JANGAN JULURKAN LIDAH ANDA KE NERAKA

>> Sunday, August 14, 2011



MARHABAN YA RAMADAN

JANGAN JULURKAN LIDAH ANDA KE NERAKA

Orang-orang yang berpuasa hendaklah menjauhi perbuatan sia-sia yang boleh merosak dan juga yang boleh mengkuruskan atau mengurangkan pahala puasa mereka.



Justeru itu orang-orang yang berpuasa hendaklah menjauhi sebarang percakapan yang sia-sia dan percakapan-percakapan buruk yang tidak berguna atau merupakan fitnah pesona yang boleh merugi dan mengaibkan orang lain.



Dengan berbuat demikian bererti mereka bukan sahaja tidak makan dan tidak minum kerana berpuasa, tapi juga mereka tidak menggunakan lidahnya daripada berbicara yang keji dan dusta yang boleh mengkurus dan merosakkan puasanya yang amat berharga itu.



Sebaliknya orang yang berpuasa itu berbicara dengn baik, bercakap benar, tidak menipu, tidak berdusta, tidak mencaci, mencela, mengutuk, menghina dan sebagainya daripada kata-kata yang tidak bermoral.



Dia menghiasi dirinya dengan kata-kata yang manis-manis dan enak-enak yang sedarp didengar, dan diwangikan dengan zikrullah.



Dan kebiasaan yang mulia ini akan tertanam dalam peribadinya dan insyaAllah akan kekal menjadi amalannya dalam menjalani hidupnya selepas berakhirnya bulan Ramadan ini dan sehingga tiba bulan-bulan Ramadan yang lain dalam masa-masa yang akan datang.



Bercakap Bohong


Orang puasa tidak bercakap dusta atau bohong, kerana perbuatan itu akan merosakan puasanya.



Baginda Rasulullah saw.bersabda, “Sesiapa yang tidak boleh meninggalkan bercakap bohong dan bekerja dengan itu, maka Allah Taala tidak memerlukan pada orang itu untuk meninggalkan makanan dan minumannya”.HR: Al-Bukhari, At-Tirmizi, Abu Daud, Bal-Baghawi dll.



Bercakap Sia-Sia


Orang-orang berpuasa tidak sama sekali bercakap perkara yang sia-sia dan juga keji atau kotor, kerana perbuatan itu mencerminkan peribadi seseorang yang tidak beres, dan boleh mengotori ibadat puasanya.



Baginda Rasulullah saw.bersabda, “Puasa itu bukan dari makan dan minum, akan tetapi puasa dari bercakap sia-sia dan kotor, dan kalau ada orang yang memaki anda atau memperbodohkan anda, katakanlah:”Saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa”.HR:Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hiban.



Oleh itu berhati-hatilah dalam menjalani hidup dalam bulan Ramadan yang mulia, supaya kita tidak berpuasa dengan sia-sia, sebagaimana ditegskan oleh Baginda Rasulullah saw.”Ibarat seorang yang berpuasa, keuntungannya dari puasanya hanyalah lapar dan haus”.



Mengumpat


Mengumpat ialah berbicara tentang keburukan orang yang merupakan satu dosa di sisi Allah. Allah menyamakan orang yang mengumpat itu seperti memakan daging saudaranya yang telah mati; suatu perbuatan menjijik dan meloyakan, kerana menghinakan orang lain.



Allah berfirman “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesunguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Al-Hujarat:12



Justeru mengumpat adalah merupakan salah satu daripada 8 perkara yang menjadi batu penghalang kepada segala amalan kita daripada diangakt dan diterima Allah. Demikian menurut Hadis Baginda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal.



Sifat-sifat buruk yang lain lagi menurut Hadis tersebut ialah tidak ikhlas, mengharapkan keduniaan, sombong, ujub, hasad dengki, tidak mengasihi orang lain, sum’ah dan riak.



Oleh itu berhati-hatilah sepanjang bulan Ramadan ini, dan seterusnya di bulan-bulan yang berikut selagi kita masih hidup di dunia ini. InsyaAllah.



Andainya berlonggok dengan kawan-kawan itu boleh menyebabkan kita berdusta atau mengumpat elakkanlah majlis seumpama itu, baik di tempat kerja, atau di rumah atau di luar rumah. Andainya bercakap menerusi talipon itu boleh menimbulkan fitnah, maka berhati-hatilah dengan talipon supaya tidak disalahgunakan untuk mengkuruskan puasa kita. Kalau internet itu boleh menceburkan diri kita dalam kancah dosa berdusta, maka elaklah daripada menggunakan internet di sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini.



Salah satu ruang yang begitu rancak digunakan sejak ke belakangan ini untuk mmembuat fitnah, bukan sahaja menerusi lisan, tapi juga menerusi tulisan-tulisan di dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Berbagai-bagai fitnah dilemparkan di situ yang berasas dan tidak berasas yang muncul dari alam ghaib diukir dan dibentuk tangan-tanagan yang tidak bertanggungjawab yang sengaja menempah dosa.



Malah pada hari ini, media telah menjadi bumi yang subur untuk menanam dan menyebar fitnah yang dianggap seperti daging busuk oleh Allah Taala, dan penyebar itu pula diaggap sebagai pemakan daging busuk itu.



Dulu kita katakan, tak ada angin manakan pokok bergoyang. Tapi hari ini, dengan menggunakan teknologi canggih, tak ada angin, tak ada ribut, malah tak ada hembusan bayu pun pokok boleh bergeggar dan bergoyang. Tidak ada anehnya dalam dunia hari ini.



Jagalah diri kita di sepanjang bulan yang mulia, jauhkanlah diri dengan menahan lidah daripada bercakap yang sia-sia, mengeji dan mengumpat, malah daripada segala yang boleh mencedera dan merosakkan puasa kita menjadi kurus seperti pokok layu kekeringan akibat diserang penyakit.



Sebaliknya suburkanlah puasa itu dengan amalan-amalan yang baik, menerusi semua pancaindera kita, dengan mengingati Allah, dengan memperbanyakkan zikir dan doa semoga kita mendapat keredaan Allah SWT.



Tinggalkan segala kata-kata yang buruk, tinggalkan segala kata-kata umpat dan keji, dan segala maki dan hamun, sumpah seranah, cerca dan cela, fitnah dan pesona supaya iman kita bertambah mantap dan subur, seperti sepohon pokok besar yang rindang, berdaun banyak dan berbuah lebat, umbi mencacak di bumi sedangkan daun menjulang angkasa.



Jangan julurkan lidah anda ke lubang neraka, jangan lekapkan telinga anda di dinding neraka, nanti anda akan habis hangus terbakar dibakar oleh api yang kayu unggunnya daripada dosa -dosa yang anda kumpulkan sendiri menerusi pancaindera anda, khususnya lidah dan telinga.



Selamat berpuasa, dan kita masih ada selama dua minggu lagi untuk meniti hidup yang mulia ini. Kalau kita telah tersalah masuk lorong yang keji, segeralah kembali ke pangkal, semoga kita beroleh keselamatan yang diredai Allah yang akan menjamin kebahagian kita di dunia dan akhirat.



xxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Paut Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekaling Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP