MERENUNG 17 RAMADAN DENGAN JIWA

>> Wednesday, August 17, 2011


MARHABAN YA RAMADAN

MERENUNG 17 RAMADAN DENGAN JIWA

Semalam kita telah melalui malam 17 Ramadan dan diikuti hari ini hingga masuk waktu berbuka petang nanti berakhirlah 17 Ramadan. Marilah kita menoleh ke belakang sejenak, merenung-renung hari yang lalu, dengan jiwa kita, kerana pada 17 Ramadan ini ada beberapa peristiwa penting telah berlaku yang memberi kesan yang besar terhadap agama Islam dan sejarah Islam.



Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 17 Ramadan itu begitu pentingnya hingga ia akan menjadi kenangan dan ingatan umat Islam di sepanjang zaman.



Saya hanya menyebut perakara itu sepintas lalu sahaja sebagai peringatan dan pembuka jalan kepada anda sebagai seorang Muslim untuk menerokanya secara lebih menyeluruh lagi.



Turunnya Al-Quran


Al-Quran buat pertama kali diturunkan Allah kepada Nabi dan PesuruhNya Muhammad saw. dengan perantaran Malaikat Jibrail pada malam 17 Ramadan ketika Baginda saw. berusia 41 tahun Waktu itu Baginda Rasulullah saw sedang beribadat dalam Gua Hirak.



Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, dan tidak diturunkan sekali gus semuanya, tapi secara berecer-ecer atau sedikti demi sedikit, selama 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari..



Ayat pertama yang mula-mula diturunkan ialah 5 ayat surah Al-‘Alaq yang semuanya mengandungi 19 ayat:



Maksudnya:


“[Wahai Muhammad] bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan [seluruh makhluk], Ia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar dengan pena, ia mengajar manusia dengan ilmu pengetahuan yang tidak diketahuinya”.Al-Alaq:1-5



Ayat terakhir yang turun ialah pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijriah, ketika Baginda saw mengerjakan Haji Akbar atau Haji Wada’, iaitu Haji Selamat Tinggal. Ketika itu Baginda saw. berusia 63 tahun.



Ayat terakhir itu bermaksud, “Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku reda Islam sebagai agamamu”. Al-Maidah:3



Al-Quran mengandungi 114 surah dan 6,666 ayat, yang berlainan nama dan berbeza panjang pendeknya, dan dibahagikan kepada30 juz , di mana juz pertamanya Alif Lam Mim dan surah yang akhir ialah ‘Ammayatasa.



Malam al-Quran diturunkan itu juga dinamakan “Lailatul Qadar” yang bermaksud “Malam Ketentuan” dan “Lailatul Mubarakatun” yang bermaksud “Malam Yang Diberkati”.



Setiap orang Islam mestilah sentiasa membaca kitab suci al-Quran ini, terutama di bulam Ramadan yang mulia ini dan juga mmerhatikan isi-isi yang terkandung di dalamnya yang akan memberi banyak faedah kepada pembacanya, terutama dari segi kerohaniannya.



Perang Badar


Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke 2 Hijriah selepas Rasulullah berpindah ke Madinah. Ini adalah peperangan pertama antara orang Islam dan kuasa kufar dalam sejarah perkembangan agama Islam.



Pasukan Islam terdiri daripada 313 orang diketuai oleh Rasulullah saw. sendiri yang dilengkapi dengan dua ekor kuda dan 70 ekor unta yang mereka naiki secara bergilir-gilir.



Peperangan ini berlaku selepas turunya wahyu yang bermaksud: “Dan peranglah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, [tetapi] janganlah melampau batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampau batas”.al-Baqarah:190.




Peperangan ini amatlah pentingnya kepada perkembangan Islam, sehingga Baginda Rasulullah saw. sentiasa berdoa kepada Allah dalam peperangan sedang bergelora, dengan katanya, “Wahai Tuhanku! Andai kata kumpulan ini hancur, siapakah lagi akan menyembahMu di permukakan bumi ini?”.



Peperangan ini berlaku di suatu tempat dikenali dengan nama Badar, justeru sempena nama tempat itulah, ia dinamakan Perang Badar.



Peperangan ini berakhir dengan kemenangan yang gilang gemilang kepada orang Islam; seramai 70 orang pahlawan Qurasy telah terkorban, antaranya seorang pemimpin mereka yang terkenal, iatu Abu Jahal.



Dalam Perang Badarlah berlakunya pertarungan berdada atau berhadapan antara tiga orang pahlawan kufar dengan tiga orang pahlawan Islam yang menyahut cabaran mereka.



Pertarungan berdada itu berlaku di antara pihak Islam di mana Ali berlawan dengan al-Walid, Hamzah berlawan dengan ‘Utbah dan ‘Ubaidah Ibnul Harith berlawan dengan Shaibah. Ketiga-tiga pahlawan Qurish itu telah tumpas, sementara pahlawan Islam, Ali dan Hamzah selamat, tapi ‘Ubaidah telah tercedera parah yang mengakibatkannya gugur syahid.



Justeru Perang Badar begitu pentingnya, maka umat Islam memanggilnya “Ghazwatul-Furqan” yang bermaksud “Peperangan yang menentukan”, kerana peperangan ini Allah membuat penentuan mana yang hak dan mana yang batil.



Oleh sebab begitu pentingnya Perang Badar ini, maka kaum Muslimin merayakan hari tersebut dan kebanyakan negara Islam memperingatinya setiap tahun sebagai suatu hari yang bersejarah.



Penaklukan Kota Mekah


Penaklukan kota Mekah berlaku pada 17 Ramadan tahun 8 Hijriah. Penaklukan itu berlaku dengan mudah sekali, tanpa ada perlawanan daripada musuh-musuh Islam.



Pada hari itu tentera-tentera Islam telah diperintah oleh Baginda Rasulullah saw memasuki kota itu daripada empat jurusan. Sementara tu seorang jurubicara Baginda Rasulullah saw dengan lantang menghebahkah, “Barang siapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan dia aman. Barang siapa yang masuk ke rumahnya sendiri dan ditutupnya pintu dia aman. Dan barang siapa yang masuk ke masjid [Masjidil Haram] dia aman”.



Dengan tu seluruh kota Mekah telah jatuh ke tangan umat Islam. Umat Islam segera tawaf sekeliling Kaabah, dan memusnahkan segala patung-patung dan gambar-gambar yang dipuja oleh orang kafir yang terdapat di Kaabah, sambil mereka berseru-seru, “Telah datang kebenaran, dan telah lenyap yang batil. Sesungguhnya yang batil itu mestilah lenyap”.




Ketika musuh-musuh sengit Islam, datang mengelilngi Rasulullah, Baginda lalu bertanya, “Tindakan apakah, menurut perkiraanmu yang aku ambil terhadap kamu sekalian?”.



Mereka menjawab, “Engkau Muhammad, adalah saudara kami yang pembelas, dan anak dari saudara kami yang pembelas”.



Lalu dijawab oleh Baginda saw.”Ya pergilah! Kamu sekalian bebas”.



Adakah anda pernah dalam sejarah, baik dahulu atau sekarang menemui seorang manusia yang begitu agungnya seperti Baginda Rasulullah saw. bila bertemu dengan musuh-musuh yang pernah menzalaminya dan berada dalam keadaan lemah tidak berdaya tapi beliau enggan mengambil apa-apa tindakan terhadap musuh-musuhnya itu walaupun dia mempunyai kuasa dan peluang untuk berbuat apa sahaja yang disukainya?



Demikianlah kasihnya Baginda saw terhadap bekas-bekas musuh yang begitu kejam dan zalim terhadap beliau dan umat Islam sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah.



Untuk menoleh ke belakang, merenung ke belakang, menuyusuri laluan-laluan masa silam, amatlah penting, bukan sahaja sebagai pencatat sejarah, atau sekadar memperolehi faktanya untuk mendapat ijizah, tapi sebaliknya untuk dijadikan neraca panduan bagi menempoh hidup yang akan datang untuk menjamin kebahagian di dunia dan akhirat.



Demikianlah sekadar renungan bersama dalam bulan yang mulia dan unggul ini, dan diringi dengan doa semoga Allah merestui dan memberkati kita semua serta mengurniakan kita dengan malam Laitul Qadar yang berkat itu.



Sedarlah mereka yang hendak sedar, insaflah mereka yang hendak insaf, sesungguhnya apa yang kita perolehi dan nikmatilah hari ini adalah hasil daripada perjuagan yang mereka yang teradahulu, yang sanggup menggadai jiwa dan raganya berjihad di jalan Allah.



Renungilah dengan seluruh hati dan jiwa anda! Bawalah jiwa menyelinap masuk ke Gua Hirak; Bawalah jiwa anda meninjau pertarungan di Perang Badar; Bawalah jiwa anda meneroka pembukaan semula Kota Mekah oleh Baginda Rasuullah saw. Rasakanlah segala keanehan, kemuliaan dan keagungannya!



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP