ANDA ADA PENYAKITKAH?
>> Saturday, August 13, 2011
MARHABAN YA RAMADANi
ANDA ADA PENYAKITKAH?
Hati saya tersentuh dengan dua lelaki yang saya temui di dua buah masjid sepanjang bulan Ramadan yang telah masuk hari ketiga belas hari ini, hari Sabtu.
Kira-kira seminggu yang lalu saya solat Tarawih di masjid yang sering saya kunjungi. Di saf di hadapan saya ada seorang lelaki yang badannya gemuk kendur yang nampaknya kurang sihat. Waktu solat Isya’ saya lihat dia agak sukar untuk berdiri, dan tubuhnya tidak dapat diluruskan. Namun begitu dia masih mampu solat Isya’ sampai selesai walaupun dia terpaksa berdiri dengan kepayahan.
Tapi waktu solat Tarawih, dia hanya solat sambil duduk hingga selesai seperti jamaah-jamaah lain juga. Selepas solat, dia menghulurkan kedua tangannya bersalam dengan saya, saya lihat pada matanya terpancar rasa keramahan, dan kegembiraan.
Tapi bila hendak keluar masjid, saya lihat dia tidak mampu berjalan sendirian, dan terpakasa dipimpin oleh seseorang untuk mengimbangkan badannya supaya tidak terjatuh.
Kelmarin pula hari Jumaat, 12 Ramadan, saya solat Jumaat di masjid yang lain. Bila khutbah selesai dibaca khatib, dan sembahayang hendak dimulakan, para jamaah bangun dan mengemaskan saf untuk sembahayang, di sebelah kiri saya ada ruang kosong untuk seorang jamaah. Bila merasa ada orang di belakang ingin memasuki saf itu, saya pun berpaling ke kiri dan melihat seorang lelaki yang begitu sukarnya untuk berjalan memasuki saf, dia mengatur langkap setapak demi setapak. Dia kelihatan begitu lemah, dan tidak bermaya, dengan kedua belah tangannya kurus dan lesu.
Ketika mengangkat tangan bertakbir, saya rasa tangannya agak menggeletar. Andaian saya beliau mungkin salah seorang mangsa stroke yang Allah kurniakan umur yang lajut. Walau pun keadaannya tidak kuat, tapi dia masih mampu solat sambil berdiri hingga selesai.
Saya rasa kedua-dua lelaki ini di samping mempunyai keimanan yang teguh, juga mendapat suntikan semangat daripada puasa untuk terus beribadat mencari keredaan Allah SWT.
Saya merasa kerdilnya saya jika dibandingkan dengan kedua lelaki tersebut.
Sesungguhnya puasa itu mempunyai kesan yang besar terhadap jasmani seseorang; ia dapat mencegah dan merawat berbagai-bagai jenis penyakit di samping memberi kesan yang terbsar rohani seseorang.
Puasa Dan Kesihatan
Kepentingan puasa dari segi kesihatan jasmani memang telah lama diketahui. Doktor-doktor yang jujur daripada berbagai-bagai bangsa dan agama mengakui hakikat puasa yang begitu penting dari segi kesihatan.
Saya hanya mengutip di sini beberapa fakta sebagai ulangan perkara yang anda semua telah ketahui untuk menghidupkan kembali ingatan anda, tentang peranan puasa yang amat penting dalam menjana kesihatan orang-orang yang berpuasa.
Menurut para doktor, puasa dapat mengeluarkan toksid atau racun daripada badan seseorang menerusi cara-cara yang tertentu.
Puasa juga dapat mencergaskan kembali fungsi-fungsi organ-organ badaniah yang penting, seperti jantung, paru-paru, organ-organ pencernaan, buah pinggang dan sebaginya.
Oleh itu puasa boleh dipergunakan untuk merawat atau sebagai trapi pengihdap-penghidap penyakit buat pinggang, jantung, hati dan sebagainya di bawah pengawasan doktor pakar.
Puasa dapat mencegah penyakit-penyakit yang berpunca daripada radikal bebas, dan di samping mencegah ia juga dapat merawat penyakti-penyakit yang timbul dairpada akibat yang sama.
Puasa dapat merawat penyakit-penyakit yang berpunca daripada pemakanan yang berlebihan di dalam badan seseorang.
Selain itu ada berbagai-bagai jenis penyakit lagi boleh dirawati oleh puasa, tapi dengan syarat dilakukan secara saksama di bawah pengawasan doktor.
Menurut para doktor antara penyakit-penyakit tersebut ialah:
-Sakit jantung kerana berpunca dari makanan.
-Penyakit buah pinggang kerana berpunca dari makanan.
-Penyakit kanser kerana berpunca daripada makanan, seperti kerana merokok.
-Penyakit hati berlemak kerana berpunca dari makanan.
-Penyakit darah tinggi kerana berpunca dari makanan.
-Penyakit kegemukan kerana berpunca daripada makanan.
-Penyakit kencing manis kerana berpunca daripada makanan.
-Penyakit asid yang berlebihan kerana berpunca daripada makanan.
-Penyakit kolesterol yang berlebihan, kerana berpunca dari makanan.
Pendeknya kebanyakan penyakit tersebut telah terbukti kerana berpunca dari makanan.
Lain-lain penyakit lagi yang boleh ditrapi puasa ialah masalah prostate, hipertiod, dan hepatitis kronik.
Keistimewaan puasa untuk mencegah dan merawat penyakit ini bukan sahaja diakui oleh doktor-doktor Islam, malah juga doktor bukan Islam.
Ini berlaku kerana kebanyakan penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca dari makanan. Oleh itu dengan mengurangkan makan, maka bererti kuranglah sumber penyakit itu. Walaupun makanan itu sumber kesihatan, tapi makanan yang tidak terkawal, boleh bertukar menjadi racun yang berbisa.
Antara bahan-bahan yang terdapat dalam makanan yang dimakan yang terdapat dalam badan manusia antaranya ialah lemak, gula dan kolestrol yang boleh menjadi punca kepada berbagai-bagai penyakit yang merbahaya, seperti penyakti darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis dan penyakit buah pinggang.
Bila kita berpuasa bahan-bahan yang merbahaya itu pun terhenti daripada memasuki badan kita, maka dengan itu memberi ruang kepada badan untuk sembuh daripada penyakit-penyakit tersebut.
Oleh sebab puasa itu begitu besar pengaruhnya kepada kesihatan jasmaniah manusia, maka seorang tokoh perubatan moden Islam yang terkenal, Ibnu Sina telah mempergunakan kaedah trapi puasa untuk merawat beberapa jenis penyakit yang tertentu. Pesakit-pesakit yang menerima rawatannya itu diminta berpuasa selama tiga minggu dalam sesi rawatannya.
Kesan Puasa
Menurut doktor toksid atau racun yang berada dalam badan manusia yang berpuasa akan keluar menerusi najis dan air kencing.
Malah ketika berpuasa toksid yang tersimpan dalam sel-sel lemak dalam badan dikleuarkan dengan lebih pantas daripada biasa.
Seseorang yang berpuasa bererti dia kurang mengambil makanan dan minuman yang menyebabkan metabolisme dan bekalan tenaga menjadi berkurangan, dan untuk mengatasi hal ini maka berlakukan pemecahan sel-sel, dan dalam hal ini sel-sel lemak merupakan sumber tenaga yang terlebih dahulu dipecahkan.
Menurut doktor dalam sel-sel lemak itu mengandungi racun, seperti racun DDT, dan bila sel-sel itu pecah, maka ia pun disingkir keluar daripada tubuh seseorang.
Walau bagaimana pun penghidap penyakit kronis, seperti kencing manis, sebelum berpuasa uendaklah meminta nasihat doktor terlebih dahulu, kerana dibimbangi ditimpa oleh kesan-kesan yang tidak diingini.
Ada dua orang yang cukup saya kenali yang menghidap penyakit kencing manis yang kronis telah “berpuasa” yang menyebabkan mereka jatuh pingsan akibat penurunan gula yang mendadak dalam darahnya.
Untuk mencapai kesan yang baik, puasa itu hendaklah dilakukan dengan sewajarnya sebagaimana ditegaskan oleh Dr Mohammad Alitoha yang berkata, “Kajian kami mendapai puasa mendatangkan manfaat kepada kesihatan apabila ia dilakukan dengan semangat yang utuh. Semangat yang utuh adalah berpuasa dengan ikhlas dan mengawal makan minum dengan baik. Tidak gunanya berpuasa apa bila kita tidak mengawasi maka minum semasa berbuka”.
Oleh itu anda, baik lelaki atau perempuan hendaklah mempunyai keimanan yang kuat untuk menahan nafsu anda daripada tergoda oleh lambakan-lambakan makanan di pasar-pasar raya dan di pasar-pasar Ramadan; tidak terpengaruh dengan iklan-iklan makanan di meddia-meddia masa, akhbar, majalah radio dan tv yang biasanya rancak memasarkan lambakan makanan di sepanjang bulan Ramadan dan sebelumnya. Nasihatkan isteri anda yang tersayang supaya tidak melambak aneka makanan di meja makanan rumah anda, tapi sediakan sahaja makanan pilihan yang perlu dan berkhasiat. Dan sebaliknya nasihatkan pula suami anda yang tercinta supaya tidak mendesak lambakan makanan untuk memenuhi seleranya yang tidak berhujung untuk memuaskan nafsu makannya yang gelujuh.
Marilah kita semua berpuasa dengan iman, aman dan selamat, lahir dan batinnya, fizikal dan menalnya.
Umur anda amat berharga. Janganlah berusaha memendekkan usia anda, baik dengan sangaja atau tidak sengaja menerusi makanan anda. Apa lagi dengan mengambil makanan-makanan yang haram dan merbahaya. Kalau anda terus mati, senang perkara, tapi kalau anda terus hidup dalam keadaan menderita, tidak mampu untuk mengurus diri, anda akan menyusah semua orang, termasuk orang-orang yang anda kasihi dan cintai akibat kelalaian anda sendiri yang sengaja mencari nahas.
xxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment