PUASA MENEMUKAN DIRI KITA YANG HILANG

>> Monday, August 22, 2011


MARHABAN YA RAMADAN

PUASA MENEMUKAN DIRI KITA YANG HILANG



Anda Puasa?



Kenapa anda berpuasa?


Anda berpuasa kerana menunaikan kewajibaan anda sebagai seorang Islam yang diwajibkan berpuasa sepanjang bulan Ramadan setiap tahun?




Anda berpuasa kerana Allah memeritnah anda supaya berpuasa?



Anda berpuasa kerana anda seorang yang beriman dan bertakwa?



Anda berpuasa kerana anda mengenal diri anda? Anda tahu siapa diri anda?



Memang benar puasa itu mengenalkan lebih dekat kita dengan diri kita sendiri. Menemukan kita dengan diri kita yang mungkin telah kehilangan identitinya sebagai seorang hamba Allah.



Dengan itu puasa akan membawa kita menemui diri kita kembali.



Demikianlah agungnya bulan yang mulia ini.



Tapi siapa kita, siapa anda?



Kita adalah seorang insan atau seorang manusia.



Tapi siapakah manusia itu?



Ya siapakah yang dikatakan manusia itu?



Dua Unsur


Secara ringkasnya kita sebagai manusia terbina dari dua unsur, unsur rohani dan unsur jasmani, tersusun dari bahan halus dan bahan kasar.



Unsur halus tidak dapat dilihat, disentuh, diraba atau dipegang, kerana ia bersifat ghaib.



Semenara unsur kasar dapat dilihat, dijamah dan dipegang, kerana ia wujud atau zahir di hadapan biji mata anda.



Manusia pertama ciptaan Allah ialah Adam. Mula-mula Allah cipta jasad manusia dari tanah, kemudian Allah tiupkan roh samawi ke dalamnya.



Roh itulah dibahasakan sebagai rohani. Dengan rohani itulah kita boleh berfikir, merasa dan menikmati, malah tanpa roh, jasad kita akan menjadi kaku beku, tidak mampu berbuat apa-apa lagi-mati.



Ketika penciptaannya dahulu, Allah memerintahkan para Malaikat supaya sujud hormat kepada Adam as.



Allah berfirman, “[Ingatlah] ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka, apabila Aku sempurnakan kejadian dan Aku tiupkan kepadanya roh [ciptaanKu] maka hendaklah kamu tunduk sujud kepadanya”.Sad 71-72.



Kedua-dua unsur penting ini, iaitu unsur rohani dan jasmani, kedua-duanya perlu dijaga dengan sewajarnya, supaya keadaannya hidup dan berkembang subur dengan sebaik-baiknya sebagaimana digaris oleh yang Maha Penciptanya.



Tapi biasanya yang diberi perhatian oleh manusia adalah jasadnya sahaja, atau memberi lebih keutamaan kepada jasad, kerana sifatnya boleh dilhat, dan diraba, dan hanya sedikit sahaja yang memberi perhatian kepada rohaninya, kerana ianya sesuatu yang abstrak yang tidak dapat dilihat.



Ini adalah sesuatu yang malang.



Sebagaimana yang diketahui, jasad memerlukan dan mendesak untuk memperolehi bahan-bahan yang berjenama rendah sejajar dengan kejadian ciptaannya dari bahan-bahan yang rendah, seperti makan minum dan pemuasan nafsu.



Tapi tidak demikan dengan roh. Roh memerlukan bahan-bahan yang tinggi sifatnya, sejajar dengan sifat-sifat kejadiannya yang unggul, seperti solat, zikir dan puasa.



Oleh itu apabila jasad yang rendah itu dapat menumpaskan roh yang tinggi, ertinya kehendak jasad itu terlalu diberi keutamaan, maka tunggulah ketibaan saat-saat kehancuran, kerana dengan berbuat demikian bererti nafsu yang sarakah telah berjaya menguasai akal dan fikiran yang akan memusnahkan segala kemuliaan.



Malah ia akan membawa manusia ke taraf yang lebih rendah dari haiwan yang tidak berakal dan berfikiran yang sanggup melanggar segala undang-undang dan peraturan demi mencapai cita-citanya yang jahat itu.



Dengan puasa ia akan membawa diri kita mengenal diri kita, dan dengan itu kita akan didorong untuk meniti jalan yang benar yang diredai Allah sebagai insan yang beriman dan bertakwa.



Sebagai seorang hamba Allah, sepajang bulan Ramadan kita perlu memperkasakan diri kita untuk menunaikan ibadat puasa.



Di siang hari di bulan Ramadan kita dikehendaki berlapar dan berdahaga, menahan diri daripada makan dan minum, walau pun yang akan dimakan itu barang-barang halal hasil daripada tumpahan titik peluh kita secara halal.



Kita terpakasa menahan nafsu seks, walaupun dengan isteri atau suami yang kita nikahi secara sah kalau kita tidak ingin membinasakan puasa kita.



Kita dilarang bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah, mengumpat, mencela, menghina dan sebagainya yang boleh menguruskan puasa kita.



Kita dilarang menggunakan mata kita memandang liar sesuatu yang tidak patut kita pandang, terutama yang boleh membangkit nafsu berahi dan lucah.



Kita dilarang menggunakan telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang sia-sia, seperti mendengar cerita umpatan-umpatan, fitnah pesona, muzik-muzik yang khayal yang boleh merosakkan iman.



Sebaliknya kita disuruh melakukan berbagai-bagai perkara positif, yang baik-baik yang boleh meninggikan akhlak dan menambahteguhan iman kita, seperti memperbanyakkan zikir, doa, solat tarawih berjamah dan membaca al-Quran



Tegasnya sepanjang bulan Ramadan ini kita dilarang melakukan usaha-usaha keji dan buruk yang boleh menjatuhkan mertabat kita sebagai seorang insan, dan sebaliknya kita diperintah supaya beramal dengan amaln-amalan positif yang dapat membangun jiwa dan keimanan kita sejajar dengan diri kita sebagai seorang hamba Allah yang beriman dan bertakwa.



Semoga segala amalan-amalan mulia, latihan-latihan jiwa dan raga dalam kampus universiti puasa itu akan mempengaruhi kehidupan kita di masa-masa akan datang dalam hubungan kita dengan Allah Maha Pencipta dan juga dengan manusia sejagat.



Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada tanggungjawab kita bukan sahaja keapda Allah, tapi juga kepada kita sesama manusia yang perlu diurus dengan sebaik-baiknya sebagai tanda kita seorang hamba Allah yang beriman dan bertakwa.



Demikianlah puasa membawa kita mengenali diri kita, menemukan diri kita yang mungkin telah tersesat jalan ketika mengharung semudera hidup di masa-masa yang lampau menyebabkan kita kehilangan arah, dek silaunya mata kita dengan kegermerlapan dunia yang fana ini.



Puasa memperkenalkan diri kita sebagai seorang hamba Allah, dan Allah adalah Tuhan kita, dan tiada Tuhan melainkan Allah.



Puasa membawa kita ke jalan yang benar, menemukan kita dengan hakikat diri dan hidup yang sebenarnya.



Allah adalah matalamat dan tujuan hidup kita. Itulah diri kita, insan yang dijadikan Allah untuk menyembahNya. Puasa mengajar kita mengenaliNya dan mematuhiNya.



xxxxxxxxx



Bisiki Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP