Penciptanya.

Jika kita tidak menggunakan masa yang ada sekarang dengan sewajarnya, malah sebaliknya menghabiskannya dengan sia sia, maka bererti masa hidup kita sekaraang yang akan berlalu dengan pentasnya akan habis terbuang dengan tidak bererti dan tidak akan memberi apa apa pulangan yang baik kepada kita sebagai hamba Allah. Hari ini akan menjadi  kelamrin, kelmarin akan menjadi kelmarin dulu, dan seterusnya selagi  dunia berkembang.

Kebanyakan orang akan merasa amat menyesal bila tiba hari esok kerana menggunakan masanya yang ada sekarang dengan sia sia, tapi penyesalan yang tidak berfaedah lagi sebab masa yang telah lalu itu tidak akan berubah lagi dan apa yang telah dilakukannya itu akan tetap kekal tanpa padam padam sampai ke akhirat nanti, dan di bawa ke hadapan Allah SWT. untuk pemeriksaan.

Sebaliknya sedikit benar dari manusia yang merasa puas hati dengan masa yang dikurniakan Allah kepada mereka sepanjang hayat mereka, kerana mereka telah berjaya menggunakan masa mereka itu dengan sebaik baiknya yang boleh memberi faedah kepada dirinya sendiri dan kepada orang lain juga. Dalam istilah agamanya ia disebut perbuatan yang berpahala, perbuatan yang akan mendapat ganjaran di sisi Allah nanti.

Ini ada beberapa titik saran atau petua singkat untuk kita menggunakan masa dengan wajar, semoga akan memberi faedah semaksimun yang boleh kepada kita dalam menjalani hidup di dunia yang fana ini.

Jangan Menempoh nempoh Masa

Adalah menjadi kelumrahan kepada kita untuk menempoh nempoh, atau menunggu nunggu waktu untuk melakukan sesuatu keperluan atau tanggungjawab yang mesti kita lakukan, sedangkan pada masa itu kita mempunyai masa  yang mencukupi untuk menyelesaikannya.

Sikap ini akan merugikan kita sendiri, kerana kita tidak tahu apa yang akan kita temui atau hadapi selepas ini; mungkin ada tugas lain yang lebih berat lagi dan memerlukan penyelesaian yang lebih segera., ataupun kita berdepan dengan musibah yang perlu diselesaikan segera. Jika ini berlaku ia amat menyusahkan dan merugikan kita.

Jangan Menempoh Masa Untuk Bertaubat

Dalam menempohkan masa ini, satu perkara lagi yang perlu disebut ialah kesukaan menempoh nempoh masa untuk bertaubat, memohon kepada Allah SWT, di samping mengaku tidak lagi akan mengulangi segala dosa yang dilakukan di masa masa yang lepas itu.




Sikap menempoh nempoh masa untuk bertaubat ini amatlah merbahaya, kerana tidak ada siapa yang mengetahui berapa lama seseorang itu masih mempunyai masa boleh hidup. Bagaimana kiranya jika masa hidup atau nyawa seseorang itu tiba tiba diambil kembali kepada Allah sebelum sempat dia bertaubat, kerana menempoh nempoh masa hingga berlalu dengan sia sia dan merugikan.

Justeru jangan menempoh nempoh masa untuk bertaubat, sebelum tiba masanya. Bersegeralah bertaubat terutama selepas menyedari melakkukan sesuatu dosa.

Melengah lengahkan Kerja

Satu sikap lagi yang tidak elok dan amat merugikan kita ialah sikap suka melengah lengah ataupun melambat lambatkan kerja yang sedang kita lakukan tanpa tujuan atau dengan tujuan tertentu. Ada kerja yang dapat kita selesaikan dalam satu jam, kita ambil dua jam untuk menyelesaikannya, atau ada kerja yang dapat diselesaikan satu hari, kita senghaja mengambil seminggu untuk menyelesaikannya.

Ini sudah tentu merugikan kita, kerana masa enam hari yang kita lengah lengahkan itu dapat kita gunakan untuk menyelesaikan berbagai bagai perkara lain yang penting semada dikehendaki oleh keadaan atau tidak.

Melewat lewatkan Solat

Ada sesetengah orang suka melewatkan waktu solat, menempoh nempoh, tunggu sekejap. Umpamanya kita berada di sesuatu tempat, tiba tiba kedengaran azan masuk waktu solat. Pada masa itu kemudahan untuk solat memang ada, termasuk tempat persediaan untuk solat. Tanpa sebab kita tidak terus mengerjakan solat tapi menempoh masa untuk melakukan kemudian, seperti dalam perjalanan nanti dan sebagainya. Tapi kerana sesuatu sebab yang tidak diduga, seperti terlupa, atau jalan raya tersumbat menyebabkan masa solat yang tersebut menjadi luput, dan kita terpaksa mengkadhakannya. Ini sudah tentu amat merugikan.

Sistem Kerja Yang Teratur

Tidak mempunyai sistem bekerja yang teratur sering menyebabkan kita kerugian masa. Justeru kita sewajarnya mempunyai sistem kerja yang kemas kini dan teratur supaya kerja kita berjalan dengan lancar tanpa kelam kabut. Dalam hal ini mana mana kerja yang penting hendaklah diberikan keutamaan dari kerja yang tidak penting. Kerja yang dulu hendak;ah didulukan dan kerja yang kemudian hendaklah dikemudiankan jika tidak ada sebab sebab mendesak untuk mengubahnya. Ini dapat mengelak kita daripada berada dalam keadaan kelam kabut yang akan meragut masa kita yang penting itu.

Jangan Malu Bertanya

Jika kita tidak mengetahui tentang sesuatu yang kita perlu lakukan, janganlah kita ragu ragu atau teragak agak untuk bertanya orang yang arif tentangnya. Melaku sesuatu yang tidak kita ketahui, main tembak tembak atau agak agak tidak  menyakinkan, kita akan berjaya, dan kalau hasilnya negatif ertinya kita telah membazir masa kita dengan sia sia dalam usaha yang tidak memberi faedah kerana sombong untuk mahu bertanya. Kalau perkara yang kita lakukan sesuatu yang merbahaya, maka ia akan mengancam keseamatan diri kita dan orang lain juga. Justeru janganlah segan segan untuk bertanya orang yang arif tentangnya.

Ibarat yang lebih jelas jika kita tersesat jalan untuk sesuatu tempat, tapi kita enggan bertanya, walaupu ruang untuk bertanya sentiasa luas terbuka, kita berputar putar dengan kenderaan kita untuk mencarinya. Akhirnya kitaa mungkin bertemu juga, tapi yang sepatutnya diambil selama setengah jam sahaja kalau kita membuka mulut bertanya, tapi ia terpaksa menelan masa dua jam lebih. Adakah kita seorang yang bijaksana dalam mengurus masa kita..

Tidak Tahu Menghargai Masa

Kita percaya semua orang tahu tentang pentingnya masa itu kepada mereka, keraana masa itu aalah umur mereka sendiri sebagai makhluk Allah SWT.

Secara kasarnya masa yang ada pada kita ini dapat dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu masa yang lepas atau masa yang telah lalu, masa sekarang dan masa akan datang.

Masa yang penting adalah masa saat ini atau sekarang, kerana masa sekaranglah yang akan menentukan masa akan datang dan masa yang lepas, kerana apa yang kita laku saat ini akan menjadi masa lepas sebahagian dari sejarah dan akan menjadi masa akan datang untuk dijadikan perhitungan di sisi Allah SWT.

Justeru itu gunakanlah masa sekarang dengan sebaik baiknya, tidak membazir dan tidak melakukan perkara perkara buruk yang ditegah oleh agama, kerana kelak mereka yang berdosa itu akan dipikulkan dengan segala dosa yang telah dilakukannya itu dan diminta pertanggungjawabnya oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Mengikut Sabda Rasulullah SAW.

“Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara:

Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan

Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan

Tentang hartanya dari aman diperolehi dan untuk apa dibelanjakan,

Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.

Dua soalan pertama di atas itu secara langsung pertanyaan mengenai masa manusia hidup di dunia.

Bermain main Dengan Masa

Ada sesetengah orang suka bermain main dengan masa, iaitu dengan senghaja melakukan perkara perkara yang tidak menguntungkan atau sebaliknya merugikan semata mata.

Antaranya kesukaan berdiri beramai ramai di pinggir pinggir jalan serta menganggu orang orang yang lalu lalang dengan cara yang tertentu; mnghabiskan terlalu lama masa menonton hiburan tv atau bermain main di internet; di musim puasa ini pula biasanya ramai orang orang yang berpuasa  menghabiskan sebahagian besar masa mereka untuk berhibur seperti bemain haji, lompat tikam, catur, main terup dan sebagainya untuk melengah lengah masa puasa mereka, mereka bermain tidak kira masa, asalkan ada ruang. Dan ada berbaga bagai perbuaan lagi yang termasuk dalam mereka yang suka mempermain mainkan masa.

Sesungguh masa itu emas, banyak dari kita memang menyedarinya, tapi sayangnya tidak banyak orang mengambil emas itu untuk dijadikan hak atau modal kepada mereka untuk memperolehi sesuatu yang amat berharga untuk hidup mereka masa ini dan akan datang yang penting ertinya kepada setiap makhluk Allah.

Awaslah dengan masa, jangan jadi orang bodoh, menghabiskan masa dengan membazir dan merugikan. Ia kurniaan Allah yang amat tidak ternilai harganya.

Justeru, sekali ini ditegaskan gunakan masa yang kita miliki itu dalam melaksanakan perkara perkara yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain dan tidak membazir, kerana bila masa itu berlalu ia tidak dapat ditarik balik lagi.

Rawatlah masa kita dengan saksama, supaya tidak terus disarangi penyakit yang merbahaya dan merugikan kita dunia dan akhirat. Semoga kita diberkati Allah SWT.

Sekian sebagai peringatan tentang masa yang perlu diawasi oleh setiap orang, terutama orang orang Islam.



Lorong Masjid al Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.






Read more...

KENAPA RAMBUT BERUBAN

>> Saturday, April 14, 2018











KENAPA RAMBUT BERUBAN












KADANG KADANG kita tertanya-tanya berapa banyakkah rambut yang Allah jadikan di atas kepala kita, sebagaimana kadang-kadang kita tertanya-tanya berapa banyakkah bintang-gemintang yang ada di dada langit.

Mengikut kajian sains di atas setiap buah kepala manusia terdapat kira-kira 100,000 helai rambut.

Dari sejak seorang manusia dilahirkan ke dunia rambut yang tumbuh di atas kepalanya itu tidaklah berkekalan sepanjang masa sampai ke tua atau sampai ke hujung hayatnya, kerana rambut di atas kepala itu  sentiasa gugur setiap hari.

Menurut kajian sains, setiap hari sebanyak 80 helai rambut gugur dari kepala seseorang setiap hari itu.

Walaupun rambut di kepala tidak berkekalan usianya sejajar dengan usia empunya kepala, tapi setiap minggu rambut yang ada di kepala itu tumbuh kira-kira sepanjang 2 hingga 3 cm atau 0.08-0 inci.

Pernah pula kejadian walaupun tempat rambut tumbuh itu di kepala, tapi kadang-kadang ada juga rambut yang tumbuh memenuhi muka sebagaimana pernah berlaku pada masa yang lalu. Ilmu kedoktorannya memanggil  “werewolf syndrome”.

Biasanya warna rambut itu hitam, tapi dalam keadaan tertentu, walaupun usianya tidak berkekalan  ia boleh berubah warnanya menjadi kelabu atau putih.

Kenapa Rambut Beruban

Rambut manusia di dunia ini, seperti kulit manusia juga, ada mempunyai beberapa warna aslinya, antaranya warna merah, blond, brown, putih dan hitam. Dalam setiap urat rambut manusia itu terdapat bahan bahan tertentu, antaranya dipanggil melanin, iaitu sejenis pigmen yang memberi warna kepada rambut. Melanin ini bukan sahaja menentukan warna rambut, tapi juga menentuk warna kulit manusia, seperti hitam atau putih.

Justeru jika melanin itu banyak terdapat dalam rambut, maka kian hitamlah rambut itu, tapi jika jumlah melanin itu berkurangan, maka kurang hitamlah rambut itu. Rambut yang sangat hitam itu disebut “hitam berkilat”.



                                                  Sukakan Botak


Jumlah melanin, banyak atau sedikit, tidaklah statitik, ia berubah dari dari masa ke masa, dan ini menyebabkan warna rambut juga berubah dari masa ke masa mengikut seukatan melanin yang terdapat padanya.

Biasanya warna rambut seseorang berubah mengikut usianya, seperti rambut putih atau kelabu, yang berpunca dari kemerosotan melanin dalam rambuat itu sendiri yang kian mengurang dalam usia tua.

Justeru itu rambut beruban adalah proses necral dalam usia tua.

Perubahan warna rambut ini biasanya berlaku antaranya dalam usia 45 hingga 65 tahun. Mengikut kajian dalam sepanjang usia tersebut terdapat seramai 74 peratus manusia yang beruban rambuatnya.

Mengikut kajian juga satu daripada sepuluh orang tidak beruban rambutnya selepas usia 60 tahun ke atas,

Tegasnya rambut berubah warna menjadi beruban, putih atau kelabu kerana kemerosotan bahan malanin atau ianya tidak berfugsi lagi, kerana meningkatnya usia seseorang. Walau bagaimanapun rambut beruban warna kelabu boleh berlaku bila bila masa pada seseorang di sepanjang hayatnya.

Tidak Sukakan Uban

Ada sesetengah manusia tidak sukakan uban yang tumbuh di atas kepala mereka, terutama kaum wanita menyebabkan mereka merasa rimas, malah mungkin juga, terganggu dan malu, kerana rambut uban itu mencerminkan mereka telah berusia.





Rasulullah SAW pun beruban.

Justeru mereka sedaya upaya berusaha untuk menghilangkan uban di atas kepala mereka dengan mengambil tindakan tindakan tertentu, baik kepada kaum lelaki atau wanita beruban.

Di antara tindakan yang biasa diambil ialah memakai warna hitam pada rambut, orang lelaki atau perempuan, menggondol kepala kepada lelaki, dan juga mencabut rambut rambut uban itu kalau tidak banyak memenuhi kepala.



Dilarang Mencabaut Uban

Rasulullah SAW mencegah umatnya mencabut uban di kepala. Sabda Baginda SAW:

“Janganlah mencabut uban. Tidaklah seorang Muslim yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, melainkan uban itu menjadi cahaya baginya pada Hari Kiamat nanti”.
Dan-
“Uban adalah cahaya bagi seorang Mukmin. Tidaklah seseorang beruban walaupun sehelai dalam Islam melainkan setiap ubannya akan dihitung sebagai satu kebaikan dan meninggikan darjahnya”.

Di dalam Kitab Suci al Quran, Allah berfirman:

“Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir dan apakah tidak datang kepadamu “peringatan”. Fathir: 37.

Mengikut sesetengah mufasir perkataan “peringatan” dalam ayat tersebut bermaksud “Uban”.





Pada masa masa dahulu di kampung kampung, di waktu petang hari,  para nenek dan ibu kelihatan  duduk di atas tangga membiarkan anak atau cucunya mencabut uban di atas kepala mereka. Biasanya mereka menggunakan sejenis alat pencabut uban yang khas yang dipanggil “penggepit rambut”, untuk mencabutnya sehelai demi sehelai. Alasannya ialah rambut yang mulai tumbuh beruban itu menggatalkan kulit kepala.

Luar Biasa

Walau bagaimanapun kadang kadang berlaku perkara yang menyempang dari biasa, iaitu terdapat seseorang yang kepalanya mungkin mempunyai dua warna dalam satu masa, seperti hitam dan kelabu.

Di samping itu ada juga sesetengah orang rambutnya beruban sebelum waktunya yang wajar, iaitu ketika masih muda belasan tahun kerarna kekurangan zat zat tertentu.

Dalam kejadian kejadian tertentu pula ada manusia yang rambutnya tumbuh memenuhi seluruh bahagian mukanya.

Demikianlah Allah SWT menjadikan apa sahaja yang Ia Kehendaki, kerana Ia Maha Pencipta yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksanana.




Lorong Masjid alQasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.







Read more...

TITIKSARAN UNTUK HIDUP BAHAGIA

>> Monday, April 9, 2018








TITIKSARAN UNTUK HIDUP BAHAGIA









PENGALAMAN mengajar kita bahawa kehidupan di dunia ini tidaklah sentiasa merupakan karpet yang bertabur dengan bunga-bungi, malah perjalanannya sentiasa dihiasi dengan onak dan duri, yang akan mengiggit kaki sesiapa sahaja yang melaluinya  tanpa beringat-ingat dan berhati-hati.

Malah hidup ini penuh dengan kesukaran, halangan, tekanan dan kepayahan yang mendatang tanpa diharap dan dipinta. Tekanan-tekanan berat yang memerlukan kita bertindak dan berfikir dengan teliti untuk menghadapinya dengan berjaya dan menyenangkan hati.

Kita seharusnya menyedari bahawa Allah mengurniakan kita manusia ini dengan segala kebolehan dan kemampuan untuk menghadapi segala rintangan-rintgan yang mendatang itu untuk membolehkan kita hidup gembira sepanjang hari. Allah mengurniakan kita kemampuan untuk mengatasi segala rintangan-rintangan yang merupakan ujian hidup itu untuk membolehkan kita mengharungi hidup ini dengan senyum dan riang gembira sebagai hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

Justeru itu kita mampu menghadapi dunia ini dengan dada yang lapang, muka yang berhias indah dan mulut yang berkembang senyum, bukannya menghadapi dunia ini dengan wajah berkerut dan dada yang sempit kerana kita tidak pandai mempergunakan segala kemudahan-kemudahan yang merupakan perisai  yang Allah kurniakan kepada kita untuk berhadapan dengan segala karenah-karenah hidup yang tidak menyenangkan itu.
Perisai-perisai yang kita miliki itu jika dipergunakan dengan sewajarnya boleh membawa kebahagian dan kesenangan hidup kepada kita sebagai orang yang beriman.

Di sini ada beberapa titiksaran yang simpel yang boleh dilaksanakan oleh setiap orang untuk menghadapi segala karenah-karenah pahit kehidupan ini untuk membolehklan kita hidup dengan riang dan gembira dalam kontak sebagai seorang hamba Allah.

Sangkabaik

 Salah satu sikap yang penting yang perlu kita miliki sebagai seorang insan yang inginkan kebahagian ialah mempunyai sikap sangkabaik. Kita mesti menerima sesuatu dengan sikap yang positif, baik atau buruk yang sesuatu kita hadapi itu. Menerima sesuatu dengan kebaikan, walaupun sesuatu yang tidak kita sukai.

Setiap orang dari kita sudah tentu tidak sukakan rintangan atau halangan yang mendepani hidup kita, menyebabkan terhalang daripada melakukan sesuatu yang kita kehendaki atau kita mahu. Ini mungkin berpunca daripada perbuatan orang yang senghaja ataupun mungkin tidak disenghajakan untuk menghalang rancangan-rancangan kita walaupun pada hakikatnya baik. Terimalah ia dengan baik, dan terimalah sebagai suatu rahsia kehidupan yang berlaku sepanjang masa, dan mungkin dihadapi oleh semua orang yang akan membuat kita lebih matang, kuat dan hati-hati di masa-masa akan datang datang.

Bersangka baiklah terhadap setiap sesuatu, walaupun sesuatu itu tidak kita perolehi sedangkan kita amat berhajatkannya, kerana Allah mungkin akan mengurniakan seusatu yang lebih baik lagi daripada itu kepada kita di masa-masa akan datang.

 Sangkaburuk

Hindarilah diri kita daripada memiliki sikap bersangka buruk terhadap orang lain, kerana sikap ini akan menimpakan petaka kepada kita.

Biasanya berdarakan sangkaburuk inilah kita membuat tanggapan atau keyakinan terhadap seseorang, walaupun masih belum dapat dibuktikan.

Kerana sangka buruk ini menyebabkan kita tidak suka atau bencikan, malah memusuhi  seseorang tanpa sebab yang nyata.

Akibatnya kalau dia senyumkan kita pun, kita kata, dia senyum mengejek.

Kalau dia beri salam kepada kita, maka kita kata dia mengada-ada, tidak ikhlas.

Kalau dia buat baik kepada kita pun, kita kata dia tidak ikhlas dan mempunyai sesuatu niat yang tersembunyi.

Semuanya tidak kena, dan yang kena hanya prasangka kita, sangkaburu kita terhadap orang dan ini menyebabkan fikiran menjadi kelam kabut, tidak tenang, dan tidak aman, serta buntu. Ini menyebabkan kita hilangan ketenangan dean kebahagian hidup yang amat berharga kepada bersangkaburuk terhdadap orang.

Lebih-lebih lagi jauhilah bersangka buruk terhadap Allah SWT yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sebaliknya sentiasalah bersangka baik terhadap Allah dan sentiasa berharap untuk mendapat limpahan rahmat Nya sepanjang masa.

Kasih Sayang

Kasih sayang amatlah penting dalam kehidupan seseorang insan, kerana manusia bukan sahaja hidup dengan akal dan fikiran, tapi juga dengan nafsu dan perasaan yang berpengaruh dalam kehidupan seseorang.

Kasih sayang itu amat luasnya dan banyak cabang-cabangnya mungkin tidak pernah terfikir oleh seseorang yang membatasi kasih sayang itu antara lelaki dan perempuan yang mereka namakan cinta semata. Kasih sayang mencangkup bidang yang luas.

Kasih sayang antara anak dan ibu bapa, yang amat penting nilainya dalam kehidupan setiap insan, sehingga Islam memerintah umatnya supaya memuliakan kedua ibu bapa mereka dengan sewjarnya.

Kasih sayang amat penting antara suami dan isteri. Perkahwinan tanpa kasih sayang, bukanlah sebuah rumahtangga, tapi sebuah kawah neraka.

Kasih sayang antara saudara-mara, keluarga, jiran tetangga semuanya amat penting dijaga. Demikian juga kasih antara sahabat-handai, rakan-rakan sekerja semuanya penting, kerana ianya merupakan sebahagian daripada rangakain kegembiraan kehidupan kita.

Malah berkasih sayanglah dengan seluruh umat manusia sebagai seorang yang beriman dan brtakwa.

Tanpa kasih sayang hidup kita tidak lagi bererti sebagai manusia, kerana di kalangan haiwan pun mereka hidup dengan berkasih saayang sesama mereka.

Tegas Dan Berani

Kita hendaklah menjadi seorang yang tegas dan berani dalam menegakkan keyakinan diri kita dan juga dalam menegakkan kebenaran.

Dalam hal ini, kita tidak wajar menjadi seorang yang lemah semangat yang suka mengalah semata-mata untuk menyukakan atau mengambil hati orang lain, sedangkan kita tahu bahawa kita sebenarnya berada di pihak yang benar. Justeru kita mestilah mempunyai msemangat yang waja dan berani untuk menyatakan apa yang kita wajar lakukan demi kebaikan bersama.

Namun dalam keadaan-keadaan tertentu, seperti dalam soal-soal yang tidak bermakna, tidaklah perlu kita bertegas, sekadar untuk mencari kemenangan diri dan merasa puas hati dengannya. Biarakan mereka merasa menang dalam kelemahannya sendiri.

Senyum

Sentiasalah murah dengan senyum, dan ketawalah dengan wajar dan sekadar yang perlu. Jangan ketawa seperti orang mabuk, hingga termuntah-muntah.



 

Kita bukan sahaja perlu senyum dalam keadaan yang gembira dan menyenangkan, tapi kita hendaklah juga tersenyum  dalam keadaan yang tidak menyenangkan. Tersenyum ketika senang dan susah akan membuat hati kita menjadi bertambah lapang, dengan itu muka kita tidak berkerut masam, tapi berseri-seri tanda kebahagian.

Senyumlah jika berjumpa atau bertermu dengan seseorang, pancarlah kegembiraan wajah kita melalui senuyuman manis yang menyenangkan hati orang pula.

Murahkan dengan senyum, kerana senyum pun dianggap sedekah jika kena pada masa dan tempatnya.

Sebarkan Salam

Senangkan hati orang lain, niscaya hati kita akan senang. Ada berbagai-abagai cara yang simpel untuk menyenangkan hati orang lain, iaitu dengan menyebarkan salam kepada mereka. Menyebarkan salam tidak memerlukan sebarang belanja, atau waktu untuk mengucapkannya.

Salam yang diucapkan ialah “Assalamualikum warahmatullahi wa barakatuh”. Salam ini perlu kita ucapkan kepada sesiapa sahaja, baik kepada  orang tua, orang muda yang kita temui, malah kanak-kanak sekalipun perlu diberi salam.

Memberi salam bukan sahaja terbatas kepada orang yang kita kenali tapi juga diucapkan kepada mereka yang tidak dikenali atau tidak pernah berjumpa sekalipun.

Kepada keluarga sendiri pun kita diperintah memberi salam sewaktu kita memasuki rumah, Allah berfirman: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada [sesiapa yang seperti] kamu  dengan memohon kepada Allah  cara hidup yang berkat dan baik”. Al- Nur 24: 61.

Salam memberi erti yang amat luasnya, antaranya bererti kita memberi jaminan kepada orang yang kita berikan salam itu bahawa mereka selamat dengan kita lahir dan batin, dia selamat baik daripada lidah, tangan dan juga hati kita.

Tapi dalam masyarakat kita mutakhir ini kita hanya bertemu dengan mereka yang memberi salam kepada orang yang merekamikenali sahaja, dan langsung tidak mengambil hal terhadap mereka yang tidak dikenali.

Rasulullah SAW ketika ditanya “Apakah ajaran Islam yang baik”.
Beliau menjawab, “Memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kamu kenali, juga kepada orang yang tidak kamu kenali”.

Justeru rajin-rajinlah memberi salam yang memberi manfaat kepada kita juga sebagai pemberi salam yang dilakukan dengan ikhlas dan jujur.

Ini memang wajar kerana membuat orang lain gembira dan senang hati, sudah tentu kita pun turut merasa bahagia dengannya.

Demikianlah beberapa titiksaran yang mudah diamalkan untuk membina kebahagian hidup kita setiap hari. InsyaAllah.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan








Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP