Menambah Saham Di bulan Mulia
>> Tuesday, August 2, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
---------------------------------------------------------
MENAMBAH SAHAM DI BULAN MULIA
Hari ini, 2 Ramadan, bererti sudah dua hari kita menunai ibadat puasa, salah satu rukun Islam yang lima. Kita berdoa semoga puasa kita akan terus kekal dalam keadaan yang mulia dan diredai.
Saya terkenang pada suatu tengah hari tiba-tiba saya terdengar bunyi lucing besi digoncang di pintu hadapan pintu rumah kami, dan diikuti oleh suara manusia yang tidak dapat saya dengar dengan jelas apa yang dikatakan. Saya membuka pintu dan menjenguk keluar. Kelihatan seorang lelaki memakai kain sami berwarna kuning “kumbang lilin”.erdiri di situ.
“Ada apa?”, saya bertanya kehairanan bagaimana seorang sami atau tok cai boleh datang ke rumah kami. Inilah seumur hidup saya, buat pertama kali seorang sami berkunjung ke rumah.
“Nak minta sedekah”, Jawabnya sambil mengunjunkkan sebelah tangannya. Sebelum sempat berkata apa-apa dia menyambung kata-katanya, “Bulan baik dah nak sampai ni tak lama lagi......”.
Selepas memberi sedikit derma, tok cai itu berlalu dengan ucapan terima kasih. Bila saya tanya untuk apa dia minta “sedekah”, katanya untuk belanja makan hari-hari, dan seterusnya dia mengulang lagi, kata-kata bulan baik akan sampai tidak lama lagi.
Sebenarnya hari itu penghujung bulan Syaaban, dan beberapa hari lagi akan tiba bulan Ramadan. Bulan Ramadan itulah yang dimaksudkan bulan baik oleh sami tersebut.
Bersedekah
Kita umat Islam memang digalakkan bersedekah, terutama pada bulan Ramadan yang mulia, antaranya dengan cara memberi makan kepada orang yang berpuasa. Dengan berbuat demikian, mereka akan dikurniakan pahala dan kebajikan yang amat besar di sisi Allah.
Sedekah yang utama dalam bulan Ramadan ialah memberi makan kepada mereka yang berbuka puasa, terutama kepada mereka yang daif dan miskin yang seharus diberi keutamaan. Makanan-makanan itu boleh dibawa ke masjid atau surau ataupun boleh juga mengundang mereka makan beramai-ramai di rumah kita.
Berhubung dengan itu, orang-orang yang menerima jemputan itu pula dianjurkan memanjatkan doa yang khusus untuk kebajikan orang yang memberi mereka makan itu.
Rasulullah saw, besabda, “Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa dan memberi bekal kepada orang yang pergi berjihad, maka pahalanya sebesar amal orang itu”.
Tapi kita hari ini menjadi terlalu kedekut untuk memberi sedekah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang akan menyusul dengan Aidilfitri, kerana kita berharap kita akan menghabiskan perbelanjaan yang besar untuk hari raya demi kegembiraan keluarga. Kita sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit untuk membeli pakaian dan makanan-makanan hari raya dengan tujuan untuk menjaga status, walaupun kita sedar, perbuatan kita itu telah jatuh kepada membazir.
Kita seolah-olah lupa bahawa segala yang kita belanjakan itu semuanya akan berakhir dengan kemusnahan, menjadi lusuh dimamah masa, atau menjadi najis yang keluar dari perut kita dalam masa yang singkat selepas disumbat ke dalam mulut. Semua yang ada di dunia ini akan lebur dan musnah.
Apa yang kekal dan abadi hanya yang ada di sisi Allah, antaranya sedekah yang kita hulurkan dengan tulus ikhlas, semata-mata kerana Allah SWT.
Itulah sebabnya para Nabi dan para salihin adalah terkenal sebagai manusia yang pemurah dan dermawan, dan tidak merasa kekok untuk memberi sedekah kepada mereka yang memerlukanya. Kerana demikianlah perintah Allah menyuruh manusia berbuat kebaikan kepada sesama manusia.
Nabi Allah Sulaiman as. setiap hari menerima tetamu, dan baginda menyambut mereka dengan sebaik-baiknya dan menjamu mereka makan. Untuk makan para tetamu itu, baginda menyediakan makanan yang diperbuat dari tepung halus yang telah diayak, tapi kepada putera-puteranya sendiri pula baginda menyediakan makanan-makanan yang diperbuat daripada tepung kasar yang belum diayak, dan kepada baginda sendiri pula baginda menyediakan makanan yang diperbuat daripada gandum yang belum ditumbuk.
Nabi Ibrahim as. pula tidak akan makan melainkan bersama dengan tetamu. Justeru itu kadang-kadang baginda tidak makan selama tiga hari berturut-turut, kerana tidak ada tetamu yang berkunjung.
Rasulullah saw. seorang yang dermawan, sehingga bila ditawarkan perbendaharan dunia ini oleh Allah kepadanya, baginda menolakknya, kerana lebih suka, “makan sehari dan berlapar sehari”.
Para sahabat juga ramai yang pemurah hati dan dermawan. Bila Nabi saw. menganjurkan untuk bersedekah, maka para sahabat tidak teragak-agak untuk menunaikannya.
Sayyidina Abu Bakar As- Siddiq sebagai seorang yang terkemuka dalam kalangan kaumnya menyahut seruan Nabi saw. itu dengan membawa semua harta kekayaannya untuk disedekahkan.
Ketika ditanya oleh Nabi saw. apakah yang ditinggalkannya untuk anak-anaknya, Sayyidina Abu Bakar menjawab, “Allah dan RasulNya, dan Allah akan memberikan lagi kepadaku dengan berganda-ganda”.
Kemudian tampil pula Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra. menyerahkan kepada Nabi saw. separuh daripada harta kekayaannya.
Ketika ditanya oleh Nabi saw. apakah yang ditinggalkannya untuk anak-anaknya, beliau kedengaran menjawab, “Separuh hartaku, dan Allah akan menambahku lagi”.
Menjelang Perang Tabuk, sahabat Abdulrahman bin Auf telah mengsedekahkan kepada Rasulullah saw. sebanyak 4000 dirham, iaitu separuh daripada apa yang dimilikinya dan menyimpan separuh lagi untuk kegunaan diri dan keluarganya.
Melupa
Tapi kita sebagai manusia ini adalah makhluk yang pelupa. Suka melupakan sesuatu. Justeru Tuhan yang Maha Pemurah yang menganugerahkan segala-galanya kepada kita pun, kita boleh melupakannya. Kita menerima kurnia nikmat Allah yang terlalu banyak, tapi kita dengan mudah melupakaNya, iaitu tidak mensyukurinya. Kita makan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, tapi kita tidak berteriamkasih kepadaNya. Malah sebaliknya, ada pula dari kita yang menyalahgunakan segala kurniaan Allah itu.
Sesungguhnya memang ada sebahagian dari kita menjadi manusia yang melupakan kurniaan-kurniaan Allah yang amat besar itu.
Dengan bertindak demikian, maka bererti kita telah menurunkan martabat kita ke taraf yang paling hina, persis haiwan yang melata di bumi, kerna kita yang dikurniakan fikiran, tapi fikiran itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.
Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 29, maksudnya, “Dialah yang telah menciptakan untuk kamu apapun yang ada di bumi ini semuanya”. Justeru janganlah kita dekut dan bakhil, bersedekahlah kita.
Allah memberi amaran kepada kita yang bakhil dengan firmanNya yang mengancam, dalam Surah Ali Imran, ayat 180, yang bermaksud, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan [diseksakan] dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan [isi] langit dan bumi. Dan [ingatlah] Allah amat mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerja”.Ali Imran:180.
Dan ancaman firmanNya lagi “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah , maka khabarkanlah kepada mereka dengan [balasan] azab seksa yang tidak terperi sakitnya, [Iaitu pada hari dibakar emas dan perak [ dan harta benda] itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka [sambil dikatakan kepada mereka]:”Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasakanlah [azab dari] apa yang kamu simpan itu”.At-Taubah:34-35
Justeru bersikap dermawanlah, manusia yang rela memberi sedekah bukan sahaja harta benda, tapi juga buah fikiran, dan tenaga menurut kemampuan masing-masing terutama di bulan Ramadan yang mulia ini.
Allah S.W.T. telah menjamin keberuntungan terhadap orang-orang yang membebaskan dirinya dari sikap kikir dan kedekut, sebaliknya suka bersedekah, dengan firmanNya yang bermaksud, “Dan [ingatah] sesiapa yang menjaga serta memilihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat jahilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”. Al-Hasyr:9.
Andainya kita tidak mendapat apa-apa faedah dunia pun dari persedekahan kita itu, tidaklah penting, dan bukan menjadi matlamat kita, kerana yang lebih pentingnya kita akan dikurniakan laba yang berlipat ganda di akhirat kelak dan ianya merupakan tiket yang boleh mambantu kita untuk memasuki syurga Allah yang kekal dan abadi. Dibandingkan dengan nikmat akhirat, tidak ada ertinya nikmat dunia ini.
Semoga Allah menerima segala amal ibadat kita, serta sedekah kita yang kita hulurkan dengan tertib dan ikhlas, khususnya dalam bulan Ramadan dan menilainya selaras dengan pengetahuan dan kebijaksanaanyaNya.
Marilah kita hidup dengan mahabbah, dan harmoni dengan memperbanyakkan sedekah mengikut kemampuan masing-masing.
Tambahlah saham akhirat kita dengan sifat murah memberi sedekah, terutama pada bulan Ramadan yang agung ini.
Rujukan
1.Saliem Al-Hilalis &
Ali Hasan Ali Abdul Hamed,
Puasa Rasulullah
Thinker’s Library Pte.Ltd.,
123, Jalan Jasa Tiga, Taman Jasa, Sungei Tua,
68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia.
2.Hj.Mohd Sanusi Mahmood
Sains Dan Teknoloji
Al-Ahmadiah Press [Pte] Ltd., Singapura.
3.Dr.Mohammad Alitoha
365 Tip Sihat Gaya Rasulullah
PTS Millennia Sdn.Bhd.,
No 12 & 12A
Dolomite Business Park
68100, Batu Caves, Selangor, Malaysia.
4.Absyar Fuad.Suzana Ismail
Adab Ramadan
PTS Islamika Sdn. Bhd.,
No 12 & 12 A, Jalan DBP,
Dolomite Business Park,
68100 Batu Caves, Selangor.
5.Abdul Hadi Awang
Ramadan Tetamu Yang Dirindui
Penerbit yang sama di atas.
6.Dr.Engku Ahmad Zaki
Sirah Bulan-bulan Hijrah
Must Read Sdn.Bhd.,
35, Jalan Wangsa Setia 3,
Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.t
7.Wan Mohd.Noh Wan Hama
Rusnah Abu Samah
Ramadan Tiba Lagi
Yamani Angel Sdn.Bhd.,
No 2-2, Jalan Excella
Taman Ampang Hilir,
55100 Kuala Lumpur.
8.Muhammad bin Mubarak ath-Thawasyi
Dr.Said bin Musaffar al-Qahthani
Misteri Ramadhan
Al-Hidayah Publication
27, Jalan Ipooh Kecil, 50350 KL.WP.
[Terjemahan:Juhan Che Yaman]
9.Haji Johari Haji Alias
Panduan Solat Tarawih
Darul Nu’man
15A, Tkt.Satu, Wisma Yakin,
Jalan Masjid India,
50100 Kuala Lumpur.
10.Prof.Dr HAMKA
Tuntunan Puasa, Tarawih & Shalat Aidifitri,
Pustaka Dini,
30-B, Tingkat 2, Blok 4, Pusat Perniagaan Worldwide,
Jalan Karate, 13/47, Seksyen 13, 40675, Shah Alam,
Selangor DE.
11.Dan lain-lain
xxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment