JANGAN LUPA BERBUKA

>> Monday, August 29, 2011


MARHABAN YA RAMADAN



Biasanya dua tiga hari di hujung Ramadan ini, surirumah-surirumah terlalu sibuk di dapur menyiapkan persediaan untuk menyambut hari raya. Selepas semua keperluan kepada pakaian-pakaian baru telah beres, maka mereka pun mengalih tumpuan yang lebih serius untuk menyiapkan juadah-juadah khusus untuk hari raya, terutama kek-kek dan biskut-biskut yang indah dan berselera.



Bukanlah suatu perkara yang jarang berlaku, juadah-juadah yang disediakan itu, terutama penyediaan biskut-biskut selama berbulan-bulan lepas hari lebaran pun masih belum selesai disantap, hingga sampai ke Hari Raya Haji yang akan menyusul nanti. Itu pun setelah dibawa ke pejabat atau ke tempat kerja untuk dikongsi bersama-sama rakan sekerja, masih juga belum luak.



Justeru terlalu sibuk dengan persiapan-persiapan hari raya itu, bukanlah satu perkara yang aneh, kiranya majlis berbuka puasa keluarga pun menjadi kurang terurus atau terabai langsung tidak seperti hari-hari sebelumnya.



Akibatnya anggota-anggota keluaraga, termasuk suami dan anak, terpaksa melayan diri sendiri bila tiba waktu berbuka, kerana mama “bizi” dengan biskut hari raya. Tidak cukup dengan dibeli dan ditempah, disediakan pula dengan tangan sendiri oleh isteri tersayang.



Lebih-lebih lagi andainya kita ini seorang pengusaha kek atau biskut hari raya! Kita terpaksa bekejar untuk menyiapkan biskut yang telah lama kita terima tempahannya, sedangkan besok kemungkinan besar merupakan hari raya Aidilfitri, sedangkan tempahan masih banyak yang belum selesai. Maka berjuanglah kita untuk menyiapakannya



Dengan itu, kita seolah-olah lupa akan kewajipan bersegera untuk berbuka bila masuk waktunya. Yang lain-lain itu perlu ditinggalkan dahulu, walau pun membaca al-Quran dan berzikir; malah solat Maghrib pun kita di suruh berbuka dahulu, baru solat, bukan sebaliknya.



Oleh itu renung-renungkanlah adakah biskut, kek atau gulai hari raya kita lebih mulia dari berbuka puasa?



Kita sudah tahu disunatkan bersegera berbuka puasa bila waktu berbuka telah masuk, iaitu ketika mata hari mulai terbenam atau ketika azan Maghrib dikemndangkan.



Kita dikehendaki mengutamakan berbuka daripada menghabiskan waktu dengan berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya



Segera Berbuka


Hadis laporan Sahl dan Sa’ad menyebut:



“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa”.HR:Bukhari & Muslim.



Baginda Rasulullah saw. sendiri biasanya berbuka puasa terlebih dahulu sebelum solat Maghrib, kerana mempercepatkan berbuka puasa merupakan akhlak para Nabi.



Daripada Abu Ad-Arda’ Ra. “Tiga hal dari akhlak kenabian ialah mempercepatkan berbuka puasa, mentakhirkan makan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat”.



Dalam Hadis Qudsi, Allah berfirman, “Sebaik-baik hambaKu menrut pandanganKu ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa”.HR:Tirmizi.



Dengan itu kita harap kita semua akan termasuk dalam golongan umat Islam yang mempercepatkan berbuka puasa yang memberi erti kita telah mematuhi anjuran Rasullah saw. dan mencontohi teladan Salafus Saleh. Dengan itu juga bererti kita tidak akan tersesat dengan tindakan kita mempertahankan perintah-perintah agama itu.



Selamat tinggal Ramadan, dan selamat datang Aidilfitri.



Semoga berkat bulan Ramadan al-Mubarak, Allah menjiruskan ke atas kita dengan rahmat yang melimpah-ruah tanpa sut atau penghujungnya.



Dan semoga Allah mencurahkan ke atas kita reda dan keampunanNya di hari Aidilfitri yang mulia yang mengembangkan sayapnya ke serata alam dengan limpahan kegembiraan dan kesyukuran.



Amin



xxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP