DI MANA ANDA BERBUKA SETIAP HARI?
>> Monday, August 8, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
DI MANA ANDA BERBUKA SETIAP HARI?
Di mana anda berbuka puasa sepanjang tujuh hari yang lalu? Dan dengan siapa anda berbuka?
Dan hari ini, hari ke lapan Ramadan, di mana anda hendak berbuka puasa?
Ada berbagai-bagai jawapan yang mungkin diberikan kepada pertanyaan tersebut.
Ia terikat kepada beberapa perkara, antaranya pekerjaan anda, pergerakan anda, kemampuan anda, dan cita rasa selera anda yang tidak kurang pentingnya menentukan tempat anda berbuka sepanjang tujuh hari yang lalu dan juga hari-hari yang selebihnya.
“Setiap hari saya berbuka puasa di masjid”.
Anda berbuka puasa di masjid mungkin kerana anda tinggal secara solo, kerana tempat tinggal anda jauh dari tempat kediaman keluarga anda kerana anda bertugas, dan kebetulan masjid atau surau berhampiran dengan tempat tinggal anda ada menyediakan hidangan berbuka puasa.
Selepas berbuka, dikuti oleh solat Maghrib dan seterusnya sola Isa’ dan diikuti dengan solat Tarawih berjemaah.
Sebagaimana anak kami, Ahmad Faris Zaini yang tinggal di Gua Musang, berbuka di masjid di bulan Ramadan tahun ini, kerana tinggal sendirian di rumah sewa, berjauhan dari keluarga.
Kemudian anda balik ke rumah untuk bersahur ala kadarnya yang biasanya dibeli dari pasar, khususnya pasar Ramadan.
Anda mungkin pula berbuka puasa di pejabat, kerana tempat kerja anda itu setiap hari menyediakan hidangan berbuka untuk para pekerjanya yang bekerja sif petang atau malam.
Anda pula berbuka di hotel atau di resturan ekslusif yang mewah kerana sebagai ahli koprat anda diundang untuk jamuan berbuka atau mengundang rakan-rakan korporat anda berbuka di tempat-tempat seperti itu demi bisnes anda.
Sambil-sambil berbuka itu anda dihibur pula dengan nyanyan-nyanyian yang disampaikan oleh artis-artis atau para penghibur yang terkenal lelaki atau perempuan untuk menggalakkan anda semua berbuka.
Hidangan makanan cukup mewah, penuh meja, serba neka, hingga sampai tak termakan.
Maka anda-anda pun menjamu selera sambil berhibur-hibur dengan halua telinga dan mata dengan asyiknya dalam masa yang terus berlalu dengan pentas.
Atau anda sekeluarga sengaja pergi berbuka di hotel kerana anda mempunyai ongkos yang berlebihan untuk menikmati hidangan yang isitimewa dan dalam suasana yang lebih istimewa.
Kadang-kadang anda sekeluarga tidak terus balik, tapi tinggal di hotel untuk bersahur nanti.
Ada pula yang terpaksa berbuka di hotel, kerana berada dalam permusafiran untuk bertugas atau memikul urusan penting, tapi tidak bersedia untuk meninggalkan ibadat puasa walaupun telah cukup syaratnya berbuat demikian. Berbukalah anda tanpa keluarga di hotel.
Tapi ada pula dikhabarkan tentang adanya pemimpin-pemimpin Islam yang setiap tiba bulan Ramadan akan membuat program untuk melancong, keluar ke luar negara semata-mata untuk menghalalakan mereka tidak berpuasa, salah satu tiang Islam yang lima.
Bagaimana tentang kadanya? Kalau setiap bulan Ramadan mereka kembara ke luar negara. Sedangkan kewajipan mengkada puasa tidak terlepas daripada mereka?
Ada pula yang “berbuka” di kelab-kelab malam, di caffĂ©-caffĂ© house yang terlebih istimewa dengan gro-gro dan para pelayan dan hidangan-hidangan yang penuh khayalan, arak dan dadah.
Sebenarnya mereka bukan berbuka puasa, tapi berbuka nafsu untuk berjamaah di alam maksiat yang dipelopori oleh syaitan-syaitan yang menari mengikut rentak nafsu mereka.
Dan seterusnya ada yang berbuka puasa di rumah, bersama keluarga, bersama isteri, bersama suami, anak-anak dan cucu jika tinggal bersama.
Seperti saya, berbuka dengan anak-anak, Norrbaiti Zaini, Safayi, dan cucu-cucu, Ahmad Syafiq Zaini, Ahmad Syamil Zaini dan Sayafia Zaini. Kadang-kadang disertai oleh Ahmad Syaibani Zaini, Amalina dan cucu Alifah Zaini.
Kadang-kadang berbuka bersama-sama jiran tetangga dan para tetamu yang mereka undang berbuka di rumah.
Sebaliknya kadang-kadang mereka juga berbuka puasa di rumah jiran atau keluarga kerana memenuhi udangan berbuka mereka.
Di samping itu, mereka pula tidak kupit atau kedekut untuk menghulurkan masakan-masakan keluarga yang mereka sediakan kepada jiran-jiran tetangga, baik berupa lauk-pauk atau kueh-mueh sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Hulur menghulur masakan berbuka ini dapatkan menggalakkan mahabbah dan megemaskan silaturahim.
Kadang-kadang, masakan-masakan yang disediakan oleh kelurga itu diunjukkan pula ke masjid atau ke surau yang mengadakan majlis berbuka.
Inilah amalan genersi-generasi yang lalu, terutama yang tinggal di kampung-kampung yang sepatutnya terus disuburkan sepanjang masa dalam masyarakat Muslim hari ini.
Kalau ada jiran-jiran yang bukan Muslim, tidak salah juga, kalau dihulurkan masakan-masakan itu untuk dinikmati oleh mereka bersama.
Begitulah indahnya kehidupan orang Melayu yang beragama Islam, selalu mengekalkan mahabah dan silaturahim.
Masih terbayanag di mata, ketika saya masih kanak-kanak dahulu dan tinggal di kampong bersama keluarga, di mana biasanya sayalah yang menjadi utusan menghulurkan makanan-makanan berbuka yang disediakan oleh ibu tercinta.
Tapi kita hari ini terlalu sibuk dengan kerja, kaum wanita pun bekerja, suami bekerja dan isteri pun bekerja, tak cukup masa hendak memasak, dan kalau masak pun ala kadar sahaja, bagaimana hendak dihulurkan kepada jiran dan sahabat handai?
Kalau hendak dihulur juga kepada jiran-jiran terpaksa beli di pasar Ramadan, atau lebih istimewa ditempah khas daripada tukang-tukang masak yang khusus.
Walau bagaimana pun carilah ruang untuk menghulurkan sedekah di bulan yang mulia ini- memberi orang puasa makan berbuka pun merupakan sedekah.
Alangkah enak dan indahnya berpuasa bersama keluarga, suami isteri, anak-anak dan cucu di rumah yang akan menjadi kenangan manis yang sukar untuk dilupakan, terutama di setiap kali tibanya bulan Ramadan, walau ada di antara mereka tiada lagi di samping..
Banyak Hadis-hadis tentang kebaikan dan kemuliaan sedekah di bulan Ramadan
Sabda Baginda saw.”Mahukah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu benteng, sedekah itu laksana siraman air penghapus dosa dan demikian juga solat tahajud pada malam hari”.HR:Tirmizi.
Dan sabda Baginda saw lagi, “Lindungilah diri kamu daripada api neraka biarpun dengan bersedekah sebelah buah kurma”.HR:Muslim.
xxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment