ADUHAI RAMADAN! DARI MATA TURUN KE HATI

>> Sunday, August 7, 2011

MARHABAN YA RAMADAN


WAHAI RAMADAN! DARI MATA TURUN KE HATI

Selama 6 hari yang lalu sudah berapa hari anda berkunjung ke pasar Ramadan? Tidak termasuk hari ini, hari Ahad 7 Ramadan.



Setiap hari?




Hampir setiap hari?



Apakah tujuan anda pergi?



Cari lauk-pauk dan kueh-mueh untuk berbuka puasa dan besahur?



Apa yang anda lihat di pasar Ramadan?



Anda terus mencari barang yang anda hajati dan terus membelinya bila bertemu?



Atau anda berputar-putar dahulu ke hulu ke hilir, melihat sana, melihat sini mencari apa yang anda hajati?



Tapi apa yang anda hajati?



Dan yang anda tengok bukan sahaja barang-barang yang anda cari, tapi juga segala-galanya yang ada di hadapan mata anda, jauh dan dekat, sejauh mata memandang.




Anda lihat makanan-makanan yang anda cari, anda lihat penjual-penjualnya sekali, lelakikah perempuan, mudakah dua, cantik molekkah tidak, anda lihat pengunjung-pengunjung lain dalam berbagai-bagai ragam, fesyen dan rupa.



Dalam hal ini, pandangan mata itulah yang akan menentukan sikap anda, suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, kemudian barulah anda membuat keputusan, dan seterusnya bertindak untuk merialisasikan keputusan yang telah anda buat itu.



Andai benda-benda yang anda lihat itu memang patut dilihat, maka itu adalah satu kewajaran. Kalau hendak membeli kueh, anda cari dan lihat dan pilih, memang patutlah, kerana anda mempunyai hajat yang mewajarkan anda melihatnya.



Tapi biasanya mata kita ini sukar untuk dikawal. Kita bukan sahaja melihat apa yang ada, yang patut dilihat, atau tidak patut dilihat, malah mata kita sering mencari-cari sesuatu yang tidak kelihatan untuk dilihat dengan mata lender kita.



Selepas melihat seseorang, katakan seorang wanita, dan kita seeorang lelaki, sebagai contohnya, kita menjadi terepsona dengan wajah dan telatahnya yang mendebarkan, lebih-lebih lagi dengan gaya yang menggiurkan.



Kalau hanya setakat itu sahaja, lihat dan pandang dan merasa berkenan, kesanya masih belum berat. Tapi kalau selepas itu kita menaruh azam untun mendampinginya dan bertekad untuk mendapatkannya, bererti anda telah maju selangkah.



Keadaan menjadi bertambah parah andainya disusuli dengan usaha dan tindakan untuk merialisasikan hasrat anda itu, tanpa memeriksanya, adakah wanita itu telah berpunya atau tidak, tunang orang atau isteri orang, anda tidak peduli.



Anda sanggup berhabis-habisan asalkan wanita itu menjadi milik anda, anda sanggup memutuskan pertunangannya, merosak dan membinasakan rumahtangganya, kerana untuk memenuhi desakan hati anda yang kotor berkarat.



Tidak dapat dengan baik, anda kerjakan dengan jahat. Upah orang, cari bomoh, guna minyak pengasih, minyak senyonyo, minyak mati dibunuh dan segala neka sihir untuk menganiyai orang-orang yang tidak berdosa.



Dengan itu bererti, anda telah melangkah terlalu jauh, membelah hutan belantara untuk terjun ke dalam kawah neraka



Anda telah melanyak-lanyakkan puasa anda, mengkoyak-koyakkan puasa anda, memijak-mijak puasa anda seperti cebisan-cebisan kertas yang berterbangan ditiup angin, tiada bekas dan kesan terhadap diri anda.



Itulah bahanan dari mata turun ke hati, dan dari hati turun ke nafsu dan nafsu dan syaitan inilah yang akan berkongsi memusnahkan puasa dan iman anda.



Jaga-jagalah dari mata turun ke hati. Sekatlah pandangan mata supaya ia tidak turun ke hati, dan lebih malang lagi andainya hati itu telah dibalut karat durjana yang sentiasa menunggu peluang untuk bermaharajalela meratah-ratah iman anda.



Berhati-hatilah dengan mata anda, baik anda seorang lelaki atau wanita. Sebab mata lelaki dan mata wanita sama sahaja bahayanya. Kedua-dua pandangan mata mempunyai panah beracun.



Bentuklah mata anda untuk menjadi mata yang jernih dan jinak, yang hanya suka melihat benda-benda yang suci dan halal yang layak kepada anda untuk melihatnya.



Alangkah baiknya kalau anda mempunyai mata yang bila melihat masjid, surau dan musala, hati anda jadi trpaut dan terpikat dan terpesona dengannya. Bila melihat masjid, mata anda melihat masjid itu menggamit anda dengan manjanya supaya anda memasukinya.



Akibatnya anda selalu teringat-ingatkanya, terbayang-bayangkanya dan selalu berada di sisinya, sekurang-kurangnya lima kali sehari, terutama di bulan Ramadan yang mulia ini untuk anda tumpahkan kasih sayang anda, melepaskan rasa rindu yang memuncak di dada terhadap Allah SWT.



Itulah pula dari mata turun ke hati dan dari hati turun ke dada dimana bersemayamnya iman, dan hidup subur di situ dalam kerinduan Ilahi.



Namun begitu, kita juga kadang-kadang terpedya dengan mata kita. Mata kita seperti juga pancaindera kita yang lain, seperti lidah dan telinga boleh membuat kita tertipu.



Kita mungkin melihat sesuatu, dan kita yakin sesuatu itu memang sesuatu yang kita kenali, tapi pada hakikat sbenarnya, ia bukan sesuatu yang kita yakini itu.



Pada suatu hari, saya sedang membeli-belah seorang diri di pasar. Isteri saya berada di rumah kerana urusan yang tidak dapat dielakkan. Tiba-tiba sedang saya mencari barang-barang belian itu, saya ternamapak dengan mata saya, tidak jauh dari situ, isteri saya yang tadi berada di rumah ada dalam pasar. Saya yakin belau isteri saya. Mustahak apakah dia datang ni? Tanya hati saya.



Lalu saya mengejarnya. Tapi bila saya hampir dengannya, dan hampir mencuitnya, saya tersedar dia bukanya isteri saya, tapi seorang wanita yang langsung tidak saya kenali.



Pada suatu hari saya sedang memandu di sebatang jalan raya. Hari itu cuaca panas terik. Tiba-tiba saya melihat di hadapan saya ada tumpukan-tumpukan air yang bertakung. Tapi bila saya mendaktinya, ia bukan air sama sekali. Ia hanya bayang-bayang yang kelihatan pada pemandangan mata di padang pasir.



Demikian juga dengan lidah kita. Ada waktunya di waktu kita tidak sihat, ketika kita makanan makanan biasa atau minum minuman yang manis lidah kita merasa pahit, sedangkan sebenarnya ia tidak pahit.



Demikianlah mainan pancaindera kita, khususnya mata kita. Justeru itu sekali lagi diingatkan supaya berhati-hati dengan mata kita, jangan sekali pandang, dari mata turun ke hati yang berkarat. Buruk padahnya.



Tidaklah salah kalau kita kebetulan lalu di hadapan sebuah ladang orang dan ternampak buah-buah mangga yang masak, dan terbetik keinginan selera kita untuk menikmatinya. Itu perkara biasa. Ada dua tindakan yang mungkin lakukan untuk menikmati buah mangga yang melirukan itu.



Pertama kita mencari empunya ladang, dan mohon membeli mangga itu dairpadanya. Itu tindakan yang betul dan terpuji.




Tapi yang akan menjadi problam, andainya kita dengan terburu-buru terus melompat paggar ladang, dan memanjat pokok mangga, dan mengambilnya buahnya secara tidak halal, mencurinya atau merompaknya kerana terpesona dengan pandangan mata




Tindakan yang akan membawa anda ke penjara atau ke neraka walau pun anda mungkin terlepas dari hukuman dunia.




Demikianlah dengan perkara-perkara yang terpandang oleh mata anda. Jangan terburu-buru mengambil tindakan, nanti terserandung langkah, bencana padahnya.



Alangkah baiknya di sepanjang bulan Ramdan yang mulia, yang pahalanya berganda, kita habiskan masa kita dengan menggunakan mata menatap perkara-perakra yang berfaedah, membaca al-Quran, meneliti buku-buku yang berfaedah dan seumpamanya.



Aduhai mata janganlah membawa kami ke jalan yang salah, tapi sebaliknya bawalah kami ke jalan lurus yang diredai Allah, khsusunya di bulan Ramadan Al-Mubarak ini.



Aduhai Ramadanku!Aduhai Ramadanku! Janganlan dari mata terus turun ke hati kami kecuali pandangan-pandangan yang baik dan mulia yang menyegarkan iman kami dan menuburkan puasa kami.



Memang benarlah:



Dari mana datangnya cinta,



Dari mata turun ke hati.



Kerana itu berhati-hatilah dengan pandangan mata. Ikutilah pandangan mata itu, dengan pandangan mata hati untuk mengawalnya supaya kita tidak tersesat dalam lubuk cinta yang buta, pekak dan tuli.



Semoga Allah memberkati kita semua, menerima ibadat puasa kita dengan sebaik-baiknya.



Janganlah biarkan mata kita mebuat puasa kita tidak bermakna, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah saw.:




Ramai orang yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga”.HR:Nasa’i.



Dan dijauhkan Allah daripada ancamanNya terhadap orang-orang yang tidak beriman sebagaimana terdapat dalam Surah Tah-ha:



"Dan barang siapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".Tah-ha: 124.



Jangan biarkan nila setitik rosakan susu anda sebelanga.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP