Menghitung Rakaat Tarawih

>> Wednesday, August 3, 2011





MARHABAN YA RAMADAN

--------------------------------------------------------------------------------------------------


MENGHITUNG RAKAAT TARAWIH



Semalam hari Selasa, hari kedua kita berpuasa, dan hari kedua kita umat Islam berbuka puasa, selepas berpuasa sehari suntuk. Semoga Allah menerima puasa kita.



Biasanya setiap kali berbuka puasa, kami terkenangkan seseorang yang selama berpuluh-puluh tahun lamanya berbuka bersama kami, tapi sekarang telah pergi jauh, dan tidak akan kembali lagi. Walau pun dia telah jauh di mata, tapi sentiasa dekat di hati, sekuntum mawar merah yang sentiasa segar di taman kenangan.



Masih terbayang di mata kami, sebaik-baik kumandang azan kedengaran, sebelum menjamah makanan, dia akan mengangkat kedua belah tangannya berdoa-panjang doanya demi suami dan anak-anak tersayang.



Untuk sepanjang bulan Ramadan, biasanya beliau menyediakan menu yang simpel yang berbeza setiap hari, terutama untuk memberi galakan kepada cucu-cucu kami yang masih kecil yang belajar berpuasa. Saya harap mereka tidak akan melupakan beliau, yang begitu besar jasanya untuk menjaga dan mengasuh mereka, kerana ibu mereka bekerja.



Justeru, walau pun dia sudah tidak ada, kembali ke pangkuan Ilahi, tapi setiap kali berbuka, terasa-rasa dia berada di sisi dan masih berdoa untuk kesejahteraan kami semua.



Menjelang Isya’ beliau akan memboncing mtosikal anak kami Safayi untuk pergi ke masjid yang terletak kira-kira suku kilometer dari rumah kami untuk solat Isya’ dan solat tarawih. Sementara saya seperti biasa lebih suka berjalan kaki sahaja untuk ke masjid.



Walau pun telah hampir dua tahun beliau hilang dari sisi, tapi namanya sering disebut-sebut sebagai “Mama, Wan dan Yah” di kalangan keluarga kami, doa-doa sering dipanjatkan untuknya, dan pusaranya masih tidak puas-puas kami kunjungi. Semoga doa kami, khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini akan diterima Allah dan sampai kepada beliau yang tercinta.



Itulah dia isteriku, Asiah Yaacob, yang dipanggil “Yah”, itulah dia ibu kepada putera dan puteriku yang memanggilnya “Mama”, dan kakak kepada adik-adik iparku yang memangilnya “Kak Yah” semoga Allah sentiasa cucuri rahmat ke atas rohnya.



Walau pun sudah kira-kira dua tahun pemergian beliau, tapi kami masih besolat di masjid yang sama, kerana rancangan kami untuk berpindah masih belum tercapai, walau pun rumah kami telah lama siap dibina. Hanya beliau yang mendahului kami semua berpindah ke alam baka yang abadi. Semoga Allah memperkenankan doa kami.



Sudah menjadi kebiasaan dalam bulan Ramadan ini, kalau kita kawan-kawan antara lain mereka akan bercakap mengenai solat tarawih. Antara perkara yang biasa dibangkitkan ialah rakaat solat tarawih.



Mula-mula mereka bertanya di mana kita bertarawih, kemudian setelah diberitahu mereka akan bertanya pula tentang jumlah rakaatnya?



Bila kita beritahu bilangannya 20 rakaat untuk tarawih, dan 3 rakaat untuk witir ada dua jawapan yang mungkin akan kita terima



Pertama jawapan, “Biasalah tu, di mana-mana pun kebanyakan begitulah. Tempat saya pun begitu juga”.



Dan jawapan satu lagi, “Allah banyaknya. Tempat saya hanya 8 rakaat sahaja, campur 3 witir. Sekejap sahaja sudah selesai”.


Untuk mengelak daripada bercakap panjang tentang bilangan rakaat solat tarawih ini lebih baik diam sahaja.



Saya teringatkan pesan guru-guru, yang melarang kita bertengkar tentang bilangan rakaat solat tarawih, tak guna, yang pentingnya kita semua solat. Siapa yang nak buat lapan rakaat, sembahayanglah 8 rakaat, dan siapa yang nak sembahayang 20 rakaat, sembahayanglah 20 rakaat, tak perlu bertengkar. Yang pentingnya kita semua solat. Hidupkan masjid.



Saya teringatkan pendapat Buya HAMKA yang dihormati mengenai solat tarawih yang berkata, “Oleh sebab itu, marilah kita hidupkan solat tarawih ini sebagai suatu syiar Islam. Tidak ada yang salah atau menyalahkan. Pakailah yang 11 dengan witir atau yang 21 rakaat dengan witir. Cuma yang tidak layak ialah solat tarawih yang tergesa-gesa, terburu-buru, sehingga rakaatnya, sujudnya, Fatihah dan ayat-ayatnya dibaca secara express layaknya.



“Dipilih yang banyak rakaatnya, tetapi dikerjakan terburu, berpacu cepat, sehingga tidak terasa sebagai solat lagi.



“Sekarang bagaimana pertimbangan anda tentang solat yang mereka namai tarawih, padahal Imam membaca cepat sehingga makmum payah mengejar, kanak-kanak bersorak-sorak menyebutkan amin! Baik pada solat 11 rakaat, apatah lagi yang ke 21 rakaat? Solat laksana orang yang berlumba lari itu, yang kadang-kadang baru beberapa minit dilakukan sudah siap 21 rakaat itu, adakah sunahnya dari Nabi saw atau dari Imam keempatnya?



“Atau bukankah ini melanggar adab Qiyamullai itu sendiri? Yang tegas dalam al-Quran:



“Hai orang yang berselimut! Bangunlah malam, kecuali sedikit. Separuhnya atau kurangkan daripadanya sedikit. Atau lebihkan atasnya dan bacalah al-Quran dengan sungguh-sunguh tartil”.Al-Muzammil:1-4.



“Bukankah yang dimaksud dengan tartril ialah lambat, bertenang, teratur dan beres?



“Boleh dipakai yang mana saja, sejak yang 11 rakaat, sampai yang 41 rakaat, tetapi syaratnya ialah tertil. Walaupun menjelang waktu subuh”.



Demikian pendapat Buya HAMKA.



Semoga Allah reda dan ampunkan kita semua di bulan Ramadan yang mulia ini.



Selamat berpuasa.



xxxxxxxxx



Rujukan



1.Saliem Al-Hilalis &

Ali Hasan Ali Abdul Hamed,



Puasa Rasulullah


Thinker’s Library Pte.Ltd.,

123, Jalan Jasa Tiga, Taman Jasa, Sungei Tua,

68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia.



2.Hj.Mohd Sanusi Mahmood


Sains Dan Teknoloji


Al-Ahmadiah Press [Pte] Ltd., Singapura.



3.Dr.Mohammad Alitoha


365 Tip Sihat Gaya Rasulullah

PTS Millennia Sdn.Bhd.,

No 12 & 12A

Dolomite Business Park

68100, Batu Caves, Selangor, Malaysia.



4.Absyar Fuad.Suzana Ismail


Adab Ramadan

PTS Islamika Sdn. Bhd.,

No 12 & 12 A, Jalan DBP,

Dolomite Business Park,

68100 Batu Caves, Selangor.



5.Abdul Hadi Awang


Ramadan Tetamu Yang Dirindui


Penerbit yang sama di atas.



6.Dr.Engku Ahmad Zaki


Sirah Bulan-bulan Hijrah

Must Read Sdn.Bhd.,

35, Jalan Wangsa Setia 3,

Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.t



7.Wan Mohd.Noh Wan Hama

Rusnah Abu Samah

Ramadan Tiba Lagi

Yamani Angel Sdn.Bhd.,

No 2-2, Jalan Excella

Taman Ampang Hilir,

55100 Kuala Lumpur.



8.Muhammad bin Mubarak ath-Thawasyi

Dr.Said bin Musaffar al-Qahthani


Misteri Ramadhan

Al-Hidayah Publication

27, Jalan Ipooh Kecil, 50350 KL.WP.


[Terjemahan:Juhan Che Yaman]



9.Haji Johari Haji Alias


Panduan Solat Tarawih

Darul Nu’man


15A, Tkt.Satu, Wisma Yakin,

Jalan Masjid India,

50100 Kuala Lumpur.

10.Prof.Dr HAMKA

Tuntunan Puasa, Tarawih & Shalat Aidifitri,

Pustaka Dini,


30-B, Tingkat 2, Blok 4, Pusat Perniagaan Worldwide,

Jalan Karate, 13/47, Seksyen 13, 40675, Shah Alam,

Selangor DE.



11.Majalah & Akhbar dan lain-lain


xxxxxxx



Bisiki Pondok Rahmat:

Patukan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP