SEMARAKKAN CINTA DI BULAN RAMADAN
>> Tuesday, August 23, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
SEMARAKKAN CINTA DI BULAN RAMADAN
Para perantau telah bersiap-siap untuk balik ke kampung halaman. Mulalah melangkah dari rumah dengan doa keselamatan dalam perjalanan, pastikan keenderaan dalam keadaan selamat, pandulah dengan cermat, jangan bertindak mengikut nafsu-nafsi di jalan raya. Jangan memotong di tempat yang tidak boleh memotong. Jangan pecut, tempat yang tidak boleh memecut. Berhenti tempat yang kena berhenti. Jalan raya bukan hak kita seorang. Ia perlu dikongsi bersama, ramai orang. Selalulah ingatkan Allah dalam perjalanan.
Alhamdulillah sebahagian dari mereka telah pun sampai ke rumah, berada di tengah-tengah keluarga tercinta. Dalam masa sehari dua lagi beribu-ribu kilometer jalan dan jalan-jalan raya di seluruh negara akan dirayapi oleh beraneka kenderaan para perantau dengan hala tuju masing-masing.
Ada di antara perantau itu sudah lama tak balik kampung. Setahun telah berlalu mereka balik beraya dengan sanak famili, dan inilah pula baru mereka menghadirkan diri untuk mengiratkan kembali sutera mahabah dan kasih sayang yang telah berpisah di mata sekian lamanya.
Lambaian dedaun pokok-pokok yang memenuhi kampung laman, liuk-lintuk padi di sawah, berhayun gemulai dedaun kelapa, lenggang-lenguk dedaun pisang, desiran angin di tebing sungai yang mengelus-ngelus gemulai, derai-berderai air mengalir….semuanya mengamit jiwa para perantau untuk kembali ke kampung laman.
Kejar mengejar bersama kawan dan teman, mengharung lumpur di sawah mencari ikan, berenang-renang di sungai, bersantai di gigi air, gelak tawa kawan-kawan semuanya menyegarkan memori untuk balik ke kampung, memijak kaki di laman rumah lama.
Berbahagialah para perantau yang masih mempunyai bonda dan ayahanda di kampung yang sentiasa menunggu kepulangan anak-anak tersayang, bersama menantu dan cucu-cucu tercinta. Alangkah kembangnya hati bonda menyambut kedatangan anakanda semua.
Pulanglah para perantau. Ibu menunggu, ayah menunggu, dan saudara-mara menunggu kepulangan anda dengan hati melonjak gembira, bersama tibanya Aidilfitri yang membawa seribu warna dalam kehidupan para insan yang mulia dan tercinta.
Pohonlah ampun kepada bonda, pohonlah maaf kepada ayahanda, mohonlah restu mereka untuk mendapat keberkatan dari Allah Maha Pencipta semoga kehidupan kita bahagia di dunia dan aman di akhirat.
Memohon ampun dan maaf kepada bonda dan ayahanda tidaklah semestinya kerana anda berdosa besar kepada mereka, tidak! Maaf mereka dipohon kerana merekalah kita ada di dunia ini dan telah memelihara dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh, sehingga kita menjadi seorang insan seperti sekarang ini.
Buatlah baik kepada keduanya, bukan hanya pada hari raya, tapi sepanjang masa, andainya anda tidak mahu menyesal dan meratap kemudian hari, kerana merasa selama ini anda tidak cukup memberi kasih dan sayang kepada mereka. Apa lagi andainya anda menjadi anak durhaka yang meminggirkan mereka kerana terpengaruh dengan cara hidup yang songsang dan merugikan.
Isteri atau suami anda adalah anak menantu kepada kedua orang tua anda, kedua-duanya sayangkan mereka, hubungan yang kekal sampai bila-bila, maka sudah sewajarnya mereka juga menyayangi kedua ibu bapa anda sebagaimana anda mengasihi kedua ibu bapa mereka.
Mula-mula saya kehilangan ayah yang dikasihi, kemudian disusuli oleh ibu yang tercinta, kemudian dijejaki pula oleh isteri yang dirindui. Kehilangan-kehilangan yang melakar jurang-jurang yang dalam dan kosong tanpa terisi.Tapi demikianlah peraturan hidup yang dicipta Ilahi: datang dan pergi, silih berganti selagi dunia terus berkembang hingga sampai ke penghujng keabadiannya.
Oleh itu sayanglah dan hormatilah kedua orang tua anda. Ambillah kesempatan pada bulan Ramadan yang baik dan mulia ini untuk menjunjung kasih kepada mereka.
Menghormati orang tua adalah merupakan salah satu lambang orang yang beriman dan bertakwa, merupakan kayu ukur yang boleh digunakan untuk menilai keperibadian kita sebagai seorang insan.
Kemuliaan Ibu Bapa
Sikap memuliakan ibu bapa adalah sikap mulia dan terpuji dalam Islam
Islam memang memuliakan seorang wanita, baik dia seorang anak, isteri, dan lebi-lebih lagi sebagai seorang ibu
Ada sebuah Hadis Bukhari dan Muslim meriwayatkan seperti berikut berhubung dengan seorang wanita yang dipanggil ibu itu.
“Seorang lelaki datang menghaap Rasulullah saw. dan bertanya: Ya Rasulullah, sipakah orang yang paling berhak untuk saya berbuatt baik kepdanya?”.
Jawab Rasulullah saw, “Ibumu”.
Lelaki:”Kemudian siapa lagi?”.
Rasulullah saw. menjawab:”Ibumu”.
Lelaki:”Kemudian siapa lagi?”.
Rasulullah saw. menjawab. “Ibumu”.
Lelaki:”Kemudian siapa lagi?”.
Rasulullah saw.”Ayahmu”.
Islam juga memberi kemuliaan yang tinggi kepada seorang anak perempuan yang masih kecil sekali pun sebagai pelindung kepada kedua ibu bapanya daripada selaran api neraka.
Rasulullah saw. bersabda,”Barang siapa mempunyai anak perempuan lalu ia mengajarnya dan mendidiknya dengan baik, maka anak itu kelak akan menjadi tabir yang melindunginya dari api neraka”.HR:Bukhari.
Siapa Ibu Kita?
Ibu kita adalah seorang wanita. Ia bermula dari seorang wanita pertama yang dikenali sebagai Hawa yang dijadikan Allah khusus untuk menemani Nabi Adam as yang dicipta oleh Allah terlebh dahulu daripadanya.
Waktu Hawa dicipta oleh Allah, Nabi Adam sedang tidur, dan bila tersedar dia terpandangkan Hawa berada di bahagian kepalanya.
Maka diceritakan, bertanyalah Malaikat kepada Nabi Adam as. mengenai Hawa lebih kurang begini.
Malaikat:”Wahai Adam, apa dan siapakah makhluk di sampingmu itu?”.
Adam a:”Seorang wanita”
Malaikat:”Siapa namanya?”.
Adam:”Hawa”.
Malaikat :”Untuk apa Tuhan ciptakan makhluk itu?”.
Adam:”Untuk bersamaku, memberi kebahagian kepadaku dan memenuhi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah”.
Kemudian berkatalah Allah kepada mereka, “Wahai Adam! Diamlah engkau bersama-sama isterimu di syurga, dan makanlah dengan bebas apa-apa yang engkau sukai, tetapi janganlah engkau dekati pohon kayu ini. Jika engkau dekati, adalah kamu nanti menjadi orang yang aniaya”.Al-Baqarah:35
Tapi setelah mereka terpedaya oleh syaitan, maka kedua mereka telah tersingkir dan syurga dan terlempar ke dunia kita ini, di mana anak cucu mereka berkembang biak sampai kepada kita sekarang. Namun Allah telah menerima taubatnya dan mengurniakan keampunan kepadanya.
Tapi Adam diturunkan ke dunia sebagai insan dengan tugas yang amat berat sebagai wakil Allah menjadi khalifah di bumi ini.
Begitulah asal usul seorang ibu yang dengan gigihnya berjuang di samping seorang lelaki yang dipanggil suami untuk membentuk sebuah rumahtangga dan keluarga yang bahagia yang akan menjadi penghias dunia ini.
Sesungguhnya benarlah, “Kasih ibu sepanjang zaman”, dari dunia hingga akhirat.
Jika ada sesetengah ibu hari ini yang tidak menyukai anak-anak mereka, malah membenci anak-anaknya seperti yang sering berlaku, di mana bayi-bayi dibuang di merata-rata tempat, sebenarnya perbuatan terkutuk itu merupakan manifestasi daripada kebencian mereka terhadap perbuatan mereka yang telah tersempang jauh mengikut hawa nafsu bersama dengan lelaki terkutuk yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan mereka melahirkan zuriat yang tidak dikehendaki dan memalukan. Mereka bukanlah ibu dalam erti kata yang sebenarnya di mana di bawah tapak kakinya terletak syurga.
Sebagai penghujung tulisan yang pendek ini saya kutip lagi sebuah Hadis diriwatkan oleh Thalhah bin Mu’awiyah As Sulamiy tentang kemuliaan seorang ibu.
Katanya, dia datang menemui Rasulullah saw. menyatakan keinginannya untuk ikut berjihda fi Sabilillah bersama Rasulullah saw.
Lalu Rasulullah saw.bertanya,”Adakah ibumu masih hidu?”.Dia menjawab,”Ya masih hidup”.
Maka bersabdalah Baginda saw.,”Duduklah terus di bahagian kakinya, di sana terletak syurga”.
Itulah dikatakan syurga itu terletak di bawah tapak kaki bonda. Demikianlah mulianya seorang ibu.
Jadikan bulan Ramadan ini, bulan semarak cinta kita kepada ibu dan ayah kita yang dikasihi, di samping seluruh keluarga tersayang.
Wahai bonda dan ayahanda ampunilah kami, restuilah kami, semoga kami diredai dan diampuni Allah.
Amin!
xxxxxxxx
Bisiki Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment