BERBICARA DENGAN DIRI DI BULAN RAMADHAN

>> Thursday, August 4, 2011



MARHABAN YA RAMADAN

----------------------------------------



BERBICARA DENGAN DIRI DI BULAN RAMADAN



Hari ini hari Khamis, sudah 4 hari kita meamasuki gerbang Ramadan yang kita tunggu-tunggu dengan penuh kerinduan. Sehingga pagi ini kita telah berjaya mendisiplinkan diri kita menjadi seorang hamba Allah yang mematuhi segala perintahNya dalam menunai ibadat puasa.



Tapi apa hal dengan diriku ini?



Wahai diriku, engkau adalah seorang insan, seorang hamba Allah yang maha kerdil dan maha lemahnya, yang wujud di dunia kerana belas kasihan Allah semata-mata.



Wahai diriku, engkau hidup di dunia ini sentiasa dikelilingi oleh kawah-kawah dosa yang sentiasa terngangga untuk menelan kamu. Celik sahaja mata di waktu pagi, kawah dosa telah terbuka untuk menyambar kaki kamu, kiranya kamu tergelincir ketika berjalan di titian hidup yang tidak dapat ditentukan keadaannya yang sebenar.



Juteru itu berhati-hatilah diriku. Dalam badanmu itu ada setongkol hati yang begitu berpengaruh terhadap diriku, seketul hati yang suci dan murni yang pada hakikat yang sebenarnya mendamba rahmat Allah.



Wahai diriku, hati yang kau bawa dalam dirimu itu sebenarnya sentiasa berusaha untuk mendekati Allah, sentiasa berada bersama Allah, dan sentiasa berusaha untuk mejauhkan diriku daripada terhumban ke dalam neraka.



Tapi nafsuku, keakuanku, sungguh kuat mempengaruhi diriku dan mengheret diriku ke jalan yang salah, ke jalan kemusnahan yang akan melemparkan diriku ke dalam api neraka yang membakar.



Sedarlah diriku, bahawa makhluk syaitan yang terlaknat itu sentiasa mengintai peluang untuk mempengaruhi kamu menerusi saluran nafsu yang tidak terkawal, dengan memperendah-endahkan perkara-perkara yang buruk, mencari alasan-alasan untuk menghalalkan segala perbuatan kamu yang haram.



Wahai diriku yang perakus, diriku yang peloba yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kamu, selalu minta ditambah; dari kecil kepada yang besar, dan dari besar kepada yang lebih besar, dari sedikit kepada banyak, dan dari banyak kepada yang lebih banyak.



Wahai diriku yang tidak pernah puas-puas. Sedarilah engkau, bahawa telah begitu banyak kurniaan Allah kepada engkau sebagai seorang insan, jauh lebih banyak daripada apa yang engkau sangka selama ini.



Hitung-hitungkanlah segala rahmat itu, satu persatu dalam bulan Ramadan yang mulia ini, semoga engkau menginsafi dirimu yang maha kerdil dan hinanya yang dijadikan dari setitis mani yang kotor yang berasal dari tanah.



Kerana melupakan Allah inilah menyebabkan engkau selalu diburu oleh keresahan dan kegelisahan, selalu merasa tidak cukup, tidak memadai walau pun apa yang Allah kurniakan kepada kamu itu lebih dari memadai.



Wahai diriku yang bongkak sombong, belajarlah bersyukur kepada Allah. Semoga bulan Ramadan yang mulia ini akan membukakan pintu hati engkau seluas-luasnya untuk bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kamu.



Wahai diriku! Mahasabahlah engkau dengan dirimu sendiri. Kenalilah dirimu, seorang hamba Allah. Untuk apa Allah jadikan segala makhluk ini, temasuk diri kamu sendiri?



Semoga dengan itu terkuak lebar pintu hatimu untuk bertaubat, taubat nasuha sebagai sebuah jalan yang murni untuk menuju kepada Allah yang sentiasa membuka pintu taubat itu sehingga sampai ke satu tahap Allah akan menutupnya setelah membukakan pintu taubat begitu lamanya untuk hamba-hambaNya yang menginsafi diri sendiri.



Wahai diriku! Walau pintu dosa itu sentiasa terbuka, siang dan malam, tapi pintu taubat itu juga sentiasa terbuka sepanjang malam dan siang, sepanjang hayat dikandung badan, sehingga nyawa berada di halkum, di hujung perjalanannya menuju keabadian.



Sesungguhnya tidak ada siapa pun yang suci dan bersih daripada melakukan dosa kepada Allah, justeru itulah pintu taubat itu sentiasa dibuka untuk dimasuki oleh hamba-hambaNya yang menginsasfi dirinya dan ingin kembali ke jalan yang benar.



Wahai diriku! Segeralah melangkah masuk ke pintu taubat itu dengan segala kerendahan dan kehinaan diri dan mohonlah keampunan kepada Allah, panjatkan doa kepada Allah, semoga Ia mengampun dan menghapuskan segala dosa-dosa kamu itu tanpa bersisa lagi hingga bila kamu menutup mata kamu untuk kembali ke pangkuanNya dalam aman tenteram dan reda meredai.



Sedarilah diriku, engkau telalu banyak melakukan dosa kepada Allah, andainya dosa-dosa kamu itu dijelma seperti batu-batu kerikil kemudian dilonggokkan di hadapan kamu sekarang, entah setinggi mana agaknya batu-batu dosa itu akan menimbun hari demi hari dan akan menyebabkan kamu jatuh pengsan ketakutan



Wahai diriku, berazamlah engkau di hadapan Allah bahawa engkau tidak akan melakukan dosa-dosa lagi, engkau telah insaf, engkau telah bertaubat, dan bila tiba masanya kamu akan kembali kepadaNya dalam keadaan suci dan bersih seperti sehelai kain putih melepak yang tidak tercacat dan tercela oleh sebarang kekotoran.



Wahai diriku. Rebutlah kesempatan di bulan yang mulia dan barakat ini untuk memperbanyakkan taubat. Semoga kamu mendapat keredaan. Semoga kamu mendapat keampunan. Semoga kamu mendapat ketenteraman dan kebahagian.



Janji Allah memang benar. Semoga dirimu termasuk dari kalangan orang yang bertaubat.



Allah berfirman, “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan [pada tempat] kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. Al-Furqan:70.



FirmanNya lagi, “Katakanlah [wahai Muhammad], “ wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri [dengan perbuatan-perbuatan maksiat], janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihini.”-Az-Zumar:53.



Dalam sebuah Hadis Qudsi juga Allah berfirman, “Wahai hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di malam dan siang hari, tetapi Aku tetap mengampunkan seluruh dosa-dosamu itu, maka minta ampunilah kepadaku nescaya Aku akan memberikan keampunan”.HR:Muslim.



Wahai diriku yang lalai, segeralah memohon keampunan daripada Allah, Rabmu Yang Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang.



Jadilah bulan Ramadan yang mulia ini bulan menganggungkan Allah dan bulan memohon keampunan dan keredaanNya.



Ingatlah wahai diriku untuk muncul di pentas dunia ini, kamu hanya diberikan sekeping teket, iaitu sijil kelahiran, tapi kamu tidak pula diberi teket bila kamu akan berangkat pergi ke perhentian transit terakhir yang akan membawa kamu ke alam yang kekal dan abadi di sisi Tuhanmu.



Tiap-tiap hari Ramdan yang berlalu, tiap-tiap minggu Ramadan yang berlalu, maka bererti kian dekat kamu dengan perhentian terakhir itu. Oleh sebab teket berlepas itu merupakan teket terbuka, maka kamu mestilah sentiasa bersiap sedia untuk menyambut ketibaan hari berlepas itu, tidak kira di usia muda atau tua.



Ingatlah diriku. Bila tiba masanya, semua dedaun akan gugur ke bumi tanpa mengira usianya. Jatuh bertaburan di kaki masa. Menunggu kemusnahan.



Wahai diriku. Mahasabahlah dirimu di bulan Ramadan yang mulia. Berdirilah di pintu Allah dengan segala kehinaan dan kerendahan sambil memperbanyakan permohonan taubat.



Semoga taubat kamu terima dan kamu dimasukkan ke dalam kalangan para salihin dan para Ambia’.



Semoga kamu merupakan seorang hamba yang diterima taubatnya.



Amin!



xxxxxxx


Rujukan



1.Saliem Al-Hilalis &

Ali Hasan Ali Abdul Hamed,


Puasa Rasulullah


Thinker’s Library Pte.Ltd.,

123, Jalan Jasa Tiga, Taman Jasa, Sungei Tua,

68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia.



2.Hj.Mohd Sanusi Mahmood


Sains Dan Teknoloji


Al-Ahmadiah Press [Pte] Ltd., Singapura.

3.Dr.Mohammad Alitoha

365 Tip Sihat Gaya Rasulullah

PTS Millennia Sdn.Bhd.,

No 12 & 12A

Dolomite Business Park

68100, Batu Caves, Selangor, Malaysia.



4.Absyar Fuad.Suzana Ismail


Adab Ramadan


PTS Islamika Sdn. Bhd.,

No 12 & 12 A, Jalan DBP,

Dolomite Business Park,

68100 Batu Caves, Selangor.



5.Abdul Hadi Awang


Ramadan Tetamu Yang

Dirindui


Penerbit yang sama di atas.



6.Dr.Engku Ahmad Zaki


Sirah Bulan-bulan Hijrah


Must Read Sdn.Bhd.,

35, Jalan Wangsa Setia 3,

Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.t



7.Wan Mohd.Noh Wan Hama


Rusnah Abu Samah


Ramadan Tiba Lagi


Yamani Angel Sdn.Bhd.,

No 2-2, Jalan Excella

Taman Ampang Hilir,

55100 Kuala Lumpur.



8.Muhammad bin Mubarak ath-Thawasyi


Dr.Said bin Musaffar al-Qahthani


Misteri Ramadhan


Al-Hidayah Publication

27, Jalan Ipooh Kecil, 50350 KL.WP.


[Terjemahan:Juhan Che Yaman]



9.Haji Johari Haji Alias


Panduan Solat Tarawih


Darul Nu’man

15A, Tkt.Satu, Wisma Yakin,

Jalan Masjid India,

50100 Kuala Lumpur.



10.Prof.Dr HAMKA


Tuntunan Puasa, Tarawih & Shalat Aidifitri,


Pustaka Dini,

30-B, Tingkat 2, Blok 4, Pusat Perniagaan Worldwide,

Jalan Karate, 13/47, Seksyen 13, 40675, Shah Alam,

Selangor DE.



11.Majalah & Akhbar dan

lain-lain




Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Ima.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP