MASJID SALOR YANG DIKENANGI

>> Friday, December 6, 2013






 MASJID SALOR YANG DIKENANGI




SEBAGAIMANA biasa saya dan dua orang cucu balik ke Kampung Salor pagi tadi. Hari Jumaat. Hujan telah berhenti walaupun cuaca tidak memberi pertanda akan panas sepanjang hari. Dalam perjalanan pulang kami singgah di Masjid Salor yang letaknya tidak berapa jauh dari jalan utama Kota Bharu-Pasir Mas ikut jalan lama. Jalan ke masjid Salor itu dipanggil Lorong Masjid, di mana di kiri kanan lorong terdapat rumah-rumah penduduk hingga sampai ke perbatasan tanah perkuburan masjid.






Sebenarnya kami telah lama tidak menghadirkan diri di masjid itu, kerana kami bersolat di masjid-masjid tempat kami tinggal. Masjid yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan itu telah jauh berubah wajahnya, menjadi lebih kemas, cantik dan bersih, berkarpet, tidak seperti puluhan tahun yang lalu. Demikian juga dari pengisian aktiviti keagamaannya telah jauh meningkat maju.



 
Seperti masjid-masjid lain juga hari ini, masjid bukan lagi semata-mata digunakan sebagai tempat bersolat lima kali sehari, atau solat Jumaat seminggu sekali, atau solat tarawih di bulan Ramadan, tapi juga telah menjadi pusat dakwah dan penyebaran agama Islam dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan dan sebagainya.



 
Justeru kami sampai awal benar, tidaklah sempat bertemu dengan tok imam atau kakitangan-kakitangan masjid untuk mendapat maklumat lengkap tentang masjid. Pada masa itu ada tiga orang, dua lelaki, seorang wanita sedang bekerja membersih masjid. Dua orang sedang mencucui karpet dan seorang sedang membasuh bahagian luar masjid. Saya sempat bertegur sapa dan berbual-bual sepatah dua dengan lelaki yang berkhidmat memabasuh masjid itu.



Masjid ini dinamakan Masjid Salor kerana letaknya di Kampung Salor dan untuk kegunaan  penduduk Mukim Salor. Tidak seperti sesetengah kampung lain, menggunakan nama-nama tertentu untuk menamakan masjid mereka, seperti nama tokoh-tokoh  yang berjasa atau nama pembina masjid yang pemurah itu.






Mengikut riwayatnya, Masjid Kampung Salor asalnya terletak di tepi Sungai Kelantan, di mana sebahagian besar daripada bumi Kampung Salor telah hilang ditelan sungai yang airnya sentiasa deras mengalir dan menerjah dalam musim hujan atau banjir yang sentiasa meruntuhkan tebing-tebing sungai dan menghanyutkannya. Sebidang tanah nenek saya juga turut ditelan sungai.



Kira-kira pada tahun 1925 sebuah masjid baru telah dibina di atas tapak barunya yang ada sekarang. Letaknya kira-kira 50 meter dari tapak masjid lama yang dibina dari kayu dirobohkan dalam masa yang sama itu. Masjid baru itu dipercayai telah dapat digunakan pada tahun 1926.





 Masjid Salor yang baru ini dikatakan  corak seni binaannya terpengaruh  dengan senibina penjajah British yang menguasai negara pada masa itu.



Hari ini sukar untuk mendapat maklumat-maklumat terperinci mengenai kedua-dua masjid itu, kerana sudah tidak ada lagi orang-orang yang sezaman dengannya boleh ditemui di Kampung Salor yang mempunyai maklumat dan boleh menceritakannya.



Di bahagian belakang masjid terdapat sebuah kelas yang dibina bersambung dengan bangunan ibu masjid yang digunakan untuk kelas belajar Fardu Ain yang diharap masih lagi hidup hingga sekarang. Pada masa dulu kelas ini beroperasi selama tiga hari seminggu mulai pukul 1.30 hingga 3.30, setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu.






Alangkah baiknya kalau kita mempunyai kemampuan. menjalankan kajian yang lebih lanjut mengenai Masjid Salor, terutama kepada generasi-generasi muda di Kampung Salor sendiri, yang akan mendedahkan bukan sahaja tentang masjid tua itu tapi juga berbagai-bagai latar belakang sejarah lagi mengenai sejarah Salor yang mempunyai kisah yang amat menarik. Saya percaya sebahagian daripada maklumatnya ada tersimpan di Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan [MAIK].



Saya tinggalkan Masjid Salor dengan penuh nostalgia dan kenangan yang sukar untuk dilupakan sebagai salah seorang anak buahnya yang sudah sekian lama merantau meninggalkan kampung tercintanya itu.
--------------------------------------------------------------------------------------------
kALAU ANDA BERMINAT :
KAMPUNG SALOR ADA DI JAWA

DARI KELANTAN BERJASA DI PAHANG
--------------------------------------------------------------------------------------------







4 comments:

lloni December 7, 2013 at 12:58 AM  

Tapak Masjid salor tu dihadiahkan oleh Hj Ibrahim. Beliau adalah kepada Hamzah (meninggal sebelum bulan puasa baru ini..rumah dio depan rumah cikgu man zabidah). Cerita ini diberitahu beliau 3-4 tahun dahulu semasa berbual dalam masjid..

lloni December 7, 2013 at 12:59 AM  

Tapak Masjid salor tu dihadiahkan oleh Hj Ibrahim. Beliau adalah bapa kepada Hamzah (meninggal sebelum bulan puasa baru ini..rumah dio depan rumah cikgu man zabidah). Cerita ini diberitahu beliau 3-4 tahun dahulu semasa berbual dalam masjid..

Pondok Rahmat December 10, 2013 at 2:20 PM  


Terimakasih. Insya-Allah saya akan menemui Kak Mah isteri Allahyarham Cik Hamzah, mungkin dia ada cerita yang lebih lanjut

9w2yip August 5, 2017 at 10:37 AM  

bagaimana cara untuk menghubungi bagi mendapatkan latarbelakang penubuhan masjid salor.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP