KUKURAN:KUKUR APA PADA KUKUR

>> Sunday, December 15, 2013



 KUKURAN: KUKUR APA PADA KUKUR?


KUKURAN ialah sejenis alat untuk mengukur, mengokak atau mengeruk atau mengikis nyiur atau kelapa.  Yang dikukur ialah isi kelapa daripda kulit tempurungnya yang keras itu.

Kukuran terdiri dari dua komponan, satu ialah matanya yang bergerigis diperbuat daripada besi, dan satu komponan lagi ialah bahagian badannya yang digunakan untuk melekatkan mata kukuran itu.




Kukuran adalah salah satu alat penting kepada orang-orang Melayu tradisi, kerana sebahagian besar daripada masakan mereka menggunakan santan kelapa. Santan kelapa itu diperolehi dengan memeras isi kelapa yang telah dikukur dengan kukuran.




Badan kukuran itu biasanya diperbuat daripada kayu. Ia mempunyai dua bentuk, satu yang boleh dibuka tutup seperti reha tempat meletak kitab suci al-Quran dan satu lagi dalam keadaan setongkol yang tidak boleh dibuka tutup.

Badan kukuran itu diperbuat daripada kayu yang bukan sahaja untuk dilekatkan matanya pada bahagian hujungnya, tapi juga  untuk diduduki oleh penggunanya bila hendak mengukur nyiur.

Ada berbagai-bagai bentuk kukuran, dan biasanya dalam bentuk seperti haiwan atau lain-lain bentuk kejadian alam. Kadang-kadang dilorek pula untuk cantik dipandang.

Akhir-akhir ini pula selain daripada kukuran dalam bentuk biasa seperti itu, ada pula kukuran yang simpel menggunakan hulu dan dilekatkan dengan mata kukuran yang dibuat untuk mengukur atau mengokak kelapa dengan cara menggaruknya dengan menggunakan tangan.





Mata kukuran itu biasanya diperbuat dalam bentuk bergerigis tajam dan leper separa bulat, namun begitu ada juga kukuran tangan yang berbentuk bulat tajam, seperti yang terdapat pada kukuran elektrik atau mesin kelapa yang menggunakan elektrik.

Mata kukuran bulat ini diperbuat daripada besi. Oleh itu bila matanya tumpul dan tidak dapat digunakan lagi, sesetengah bidan kampung akan menggunakannya sebagai batu penungku, matanya yang tajam itu dibuang terlebih dahulu. Sebelum diguna ia dibakar terlebih dahulu  seperti membakar tungku batu yang biasa juga.

Keadaan mata kukuran itu yang halus atau lebar menentukan kelapa yang dikukur itu besar atau halus. Mata kukuran yang kasar akan menghasilkan isi kelapa yang besar, tapi kalau matanya halus ia akan menghasilkan isi kelapa yang halus.





Kelapa kukur yang kasar yang sesuai untuk diperah untuk diambil santannya. Tapi bagi kelapa yang hendak dimakan mentah, seperti dengan ubi kayu, pulut, pisang rebus, jering rebus dan juga untuk dijadikan bahan masakan, isi kelapa parut yang halus lebih sesuai.

Selain daripada mata kukuran yang menentukan tebal atau nipis isi kelapa yang dikukur, ia juga tergantung kepada tekanan yang dikenakan ketika mengukur kelapa itu. Kalau dikenakan tekanan yang kuat isi kelapanya menjadi lebih kasar, tapi kalau tekanannya tidak kuat yang menghasilksn isi kelapa yang lebih halus. Dan jika terlebih tekanan pula kelapa yang akan dihasilkan nanti bukan sahaja isi kelapa, tapi juga debu-debu tempurung kelapa yang turut terhakis.

Ketika mengukur kelapa hendaklah berhati-hati, kerana tidak jarang orang yang tidak begitu cekap mengukur kelapa akhirnya akan terkukur telapak tangannya sendiri.

Untuk duduk di atas kukuran untuk mengukur kelapa ada mempunyai kesopannya tersendiri. Biasanya pengukur, duduk mengiring di sebelah kanan atau kiri dengan melipat kedua kakinya ke belakang. Untuk orang yang mengiri, dia duduk di sebelah kanan kukuran, dan untuk orang yang menganan dia duduk mengiring di belah kiri kukuran.

Untuk duduk mengkangkang di atas kukuran adalah kurang manis, terutama bagi kaum  perempuan untuk mengkangkang kedua belah pehanya ketika mengukur kelapa.

Hari ini penggunaan kukuran telah hampir pupus. Malah anak-anak cucu kita, terutama yang tinggal di bandar-bandar bukan sahaja tidak menggunakan kukuran untuk mendapat santan, tapi juga tidak lagi mengenali kukuran itu. Mereka tidak tahu kukuran itu apa, dan apa pula gunanya?

Kemudahan elektrik telah merampas penggunaan kukuran dalam kehidupan dan budaya orang Melayu. Penggunaan kukuran elektrik atau mesin mengukur nyiur dan memerah santan telah digunakan begitu meluas, sampai ke desa-desa terpencil yang mempunyai bekalan elektrik. Di samping itu aneka jenis santan segera juga telah dijual secara meluas di pasar-pasar seluruh negara, dan ini sudah tentu lebih menyenangkan lagi ibu-ibu untuk menggunakan santan kelapa. Lagi pun hari ini untuk membeli kelapa biji lebih sukar daripada untuk membeli santan segera.

Justeru itu anak-anak muda, hari ini tidak pandai lagi mengukur kelapa dengan menggunakan kukuran. Tapi mereka tahu cara untuk mendapat santan di pasar-pasar untuk kegunaan mereka dan keluarga mereka. Dan cara ini sebenarnya lebih pantas dan praktikal daripada mengukur kelapa sendiri dengan menggunakan kukuran tradisional.

Walau bagaimana pun mengukur kelapa dengan kukuran itu boleh memberi sumbangan untuk menyihatkan badan, kerana menggunakan tenaga yang boleh mengeluarkan peluh. Pada masa dulu seseorang boleh mengukur berpuluh-puluh biji buah kelapa untuk kegunaan sesuatu majlis, seperti majlis perkahwinan.




Ketika orang tua mengukur kelapa menggunakan kukuran, anak-anak kecil biasanya suka menumpang dengan memboceng di belakang, samada dengan memanjat belakang dan memeluk leher si ayah atau memboceng dengan duduk di belakang di atas kukuran jika masih ada ruang.

Setelah mengukur kelapa, mata kukuran hanya dibersihkan dari sisa-sisa kelapa yang melekat, dan tidak dibasuh dengan air kerana ditakuti berkarat jika lambat digunakan, dan lebih baik matanya disapu dengan minyak kelapa untuk mencegahnya dari berkarat.

Kadang-kadang sejak kebelakangan itu mengukur kelapa telah dijadikan salah satu acara hiburan di majlis-majlis tertentu, iaitu dengan mengadakan pertandingan mengukur kelapa, untuk mencari sesiapa yang lebih pentas menyelesaikan kukuran mereka akan diberikan hadiah-hadiah yang tertentu yang telah ditetapkan penganjur.

Saya akhiri tulisan ini dengan sebuah peribahasa kita yang berbunyi, “Kukur apa pada kukur, nyiur juga yang binasa”, yang bermaksud, memang mudah untuk menyruh orang melakukan sesuatu, sedangkan sang pelaksana itulah yang akan menerima segala kesusahan atau kesulitanya akibat pekerjaannya itu.


2 comments:

Hazri Hanapi February 5, 2015 at 9:31 PM  

bolehtak terangkan perbezaan apabila berlaku peralihan teknologi pada alatan memarut kelapa..contohnya hasil..

Anonymous,  November 9, 2017 at 12:10 PM  

Assalamu'alaikum Tuan. Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan kerana amat membantu saya mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk saya menyiapkan thesis. Tetapi, saya masih tercari-cari tahun peredaran evolusi reka bentuk kukur kelapa. Contohnya, reka bentuk kukur duduk terhasil pada tahun berapa, kukur silang terhasil pada tahun keberapa. Diharap Tuan dapat membantu. Terima kasih :)

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP