PINTU LANGIT TERBUKA LUAS
>> Friday, August 12, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
PINTU LANGIT TERBUKA LUAS
Salah satu memori indah yang selalu terbayang di mata kami setiap kali berbuka puasa ialah gambaran isteri saya mengangkat kedua belah tangannya dan dengan khusyuknya berdoa. Dan doanya agak panjang, dan katanya dia berdoa untuk kebaikan suami, dan semua anak cucunya.
Mungkin juga termasuk dalam doanya itu ialah permohonannya untuk kembali ke hadarat Ilahi terlebih dahulu daripada suaminya, kerana katanya dia tidak akan mampu menanggungnya kalau sebaliknya yang berlaku.
Isteri saya, Asiah Yaacob sudah tidak ada lagi di sisi kami. Semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya.
Sesungguhnya bulan Ramadan adalah merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa, di mana sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini pintu langit sentiasa di buka.
Dengan terbukanya pintu langit itu maka bererti segala doa di bulan yang mulia ini diangkat ke hadarat Allah Taala yang bermurah hati sedia menerimanya.
Dengan ketibaan hari ini, Jumaat maka bererti sudah dua belas hari pintu langit dibuka untuk menerima doa-doa orang-orang berpuasa yang berdoa.
Kenyataan hal ini terkandung dalam berbagai-bagai sabda Baginda saw. mengenai puasa..
Salah satu daripada sabda Baginda Rasulullah saw. ialah,”Tiga jenis orang yang tidak pernah ditolak doanya:orang yang berpuasa sampai dia berbuka, imam [ketua negara] yang adil dan doa orang yang teraniaya. Diangkatkan Allah doa itu sampai ke atas awan gemawan, dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Tuhan pun berfirman: Demi kemuliaan-Ku, sungguh Aku akan tolong engkau walau pun sesudah sejenak”.HR: Tirmizi, Ibu Khzaimah, Ibnu Hibban dan Bizaar.
Dan, “Dan sesungguhnya bagi setiap Muslim ada doa yang mustajab pada setiap hari dan pada setiap malam, iaitu bulan puasa”.HR:al-Bizar
Sepanjang bulan Ramadan, baik siang atau pun malam merupakan waktu yang sangat istimewa di sisi Allah SWT.
Dan dalam setiap hari yang istimewa itu ada pula waktu-waktu yang terlebih istimewa untuk berdoa daripada waktu-waktu yang lain. Di antara waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa itu ialah:
Waktu kita berbuka puasa.
Waktu sepertiga malam yang akhir.
Waktu sahur.
Dan watu malam dan hari Jumaat.
Waktu-waktu lain yang mustajab berdoa ialah hari Arafah, antara azan dan iqamat, sesudah solat fardu, ketika sujud dan ketika melakukan perjalanan yang jauh.
Oleh itu para ulama menasihatkan kita supaya tidak mengabaikan waktu-waktu yang mustajab itu ketika kita hendak berdoa.
Oleh itu janganlah kita teragak-agak untuk mengangkat tangan berdoa memohon keampunan daripada Allah SWT. Dan berdoalah dengan sungguh-sungguh dan penuh keyakinan
Semoga doa kita memberi bekas kepada kita lahir dan batin, rohani dan jasmaninya. Dan semoga puasa kita diterima Allah.
Justeru jangan lupa berdoa semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan yang baik dan sihat walafiat dan dapat menunai ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Jangan juga lupa berdoa semoga kita dapat menunaikan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan tanpa sifat riak, ujub, takabur, sombong, bongkak, megah dan segala-sifat tercela yang boleh mencacat atau memusnahkan ibadat puasa kita.
Doa Dan Ibadat
Tidak ada siapa yang berani menyangkal bahawa doa senjata orang Mukmin. Senjata yang cukup ampuh, yang tidak ada kuasa yang mampu untuk menghalangnya daripada naik ke langit menghadap Tuhannya, walau pun seluruh dunia ini dipagar dan dikepung dengan kawat berduri dan tembok batu setinggi awan gemawan di langit.
Allah sendiri berfirman, “ Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina”. Ghafir:6.
Dan firmanNya lagi, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu [Muhammad] tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi [perintah]-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran”. Al-Baqarah:186.
Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Doa adalah ibadat”.HR:Tirmizi.
Sesungguhnya doa adalah merupakan anak-anak kunci yang ampuh untuk membuka pintu-pintu langit untuk membawa segala permohonan kita ke hadarat Allah SWT supaya melimpah-ruahkan rahmat dan nikmat-Nya ke atas kita demi kebajikan dunia dan akhirat kita. Allahu Akbar.
Semoga berkat bulan yang mulia ini segala doa kita diterima baik oleh Allah Maha Pemurah. Amin.
xxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment