NASI DAGANG DAN ASAL USULNYA
>> Sunday, April 1, 2018
NASI DAGANG DAN ASAL USULNYA
SETIAP sesuatu mempunyai sejarah
atau asal usulnya yang tersendiri. Demikian jugalah dengan nasi dagang.
Nasi dagang ialah sejenis nasi yang berbeza dari nasi biasa. Ia diperbuat
dengan menggunakan beras nasi dagang yang khusus, atau menggunakan beras
campuran, antara beras putih beras jemah dan beras pulut dengan kadar tertentu sebagaimana masih
populer di negeri Terengganu hingga sekarang.
Biasanya nasi dagang dimakan dengan gulai ikan atau gulai ayam yang khusus untuk nasi dagang. Biasanya ia juga diletakkan seiris telur ayam rebus yang dibelah empat. Ia tidak wajar dimakan dengan ikan singgan, ikan masak tempoyak dan sebagainya.
Bahan bahan Nasi
Dagang
Bahan-bahan untuk membuat nasi dagang,
Beras siam [bukan beras wangi], beras pulut, kelapa, bawang merah, halia, halba,
garam dan gula.
Justeru bukan tujuan saya kali ini untuk menulis resipi nasi dagang maka
tidaklah saya melanjutkan cara-cara memasaknya.
Pada hari ini sudah beras nasi dagang yang tidak perlu dicampurkan denga
beras pulut, kerana sudah berasnya yang khusus untuk membuat nasi dagang tanpa
perlu dicampurkan dengan beras pulut lagi. Warnanya kehitam-hitaman.
Kebanyakan peniaga-peniaga nasi di Kelantan sejak kebelakangan ini menggunakan
beras khas nasi dagang ini untuk tujuan pemasaran daripada menggunakan beras
yang dicampur.
Pada masa dahulu beras khas nasi dagang masih belum terdapat di pasaran,
kerana itu mereka menggunakan beras campuran beras pulut dan ceras jemah [beras
nasi biasa], seperti Nasi Dagang Terengganu.
Biasanya lauk yang digunakan ialah ikan aya [tongkol] atau ayam yang
dimasak gulai yang khusus untuk nasi dagang.
Kalau dahulu orang-orang Kelantan menggunakan sambal kelapa goreng yang
ditumbuk hingga berminyak untuk dimakan
dengan nasi dagang. Sambalnya sedikit sahaja untuk sepinggang atau sebungkus
nasi. Hari pun masih ada lagi para peniaga yang menggunakan sambal kepala untuk
nasi dagang.
Asal Usul Nasi Dagang
Mengikut tradisi dari cerita orang tua-tua nasi dagang itu ciptaan Puteri
Saadong. Puteri Saadong adalah Raja Perempuan Kedua memerintah Kelantan dari
tahun 1667 hingga tahun1671.
Puteri Saadong adalah anak kepada Raja Loyor dan datoknya Raja Sakti.Puteri Saadong dijadikan angkat oleh Cik Siti Wang Kembang, Raja Perempuan
Kelantan Yang Pertama.
Puteri Saadong berkawhin dengan sepupunya Raja Abdullah putera Sultan
Samiruddin, iaitu Raja Jembal [Kelantan Selatan[.
Mengikut cerita, salah seeorang daripada Raja Siam telah terpesona dengan
Puteri Saadong, lalu menangkapnya dan membawanya ke Siam untuk dijadikan
permaisurinya, walaupun tanpa persetujuan Puteri Saadong.
Tapi kerana keberkatan Putersi Saadong Raja Siam tidak boleh mendekati
ataupun menyentuhnya. Raja Siam menghidap sejenis penyakit kulit yang misteri
yang tidak dapat disembuhkan dalam tempoh yang lama.
Puteri Saadong menawarkan pertolongan dengan syarat beliau dihantar kembali
ke Kelantan jika penyakit Raja Siam itu sembuh. Setelah dirawat penyakit itupun
sembuh.
Justeru itu Raja Siam terpakasa menghantar kembali Puteri Saadong ke
Kelantan menerusi sebuah rombongan yang khusus.
Rombongan yang membawa Puteri Saadong itu sampai ke Kelantan dan
berlabuh di Kuala Kemasin. Pada masa itu
bekalan yang mereka bawa, seperti beras, lauk pauk, kelapa dan sebagainya
hampir kehabisan.
Puteri Saadong dengan kebijaksanaanya telah memasak nasi dengan menggunakan
bahan bahan yang sedikit itu untuk mereka makan.
Masakan itu dinamakan “Nasi Dagang” mengambil sempena keadaan mereka yang
berdagang itu.
Kisah ini tidak berakhir di sini, dan ia berakhir dengan trajis. Suaminya
Raja Abdullah telah mati terbunuh, kerana tertikam dengan kemucak sanggul
Puteri Saadong, dan jenazahnya dikebumikan di Padang Halban, Melor, Bachok
Kelantan. Makamnya masih didapati sampai sekarang.
Sementara Puteri Saadong pencipta nasi dagang itu pula menghilangkan diri
entah ke mana, dan tidak dapat dikesan hingga ke hari ini.
Namun begitu, panggilan nasi dagang itu terus berkekalan hingga ke hari
ini. Demikianlah cerita dari mulut ke mulut tentang nasi dagang, dan mungkin
ada kebenarannya.
Nasi Dagang Hari Ini
Rata-rata hari ini nasi dagang yang dijualkan di gerai-gerai atau di
kedai-kedai tidak lagi sesedap nasi dagang di masa-masa yang lalu, khususnya
tiga empat puluh tahun yang lalu.
Ini berlaku kerana nasi dagang yang dipasarkan itu, terutama yang telah siap dibungkus, tidak berkualiti sebagai nasi dagang tulen kerana beberapa sebab:
Nasi dagang itu terlalu keras, sedangkan ia sepatutnya lembut. Ini mungkin
berlaku kerana tidak cukup dikukus menyebabkan ia tidak cukup masak.
Ia juga mungkin menjadi keras kerana berasnya tidak direndam dalam air secukupnya sebelum
dimasak.
Nasi dagang campuran beras pulut dan beras jemah mungkin juga menjadi keras
kerana sukatan beras jemah itu tidak seimbang dengan beras pulut yang terlalu
sedikit.
Sebaliknya ada pula nasi yang terlalu lembut, jadi lemebek jejek, seperti
nasi lembek. Tidak enak dimakan.
Ada nasi dagang yang kering dan tidak lemak kerana tidak cukup santan
kelapa ketika menggaulnya.
Ada sesetengah penjual nasi dagang mungkin tidak mengukusnya seperti
sewajarnya ketika memasak nasi dagang, tapi sebaliknya menanak nasi itu seperti
memasak nasi lemak, akibatnya nasi dagang itu persis nasi lemak yang
menggunakan beras yang berbeza.
Kadang-kadang dibubuh halba terlalu banyak, hingga terasa seperti memakan
nasi halba. Sedang tujuan utamanya dimasukkan sedidkit halba itu untuk
menghilang rasa mual nasi dagang.
Punca semua ini berlaku adalah kerana tidak ada ilmu, akibat tidak belajar
atau kurang belajar, dan mungkin kerana ingin meraih keuntungan yang lebih, dengan mengurangkan santan, mengecilkan penggunaan api dan sebagainya.
Kita harap peniaga-peniaga nasi dagang, malah ibu-ibu yang memasak nasi
dagang untuk makan sendiri atau keluarga lebih teliti dalam memasak nasi
dagang, supaya rasanya enak dan sedap di nikmati dan berkualiti.
Sekian.
Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
0 comments:
Post a Comment