KEHILANGAN ARAH MENYAMBUT SYAWAL

>> Sunday, August 28, 2011

MARHABAN YA RAMADAN

KEHILANGAN ARAH MENYAMBUT SYAWAL

Seperti biasa di hujung Ramadan, kita berada di ambang Syawal, bersiap-siap untuk menyambut kunjungan hari mulia, Aidilfitri. Kemungkinan besok kita berada di hari terakhir dalam bulan Ramadan al-Mubarak, kerana lusanya, hari Selasa kita dijangka menyambut ketibaan mata hari 1 Syawal, hari raya Aidilfitri.



Ketibaan fajar Aidilfitri sudah tentu disambut dengan kesyukuran dan keceriaan oleh seluruh umat Islam, di mana-mana di antero dunia ini, dari utara ke selatan, dan dari timur barat di alam buana yang luas ini.



Tapi malangnya, ada sebahagian dari kita dalam lonjakan keghairhan menyambut Aidilfitri itu, menyebabkan kepala hotak mereka menjadi gelap yang mengakibatkan mata mereka menjadi kelabu yang menghalang mereka daripada berpandangan jauh ke hadapan.



Kerana itu ada sebahagian dari kita telah terpesong mengambil jalan yang salah dalam menyambut Aidilfitri dengan sikap gelabah melakukan apa sahaja yang terlintas dalam benak mereka, terutama dari segi makan minum.



Kepada mereka yang berfikiran seperti ini, mereka melakukan apa sahaja yang mereka sukai, seolah-olah Aidilfitri itu telah membukakan mangga mulut dan perut mereka yang telah dikunci sepanjang Ramadan yang lalu.



Pada hari itu, mereka tidak kekok-kekok untuk berbelanja besar untuk menyediakan segala jenis makanan, di mana selain dari diri mereka sendiri, ada lagi orang-orang yang senasib dengan mereka yang bersiap sedia untuk menyumbat mulut mereka dengan segala makanan yang disediakan itu.



Mereka makan dengan tidak teragak-agak, meneguk minuman dengan tidak ragu-ragu, mengunyah makanan tanpa henti-henti sepanjang hari itu, dan beberapa hari yang berikutnya, malah kadang-kadang mereka juga merokok dengan sepuas-puasnya untuk melepaskan gian yang tertahan selama sebulan di siang hari di bulan Ramadan yang lalu.



Kita bimbang, kiranya ada pula dari kalangan umat Islam yang berani bertindak dengan lebih jauh lagi, bukan sahaja menyumbat mulut dan perut dengan sesuka hati, tapi juga memakan dan meminum bahan-bahan makanan yang haram, yang dilarang keras oleh agama Islam kepada pengikut-pengikutnya.



Kita bimbang mereka yang telah tersesat ini mengambil keempatan untuk berseronok-seronok di hari yang mulia itu dengan melibatkan diri dalam pesta minum arak, kedarah dadah dalam suasana yang juga haram, bercampur gaul lelaki dan perempuan, seperti sekandang haiwan yang melata, melibatkan diri dalam hubungan seks bebas-perzinaan.



Kemudian untuk lebih menambahkan keseronokan mereka, khususnya golongan muda-mudi, mereka akan berrempit-rempit di jalan raya mengundang nahas dan petaka dengan mencabar maut. Itulah sebabnya pada hari-hari besar, seperti hari raya ini, pihak-pihak hospital akan bertambah kerja hariannya untuk menyambut ketibaan mereka yang berdarah kerana terlibat dalam nahas di jalan raya.



Orang-orang seperti itu lupakan diri, telah kehilangan arah, kehilangan hala dalam menyambut raya dengan melupakan bahawa Aidilfitri yang mereka rayakan itu adalah merupakan sebahagian daripada perayaan suci dalam agama Islam.



Mereka sesat dan lupa bahawa Aidilfitri mempunyai hubungan dengan ibadat puasa, iaitu salah satu daripada rukun Islam yang lima; Aidilfitri hanya lahir setelah tamatnya bulan puasa, bulan Ramadan yang mulia.



Tegasnya tidak ada bulan Ramadan, tidak ada Aidilfitri yang merupakan pemberian ganjaran baik dari Allah kepada umat Islam yang telah berjaya menunaikan ibadat puasa.



Justeru bagaimana kiranya ada orang yang tidak berpuasa, tanpa sebab-sebab yang diharuskan merayakan hari Aidilfitri dengan begitu hebatnya, lebih hebat dari orang yang berpuasa?



Demikian juga merayakan Aidilfitri dengan semborono, makan minum yang melampau samalah ertinya mereka memesongkan tujuan suci Aidilfitri itu yang merupakan ganjaran dari Allah kepada mereka yang berpuasa.



Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Bagi orang yang berpuasa disediakan dua kegembiraan, pertama gembira ketika berbuka dan kedua, gembira ketika menemui Tuhannya”.



Sabda Rasulullah saw itu merupakan gaid atau panduan yang mesti diikuti oleh umat Islam yang sudah tentu mengutamakan kepentingan akhirat daripada kepentingan duniawi yang hanya sebenatar sahaja selama nafas turun naik di dada, dan jika nafas itu terhenti, maka habis lah segala perkara di dunia ini.



Sesungguhnya Aidilfitri adalah merupakan hari kemenangan kepada umat Islam yang telah berjaya menumpaskan nafsunya dan berjaya menumpaskan syaitan dalam mematuhi perintah Allah dalam menunaikan ibadat puasa sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT.



Sementara solat Aidilfitri pula sebagai tanda pengelahiran kesyukuran kita kepada Allah kerana berjaya dengan ikhlas menempuh segala dugaan untuk menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan yang lalu yang diharap dapat memberi impak yang besar dalam membentuk keimanan kita untuk menjadi manusia bertakwa sepanjang masa selagi hayat dikandung badan.



Ada sesetengah ulama berpendapat sambutan yang kita lakukan pada hari Aidilfitri itu dapat menjadi cermin kepada keberkesanan puasa pada diri seseorang sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Kalau kita bertambah beriman dan bertakwa, maka maknanya ibadat puasa kita diterima oleh Allah SWT, tapi sebaliknya jika kita bertambah maksiat, bertambah riak, bertambah memabzir, bertambah karut-marut, maka itulah tandanya yang jelas ibadat puasa tidak diterima oleh Allah. Semoga dijauhkan Allah.



Setiap orang Islam adalah bertanggungjawab mempastikan supaya Aidilfitri disambut dengan sewajarnya menurut konsep yang telah ditentukan oleh agama, mengelak daripada amalan-amalan yang tidak beradab dan bercanggah dengan Islam yang boleh merosakan diri sendiri, bangsa, negara dan Islam, agama yang mulia dan suci.



Berlambaknya kuih-muih, bergayutannya pakaian-pakaian baru dan mahal tidaklah dapat dijadikan kayu ukur tentang kemuliaan hari Aidilfitri yang suci dan mulia itu.



Oleh itu berhati-hatilah dalam bersiap-siap menyambut hari kunjungan Aidilfitri supaya tidak menggelincirkan kita dari rail kebenaran dan memesungkan perjalanan kita menuju ke murkaan Allah, melalui jalan mati menjunam ke gaung neraka jahanam.



Hidupkanlah di Aidilfitri ini, hati kita yang telah kita basuhkan dengan ketaatan kepada Allah sepanjang bulan Ramadan.



Sambutlah Aidilfitri dengan penuh keimanan selepas tamat memasuki uiversiti akidah selama sebulan Ramadan.



Semarakkanlah takwa kita yang telah kita basuh dengan air atma jiwa ketaatan kepada Allah di sepanjang bulan Ramadan.



Teguhkanlah kaki kita untuk meniti perjalanan hidup setelah kita basuhkan kaki kita dengan kerelaan kepada Allah sepanjang bulan Ramadan.



Pastikan langkah-langkah kita dengan gagah meniti jalan benar menuju jambatan Allah SWT.



Itulah matalamat suci kita dan diitulah penghujung jalan kita yang abadi.



Kita tidak pilihan jalan yang lain, waemo mendaki atau menurun terpakasa kita lalui selagi hayat dikandung badan.



Kalau kita jatuh, kita perlu bangun, dan sudah bangun, lalu meneruskan perjalanan yang telah digariskan oleh Allah sejak azali kepada kita.



Aidilfitri dapat dijadikan salah satu daripada batu-batu tanda untuk kita menuju ke penghujung jalan Allah itu.



Jalan terakhir kita di dunia adalah tanah perkuburan. Ringankanlah langkah kita ke sana. pada hari mulia ini. Mendoakan orang-orang yang tersayang. Melembutkan hati kita yang keras membatu. Membersih hati kita yang dikotori dengan daki-daki dan karat-karat dunia.



Selamat berhari raya.



xxxxxx



Bisik Pondok Rahmat



Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP