JANGAN HINA MASJID DI BULAN RAMADAN
>> Saturday, August 20, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
JANGAN HINA MASJID DI BULAN RAMADAN
Hari ini, sedar tidak sedar sudah 20 hari kita mejalani ibadat puasa dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas kerana Allah. Dalam hari-hari yang berlalu pantas itu adakah kita termasuk dalam kumpulan mereka yang memuliakan masjid yang menjadi lambang agama kita itu, atau pun sebaliknya bertindak menghinakannya?
Ingatlah setiap sesuatu ada lambangnya. Setiap suku bangsa ada lambangnya. Setiap bangsa ada lambangnya. Setiap negara ada lambangnya. dihormati bukan oleh sahaja oleh pemilik-pemilik lambang itu, tapi juga dihormati oleh orang-orang lain yang ada adab dan sopannya.
Agama Islam sudah tentu mempunyai lambang. Agama Kristian mempunyai lambang. Hindu mempunyai lambang, demikian juga si Yahudi mempunyai lambang yang tersendiri.
Benda-benda awam juga mempunyai lambang sebagai tanda kegunaannya, seperti yang terpampang di papan-papan kenyataan yang dapat kita lihat di pinggir-pinggir lebuh raya, ada lambang tandas, ada lambang kedai makan, ada lambang tempat berihat. Dan tanda-tandas itu pula ada mempunyai lambang yang sendiri tentang pengguna-penggunanya, iaitu ada lambang tandas untuk lelaki dan ada lembang tandas untuk kaum wanita, ada lambang tandas OKU.
Lambang-lambang ini wajib dihormati, kalau tidak dihormati, keadaan dunia akan menjadi kacau-bilau, bagaimana jadinya kalau orang lelaki masuk tandas wanita dan sebaliknya kaum wanita pula masuk tandas lelaki dan kedua-duanya bertembung dalam tandas. Cubalah bayangkan riuh rendahnya keadaan akibat tidak menghiraukan lambang-lambang itu.
Saya pernah masuk ke sebuah tandas di sebuah setesen minyak. Tandasnya memang tandas untuk lelaki, ada lambang lelaki dan ada tulisan perkataan lelaki. Ketika saya berada di dlamnya tiba-tiba keluar seorang wanita dari sebuah bilik tandas yang terkunci dari dalam. Saya terkejut merasa bimbang juga. Wanita itu melihat saya dengan jengkel sekali kerana menyangka saya telah menceroboh tandas wanita. Saya segera melangkah keluar untuk mempastikan keadaan dengan melihat kenyataan pada pintu tandas, dan saya merasa puas bila melihat saya memang berada di tempat yang betul, dan wanita itu juga mempastikannya tapi terus berlalu tanpa kata. Nasib baik saya tidak dimaki hamunnya sebagai lelaki gatal.
Kalau benda-benda macam itu pun kita mesti menghormati lambang-lambangnya, apa lagi benda-benda besar, seperti lambang-lambang agama di mana orang sanggup hidup dan mati kerananya.
Agama Islam mempunyai lebih dari satu lambang, dan lambang-lambang ini perlu dihormati bukan sahaja oleh orang Islam tapi juga oleh orang-orang bukan Islam. Demikian juga dengan lambang-lambang agama Kristian dan lain-lain agama masing-masing, perlu hormat menghormati untuk menjaga keharmonian dan kebebasan beragama.
Antara perkara-perkara yang menjadi lambang kepada agama Islam, selain dari masjid ialah Kaabah, Al-Quraan, Masjidil Haram dan sebagainya. Semua lambang-lambang ini perlu dihormati. Malah orang-orang Islam bukan sahaja perlu menghoramti masjid, tapi juga perlu memakmurkan masjid itu dengan mengunjunginya untuk bersolat setiap hari. Kita perlu menghidup dan meramaikan masjid.
Alhamdulillah seperti biasa dalam bulan Ramadan ramai orang Islam pergi bersolat ke masjid, terutama solat Tarawih. Yang pergi itu bukan sahaja orang-orang muda dan orang-orang tua, tapi kanak-kanak turut meramaikan masjid.
Suasana ini amat menggembirakan. Tapi untuk membawa kanak-kanak kecil ke masjid atau ke surau harus difikirkan dua kali, terutama kanak-kanak kecil yang tidak boleh dikawal pergerakannya. Kerana ketika orang-orang sedang bersolat, kanak-kanak ini bukan sahaja membuat bising riuh rendah dalam masjid, tapi mereka juga melompat-lompat dan berlari ke sana ke mari, kadang-kadang di hadapan orang-orang yang sedang solat.
Kadang-kadang seorang ayah bukan sahaja membawa seorang anak yang masih kecil ke masjid, malah membawa sampai lima enam orang anak, macam mana mereka hendak mengawalnya? Ketika dia sedang solat, mungkin ada di antara anak-anaknya yang menangis dan merengek, serta memanggil-manggil ayahnya?
Mana tahu sekali sekala, ada anak-anak itu yang terkencing dalam masjid kerana terlalu kecilnya. Kalau dahulu senang mencucinya kerana tak ada kapet, tapi hari ini hampir semua masjid dan surau-surau yang kecil di kampung-kampung pun berlantaikan kapet.
Kita memang disuruh memakmurkan masjid, meramaikan masjid, tapi jangan terlalu ghairah memakmurkan masjid di bulan Ramadan ini sehingga kita mencipta berbagai-bagai masalah kepada masjid yang menyebabkan seolah-olah kita tidak lagi menghormati kesucian masjid sebagaimana seharusnya.
Menghina Masjid
Ingatlah! Jangan sama sekali kita terjatuh di dalam golongan mereka yang tidak menghormati masjid apa lagi menghinanya, kerana sejarah menunjukkan bahawa para penghina lambang-lambang Islam ini, termasuk masjid telah Allah timpakan dengan berbagai-bagai bencana.
Kuasa Fasis Jepun telah melancarkan gerakan ketenteraan ke atas negara di Asia antara tahun 1940 hingga 1945. Mereka telah menduduki dan menjajahi sebahagian daripada negara-negara itu termasuk Tanah Melayu dalam apa yang dipanggil Perang Dunia Kedua.
Mereka bukan sahaja bertindak ganas dan kejam, tapi juga melakukan tindakan menghina agama Islam. Antaranya tentera-tentera Jepun itu telah menjatuhkan martabat masjid, dengan menjadikan masjid sebagai kandang kuda mereka, dan menghina kitab suci al-Quraan dan mengkoyak-koyakkanya untuk dijadikan sebagai kertas penyapu najis mereka.
Perbuatan biadab mereka itu tidak dimaafkan Allah. Mereka telah dihukum sebagaimana bangsa-bangsa yang lampau telah dihukum oleh Allah kerana menghina agama Allah. Akibatnya Allah timpakan mala petaka yang besar ke atas mereka, di mana pada tahun 1945 kota besar mereka, Hiroshima dan Nagasaki telah dilempari dengan bom-bom atom.
Hiroshima dibom oleh tentera Amerika pada pukul 8.15 pagi, 6 Ogos 1945 dengan sebutir bom atom yang mengeluarkan bahan panas yang menghancurleburkan dan memancarkan cahaya putih yang membutakan mata. Akibatnya seramai 100,000 rakyat Jepun, lelaki dan perempuan serta kanak-kanak telah terkorban.
Di samping itu seramai 140,000 orang lagi telah mati kemudiannya setelah menderita sekian lama akibat terkena pancaran radiasi, melecur, kebakaran dan luka-luka yang tidak dapat disembuhkan. Ini tidak termasuk seramai 100,000 orang lagi yang mengalami kecderaan dan kecacatan yang tidak dapat digambarkan penderitaannya.
Tiga hari kemudian sebutir bom lagi dilemparkan ke atas kota Nagasaki yang telah mengorbankan seramai 40,000 jiwa lagi dan merosakkan segala harta benda yang bukan sedikit pula.
Kedua-dua tempat itu telah musnah, menjadi padang jarak, padang tekukur, tidak bersisa lagi.
Akibatnya lima hari kemudian Jepun menyerah kalah, maka dengan itu berakhirlah Perang Dunia Kedua.
Kita tertanya-tanya kenapa Jepun yang menjadi sasaran serangan musuh-mushunya, sedang bangsa Nazi Jerman jauh lebih kejam dari Jepun, tidak pula dibom, sedangkan masa itu mereka telah membunuh berjuta-juta orang Yahudi yang dijadikan taget sasaran mereka?
Jawapannya, kerana orang-orang Jepun menghina agama Allah, kerana itu Allah menghukum mereka sebagaimana Allah menghukum penghina-penghina yang lalu sebagaimana termaktub dalam kitab suci al-Quran:
1.Tidakkah engkau [Muhammad] perhatikan bagaimana Tuhanmu htelah bertindak terhadap pasukan bergajah?”
2.Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?
3.dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.
4.yang melempar mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar.
5.sehingga mereka dijadikan-Nya seperti daun-daun yang dimakan [ulat].Al-Fil:1-5
Dengan itu tidak hairanlah kita, andainya Jepun telah diserang dengan bom atom, senjata yang pertama yang berjaya membunuh ribuan jiwa manusia dan merosakbinasakan begitu banyak harta benda kerana orang-orang Jepun telah menghina agama Allah.
Demikian juga yang berlaku terhadap pemimpin-pemimpin politik yang bertindak sewenang-wenngnya terhadap institusi-institusi masjid kerana terpengaruh dengan kepentingan politik menyebabkan mereka terlempar dalam berbagai-bagai kesulitan hidup, dan ini patut dijadikan contoh dan teladan oleh kita semua.
Marilah kita memakmurkan masjid, memuliakan masjid dengan sewajarnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini dan seterusnya dalam bulan-bulan yang berikutnya selagi hayat dikandung badan.
Jangan bertindak semborono. Jangan perlekehkan masjid. Jangan merendahkan masjid. Dan jangan hinakan masjid. Kalau tidak anda akan disemboronokan Allah, akan diperlekehkan Allah, akan direndahkan Allah dan juga akan dihinakan Allah, terutama dalam bulan Ramadan yang al-Mubarak ini.
Jangan jadikan masjid sebagai rumah tempat singgah membuang air kencing dalam perjalanan. Tempat membasuh muka ketika memandu jauh di bulanRamadan ini. Jangan jadikan masjid tempat melepas gian, tempat membuang bayi hasil hubungan sumbang. Masjid itu tempat yang mulia, rumah ibadat, rumah Allah.
Takutlah kepada Allah.
Jangan tinggalkan masjid, nanti Allah tinggalkan kita sendirian. Langkah kita akan pincang dan mata kita akan kabur jika kita meninggalkan masjid, khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
xxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment