Simpati Sahaja Tidak Menukupi
>> Wednesday, August 24, 2011
MARHABAN YA RAMADAN
SIMPATI SAHAJA TIDAK MENCUKUPI
Dengan penghayatan Ramadan ini, sudah tentu telah tercetus dalam hati nurani kita bahawa salah satu hikmat puasa yang besar ialah untuk membangkitkan kesedaran di hati kita yang berpuasa tentang nasib malang yang ditanggung oleh orang-orang malang yang tidak mampu untuk menikmati kehidupan dengan sewajarnya termasuk makan minum kerana dihimpit oleh kemalaratan dan kesusahan hidup yang telah ditakdirkan menjadi milik mreka.
Orang-orang seperti ini selepas menikmati sesuatu suapan, mereka tidak pasti bilakah mereka akan memperolehi hidangan yang baru, mungkinkah petang ini, malam ini, atau pagi besok ataupun tiga hari lagi?
Semuanya tidak dapat mereka pastikan, kerana mereka tidak mempunyai sebarang stok simpanan makanan untuk diecer-ecerkan waktu makannya, dan tidak juga mempunyai sebarang kemudahan untuk mencari makanan baru untuk memenuhi keperluan asasi sebagai seorang manusia yang hidup.
Mereka telan apa sahaja yang ada. Kalau terdesak sangat, mereka selongkar tong-tong sampai di tepi-tepi jalan untuk mencari sisa-sisa makanan yang dibuang.
Mampukah kita orang-orang yang berpuasa yang memiliki makanan yang mencukupi, malah berlebih-lebihan benar-benar turut merasai penanggungan derita kesempitan hidup yang dinikmati oleh mereka?
Tentulah sukar kepada kita untuk benar-benar merasai apa yang ditanggungi oleh mereka.
Bagi kita, kalau kita berbuka petang ini dengan menikmati masakan yang istimewa, mungkin di rumah, mungkin di resturan atau di tempah khas, kita tahu bahawa kita masih berpeluang untuk bangun sahur, malah untuk berbuka puasa petang besok ini sudah ada dalam kepala kita apa yang hendak kita makan, atau di mana pula kita hendak makan.
Bagi para jutawan pula, mereka mungkin ingin hendak berbuka di Singapura dan bersahur di Hongkong dan berbuka pula besoknya di Beijing. Tak ada masalah kepada mereka.
Tapi kepada orang yang susah seperti itu, mungkin selepas berbuka puasa petang ini, mungkin makan percuma di masjid atau di surau, mereka belum pasti mereka dapat bersahur atau tidak, kerana mereka tidak mempunyai bekalan makanan.
Pada suatu masa terbit dalam hati saya untuk benar-benar merasai kepahitan hidup yang ditanggung oleh orang-orang yang malang itu, justeru pada suatu hari dalam bulan Ramadan, saya memohon kepada Allah supaya saya dirasakan bagaimana rasanya manusia-manusia yang malang itu untuk meneruskan sisa-sisa hidup mereka dengan harapan yang tidak pasti kewujudannya.
Pada hari itu, saya merasa ada satu perubahan besar dalam puasa saya. Saya merasa terlalu amat letih, terlalu lapar, terlalu dahaga, gangguan perasaan yang tidak tenteram dan sebagainya yang tidak dapat digambarkan........Saya merasa hampir tidak mampu membuka mata sepanjang hari itu.
Arwah isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya], naik hairan melihat keadaan saya berpuasa pada hari itu; biasanya keadaan saya tidaklah seteruk itu.
Selepas berbuka puasa, barulah saya ceritakan keapdanya permohonan saya keapda Allah supaya merasakan kepada saya apa yang dirasasi oleh orang-orang yang hidup malang tanpa makanan.
“Patutlah”, katanya, “Allah dah berikan papa rasalah tu”.
Namun begitu saya percaya, apa yang saya rasa pada hari itu tidaklah sehebat apa yang benar-benar dirasai oleh orang-orang yang malang itu, kerana ketika berbuka, saya tidak merasa apa-apa kebimbangan adakah saya boleh bersahur atau tidak nanti, kerana hidangan telah bersedia menunggu waktu sahur sampai.
Tapi bagi mereka yang malang itu, ketika sedang makan, hati mereka sudah tertanya-tanya bilakah mereka boleh makan pula selepas itu? Tidak ada jawapan. Mereka mungkin boleh makan, atau mungkin tidak boleh makan dalam masa yang terdekat?Tidak ada jawapan. Tidak ada kepastiaan.
Keadaan ini sepertilah susahya orang-orang yang celik hendak merasa atau menyelami hati orang-orang yang benar-benar buta matanya. Walau pun mata orang celek itu dibalut dengan kain hitam yang tebal, dia tidak merasa kebimbangan, kerana bila pembalut mata dibuka nanti, dia dapat melihat semula seperti biasa. Tapi bagi orang yang benar-benar buta, dia tidak akan dapat melihat buat selama-lamanya.
Demikianlah, Allah memberi kita rasa, tapi merasa kita adalah terbatas. Allah memberi kita mata, tapi pandangan kita tersekat. Allah memberi kita otak, tapi fikiran kita terikat juga.
Walau bagaimana pun, merasa sahaja seperti itu tidak mencukupi, tidak memadai; sepatutnya selepas merasa, kita hendaklah bersimpati dan seterusnya diikuti dengan penghuluran segala bantuan yang diperlukan, baik dari segi kebendan atau kerohanian mengikut keperluan keadaan.
Suatu petang dari tingkap rumah kita di jalan besar sana kita nampak seorang lelaki dalam pakaian lusuh sedang berjalan dengan langkah yang guntai. Tiba-tiba terbetik dalam hati kita rasa simpati dan kasihan belas terhadap insan itu. Tapi bila tiba-tiba kita melihat lelaki itu membelok ke rumah kita, maka kita pun segera menyruh anak kita menutup pintu pagar yang terbuka, dan berpesasn kepada anak kita, kalau ada orang tanya abah, katakan abah sedang tidur. Lalu kita pun duduk diam tak berkotek dalam rumah.
Kita berbuat demikian kerana merasa bimbang lelaki itu datang menagih sedekah atau zakat dari kita, sedangkan kita tidak bersedia untuk menghulurkannya walau pun kita mempunyai sesuatu yang boleh diberikan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Dan di hari lain pula tanpa disedari muncul seorang lelaki di hadapan rumah kita memohon derma untuk anak-anak yatim. Kita secara spontan menjawab, “Maaf saya tak ada duit halus ini. Lagi pun kelmarin saya dah berikan dema untuk anak yatim. Lain kali sahajalah. Saya pun tengah sibuk ni”.
Simpati dan kasihan belas kita tidak ke mana, malah ia telah musnah dibakar oleh nafsu kedekut atau kikir kita yang telah sekian lama menjadi perhiasan diri kita.
Malah tak cukup dengan rasa kedekut dan kikir itu, kita juga menyimpan perasaan tamak, haloba yang digandingi dengan rasa hasad dan dengki. Kita bukan sahaja enggan menyeluk saku kita menghulurkan bantuan, tapi juga merasa cemburu andainya ada orang yang bernasib baik mendapat kemewahan hidup, Kita bukan sahaja tidak senang dengan nasib baik seseorang itu, tapi juga mengharap kesenangan itu akan segera hilang, dan mengharap kita akan mengganti tempatnya.
Puasa Ramadan kitA tidak mampu membasuh sikap buruk kita yang kedekut, tamak haloba dan hasad dengki yang menimpa kerugian terhadap diri kita sendiri. Rugi di dunia dan akhirat.
Sedangkan agama kita menuntut kita berjuang menegakkan agama atau iman dengan jiwa dan raga, mental dan fizikalnya. Tapi oleh sebab kita bakhil lahir dan batinnya, maka kita tidak rela berkorban, bukan sahaja jiwa tapi juga harta benda kita kerana kita takut harta kita susut dan kita akan kerguian.
Akibatnya kita sentiasa terlempar dalam kesusahan, masa miskin kita susah, masa senang pun kita, kerana kejahilan kita lahir dan batin. Sewajarya semasa susah pun kita bahagia, dan semasa senang pun kita bahagia. Bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.
Kita lupa, semuanya yang ada di sisi kita ini akan kita tinggalkan pada suatu masa nanti, dan yang akan kita bawa kain putih pembalut tubuh, dan ditemani oleh amal dan ibadat kita untuk menghadap Allah SWT.
Allah telah berfirman,”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelmatkan kamu dari azab yang pedih? ]Iaitu] kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”. As-Saff:1-11.
Susuilah rasa simpati dengan berbudi, susulilah rasa kasihan belas dengan berbakti, dan susuli rasa cinta dengan amali, lrbih-lrbih lsgi di bulan Ramadan yang diberkati ini.
xxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment