MERCUN MEMBAKAR RAMADAN

>> Monday, August 15, 2011




MARHABAN YA RAMADAN

MERCUN MEMBAKAR RAMADAN

Setiap kali masuk bulan Ramadan, akan dikuti masuk bersama bunyi mercun yang gegak gempita. Kian penghujung bulan Ramadan, kian dekat dengan Aidilfitri, kian kuat letusan mercun kedengaran membelah suasana di sana sini.



Mereka yang bermain mercun itu, bukan orang bukan Islam, tapi orang Melayu Islam, khususnya anak-anak mereka yang suka membising dan suka mendengar bunyi bising.



Di negara kita Malaysia bermain mercun adalah haram, mereka yang didapati menjual dan bermain mercun boleh ditahan oleh pihak berkuasa, dan boleh didakwa di mahkamah.



Bahaya


Membakar mercun boleh mencetus berbagai-bagai perkara negatif yang tidak diingini. Pembakar-pembakar mercun dan orang-orang lain terdedah kepada risiko bahaya kerana kecederaan akibat letupan mercun.



Sebagaimana telah diketahui umum begitu ramai anggota masyarakat kita yang telah tercedera kerana mercun, seperti boler atau buta sebelah mata, putus jari-jemari, putus kaki, luka parah, malah ada juga yang mati dengan mayat berterbangan akibat mercun.



Hampir setiap hari, menjelang hari raya kita mendengar berita-berita orang-orang menjadi mangsa mercun, bukan sahaja pembakar mercun, tapi juga orang-orang yang tidak berdosa dijadikan mangsa oleh pemain-pemain mercun.



Bunyi letupan mercun yang begitu kuatnya boleh menganggu anggota masyarakat dengan kebisingannya. Mengejutkan orang-orang yang sedang bekerja dan berihat, menganggu orang-orang yang sakit, menganggu bayi-bayi, menganggu orang-orang yang hendak tidur.



Mercun yang dibakar dan meletup boleh mencetuskan kebakaran jika terjatuh ke atas tempat-tempat yang kering dan berisiko, seperti di atas atap-atap rumah, kertas-kertas akhbar, minyak yang mudah terbakar dan sebagainya.



Bukanlah suatu yang asing, ada rumah yang hangus terbakar kerana ditimpa oleh mercun yang menyala dan meletup di atas bumbung rumah.



Sering berlaku letupan mercun itu menganggu orang-orang Islam yang sedang beribadat, terutama ketika bersolat Tarawih di masjid-masjid atau di surau-surau dalam kawasan kediaman masyarakat Islam.



Dan yang bermain mercun itu anak orang Islam, dan menganggu orang yang sedang beribadat di masjid itu juga orang-orang Islam yang sedang mencari keredaan Allah.



Mangsa


Setiap tahun di mana masjid yang kami bertarawih menjadi mangsa gangguan oleh letupan mercun di luar masjid. Malah para jamaah yang sedang solat pun terkejut, kerana mercun-mercun itu dilempar berhampiran benar dengan masjid.



Pernah di sebuah masjid, Iman yang terkejut dengan letupan mercun yang dilempar ke arah masjid, bila selesai solat Tarawih dua rakaat, sebelum menyambung rakaat yang seterusnya mengambil kesempatan memarahi kanak-kanak pemain mercun itu menerusi pembesar suara, bukan sahaja memberi amaran keras, tapi juga dengan menyebut satu dua nama kanak-kanak yang bermain mercun itu, serta menyebut nama ayah dan datoknya sekali.



Dua hari lepas kami bersolat Tarawih di sebuah suarau, dan ketika sedang bersolat, tiba-tiba kami dikejutkan dengan letupan mercun yang kuat. Mercun itu dilempar dekat tingkap di luar suarau.



Kuatnya bunyi letupan mercun itu, andainya ada ahli-ahli jamaah yang menghidap penyakit jantung, mungkin boleh menyebabkan orang itu jatuh kerana terkejut.



Yang menjadi persoalannya ialah ibu bapa yang membekal belanja untuk anak-anak mereka membeli mercun, dan membiarkan anak mereka bermain mercun di sekitar surau di mana orang sedang beribadat setiap malam.



Kalau benar-benar sayangkan anak, belilah aneka mercun, dan biarkan mereka bermain sesuka hati, tapi janganlah biarkan mereka bermain secara berkeliaran di halaman-halaman rumah atau di tempat orang ramai, dan jangan juga izinkan mereka bermain-main di kawasan dekat dengan masjid dan surau, khususnya ketika orang sedang bersolat.



Kalau orang marah kerana mercun diletup di kawasan masjid, orang bukan sahaja marahkan kanak-kanak yang bermain mercun, tapi turut diseret ibu bapa kanak-kanak yang membiarkan anak-anak mereka bermain mercun sesuka hati di situ.



Kalau membaca al-Quran secara keras di masjid pun dilarang oleh Baginda Rasulullah saw. kerana boleh menganggu orang lain, fikirkanlah bagaimana pula tentang bakaran dan letupan mercun yang begitu membisingkan suasana.



Asal Mercun

Adalah dipercayaai mercun berasal daripada tanah besar negeri Cina, dan budaya ini terus berkembang dibawa oleh orang-orang Cina ke negara-negara di dunia, termasuk Malaysia.



Mengikut kepercayaan orang-orang Cina membakar mercun boleh menghalau semangat jahat dan menarik dewa kekayaan datang ke pintu rumah.



Apakah pula tujuan umat Islam membakar mercun? Adakah mempunyai tujuan yang sama untuk menarik semangat-semangat baik datang ke rumah? Hanya pemain-pemain mercun sahaja yang boleh menjawabnya?



Mercun juga dibakar ketika menyambut hari-hari kebesaran tertentu dalam bebagai-bagai budaya, seperti Hari Deepavali bagi masyarakat India di Malaysia, Hari Tahun Baru untuk orang Cina, Hari Diwali di India, dan di mana sahaja orang Cina tinggal mereka menyambut Hari Tahun Baru mereka dengan membakar mercun.


Kalau di Malaysia orang-orang Islam membakar mercun pada Hari Raya, orang-orang Moroko pula membakar mercun ketika menyambut Hari Asyura.



Wahai Ayah Bonda


Wahai ayah dan bonda, datok dan nenek, setiap tahun ramai anak-anak kita, pemuda-pemuda kita yang tercedera kerana mercun, kenapa kita masih merelakan mereka bermain-main dengan mercun yang mengundang bahaya itu? Alangkah baiknya, kalau perbelanjaan membeli mercun itu digunakan untuk tujuan-tujuan yang boleh memberi manfaat dan kebajikan.



Ingatlah kalau anak-anak anda terlibat dalam kemalangan kerana mercun, bukan sahaja anda dan keluarga anda yang susah, tapi ramai lagi yang turut terlibat, terutama pihak rumah sakit, para doktor, para juru rawat yang berusaha untuk menyelamatkan anak-anak yang kemalangan itu.



Andainya anak itu mengalami kecederaan parah yang berkekalan dia akan menanggung akibatmnya selamat hayat, dan anda pula akan memikul penyesalan sepanjang hidup anda kerana tidak menghalang mereka bermain dengan mercun yang sudah pasti berisiko bahaya itu.



Sayangilah diri anda, sayangilah keluarga anda, cintailah mereka semuanya dengan rahmat dan kasih sayang yang berasaskan keimanan.



Kalau kita bencikan sesuatu yang merosak atau membahayakan, kita akan bakar benda-benda itu habis-habisan, tapi kalau kita bencikan mercun, kita tidak boleh membakarnya sebagaimana benda-benda lain itu, dan yang boleh kita lakukan ialah dengan tidak membelinya dan membuang mana-mana yang telah dimiliki. Justeru kita tidak boleh mengajak orang, “Kita bencikan mercun, mari kita beramai-ramai bakar mercun”.



Kalau cintakan anak, jangan biarkan mereka bakar mercun. Kalau sayangkan anak, jangan belikan mercun untuk mereka. Kalau sayangkan anak, pastikan anak-anak tidak membeli, memiliki dan membakar mercun.



Sambutlah Aidilfiri dengan takbir dan tahmid menurut cara Islam bukan dicampuradukkan dengan acara-acara sambutan agama lain yang bukan Islam.



Jangan biarkan mercun membakar Ramadan anda. Jangan biarkan mercun menghanguskan puasa anda.



Semoga puasa kita bersemarak dengan penuh ketakwaan dan keimanan.



xxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP