MEREKA YANG LIAT MEMBAYAR ZAKAT

>> Thursday, August 25, 2011


MARHABAN YA RAMADAN

MEREKA YANG LIAT MEMBAYAR ZAKAT

Hari-hari bulan Ramadan berlari dengan pantasnya, dan hari ini kita telah berada di penghujung bulan Ramadan yang pemergiannya akan diratapi oleh orang-orang yang menginsafi tentang keunggulan bulan yang mulia itu yang hanya sekali sahaja dalam setahun berada bersama kita untuk dihayati.



Sehubung kait dengan puasa di bulan Ramadan, ialah zakat yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima yang telah difardukan mulai tahun kedua Hijriah Rasulullah saw ke Madinah. Banyak ayat-ayat al-Quran berhubung dengan kewajipan berzakat, antaranya:



“Ambillah zakat dan harta mereka yang berada bagi membersihkan diri dan harta mereka dan doakan mereka setelah menerimanya”.At-Taubah:103.



Di samping itu ada pula Hadis Rasulullah saw. mengenai zakat.



Hadis berupa dialog antara Rasululah saw. yang menjawab pertanyaan-pertanyaan Malaikat Jibril as:



“Apakah itu Islam?”, Nabi saw. menjawab, “Islam adalah mengikrarkan bahawa tidak ada Tuhan selain dari Alah dan h mrMuhammad adalah RasulNya, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji bagi yang mampu melaksanakanya”.Hadis Mussttafaq ‘slsih.



Sebuah Hadis yang terkenal dari Ibnu Umar, berbunyi:



“Islam didirikan atas lima dasar: Mengikrarkan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji bagi sesiapa yang mampu”.Hadis Musttafaq ‘alaih.



Hukuman Tidak Berzakat


Ada dua jenis hukuman ke atas orang yang enggan mengeluarkan zakat, iaitu hukuman di dunia dan hukuman akhirat.



“Apabila mereka tidak mengeluarkan zakat bererti mereka menghambat hujan turun. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak akan diberi hujan”.HR:Ibnu Majah, Bazzar & Baihaqi.



Sebuah Hadis lagi bermaksud, “Bila sedekah [zakat] bercampur dengan kekayaan lain [harta yang belum dikeluarkan zakat] maka kekayaan itu akan binasa”.HR: Bukhari, Bazzar & Baihaqi.



Sementara di akhirat pula:



“Sesiapa yang dikurniakan Allah kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakat, maka pada hari kiamat nanti ia akan didatagi oleh ular jantan gondol yang sangat berbisa dan sangat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya, lalu melilit dan mematuk lehernya sambil berteriak, “Aku adalah kekyaanmu. Aku adalah kekayaanmu yang kau timbunkan dulu”.



Nabi saw. kemudian membaca ayat, “Janganlah orang-orang yang bakhil sekali dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka itu mengira bahawa tindakannya itu baik bagi mreka. Tetapi sebenarnya buruk bagi mereka, segala yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka pada hari kiamat kelak”. At-Taubah:44.



Tindakan Khalifah Abu Bakar


Sejarah menjadi bukti bahawa Khalifah Abu Bakar melancarkan perang terhadap orang-orang yang enggan membayar zakat.



Hukuman Enggan Mengeluar Zakat


Majlis Agama Islam Kelantan [MAIK] mengeluarkan pendapat yang berikut berhubung dengan perkara di atas:



“Apabila seseorang itu enggan mengeluarkan zakat, hendaklah penguasa mentafsirkannya dan mengambil zakat daripadanya dengan cara paksaan, kecuali jika yang enggan mengeluarkan zakat itu, baru sahaja memeluk Islam.

“Sebahagian ulama menerapkan bahawa hakim boleh mengambil sebahagian dari harta orang yang enggan mengeluarkan zakat itu, sebagai denda.

“Diriwayatkan oleh Abdu Daud dan An Nasai dan Bahaz Ibn Hakim, bahawasannya Nabi saw. bersabda:”Dan barang siapa enggan mengeluarkan zakat, maka sesungguhnya kami akan mengambil zakat daripada dan sebahagian dari hartanya [sebagai denda]; satu kewajipan daripada kewajipan-kewajipan yang diberitakan Tuhan kami, tiada halal bagi keluarga Muhammad sesuatupun dari zakat itu”.



Zakat Ganti Upah


Saya terkenang dengan kisah sesetengah pesawah berhubung dengan pengeluaran zakat padi. Ada di antara mereka kerana sebab-sebab tertentu mengupah orang lain mengerjakan sawah mereka. Biasanya sesetengah tuan tanah menjelaskan bayarannya selepas mereka menuai padi itu. Bayaranya mungkin berbentuk wang atau pun padi yang dinilai harganya. Tergantung di atas persetujuan antara kedua belah pihak.



Dalam hal ini ada pula di antara mereka yang melakukan silap mata, dimana mereka menjelaskan bayaran upah kerja itu dengan zakat. Ertinya yang mereka berikan itu bukan upah dalam erti kata yang sebenarnya, tapi cabutan daripada bayaran zakat yang perlu dibayar oleh tuan empunya tanah atau pengupahnya.



Ada di antara mereka langsung tidak memberitahu kepada pengambil upah bahawa yang diberikannya adalah zakat yang wajib dibayarnya pada tahun itu. Tapi ada pula yang memberitahunya kepada pengambil upah, yang mahu tidak mahu terpaksa menerima pembayarannya, kalau tidak kerja-kerja mereke yang lalu itu tidak menghasilkan apa-apa.



Tapi akan timbul masalah andainya para pengambil upah mengetahui yang diberikan kepadanya itu zakat bukan upah kerja dan enggan menerimanya.



Walau bagaimana pun pengupah tetap berkeras dengan sikapnya dengan mengatakan serupa sahaja di antara bayar zakat dan upah, asalkan dibayar upahanya. Kalau pengambil upah terus berkeras dan enggan mengambilnya, maka alamat kosonglah pendapatannya. Sia-sialah titik peluh yang tumpah menambah air di sawah.



Empat Jenis Manusia


Sehubung dengan itu saya teringat pula dari segi IQ atau penguasaan ilmu pengetahuan ada orang membahagikan kita manusia ini kepada empat jenis.



Pertama, kita dari jenis yang tidak ada ilmu, tidak mengetahui, tapi kita tidak pula tahu bahawa kita tidak mengetahui. Kata mereka, kita adalah manusia bodoh, pak pandir yang bukan sahaja tidak perlu didekati, malah perlu dijauhi.



Kedua, kita dari jenis manusia yang tidak berilmu, tidak mengetahui, tapi kita tahu bahawa kita tidak mengetahui. Justeru kata mereka kita adalah manusia bodoh yang perlu diberikan pelajaran oleh orang yang tahu.



Ketiga, kita dari jenis manusia yang berilmu, mengetahui, tapi kita tidak tahu bahawa kita mengetahui. Maka kata mereka, kita adalah dari jenis manusia dalam keadaan tidur, justeu kita perlu dibangunkan.



Keempat, kita dari jenis manusia yang berilmu, mengetahui, dan kita juga tahu, bahawa kita mengetahui, maka kata mereka kita adalah manusia yang cerdik, bijaksana, justeru orang akan mengikuti kita.



Ingatlah kepada firman Allah, “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkanya di jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka, [bahawa mereka akan mendapat azab] yang pedih.



“[Ingatlah] pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka jahanam, lalu dengan itu disetrika dahi, lambung, dan punggung mereka [seraya dikaktakan] kepada mereka, “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah [akibat dari] apa yang kamu simpan”. At-Taubah:34-35.



Demikian sedikit tentang zakat untuk dijadikan renungan kita bersama di bulan Ramadan yang mulia ini dan diharap dapat memberi sedikit manfaat kepada kita semua, dan sama-sama mematuhi perintah berzakat tanpa bersoal jawab untuk mencari dalih untuk menginkarinya..



xxxxxxxxxxx



Bisiki Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP