SYAITAN-SYAITAN TELAH DIRANTAI DI BULAN RAMADAN, TAPI NAFSU ANDA?

>> Tuesday, August 16, 2011


MARHABAN YA RAMADAN

SYAITAN-SYAITAN TELAH DIRANTAI DI BULAN RAMADAN, TAPI NAFSU ANDA?

Kita manusia dijadikan dari unsur lahir dan unsur batin, unsur lahir dapat dilihat, tapi unsur ghaib tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dan secara semula jadi juga kita dilahirkan dengan keinginan-keinginan yang kita panggil nafsu.



Ada dua jenis keinginan nafsu yang amat berpengaruh dalam diri kita manusia. Pertama nafsu perut, iaitu nafsu yang mencetuskan keinginan makan dan minum dalam diri kita untuk memboleh kita terus hidup. Kalau tidak makan, kita manusia akan menemui ajalnya.



Kedua nafsu syahwat atan nafsu seks yang mencetuskan keinginan kita untuk berkelamin atau bersetubuh, antara lelaki dan wanita. Tanpa nafsu seks ini nescaya umat manusia akan pupus di dunia ini.



Kedua-dua nafsu ini, iaitu nafsu perut dan nafsu kelamin kalau tidak dikawal dengan wajar, akan menyebabkan manusia terserandung langkah, lalu terjerumus ke lubuk petaka dan dosa yang terkutuk.



Syaitan


Di samping itu di luar diri manusia pula ada makhluk yang ghaib yang kerja mereka menunggangi nafsu manusia supaya melakukan kerja-kerja keji mengikut rancangannya yang tersendiri.



Dengan mempunyai nafsu dalam sendiri itu pun, iaitu nafsu syahwat dan nafsu perut, manusia telah merasa kesukaran untuk hidup sebagai insan, maka dengan adanya makhluk syaitan itu, maka makin terasa kesukaran manusia untuk hidup sebagai insan yang dipikulkan pula oleh Allah sebagai khalifah di bumi ini.



Syaitan dan iblis ialah di antara makhluk-makhluk ghaib yang dicipta Allah untuk menguji keimanan manusia, di mana manusia terpaksa mengakui kewujudannya dan peranan-peranannya yang jahat untuk merosakkan keimanan mereka. Oleh sebab wujudnya ghaib, maka manusia tidak dapat melihatnya dengan mata kasar kerana itu mengalami kesukaran untuk mengawalnya.



Syaitan Di Bulan Ramadan


Walau pun syaitan itu bebas bergerak ke sana ke mari sepanjang tahun, minggu dan sepanjang hari siang dan malam untuk memperdayakkan umat manusia, tapi dalam bulan Ramadan pergerakannya terbatas, malah mereka dirantai atau diblenggu oleh Allah.



Baginda Rasulullah saw, bersabda, “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, semua syaitan dan jin yang jahat dibelenggu dan pintu-pintu neraka ditutup”.HR:Tirmizi, Ibu Khuzaimah & Ibnu Majah.



Bagaimanakah agakahnya syaitan itu dibelenggu, adakah ditambat atau dikat dengan ranatai besi seperti mengikat makhluk-makhluk Allah yang nyata sehingga dia kehilangan fungsinya daripada menganggu manusia?



Untuk menjawab pertanyaan tersebut saya petik pendapat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang berkata, “Apabila seseorang berpuasa pada bulan Ramadan, Allah menolongnya daripada gangguan syaitan. Ibadah puasa itu menahan dirinya daripada melakukan sebarang perkara yang membatalkannya. Di tambah pula apabila dia memelihara adab-adab berpuasa, syaitan terhalang daripada menipunya kerana nafsu yang menjadi penghubung syaiatan dengan manusia itu disekat oleh puasa. Oleh itu, syaitan terbelenggu kerana diikat kemahuan nafsu jahat yang terhalang”.



Ertinya syaitan itu terbelenggu bila nafsu seseorang yang berpuasa itu telah dibelenggu oleh puasanya kerana Allah. Puasa itu telah mengikat nafsunya, dan serentak dengan itu bererti mengikat syaitan.



Sebagai seorang Islam kita berikrar bertaat setia kepada Allah S.W.T dan serentak itu juga mengakui kita berseteru dengan makhluk syaitan yang terkutuk itu.



Seterusnya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi menjelaskan tentang puasa dan peranannya membelenggu syaitan dengan katanya, “Puasa juga bertujuan mendapat pertolongan Allah dalam perjuangan hidup. Dengan melakukan puasa, syaitan dan bala tenteranya tidak mampu melakukan apa-apa kerana mereka terbelenggu oleh nafsu manusia yang terhalang Seluruh anggota tubuh dikawal oleh hati yang beriman dan anggota yang beribadah”.



Nafsu dalam diri manusia itu kalau dijaga dengan baik, diletak dibawah kekangan, ia akan memberi manfaat, tapi kalau tidak dijaga, dibiarkan ia berkelana tanpa kekangan, ia akan membawa bencana kerana diperkuda-kudakan oleh syaitan, kerana menerusi nafsu inilah syaitan masuk dan berjaya mempengaruhi manusia,



Puasa adalah merupakan tali kekang untuk mengawal nafsu dan dengan itu menyebabkan syaitan terbelengu dan tidak mampu menganggu manusia yang berpuasa tapi dengan syarat puasa itu dilakukan dengan betul mengikut kaedah-kaedah yang tertentu mengikur syara'.



Dari segi fizikalnya pula puasa bertindak mengecilkan saluran darah, sedangkan syaitan masuk ke dalam tubuh dan mengalir ke sekujur jasad melaluinya, oleh itu dengan pengecilan saluran darah itu menyukarkan syaitan untuk mengalir ke seluruh jasad manusia yang berpuasa.



Itulah sebabnya orang yang benar-benar berpuasa itu sukar untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan semangat puasa, seperti berbohong, bercakap karut, mengumpat, mencaci, membuat fitnah dan sebagainya.



Tapi kalau puasa itu dilakukan dengan cara yang tidak wajar, maka ia tidak mampu menjadi tali kekang untuk mengawal, menyebabkan syaitan terungkai dari belenggunya, walau pun dalam bulan Ramadan.



Justeru itu tidaklah hairan kalau ada orang-orang yang berpuasa tepengaruh dengan syaitan, melakukan kerja-kerja yang bertentangan dengan semangat puasa yang telah dtentukan oleh Allah S.W.T.



Permusuhan


Oleh sebab itulah manusia mesti menerima hakikat bahawa syaitan sebagai musuhnya yang berkekalan buat selama-lamanya tanpa ada niat untuk berdamai. Oleh sebab syaitan itu makhluk ghaib yang merbahaya, dan panjang akalnya untuk menggoda manusia, Allah menasihatkan manusia supaya sentiasa memohon perlindungan kepadaNya daripada gangguan syaitan yang terkutuk.



Sebenarnya permusuhan antara syaitan dengan manusia itu telah lama berlaku, bermula dari sejak kelahiran manusia yang pertama, Adam as. Syaitan enggan mematuhi perintah Allah supaya sujud hormat kepada Nabi Adam as kerana beranggapan asal kejadiannya lebih mulia dari Adam as, kerana dia dijadikan dari api sedangkan Adam dijadikan dari tanah.



Raja syaitan, iaitu iblis yang bongkak dan sombong itu engggan sujud kepada Adam yang dikurniakan oleh Allah sebagai Khalifah di bumi, sebagaimana diperintah oleh Allah SWT.



Allah berfirman, “Apakah yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?”. Iblis menjawab, “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau [wahai Tuhan] jadikan aku dari api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah”.Al-Isra’:12 atau 72.



“Patutkah aku sujud kepada [makhluk] yang Engkau jadikan dari tanah yang diadun”. Al-Isra:61.



Kerana kesombongan itu, syaitan dimurkai oleh Allah dan bukan sahaja disingkir dari syurga tapi juga dijanjikan neraka untuknya. Sejak itu dendam iblis dan syaitan terhadap Adam kian membara; Iblis memohon kepada Allah supaya hukuman ke atasnya ditangguhkan hingga hari kiamat, dan usianya juga dilanjutkan, dengan janjinya kepada Allah untuk memperdayakan umat manusia supaya menjdi pengiukutnya bersama-sama menjadi ahli neraka.



Memanglah dari sejak itu lagi manusia dan syaitan menjadi musuh ketat antara satu sama lain. Iblis dan syaitan sentiasa menyeru manusia supaya melanggar perintah Allah.



Iitulah sebabnya Allah sentiasa mengingatkan manusia supaya sentiasa awas dan waspada terhadap tipu daya syaitan. Sesiapa dari mereka yang beriman, nescaya mereka akan menerima balasan yang baik, sementara mereka yang ingkar dan durhaka menurut ajakan syaitan akan diberikan pembalasan yang setempal, disiksa dan tersingkir dari rahmatNya.



Serentak itu manusia dan juga jin diberi tugas yang berat oleh Allah SWT, serta diutuskan pada mereka Rasul-rasul untuk membimbing mereka ke jalan yang benar.



Sesungguhnya kisah pertarungan antara syaitan dengan manusia adalah sebuah kisah yang tidak habis-habis sehingga sampai ke hari akhirat nanti di mana semua makhluk dihadapkan ke muka pengadilan Ilahi.



Nafsu


Ingatlah nafsu yang telah ditunggangi syaitan itu berkali-kali ganda lebih bahaya daripada syaitan itu sendiri. Nafsu itu asal sebenarnya bersih, tapi andalah yang bertanggungjawab menggotorinya setelah anda dipengaruhi oleh syaitan.



Nafsu yang telah ditunggangi oleh syaitan itu sanggup melakukan apa sahaja untuk memberi kepuasan kepadanya. Nafsu itulah berjaya memperdayakan sesetengah orang supaya tidak berpuasa di bulan Ramadan. Nafsu itu jugalah memperdayakan sesetengah orang supaya memakan buah halal yang terlarang antara suami isteri dalam bulan Ramadan yang mulia ini.



Seperti yang selalu dikatakan, syaitan masuk dan memperdayakan manusia menerusi nafsu. Tidak ada jalan lain, itulah satu-satu jalan yang terbuka luas kepadanya. Oleh itu andainya nafsu anda itu dikawal dan dikekang dengan sewajarnya, insyaAllah anda akan selamat dari gangguan syaitan yang terkutuk itu.



Sentiasalah mengawasi nafsu anda, mengekang nafsu anda, maka dengan itu barulah anda mampu menentang syaitan yang terlaknat dengan izin Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.



Semoga puasa kita meningkat makamnya hari demi hari di sisi Allah dengan melimpahkan rahmatnya sepanjang masa.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP