HARI INI MILIK KITA,BESOK?
>> Sunday, August 21, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
HARI INI MILIK KITA, BESOK?
Ramadan berjalan laju dan hari ini kita kian dekat ke arah penghujungnya. Seperti di bulan-bulan yang lain juga, setiap hari yang muncul adalah hari baru, dan hari kelmarin telah kita tinggalkan dalam lembaran sejarah dengan segala cacatan-catatan kekal yang kita tinggalkan yang tidak mungkin dipadam-padam lagi buat selama-lamanya.
Sepanjang usia yang telah kita lalui itu, setiap hari helai demi helai daun hari telah gugur dalam kelaluan masa yang berada di tangan Maha Pencipta. Daun-daun yang gugur berderaian itu ke mana jatuhnya? Ke dalam tong sampah, ke dalam longkang, ke dalam gobak usang, ke lantai buruk, ke laman istana atau ke atas kapet merah yang akan membawa anda ke penghujung jalan yang celaka atau ke penghujung yang bahagia?
Kira-kiralah berapa banyak daun-daun usia anda telah gugur ke bumi, dan berapa banyak lagi agaknya yang masih bersisa? Untuk apa lagi daun-daun usia anda itu akan anda pergunakan? Dan dalam bulan Ramadan itu sahaja telah berpuluh-puluh daun-daun itu yang gugur tanpa di pinta-pinta.
Setiap ketibaan hari baru seperti hari ini, sepatutnya kita bukan sahaja bertambah tua, tapi hendaknya bertambah juga kematangan kita, bertambah kebijaksanan dan kewarasan kita. Bertambah usia, bererti bertambah mulianya amalan kita, bukan bertambah usia bukan berti bertambah merosotnya tingkah kita.
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, sudah sewajarnya kita mempertingkatkan amalan dan keperibadian kita sebagai bekalan untuk menuju ke hadarat Ilahi, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dalam kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang akan tiba di hujung Ramadan ini janganlah hendaknya kita lupa kepada hakikat hidup kita yang akan berakhir juga bila tiba waktunya nati bila kita dipanggil pergi oleh Maha Pencipta.
Hidupkanlah Ramadan ini dengan semarak iman, penuhi ia dengan kalungan bunga-bunga ibadat yang mewangikan seluruh kehidupan kita di dunia dan di akhirat.
Jangan masukkan diri kita dalam golongan manusia yang pada awal Ramadannya mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk memenuhi malam dan siang Ramadan dengan berbagai-bagai ibadat yang sesuai dengan bulan yang mulia ini yang pahala-pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT.
Justeru itu kita penuhi hari-hari yang lalu dengan bertarawih, bertahajud, berzikir memabca ayat-ayat suci al-Quran tanpa memberi ruang kepada perkara-perkara negatif yang boleh mengurangkan atau mengotori puasa kita. Kita merasa kesal sekali jika ada sesuatu daripada amalan yang mulia itu kerana sesuatu sebab yang tertentu telah terponteng daripada amalan seharian kita.
Tapi dalam masa yang berlalu, dalam hari-hari Ramadan yang telah gugur sehelai demi sehelai itu, maka gugur pula semangat mulia kita satu demi satu bersama dengan gugurnya daun-daun Ramadan itu di kaki masa.
Kita telah berubah haluan. Kita telah palingkan arah hidup kita di bulan Ramadan. Kita lebih banyak menumpukan masa untuk bergerak di dapur untuk membuat kueh-mueh hari rari raya, yang begitu mewahnya hingga berbulan-bulan lepas raya pun masih berlonggok-longgok lagi dalam simpanan. Dan ini tidak termasuk lagi sisa-sisa makanan yang tidak habis di makan, lalu kita berikan makan kepada tong-tong sampah.
Kita lebih banyak menghabiskan masa berlonggok-longgok di hadapan kaca TV, mengikuti rancangan istimewa khusus untuk menyambut kunjungan Aidilftri, dengan alasan untuk menghilangkan mengantuk dan menyegarkan keletihan puasa?
Tangan dan jari-jemari kita telah sukar terbuka untuk membelek helai-helai kitab suci al-Quran seperti di awal Ramadan. Malah kitab itu hampir tertutup sepenuhnya seperti hari-hari biasa dijadikan penghias rak-rak dan almari-almari buku sejajar dengan buku-buku biasa yang lain.
Banyak pula orang makin penghujung bulan Ramadan, makin berkurangan selera mereka untuk makan, tapi malangnya serentak itu juga amalan Ramadan mereka pun merosot bersama dengan merosotnya selera makan mereka.
Itulah di antara sebabnya, kian penghujung Ramadan, masjid-masjid yang pada awal Ramadan penuh sesak dengan jamaah, kian bertambah kosong dan sepi, dan hanya akan meriah kembali di pagi Aidilfitri, dan akan susut lagi selepas itu seperti selalunya berlaku di hari-hari biasa.
Tidak salah rasanya dalam bulan Ramadan ini kalau kita pergi ke pasar atau ke pasar Ramadan untuk membeli barang-barang keperluan, tapi yang menjadi salahnya kalau kita lebih mementingkan pasar dari solat dan melanggar adab-adab yang boleh menguruskan puasa kita.
Tidak salah rasanya seorang isteri yang prihatin bertanyakan cik abangnya apa yang nak makan hari ini, tapi yang salahnya kalau dia menghabiskan seluruh masanya dengan bertungkus lumus di dapur hingga terganggu ibadat wajibnya, dan memasak secara mewah berlebih-lebihan hingga membazir.
Kalau tidak membeli dan memasak, dengan apa kita hendak berbuka puasa dan bersahur?
Bukankah pula masakan-masakan itu jika dibuat lebih sedikit, boleh pula dihulurkan kepada jiran-jiran tetangga sebagai penyegar mahabah dan silaturahim?
Oleh itu pergunakan masa hari ini dengan sebaik-baiknya, setiap hari yang berlalu, membuat kita bertambah matang, meniti hidup, menambah ilmu dan mempertingkatkan amal, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Jangan tunggu besok, kerana besok itu hari baru, yang belum tentu milik siapa. Hari ini milik kita, saat ini milik kita, mewarnailah ia sebaik-baiknya, khususnya di bulan Ramadan al-Mubrak ini, semoga kita mendapat keredaan dan keampunan Allah.
Ingatlah setiap detik yang berlalu, bererti setiap helai usia kita gugur bersama-samanya berselerak di bumi yang kotor dan hanyir, dan kelak daun-daun itu akan dikumpul dan dibawa ke hadapan Ilahi untuk diletakkan di atas neraca timbangan.......
Semoga hidup kita aman di dunia dan bahagia di akhirat.
xxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah,Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment