Jangan Jadi Muflis Kerana Masa

>> Friday, August 5, 2011

MARHABAN YA RAMADAN

JANGAN JADI MUFLIS KERANA MASA

Dengan ketibaan hari Jumaat ini, maka bererti sudah 5 hari kita meniti hidup di bulan Ramadan yang mulia ini. Sudah lima hari kita menunai kewajipan puasa yang menguji dan mencabar keimanan kita sebagai manusia yang bertakwa.



Adakah anda merasa bahawa alangkah pantasnya masa berlalu. Pejam celik, pejam celik, dari pagi ke petang, dari petang ke malam, dan malam ke pagi sudah 5 hari masa berlalu.



Masa terus berjalan tanpa memikirkan kita, dan perjalanannya hanya menuju ke satu arah sahaja, ke arah ke abadian.



Masa yang berlalu telah menjadi beku dan pejal, tidak ada siapa yang dapat meleburkannya kembali. Ia pergi dan ia tidak dapat undur kembali. Segala yang berlakku di dalamnya telah menjadi paparan sejarah yang hanya hidup dalam ingatan atau kenangan manusia.



Panggilah tukang-tukang sihir yang terpandai di dunia ini, atau panggil ahli-ahli sains yang terbijak di dunia, bolehkah mereka menarik masa yang berlalu itu wujud semula di hadapan anda?



Masa hanya berjalan ke satu arah. Tidak ada jalan patah balik ke belakang. Tidak ada “U-turn”.



Justeru berhati-hatilah dengan masa. Berhati-hatilah. Supaya kita tidak membuangkanya dengan sia-sia. Jangan jadikan masa itu seperti sisa-sia makanan di bulan Ramadan yang dihumban ke dalam tong-tong sampah.



Cuba-cubalah kita hitung-hitungkan sejak beberapa hari yang lalu ke manakah kita habiskan masa kita yang dianggap emas itu? Ke manakah kita letakkan masa kita beberapa hari yang lalu dalam bulan Ramadan ini?



Main Terup


Pada masa saya kanak-kanak dahulu, ada sebahagian daripada orang lelaki, bila tiba sahaja bulan Ramadan mereka semua berapakat bergiat menghidupkan aktiviti bermain terup. Sehabis sahaja orang solat tarawih, mereka pun beramai-ramai menghurung meja di kedai kopi untuk bermain terup, dan biasanya berakhir pada waktu dini hari, menjelang masa bersahur.



Begitulah aktiviti mereka sepanjang malam bulan Ramadan hingga tiba malam raya, mereka terus bermain terup dan biasanya disertakan dengan pertaruhan kecil untuk menggalakkan mereka bermain.



Pada waktu siangnya pula mereka menghidupkan aktiviti bermain “aji” dan catur. Biasanya setiap hari dibulan Ramadan di waktu petang mereka buka gelanggang aji dan catur dan hanya akan berakhir bila waktu berbuka hampir benar akan tiba.



Yang bermain catur atau aji ini hanya dua orang, seorang sebelah pihak, tapi di setiap pemain itu ada mempunyai beberapa orang penyokong yang sanggup berdiri di belakangnya selama berjam-jam memberi galakan kepada pemain, malah kadang-kadang membantu strateji pergerakan buah catur atau aji untuk meraih kemenangan.



Demikianlah setiap hari dan malam di sepanjang bulan Ramadan mereka menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat untuk mengisi bulan yang mulia itu. Dan aktiviti ini terus bersambung selepas hari raya, walau pun tidak sehebat dalam bulan Ramadan, tahun demi tahun. Catur, aji dan terup telah menghantui hidup mereka.



Kita harap aktitviti-aktiviti yang kurang sihat seperti ini sudah tidak ada lagi dijadikan sebagai perentang waktu di bulan Ramadan walaupun di kampung-kampung yang jauh pendalaman, kerana gerakan dakwah telah begitu meluas tersebarnya di segenap rantau.



TV


Tapi bila tiba tv ke negara kita, maka timbul pula penyakit baru, menghurung peti tv, bermula dari kanak-kanak sampai kepada orang dewasa dan seterusnya orang tua renta berebut-rebut menonton rancangan pilihan masing-masing.



Masing-masing ada pilihan. Ayah dan bonda ada pilihan masing-masing. Datuk dan nenek ada rancangan tersendiri. Anak-anak yang besar ada pilihan mereka, dan demikian juga dengan anak-anak kecil yang belum tadeka pun ada rancangan kegemarannya tersendiri.




Kadang-kadang berlaku pertembungan antara mereka, kerana rancangan berjalan serentak, antara satu saluran dengan satu saluran, maka untuk menyelesaikan keadaan terus berlanjutan, maka dibawa masuklah ke rumah sebuah tv lagi khususnya untuk ayah dan bonda.



Sebagaimana diketahui rancangan-rancangan tv itu ada beraneka ragam, ada yang berguna, dan juga yang tidak berguna, dan boleh mempengaruhi ke arah keburukan atau ke kejian.



Dan yang paling pasti, watak-watak dalam program-program itu banyak yang terbuka dan terdedah, atas dan bawah tidak menutup aurat, lebih-lebih lagi program-program import.



Justeru itu ada guru-guru agama melarang anak-anak buah mereka menonton tv khususnya di sepanjang bulan Ramadan untuk mengelakkan mereka daripada menonton pendedahan aurat yang akan melemahkan puasa mereka.



Kerana itu ada sesetengah orang terus menutup tvnya di sepanjang bulan Ramadan untuk mengelak seluruh keluarganya daripada terpandang perkara-perkara yang terlarang di kaca tv.



Oleh itu pandai-pandailah memilih rancangan, kerana masih banyak lagi rancangan-rancangan yang berfaedah kepada semua peringkat usia peminat tv.



Internet


Kemudian bila timbul internet, keadaan lebih hebat lagi. Segala-galanya ada di situ. Terletak di hujung jari anda. Tekan sahaja, keluarlah segala rupa yang kita kehendaki, termasuklah pandangan-pandangan yang sepatutnya hanya berada dalam kelambu dalam bilik tertutup.



Ada pula yang mempergunkan Internet itu untuk berjudi-menambah pendapatan secara haram. Biasannya mereka berpakat beramai-ramai pergi ke kedai internet, dan mereka berjudi secara berjemaah. Golongan ini termasuk orang-orang Islam dan tanpa mengira bulan Ramadan.



Di antara perkara-perkara yang paling menarik dalam internet ialah Facebook yang banyak gunanya, untu membuat pengumunan, mecari kawan, mencari kekasih, berbual-bual, untuk memasarkan barangan dan seribu perkara lagi.



Banyak juga facebook membawa musibah. Facebook yang meruntuhkan rumah tangga, menghilangkan maruah para wanita, menimpakan kerugian harta benda kepada mereka yang terlalai, mengalirkan air mata mereka yang terleka, membawa kepada pembunuhan diri dan pembunuhan orang lain, dan yang ketara menghabiskan masa dengan sia-sia kerana tidak dipergunakan dengan sebaik-baiknya.



Facebook hanya seumpama sebilah pisau tajam, ia amat berfaedah kalau kita gunakan untuk memotong sayur atau lauk-pauk, tapi akan membawa mala petaka andainya kita gunakan untuk mencedera atau membunuh orang.



Tapi oleh sebab kita telah menyalahgunakan facebook, maka banyaklah bencana yang menimpa mereka, selain daripada merungkaikan masa mereka yang berharga itu dengan sia-sia.



Maka dengan itu dikatakan facebook ini boleh membawa anda ke neraka, jika kita tidak pandai mempergunakannya untuk kebajikan. Demi masa anda yang berharga.



Pasar Ramadan


Sejak akhir-akhir ini serentak dengan kemunculan bulan Ramadan bercambah pula apa yang kita namakan pasar Ramadan di segenap ceruk rantau. Setiap petang berduyun-duyun umat Islam berkunjung ke pasar Ramadan dan berebut-rebut membeli-belah untuk berbuka dan bersahur.



Di sebalik kehadiran mereka ke pasar Ramadan itu untuk membeli-belah, ada pula sebahagian daripada mereka mempunyai niat yang terembunyi, untuk melaram, untuk mencari kekasih hati pengarang jantung, menabur dan menjual cinta monyet, untuk membuka pintu ke lorong maksiat. Ada pula sesetengah wanita yang keluar dengan pakaian tak senonoh di bulan Ramadan, terdedah di sana, terdedah di sini, terkoyak atas, terkoyak di bawah, ketat dan sendat membungkus badan, berkeliaran di pasar Ramadan. Apa yang mereka cari sebenarnya?



Masa itu emas, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini yang sepatutnya di isi dengan amalan-amalan yang berharga yang dapat meningkatkan mutu puasa kita di sisi Allah.



Sempena dengan bulan Ramadan ini, kukuhkanlah azam, anda tidak akan menghabiskan masa anda untuk tujuan yang sia-sia, sebaliknya akan mempergunakannya sebaik mungkin untuk menyuburkan keimanan kita.




Hari ini hanya hari ini, Jam ini hanya untuk jam ini. Siang ini akan hilang bila tiba saat maghrib untuk berbuka. Hari baru akan tiba dan kita melangkah masuk ke hari baru itu, serta meninggalkan hari tadi yang tidak mungkin akan muncul lagi buat selama-lamanya walaupun kita meratap dan menangis dengan air mata darah sekali pun.



Allah telah berpesan kepada manusia, kepada kita semua, supaya tidak berada dalam kerugian kerana membazirkan masa yang Allah kurniakan itu dengan sia-sia.



Allah berfirman:



“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”. Al-Asr: 1-5.



Awas dan hati-hatilah sebelum terlambat. Setiap apa yang kita laku akan terakam dalam daun-daun masa. Tidak ada kuasa yang mampu memadamkanya. Kalau putih, maka putihlah ia. Kalau hitam-hitamlah ia. Ia akan kekal buat selama-lamanya, sehingga semuanya di bawa dan dihimpun di hadapan Allah Yang Maha Agung.



Awaslah dan hati-hatilah. Jangan biarkan emas masa itu tercicir dari celah-celah jari anda, atau terbuang dari poket seluar anda yang koyak kerana ralik atau leka menjejaki bayangan-bayangan dunia yang selalu memperdayakan mereka yang tidak hati-hati menjejakinya, hingga mlemparkan mereka ke lubuk muflis yang kekal dan abadi.



Hati-hatilah dengan emas masa, lebih hati-hati daripada kita menjaga harta benda kita, kerana hilang harta benda boleh dicari, tapi hilang masa tidak ada tukar ganti.



Janganlah kita muncul di hadapan Allah nanti dalam keadaan muflis akibat kita tidak pandai menguruskan masa yang Allah kurniakan kepada kita semasa di dunia.



Jadilah manusia yang tahu menggunakan masa. Tahu menghargai masa. Nanti masa akan menghargai anda. Insya-Allah



xxxxxxxxxxx



Rujukan



1.Saliem Al-Hilalis &

Ali Hasan Ali Abdul Hamed,



Puasa Rasulullah


Thinker’s Library Pte.Ltd.,

123, Jalan Jasa Tiga, Taman Jasa, Sungei Tua,

68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia.



2.Hj.Mohd Sanusi Mahmood



Sains Dan Teknoloji


Al-Ahmadiah Press [Pte] Ltd., Singapura.



3.Dr.Mohammad Alitoha


365 Tip Sihat Gaya Rasulullah

PTS Millennia Sdn.Bhd.,

No 12 & 12A

Dolomite Business Park

68100, Batu Caves, Selangor, Malaysia.



4.Absyar Fuad.Suzana Ismail



Adab Ramadan


PTS Islamika Sdn. Bhd.,

No 12 & 12 A, Jalan DBP,

Dolomite Business Park,

68100 Batu Caves, Selangor.



5.Abdul Hadi Awang


Ramadan Tetamu Yang Dirindui



Penerbit yang sama di atas.



6.Syahrul Nizam Junaini



Travelog Ramadan Al-Mubarak


Penerbitan Yang Sama



7.Dr.Engku Ahmad Zaki



Sirah Bulan-bulan Hijrah


Must Read Sdn.Bhd.,

35, Jalan Wangsa Setia 3,

Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.t



8.Wan Mohd.Noh Wan Hama


Rusnah Abu Samah


Ramadan Tiba Lagi



Yamani Angel Sdn.Bhd.,

No 2-2, Jalan Excella

Taman Ampang Hilir,

55100 Kuala Lumpur.



9.Muhammad bin Mubarak ath-Thawasyi


Dr.Said bin Musaffar al-Qahthani



Misteri Ramadhan


Al-Hidayah Publication

27, Jalan Ipooh Kecil, 50350 KL.WP.


[Terjemahan:Juhan Che Yaman]



10.Haji Johari Haji Alias



Panduan Solat Tarawih



Darul Nu’man

15A, Tkt.Satu, Wisma Yakin,

Jalan Masjid India,

50100 Kuala Lumpur.



11.Prof.Dr HAMKA



Tuntunan Puasa, Tarawih & Shalat Aidifitri,



Pustaka Dini,

30-B, Tingkat 2, Blok 4, Pusat Perniagaan Worldwide,

Jalan Karate, 13/47, Seksyen 13, 40675, Shah Alam,

Selangor DE.




12.Majalah & Akhbar dan lain-lain



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sakalung Harmoni.



1 comments:

syahrulnizam August 9, 2011 at 12:15 PM  

Terima kasih kerana merujuk buku Travelog Ramadan tulisan saya. :)

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP