BELAJARLAH! MAKIN BELAJAR MAKIN BODOH

>> Saturday, August 6, 2011

MARHABAN YA RAMADAN

BELAJARLAH! MAKIN BELAJAR MAKIN BODOH!

Kita perlu terus belajar. Belajar dan belajar hingga kita tidak berpeluang untuk belajar. Bukan belajar untuk lulus pepereksaan, mengumpul markah yang cemerlang. Tapi belajar untuk melayakkan kita hidup sebagai insan yang beriman dan bertakwa.



Itulah dikatakan kewajipan belajar itu bermula dari buayan yang dihayunkan oleh bonda kita, hingga sampai ke liang lahad, memasuki alam berzakh tempat perhentian kita yang terakhir dalam perjalanan menuju ke alam akhirat.



Kejayaan kita meraih markah yang hebat dalam mata pelajaran di alam persekolahan, kejayaan kita memperolehi ijazah tertinggi di menara-menara gading belum tentu menjamin kebahagian hidup anda di dunia dan juga akhirat.



Berapa ramai orang yang bijaksana, yang berwajah manusia dengan kelulusan-kelulusan yang tinggi dan dihormati, tapi di atas batu jemalanya menjujung syaitan yang mengarah segala kegiatannya untuk menuju kedurjanaan.



Itulah sebabnya kita perlu terus belajar-belajar untuk hidup mulia dan sempurna.



Ambillah kesempatan dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini untuk mempertingkatkan pembelajaran kita dalam hidup. Janganlah lepaskan peluang keemasan yang telah dibuka ini untuk terus menimba ilmu.



Dengan hari ini, 6 Ramadan 1432, bererti telah 5 hari Ramadan berlalu, apakah yang kita pelajari selama lima hari itu? Apakah kita menghabiskan masa kita dengan sia-sia atau lebih buruk lagi melibatkan diri kita usaha-usaha maksiat yang telah mencacat dan mencela puasa kita?



Sumber


Banyak yang boleh kita pelajari daripada berbagai-bagai sumber. Soalanya adakah kita suka belajar atau tidak suka belajar?



Sempena dengan bulan Ramadan ini, kita boleh belajar tentang puasa dan perkara-perkara mengenai puasa atau bulan Ramadan, dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengannya, seperti solat tarawih, qiamulai, zakat, hari raya, sedekah dan sebagainya.



Hari ini kita tidak lagi miskin dengan sumber-sumber ilmu itu. Di toko-toko terdapat banyak buku-buku dan juga majalah-majalah yang berbicara tentang puasa, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Belilah dan bacalah.



Kalau kita membacanya 10 muka surat sahaja sehari, ertinya 5 hari Ramadan telah berlalu, kita telah menghabiskan sebanyak 50 muka surat. Kalau kita membaca dengan kefahamam, berapa banyak ilmu telah kita perolehi.



Kita sepatutnya membeli buku-buku seumpama itu sebelum tiba bulan puasa lagi sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan. Kalau kita sudah berbulan-bulan mengadakan persiapan hari raya untuk keluarga dengan perbelanjaan yang bukan sedikit pula kenapa kita tidak bersedia untuk membeli buku yang akan melangkap diri kita sebagai manusia Muslim.



Sebahagian dari kita memang membeli bahan-bahan bacaan, tapi kebanyakan yang dibeli ialah majalah-majalah yang penuh berhias dengan gambar-gambar ikon-ikon, artis-artis dari timur dan barat yang dalam keadaan hampir bertelanjang.



Itulah yang menjadi halwa mata kita dan keluarga kita sepanjang bulan Ramadan. Tidak cukup dengan akhbar-ahbar harian yang bermula dari muka pertama sampai ke muka akhirnya diliputi oleh foto-foto manusia yang terkangkang dan terkoyak dengan berbagai-bagai aksi.



Itulah sebabnya ada guru-guru yang menasihati murid-muridnya supaya stop sekejap membaca akhbar di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini untuk mengelak pelajar-pelajar mereka yang disayangi daripada terjebak dalam amalan yang boleh mencederakan puasa mereka yang ikhlas semata-mata kerana Allah.



Dalam Internet


Dalam Interent itu sebenarnya ada berbagai-bagai perkara, dari sekecil-kecil benda membawa kepada sebesar-besarnya. Dari perkara yang tidak berguna, keapda perkara yang berguna. Daripada perkara yang menyampah kepada perkara yang mulia.



Sebenarnya terlalu banyak ilmu dalam Internet yang boleh diterokai. Tapi kerana terlalu banyaknya itu, kita menjadi “overlook”, terlepas pandang, lalu kita pilih longgokan-longgokan sampah sarap dalam Internet yang boleh merosakkan diri kita dan keluarga kita.



Daripada begitu banyak bahan yang dibekalkan, kenapa kita pilih sampai sarap, tidak kita pilih intan dan berlian. Kenapa bahan-bahan mengarut yang mengujakan kita, menawan kita dalam bulan Ramadan yang mulia ini?



Internet tidak bersalah, dan bersalah diri kita sendiri, tidak pandai memilih antara kaca dan permata, yang menyebabkan kita terus hanyut dalam bulan Ramadan yang mulia ini yang seharusnya kita isikan dengan program-program yang dapat membantu kita membina keimanan dan ketakwaan, dan seterusnya menangkatkan taraf ibadat puasa kita mencapai mercu ketinggianny.



Demikian juga dengan tv, daripada begitu banyak program-program yang disajikan dalam bulan Ramadan ini, dan juga di hari-hari yang lain, kenapa program-program yang bercangaah dengan semangat puasa yang kita pilih? Kenapa tidak program yang dapat mengisi dada kita dengan ilmu dan pengetahuan, dan dapat mengukuhkan iman kita sebagai insan Muslim.



Kenapa kita suka memilih program-program yang boleh mengotori ibadat puasa kita? Memilih cerita-cerita Bolloywood yang khayal dan fantasi dengan hero-hero kacak dan heroin-heroin comel yang muncul dengan pakaian-pakaian yang mnghairahkan?



Kenapa kita pilih program-program Hollywood yang mengenyangkan perasaan dan nafsu dengan paparan-paparan cerita dan gaya-gaya mendebar yang boleh mencemarkan puasa kita?



Kenapa tidak pilih rancangan-rancangan berguna yang boleh meluaskan ilmu di kepala dan memperkukuhkan ingatan kita kepada kebesaran Allah dan keagongan Nabi Muhammad saw. Program-program yang dapat menambahkan ilmu agama kita, tentang puasa, tentang zakat, tentang hari raya, tentang haji dan tentang segala-gala yang berguna dalam hidup ini?




Kenapa rancangan kartoon yang kita pilih, kartoon yang mengjar anak cucu kita menjadi kurang sopan, bercakap dengan meninggikan suara, mengulangi-ulangi kata yang membosankan, mengusek orang dengan cara yang melampau, di mana bukan sahaja anak-anak kita tonton, tapi kita juga turut bersama-sama berkongsi menontonnya.



Dalam CD, DVD dalam kaset-kaset juga dikemukakan berbagai-bagai ilmu yang berguna. Tapi kenapa kita tidak beli CD dan DVD yang mengandungi ilmu, di mana terdapat orang memabca al-Quran atau mengajar manusia menjadi insan yang beriman dan bertakwa? Tapi kita lebih suka memilih CD dan DVD yang bermuat dengan berbagai-bagai lagu yang melekakan dan menjauhkan anda dari Allah anda, hanyut dalam khayal dan fanatsi di bulan Ramadan yang mulia ini.



Kenapa CD yang begitu rupa anda pilih untuk dimainkan dalam kereta anda dan juga di rumah anda di bulan Ramadan ini, dan kenapa tidak anda tukarkan dengan CD bacaan al-Quran, setidak-tidaknya untuk sepanjang bulan Ramadan ini yang masih lagi ada kira-kira selama 3 minggu sehingga terbit bulan Syawal?



Dalam hal ini, anda ibarat pemain bola yang berada di tengah padang, bola sudah terletak di kaki anda, persoalannya ke mana bola itu hendak anda tendang, ke pintu gol atau ke luar padang? Ertinya anda telah ada kemampuan, dan terserahlah kepada anda untuk memilih apa yang menjadi pilihan anda untuk terjun sungai atau naik ke darat yang menyelamatkan?



Sebenarnya kita tidak suka belajar. Kita lebih suka berhibur- bersuka ria, bergelak ketawa, menyegarkan hawa, menggalakakan perasaan yang rendah.



Tidak hairanlah, andainya anak-anak kita, anak muda remaja kita, yang kian ramai terlibat dalam kegiatan-kegiatan maksiat, dosa, dadah, arak, zina dan rogol, kerana kita belajar dari dunia hiburan yang bertaraf rendah, kerana kita tidak ingin untuk belajar, menambah ilmu pengetahuan yang berguna.



Kita tambah juga ilmu, tapi kita tambah ilmu alam maya untuk mencuri, merompak, merogol, mencopet, meragut dan berzina yang memberi sumbangan kepada meningkatnya penyakit-penyakit masyarakat yang telah tenat.



Itulah akibatnya kita merasa kita telah bijak, telah pandai telah canggih untuk melakukan maksiat dan kebejatan, kerana makin banyak kita belajar, maka makin terasa kita makin pandai, dan lalu kita mencari jalan untuk mempraktikkanya. Maka terdamparlah kita di lubuk kemusnahan.



Puasa kita entah ke mana. Iman kita telah ke mana. Maruah kita telah ke mana. Semuanya telah diterbang taupan yang dihembuskan oleh syaitan untuk menghumban kita ke neraka dunia dan ke neraka akhirat yang azabnya tidak berkesudahan.



Awaslah, kalau kita mempelajari ilmu yang benar itu, makin banyak kita belajar, maka makin terasa kita bodohnya, dangkalnya kita, maka makin kuat mendorong kita untuk belajar ilmu Allah yang luasnya, tanpa pinggiran. Belajar dan terus belajar tanpa henti-henti hingga sampai ke liang lahad.



Ambillah keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini untuk belajar, menambah ilmu, mengenal Allah, kerana Allah itu ada di mana-mana kalau anda menggunakan mata zahir dan mata hati anda untuk mencariNya.



Tapi ingatlah, makin banyak kita belajar, makin terasa bodohnya kita sebagai seorang insan yang kerdil segala-galanya, kerdil lahir dan batin.



Dengan itu kita akan faham bila Imam kita, Imam Syafi’i pernah mengucapkan kata-kata seperti berikut:



“Tiap-tiap bertambah ilmuku, bertambah pulalah aku insaf bahawa aku tidak tahu”.



Demikian juga kita dapat memahami jawapan ahli falsafah, Socrates bila orang bertanya kepadanya apakah kesan yang diperolehinya setelah beliau mempelajari begitu banyak ilmu dengan jawapannya, “Suatu hal yang saya dapat ketahui, kerana memabaca buku-buku itu. Iaitu saya tidak tahu”.



Ertinya makin saya belajar, maka makin bodohlah rasa diri saya ini. Tapi jangan bimbang, kerana rasa bodoh itulah akan menjadi pendorong yang besar kepada anda untuk terus belajar, menambah ilmu.



Belajarlah dan belajarlah. Jangan biarkan bulan Ramadan berlalu dengan sia-sia, rebutlah keberkatannya, kemuliaannya dengan menambah ilmu!



Selamat belajar!



Selamat berpuasa!



xxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP