Showing posts with label Kelantan Dalam Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Kelantan Dalam Sejarah. Show all posts

NASI DAGANG DAN ASAL USULNYA

>> Sunday, April 1, 2018






NASI DAGANG  DAN  ASAL USULNYA


SETIAP sesuatu mempunyai sejarah atau asal usulnya yang tersendiri. Demikian jugalah dengan nasi dagang.

Nasi dagang ialah sejenis nasi yang berbeza dari nasi biasa. Ia diperbuat dengan menggunakan beras nasi dagang yang khusus, atau menggunakan beras campuran, antara beras putih beras jemah dan beras pulut dengan kadar tertentu sebagaimana masih populer di negeri Terengganu hingga sekarang.





Biasanya nasi dagang dimakan dengan gulai ikan atau gulai ayam yang khusus untuk nasi dagang. Biasanya ia juga diletakkan seiris telur ayam rebus yang dibelah empat. Ia tidak wajar dimakan dengan  ikan singgan, ikan masak tempoyak dan sebagainya.

Bahan bahan  Nasi Dagang

Bahan-bahan untuk membuat nasi dagang,

Beras siam [bukan beras wangi], beras pulut, kelapa, bawang merah, halia, halba, garam dan gula.

Justeru bukan tujuan saya kali ini untuk menulis resipi nasi dagang maka tidaklah saya melanjutkan cara-cara memasaknya.

Pada hari ini sudah beras nasi dagang yang tidak perlu dicampurkan denga beras pulut, kerana sudah berasnya yang khusus untuk membuat nasi dagang tanpa perlu dicampurkan dengan beras pulut lagi. Warnanya kehitam-hitaman.

Kebanyakan peniaga-peniaga nasi di Kelantan sejak kebelakangan ini menggunakan beras khas nasi dagang ini untuk tujuan pemasaran daripada menggunakan beras yang dicampur.

Pada masa dahulu beras khas nasi dagang masih belum terdapat di pasaran, kerana itu mereka menggunakan beras campuran beras pulut dan ceras jemah [beras nasi biasa], seperti Nasi Dagang Terengganu.

Biasanya lauk yang digunakan ialah ikan aya [tongkol] atau ayam yang dimasak gulai yang khusus untuk nasi dagang.

Kalau dahulu orang-orang Kelantan menggunakan sambal kelapa goreng yang ditumbuk hingga berminyak  untuk dimakan dengan nasi dagang. Sambalnya sedikit sahaja untuk sepinggang atau sebungkus nasi. Hari pun masih ada lagi para peniaga yang menggunakan sambal kepala untuk nasi dagang.

Asal Usul Nasi Dagang

Mengikut tradisi dari cerita orang tua-tua nasi dagang itu ciptaan Puteri Saadong. Puteri Saadong adalah Raja Perempuan Kedua memerintah Kelantan dari tahun 1667 hingga tahun1671.

Puteri Saadong adalah anak kepada Raja Loyor dan datoknya Raja Sakti.Puteri Saadong dijadikan angkat oleh Cik Siti Wang Kembang, Raja Perempuan Kelantan Yang Pertama.

Puteri Saadong berkawhin dengan sepupunya Raja Abdullah putera Sultan Samiruddin, iaitu Raja Jembal [Kelantan Selatan[.

Mengikut cerita, salah seeorang daripada Raja Siam telah terpesona dengan Puteri Saadong, lalu menangkapnya dan membawanya ke Siam untuk dijadikan permaisurinya, walaupun tanpa persetujuan Puteri Saadong.

Tapi kerana keberkatan Putersi Saadong Raja Siam tidak boleh mendekati ataupun menyentuhnya. Raja Siam menghidap sejenis penyakit kulit yang misteri yang tidak dapat disembuhkan dalam tempoh yang lama.

Puteri Saadong menawarkan pertolongan dengan syarat beliau dihantar kembali ke Kelantan jika penyakit Raja Siam itu sembuh. Setelah dirawat penyakit itupun sembuh.

Justeru itu Raja Siam terpakasa menghantar kembali Puteri Saadong ke Kelantan menerusi sebuah rombongan yang khusus.

Rombongan yang membawa Puteri Saadong itu sampai ke Kelantan dan berlabuh  di Kuala Kemasin. Pada masa itu bekalan yang mereka bawa, seperti beras, lauk pauk, kelapa dan sebagainya hampir kehabisan.

Puteri Saadong dengan kebijaksanaanya telah memasak nasi dengan menggunakan bahan bahan yang sedikit itu untuk mereka makan.

Masakan itu dinamakan “Nasi Dagang” mengambil sempena keadaan mereka yang berdagang itu.

Kisah ini tidak berakhir di sini, dan ia berakhir dengan trajis. Suaminya Raja Abdullah telah mati terbunuh, kerana tertikam dengan kemucak sanggul Puteri Saadong, dan jenazahnya dikebumikan di Padang Halban, Melor, Bachok Kelantan. Makamnya masih didapati sampai sekarang.

Sementara Puteri Saadong pencipta nasi dagang itu pula menghilangkan diri entah ke mana, dan tidak dapat dikesan hingga ke hari ini.

Namun begitu, panggilan nasi dagang itu terus berkekalan hingga ke hari ini. Demikianlah cerita dari mulut ke mulut tentang nasi dagang, dan mungkin ada kebenarannya.

Nasi Dagang Hari Ini

Rata-rata hari ini nasi dagang yang dijualkan di gerai-gerai atau di kedai-kedai tidak lagi sesedap nasi dagang di masa-masa yang lalu, khususnya tiga empat puluh tahun yang lalu.





Ini berlaku kerana nasi dagang yang dipasarkan itu, terutama yang telah siap dibungkus, tidak berkualiti sebagai nasi dagang tulen kerana beberapa sebab:

Nasi dagang itu terlalu keras, sedangkan ia sepatutnya lembut. Ini mungkin berlaku kerana tidak cukup dikukus menyebabkan ia tidak cukup masak.

Ia juga mungkin menjadi keras kerana berasnya  tidak direndam dalam air secukupnya sebelum dimasak.

Nasi dagang campuran beras pulut dan beras jemah mungkin juga menjadi keras kerana sukatan beras jemah itu tidak seimbang dengan beras pulut yang terlalu sedikit.

Sebaliknya ada pula nasi yang terlalu lembut, jadi lemebek jejek, seperti nasi lembek. Tidak enak dimakan.





Ada nasi dagang rasanya pula terlebih manis, persis ketika memakan nasi dagang sira dengan gula.

Ada nasi dagang yang kering dan tidak lemak kerana tidak cukup santan kelapa ketika menggaulnya.

Ada sesetengah penjual nasi dagang mungkin tidak mengukusnya seperti sewajarnya ketika memasak nasi dagang, tapi sebaliknya menanak nasi itu seperti memasak nasi lemak, akibatnya nasi dagang itu persis nasi lemak yang menggunakan beras yang berbeza.

Kadang-kadang dibubuh halba terlalu banyak, hingga terasa seperti memakan nasi halba. Sedang tujuan utamanya dimasukkan sedidkit halba itu untuk menghilang rasa mual nasi dagang.

Punca semua ini berlaku adalah kerana tidak ada ilmu, akibat tidak belajar atau kurang belajar, dan mungkin kerana ingin meraih keuntungan yang lebih, dengan mengurangkan santan, mengecilkan penggunaan api dan sebagainya.

Kita harap peniaga-peniaga nasi dagang, malah ibu-ibu yang memasak nasi dagang untuk makan sendiri atau keluarga lebih teliti dalam memasak nasi dagang, supaya rasanya enak dan sedap di nikmati dan berkualiti.

Sekian.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




Read more...

MITOS RAJA SALOR

>> Friday, December 22, 2017






MITOS TENTANG RAJA SALOR




                        Mohd Zain & Pak Su Husin [Kanan]

 RAJA SALOR



SALOR adalah sebuah daerah yang terletak dalam Jajajahan Kota Bharu, kira-kira 12 kilometer dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Pada masa lampau daerah ini diperintah oleh seorang raja yang tersendiri, yang didirikan dengan kebenaran dari Raja Negeri Kelantan yang telah sedia wujud dan bersemayam di Kota Bharu.

Tapi malangnya Raja Salor ini tidak lama wujudnya, kerana telah diserang oleh Raja Negeri Kelantan yang membunuh semua keluarganya. Menurut cerita tradisionak tempatan, perkara ini berlaku semata-mata berpunca dari fitnah.

Pada suatu masa Raja Salor mengadakan pesta secara besar-besaran, dan turut menjemput Raja Kelantan menghadiri majlis itu. Di majlis itu berlaku peristiwa yang menimbulkan fitnah, iaitu salah seorang putera Raja Salor yang tidak siuman yang suka bermain keris telah dengan tidak sengaja menggoriskan sedikit kulit putera Raja Kelantan, iaitu Long Sulung, Putera Sultan Muhmmad 11 yang memerintah dari tahun  1837-1886, yang berada di seblelahnya.

Peristiwa yang tidak disenghajakan ini telah dijadikan fitnah menuduh Raja Salor menderhaka kepada Sultan Muhammad 11. Baginda sangat marah, lalu memerintah supaya Raja Salor diserang dan dibunuh bersama-sama dengan keluarganya.

Raja Salor yang terakhir yang dikenakan hukuman bunuh itu ialah Tan Kuning.

Demikianlah berakhirnya pemerintahan Raja Salor, sebagai saksinya makam Raja Salor dan kubur-kubur beberapa orang  pahlawannya terhampar kaku berhampiran dengan makam itu untuk menjadi saksi sebuah sejarah hitam yang bermandikan darah.








Faris Zaini

Saya pernah menulis secebis catatan tentang sejarah Raja Salor ini dalam Blog saya, Pondok Rahmat tidak berapa lama dahulu. Jika anda ingin membacanya bukalah Blog Pondok Rahmat@gmail.com di bawah tajuk Kampung Salor Dalam Lipatan Sejarah.

Tidak lama kemudian ada seseorang menghubungi saya memberi maklumat yang berguna tentang keluarganya yang mengetahui kisah Raja Salor dan memberi nombor telefon kiranya saya ingin menghubungi mereka. Tapi malangnya kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya tidak bekesempatan menghubungi mereka, dan sekarang nama dan alamt mereka semunya telah tidak dapat dikesan lagi dari simpanan saya. Alangkah baik jika saya dapat menghubungi mereka kembali.


Bagaimana Tulisan Ini Bermula

Pada hari Selasa, 5 Disember 2017 saya berkebetulan mengikuti anak Ahmad Fariz dan menantu Azaliza untuk menziarahi keluarga mereka di Kampung Selekoh Mat Rifin, Salor. Secara kebetulan di rumah tersebut saya bertemu dengan tuan rumah, Husin Mat Ali yang terkenal dengan panggilan Pak Su Husin, berusia 70 tahun.

Dalam perbualan sebentar di anjung rumahnya itu beliau telah menceritakan lintasan sejarah Raja Salor yang memang telah lama saya mencari tambahan kisanyanya. Beliau memang mengetahui kisah-kisah tradisonal seperti ini. Dan hasil perbualan itu saya lampirkan di sini untuk telitian para peminat, khususnya penduduk-penduduk tempatan, di kalangan genarasi muda yang mungkin terlepas pandang daripada menyedari sejarah kampung mereka sendiri

Semoga memberi manfaat jua.

Tok Kaya Hulubalang

Raja Salor mempunyai seorang pahlawan yang handalan, dan gagah berani yang dikenali dengan  panggilan Tok Kaya Hulubalang.

Mengikut Pak Su Husin,Tok Kaya Hulubalang ini pada masa kanak-kanaknya seorang yang nakal, suka mencuri telur ayam di rumah-rumah orang. Pada suatu hari, dia telah ditangkap oleh orang kampung dan diselam ke dalam air untuk menghukumnya.

Tapi seminggu kemudian, bila diperiksa, kerana semua orang menyangka dia telah mati, tapi sebenarnya dia masih hidup dan segar bugar seperti biasa.

Mengikut riwayat, dalam tengkuk Tok Kaya Hulubalang itu ada bulu atau rambut yang keluar setiap hari Selasa. Pada hari rambut dalam tengkuknyya itu keluar, dia menjadi terlalu ganas, maka kerana itu dia terpakasa dikurung demi keselamatan orang ramai.

Semasa angkatan Raja Kota Bharu menyerang Raja Salor itu Tok Kaya Hulubalang tidak ada di istana, tapi berada di negara Thailand, kerana dijemput oleh raja Siam di sana untuk membantunya berperang dengan musuh.

Kata Pak Su Husin, kalau Tok Kaya Hulubalang ini ada di isatana Salor ketika itu sudah tentu Raja Kota Bharu, tidak dapat menumpaskan Raja Salor.

Kenapa Diserang

Persoalan yang timbul ialah kenapa Raja Kota Bharu menyerang Raja Salor dan membunuhnya. Yang dibunuh itu bukan sahaja seorang Raja Salor, tapi seluruh keluarganya.

Seperti disebut di atas Raja Salor dituduh derhaka dan cuba membunuh anak Raja Kota Bharu. Sebenarnya kata Pak Su Husin, sebelum itu Raja Salor mengadakan pesta keramaian, dan Raja Kota Kbharu dijemput menghadarinya.

Raja Salor ini mempunyai seorang putera yang kurang siuman, dan ketika bersuka ria itu tiba-tiba keris yang berada di tangannya dengan tidak sengaja telah terkena putera Raja Kota Bharu, dan menggoriskan kulitnya sedikit.

Berdasarkan kejadian itu, anak Raja Salor difitnahkan cuba membunuh putera Raja Kota Bharu. Itulah puncanya Raja Kota Bharu menyerang Raja Salor dan membunuh seluruh keluarganya.

Walau bagaimanapun mengikut riwayat mulut ada seorang kanak-kanak perempuan yang terlepas dari tindakan kejam dan berjaya meluluskan diri.

Ada sumber tradisi mengatakan beliau melarikan diri ke Thailand, tapi menurut sumber Pak Su Husin, kanak-kanak itu melarikan diri dan bersembunyi di Bachok.


Keris

Beliau pernah melihat malah memegang sebilah keris berwarna hijau kepunyaan Raja Salor yang terdapat pada salah seorang warga Cina yang pernah bekerja di Istana Raja Salor.. Katanya, “Saya pernah melihat dan memegang keris itu yang berwarna hijau. Rupanya sangat cantik, di dalamnya macam ada air menitis. Baunya semerbak mewangi, bila saya menarik keluar keris itu dari sarungnya, setelah meminta kebenarannya terlebih dahulu”.

Beliau percaya, keris itu masih ada, pada keluarga tersebut, jika tidak dijualkannya.

Tongkat

Mengikut Pak Su Husin Raja Salor juga ada meninggalkan sebatang tongkat yang tidak dapat dipastikan daripada apa tongkat itu diperbuat. Katanya ia bukan kayu, bukan plastik dan bukan pula besi.

“Kepala tomgkat itu pula boleh diputar atau di pusing-pusingkan dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri tapi tidak akan tercabut”.

Beliau pernah memimjam tongkat itu daripada kawannya seorang Tionghoa yang neneknya pernah bekerja dengan Raja Salor. Malah tongkat itu hampir sepanjang masa berada padanya.

“Tapi pada suatu ketika saya tidak nampak lagi  tongkat itu di rumah saya. Bila saya tanya keluarga, di mana tongkat itu, saya diberitahu tongkat itu telah patah dua, ketika digunakan untuk mencongkil sesuatu benda, dan yang tinggal bahagian kepala tongkat sahaja. Kemudiannya kepala tongkat itupun turut hilang. Sayang sungguh”, katanya Pak Su Husin.

Di samping itu beliau juga pernah melihat beberapa batang lembing kepunyaan Raja Salor yang ditunjukkan oleh keluarga Cina itu kepadanya.

Katanya tidaklah diketahui adakah lembing-lembing itu masih ada atau sudah tidak ada lagi sekarang.

Minta Nombor Ekor

Katanya pada masa dulu, ramai orang berkunjung ke makam Raja Salor itu untuk tujuan yang tidak wajar, iaitu meminta nombor ekor. Pada satu ketika dulu di sekitar Kg. Salor brlegar sejenis perjudian yang dipanggil “cap jeki” yang menggunakan angka-angka untuk menang. Untuk mendapat nombor-nombor ekor itu para peminat akan berkumpul di makam itu dan membuat pemujaan yang tertentu untuk diturunkan nombor-nombor yang dikatakan akan memenangi perjudian. 

Tidaklah dapat dipastikan adakah nombor-nombor yang mereka perolehi itu memberi kemenangan kepada mereka.

Tapi sejak kebelakangan ini, tidak ada lagi mereka yang berkunjung ke makam itu untuk mendapat nombor kerana perjudian “cap jeki” telah lama berkubur.

Bukan Untuk Orang Bukan Islam

Di sekitar tanah perkuburan itu juga pada masa yang lalu pernah diadakan “perarakan tok kong” oleh orang-orang Cina yang tinggal di sekitar. Biasa setiap setahun sekali orang-orang Cina di kampung sekitar akan kmengadakan perarakan tok kong mereka, kemudian diikuti dengan persembahan hiburan Menora Siam. Yang ramai menonton Menora yang diadakan selama beberapa hari ialah orang-orang Melayu.

Tapi pada suatu masa yang tidak lama kemudian perarakan tok kong di kawasan  perkuburan itu terpaksa dihentikan, kerana ketua kaum Cina itu mendapt mimpi yang bermaksud, tanah perkubunran itu tanah perkuburan orang Islam, maka tidak patut orang-orang Cina mengadakan perarakan tok kong mereka di situ. Maka dengan itu perarakan tok kong itu segera dipindahkan berhampiran dengan Sungai Kelantan.

Berhubung dengan perkara, kata Pak Su Husin ada seorang wanita Cina yang tidak mengindahkan larangan itu, lalu mengadakan pemujaan di makan itu untuk meminta nombor ekor. Sedang dia melakukan permujaan itu dia ternampak pancaran api jatuh ke atas rumahnya yang tidak jauh dari situ.

Akibatnya, dia telah menjadi gila, dan kemudiannya mati dengan kegilaannya itu.

Harta Karung

Bila menyedari Raja Kota Bharu menghantar angkatan perang untuk menyerang, dan merasa kekuataannya tidak mampu untuk bertahan, Raja Salor  dikatakan menyorokkkan segala harta bendanya yang berharga.

Dikatakan beliau telah menyembunyikan ke dalam telaga dalam kawasan istana. Dalam istana itu mempunyai tiga buah telaga, sebuh daripadanya terletak agak jauh dari bangunan istana untuk kegunaan puteri-puteri raja semata. Dua telaga lagi untuk kegunaan kaum lelaki.

Pada masa lalu ramai orang datang dari masa ke masa memburu harta karung itu. Mereka menetap di tanah perkuburan selama beberapa malam membuat upacara-upacara tertentu untuk memanggil harta itu.

Kata Pak Su Husin, beliau masih ingat lagi, ada satu rombongan seramai sepuluh orang yang datang dari Bachok untuk mencari harta yang tersembunyi itu. Mereka menetap di situ selama beberapa hari.

Tapi pada akhirnya, seperti mereka yang datang terdulu juga tidak mendapat harta yang mereka cari itu. Mereka pulang dengan tangan kosong.

Walau bagaimana pun, Pak Su Husin menegaskan, “Harta itu memang ada di dalam kawasan istana. Jika telaga-telaga itu ditemui kemungkin besar harta itu akan ditemui".

Pak Cu Ong

Daripada keluarga Cina yang pernah bekerja dengan Raja Salor ada seorang Cina yang terkenal dengan nama Pak Cu Ong. Saya pun masih teringat-ingat nama disebut orang ketika saya kanak-kanak dulu.

Menurut Pak Su Husin, Pak Cu Ong ini seorang bomoh yang pandai untuk merawat berbagai-bagai jenis penyakit. Katanya, Pak Cu Ong seorang bomoh patah yang termasyur.

Beliau sendiri katanya mempunyai pengalaman berubat dengan Pak Cu Ong, untuk merawat siku sendinya yang terkeliher atau tercabut naik arah ke atas lengannya. Alhamdulillah, sendinya yang tercabut itu dapat dimasukkan semula, jelas beliau sambil menunjukkan sendinya yang pernah tercabut it.

Katanya Pak Cu Ong, ini dia berguru dengan tok bomoh Melayu, bersama-sama dengan dua orang lagi yang juga terkenal sebagai bomoh, iaitu Tok Samad Salor, Tok Ayah [Pendek], dan seorang lagi Awang Gagah. Tok Samad ini ayah kepada Alahyarham Cik Gu Ghani dan Hussin, yang memang terkenal ketika saya kanak-kanak dulu.

Pada masa dahulu Kampung Salor memang mempunyai ramai bomoh-bomoh yang terkenal. Selain dari tiga orang yang disebut di atas, iaitu Tok Samad Salor, Tok Ayah [Pendek], Tok Awang Gagah, dan Pak Chu Ong, kemudian ada lagi beberapa orang yang mewarisinya, antaranya Mat Said, Saleh Hj. Muhammad [Pak Chu Leh Tok Bomoh], Tok Daud, Ayah kepada Yahya yang saya masih lupa namanya, Tok Minah, bomoh resedung dan sakit mata, dan lain-lain lagi.

Sahabat Pak Su Husin

Antara salah seorang sahabat baik beliau orang Cina yang keturunan daripada pekerja di istana Raja Salor. Sahabatnya itu kawan persekolahan dengan beliau di Sekolah Menegah Sultan Ibrahim, Pasir Mas, Kelantan.

Sehabis bersekolah sahabatnya itu berhijrah ke Phenon Pheng, Vietnam dengan menaiki kreta api melalui Thailand selama dua hari. Masa itu dia bekerja sebagai penterjemah di Lapangan Terbang Pehon Pheng.

Sahabatnya itu pernah mengutus sepucuk surat kepadanya menjemput dia pergi ke sana jika ingin bekerja bersama dengannya. Tempat tinggal boleh tinggal bersama dengannya.

Masa itu dia masih belum bekerja, dan memang terlintas dalam fikirannya untuk mengikuti jejak kawannya itu. Tapi dihalang oleh ayahnya dan menasihatinya supaya mencari apa-apa kerja di tempat sendiri.

Sejak itu hubungannya dengan sahabatnya itu terputus, dan tidak lagi kabar berita darinya.

Namun begitu, kalau saya tidak terkeliru dia ada mempunyai seorang saudara yang pernah bekerja sebagai pemandu kepada seorang doktor swasta di Kota Bharu. Tapi buat masa kini Pak Su Husin tidak pasti lagi di mana  lelaki itu berada.

Kawasan Istana

Menurut Pak Su Husin tanah milik Raja Salor di mana istananya terletak seluas 18 ekar. Kemudian tanah itu entah bagaimana dimilik oleh kerabat-kerabat Di Raja Kelantan. Sekarang tanah itu terbiar, tanpa terurus, penuh semak samun.

Beliau pernah berunding dengan salah seorang anggota kerabat Di Raja itu untuk menyewa tanah tersebut, dan untuk memelihara ayam, dan juga membuat ladang pertanian. Beliau sanggup membayar sewanya setiap bulan. Seorang dari mereka yang datang dari Kuala Lumpur dan berunding dengannya memang bersetuju dengan rancangannya itu. Tapi sayang keluargaynta yang lain tidak merestuinya. Maka rancangan itu tidak dapat dilaksanakan dan tanah itu terus tinggal terbiar hingga sekarang.

Pada masa dulu kayu-kayu sisa binaan istana itu masih boleh ditemui, tapi sejak kebelakangan ini tidaklah diketahui lagi.

Selamat membaca. Salam hormat dari saya,



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.






Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP