SIAPA YANG TIDAK BERTARAWIH?

>> Tuesday, August 9, 2011

MARHABAN YA RAMADAN


SIAPA YANG TIDAK BERTARAWIH?

Adakah kita bersolat Tarawih setiap malam sejak lapan malam Ramadan yang lalu, sempena dengan masuknya hari kesembilan kita berpuasa pada hari ini? Belum ada yang ketinggalan?



Alhamdulillah syukur.



Ini menunjukkan kesedaran anda bahawa solat sunat Tarawih dan ibadat puasa, ialah ibadat yang tidak terpisah, kerana solat Tarawih hanya berlaku di bulan Ramadan, tak ada Tarawih kiranya tidak ada Ramadan.



Justeru umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan digalakkan supaya menunaikan solat di Tarawih, terutama berjamaah di masjid-masjid atau di suau-surau.



Dengan bersolat Tarawih di masjid atau di surau selain daripada dapat menunai ibadat, ia juga membuka ruang kepada kita untuk berkenalan dan beramah-tamah dengan ahli-ahli jamaah yang sama-sama bersolat dengan kita.



Di samping itu solat itu juga dengan nyata melambangkan bahawa dalam Islam semua manusia adalah sama di sisi Allah, tidak kira bangsa, kaum, pangkat, kedudukan, jawatan dan seumpamanya, sama-sama sujud ke lantai dan sama-sama mengikuti seorang iman sahaja yang mengetuai solat itu.



Sama-sama berdiri dalam satu saf, tanpa mengira anda seorang yang berpangkat dan terkenal atau seorang buruh kasar, dan sama-sama mengangkat takbir untuk menunaikan solat. Anda seorang Perdana Menterikah, seorang pemerintahkah, wakil rakyatkah, seorang hakimkah, seorang ketua jabatankah, semuanya sama di sisi Allah, menyembah Tuhan yang satu, Allah seru sekalian alam.



Dan sama-sama mengangkat tangan kepada Allah, memohon kebahagian dunia dan akhirat tempat kembalinya semua makhluk.



Tidak ada perbezaan. Semuanya sama. Tanpa pangkat dan darjat. Tanpa mengira kaya atau miskin.



Qiamu Ramadan


Solat Tarawih juga dikenali dengan panggilan Qiamu Ramadan yang dikerjakan selepas solat fardu Isya’, dan berlanjutan sampai akhir malam.




Qiamu Ramadan juga membawa maksud bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan sepanjang malam Ramadan dengan mengerja ibadat, seperti solat, iktikaf dalam masjid, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.



Sebuah Hadis Rasulullah saw. menyatakan tentang kepentingan solat Qaimu Ramadan yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud sesiapa yang mengerjakan Qaimu Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas untuk mendapat ganjaran dari Allah maka Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu.



Oleh itu amatlah rugi kepada kita yang tidak meluangkan masa mereka tanpa sebab-sebab yang wajar untuk menunaikan solat tarawih yang begitu besar pahalanya yang hanya dikurniakan sekali sahaja setahun, iaitu dalam bulan Ramadan yang mulia.



Witir

Solat sunat tarawih biasanya diakhiri dengan solat sunat witir, iaitu dengan jumlah rakaat yang ganjil, biasanya tiga rakaat selepas solat tarawih. Tapi perkara yang menjadi persoalannya bolehkah dilakukan sembahayang sunat tahajud selepas melakkan solat witir bila balik ke rumah nanti?



Untuk menjawab persoalan itu, izinkah saya petik pendapat Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menegaskan, “Pendapat yang terkuat adalah tidak menjadi kesalahan sembahayang sunat selepas semabahayang sunat witir. Apabila melakukannya witir tidak perlu diulang lagi”.



Bagaimana Dengan Orang Yang Berhutang Sembahayang?


Kita biasa melihat, ada orang yang sembahang Qada ketika orang sedang solat tarawih di masjid. Perkara ini berlaku mungkin kerana mereka berpendapat orang yang berhutang sembahayang wajib [qada] tidak boleh sembahayang sunat.



Untuk menjawab persoalan tersebut saya petik pendapat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berhubung dengan perkara tersebut. Beliau menegaskan:



“Pendapat terkuat adalah boleh orang yang mempunyai hutang sembahayang melakukan sembahayang sunat kerana kedudukannya berlainan.



"Sembahayang qada bagi menggantikan sembahayang yang ditinggalkan. Manakala sembahayang sunat pula bagi menampung kekurangan sembahayang fardu yang ditunaikan.



"Dalam Hadis sahih sembahayang sunat mampu menampung kekurangan sembahayang fardu yang ditunaikan”.



Demikian Tuan Guru Haji Abdul Hadi.



Tidak Bertarawih


Namun begitu ada segolongan dari umat Islam yang tidak bertarawih, kerana beberapa sebab yang tertentu.



-Kerana sibuk mengurus perniagaan yang dibuka pada waktu malam, terutama kedai-kedai makan yang siang harinya ditutup kerana menghormati bulan Ramadan.



-Kerana terpaksa bertugas sif malam yang waktunya berlanjutan sampai ke waktu Subuh. Bagi mereka ini tidak ada pilihan kerana ketentuan bekerja di tangan majikan. Sedangkan mencari makan untuk menanggung diri dan keluarga adalah kewajipan.



-Kerana sengaja tidak mahu solat tarawih. Biasanya mereka ini lebih suka menghabiskan masa mencari hiburan, bepelesiran atau setidaknya bercekam mata di hadapan kaca tv menonton siaran yang diminati hingga dini hari.



Dan hari ini internet lebih berpengaruh mencuri masa kita, terutama di kalangan golongan muda, yang ghairah melibatkan diri dalam kegiatan Facebook atau meneroka seribu kisah di alam maya.



Rasulullah saw.bersabda, “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, Allah tidak berhajat menerima amalannya meninggalkan makan dan minum”.HR:Buhari.



Dan seterusnya ada di antara mereka yang tidak besolat Tarawih kerana uzur, yang terlantar di hospital atau di rumah-rumah. Mereka harus diberi simpati, itu ketentuan takdir Ilahi.



Oleh itu beribadatlah kita semasa kita sihat, semoga kita mendapat anugerah yang sama dari Allah Yang Maha Pengasih di waktu kita sakit dan tidak mampu menunaikannya seperti biasa walaupun kita bemaksud untuk berbuat demikian.



Sesunggunya kita digalakkan untuk menghidupkan malam-malam Ramdan, antaranya dengan bersolat Tarawih.



Baginda Rasulullah saw. bersabda,”Sesiapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan kerana beriman dan megharapkan pahala daripada Allah, maka diampun dosanya yang telah lalu”.HR:Bukhari & Muslim.



Semoga Allah menjadikan kita ahli ibadat dan mampu bersolat Tarawih di sepanjang bulan Ramadan yang mulia.


Amin!



xxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP