Awaslah Jangan Kekeringan Cinta Allah
>> Tuesday, January 31, 2012
AWAS JANGAN KEKERINGAN CINTA ALLAH
Kita manusia adalah sebahagian daripada berbagai-bagai makhluk ciptaan Allah di dunia ini. Kita adalah hamba Nya. Allah menciptakan manusia dengaN cinta dan kasih sayang, tegasnya Allah tidak menciptakan manusia kecuali Dia mencintai mereka.
Kerana Allah cintakan kitalah, maka Allah memberikan kita kehidupan, memberi kita rezeki, dan menaungi kita di bawah payung keamanan, keselamatan dan kententeraman yang amat tinggi nilainya dalam kehidupan kita. Sesungguhnya kita hidup ini di bawah payung naungan rahmat dan kasih sayang Allah.
Justeru itu, amatlah wajar kepada kita menyintai Allah yang Maha Berkuasa. Allah yang Maha Pencipta. Allah yang Tunggal. Tidak dua dan tidak tiga. Kalau ibu yang melahirkan kita, kita sayangi dan kita cintai, sedangkan ibu kita pula lahir ke dunis dengan cinta kasih Allah. Sedangkan ayah kita, kita cintai, apa lagi Allah yang menjadikan ayah kita dan menaunginya dengan penuh cinta dan kasih sayang.
Sebaik-baik sahaja selepas dilahirkan ke dunia, kita terus menyayangi ibu kita tyang melahirkan kita itu, dan demikian juga sebaliknya ibu kita menyayangikiita, anak yang dilahirkanya itu. Kalau kita renungknan, yang melahirkan rasa cinta kasih dalam diri kita dan dalam diri ibu kita adalah Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kemudian kita menyayangi ayah kita, dan sebaliknya ayah kita pula menyayangi kita. Dan Allahlah yang menciptakan rasa kasih dan sayang itu di dalam diri kita dan demikianlah dalam diri ayah kita, dan dalam diri manusia seluruhnya.
Begitu banyak bahan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya untuk menjadi bahan berfikir, mencari Allah
Sayang menyayang antara ibu dan anak, di antara anak dan ibu; serta sayang menyayang antara ayah dan anak, dan antara anak dan ayah, adalah keadaan semula jadi kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Ia bukan sahaja terdapat di kalangan makhluk manusia yang berakal fikiran, tapi demikian juga yang berlaku di kalangan haiwan, antara ibu ayam dan anak ayam, antara ibu kucing dan anak kucing, antara ibu burung dan anak burung, antara ibu gajah dan anak gajah, dan demikian jugalah sebaliknya antara anak-anak haiwan dan ibu-ibu hawian. Rasa cinta dan kasih sayang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya.
Cubalah anda perhatikan bagaimana berangnya ibu ayam kiranya anda menganggu anak-anak yang sedang dipimpinnya mencari makan, bulu-bulu tengkoknya akan meremang dan bersiap sedia untuk menyerang anda; demikian juga kiranya anda menganggu anak-anak kucing yang sedng melengkar di bawah perut ibunya akan meradang andainya anda menganggu mereka, dan dia akan menunjukkan sikap yang bengis untuk menyerang anda.
Kemudian dalam masa yang berlalu, jika usia anda panjang, cinta dalam diri anda akan terus berkembang bertambah besar, cinta anda akan terus bercabang-cabang dengan rahmat Allah. ..... Dan akhirnya anda mungkin jatuh hati atau cintakan seseorang yang berlawanan jenis dengan anda yang membawa anda mendirikan rumah tangga dan hidup sebagai suami isteri, dan seterusnya mendapat keturuan.
Maka proses cinta dan kasih sayang itu berulang kembali antara anda dan anak-anak anda, dan antara anak-anak dan anda sebagaimana telah dijalani di masa-masa yang lalu, antara anda dan kedua ibu bapa anda. Proses cinta kasih yang sama juga akan dialami oleh anak-anak cucu anda, walaupun mungkin dalam mutu yang berlainan.
Anda wajib mencintai Allah, dan mencintai Allah itu mestilah dilahirkan dalam berbagai-bagai cara yang selaras dengan kehendak Allah. Dan di samping beramal dengan cara-cara yang khsusus untuk melahirkan perasaan cinta anda kepada Allah itu, anda juga hendaklah tidak melakukan perkara-perkara tertentu yang boleh mengurang atau manghapuskan cinta Allah terhadap anda.
Mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang meniris atau mengeringkan cinta Allah terhdap anda, adalah sama pentingnya dengan cara beramal untuk memperolehi cinta Allah. Anda tidak boleh melakukan serentak antara perkara-perkara yang dicintai Allah dengan perkara-perkara yang dibenci Allah, antara perkara-perkara yang mendekatkan anda kepada Allah dengan perkara-perkara yang menjauhkan anda kepada Allah.
Ada berbagai-bagai perkara yang tidak disukai Allah yang mesti kita jauhi sebagai seorang insan untuk mengelak diri kita daripada kehilangan atau mengeringkan cinta Allah terhadap kita. Alangkah amat malangnya, andainya kita kehilangan cinta Allah, kerana seluruh kehidupan ini tebentuk dari cinta sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Kita utarakan di sini beberapa perkara yang perlu kita jauhi untuk mengelak kita daripada kehilangan cinta Allah, cinta yang tidak dapat dinilai dengan apa sekali pun, dan kesannya berpanjangan dari dunia hingga akhirat, di mana semua makhluk mengharap mendapat rahmat dari Allah.
Zalim
Perbuatan zalim ialah perbuatan keji yang menimpakan aniaya bukan sahaja kepada orang lain, tapi juga ke atas diri orang yang melakukan kezaliman. Sebarang perbuatan maksiat atau dosa yang kita lakukan yang dilarang oleh Allah adalah dianggap menzalamai diri sendiri, kerana perbuatan dosa itu akan akan menimpakan akibatnya yang buruk terhadap pelakunya berupa balasan dari Allah, mungkin di dunia, mungkin di akhirat dan mungkin di kedua-duanya sekali. Sebab itulah ia dikatakan menzalami diri sendiri.
Gunalah daya hati anda untuk membaca yang tersirat di sebalik panaroma alam yang sepi dan damai ini
Sedangkan Allah yang Maha Penyayang, tidak sukakan orang-orang yang berbuat kezaliman, baik kepada diri sendiri ataupun kepada orang lain dengan ancaman-ancaman yang keras.
Marilah kita perhatikan firman Allah yang bermaksud, “Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, maka Allah akan memberikan kepada mereka dengan sempurna pahala amalan-amalan mereka; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”. Al-Imran: 57.
Melampaui Batasan
Dalam hidup kita mungkin melakukan perkara-perkara yang melampaui batas, baik menerusi tindakan, kata-kata malah juga isyarat yang menandakan kesombongan diri kita sebagai seorang manusia yang menyinggung orang lain. Kita berbuat demikian, mungkin merasa diri kita lebih baik daripada mereka, baik dari segi pemikiran, kedudukan dan juga harta benda yang telah menggelapkan mata kita dengan terpengaruh dengan arus keduniaan.
Perbuatan-prbuatan kita itu mungkin menceroboh hak Allah yang Maha Pengasih, hak orang lain, dan hak diri kita sendiri, dan boleh melemparkan kita ke lubuk kekufuran nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita selama ini.
Perbuatan-perbuatan yang melanggar batasan ini boleh menyebabkan kita keputusan cinta terhadap Allah dan sekali gus memutuskan cinta Allah terhadap kita, kerana memang telah diketahui Allah memang tidak menyukai orang-orang yang bertindak melanggar batasan.
Marilah kita perhatikan firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang Allah telah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”. Al-Maidah: 87.
Angkuh
Angkuh, bangga, agas adalah seguggus kata-kata yang yang sama atau hampir sama ertinya. Orang menjadi anggkuh kerana merasa bangga dengan kurniaan-kurniaan Allah kepadanya, baik berupa harta benda atau akal fikiran yang cemerlang. Sedangkan segala kurniaan itu hanya buat sementara belaka.
Orang boleh merasa anggkuh kerana berpangkat, orang boleh merasa sombong kerana darjah keturunannya, orang boleh merasa angkuh kerana harta kekayaannya melimpah-ruah. Sedangkan semua itu buat sementara, dan tidak berkekalan, yang akan ditinggalkan bila nyawa terputus dari jasad.
Allah tidak suka dengan orang anggkuh, orang yang bermegah-megah, orang yang agas, sikap yang boleh menyinggung hamba-hamba Allah yang lain.
Allah berfirman maksudnya, “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri”. An-Nisa’: 36.
Sombong
Sombong adalah adik beradik kepada sikap anggkuh. Sombong adalah sikap membangga-banggakan diri kepada orang lain, menyombongkan diri kepada orang lain, iaitu orang-orang yang memandang kecil dan hina kepada orang lain yang dipandangnya dengan sebelah mata sahaja.
Sikap ini termasuk dalam sikap yang tidak disukai oleh Allah, dan sikap yang menunjukkan seseorang itu telah melupakan asal usul kejadiannya dari tanah, yang berasal dari Adam dan Hawa yang sama sahaja pada hakikatnya, walaupun berlainan bangsa, dan berlainan taraf hidup.
Allah berfirman, maksudnya, “Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan, sesungguhnya Allah tidak menyukai ornag-orang yang sombong”.An-Nahl: 23.
Melampau
Sikap melampau atau kerterlaluan adalah termasuk dalam sikap buruk, kerana ia juga bukan sahaja boleh merosakkan diri sendiri, tapi juga boleh menimpakan kerosakan kepada orang lain dan terhadap dunia seluruhnya.
Kerana amalan sikap melampau inilah menyebabkan berlakunya begitu banyak penumpahan darah manusia yang membanjiri bumi yang tidak wajar, menimpakan begitu banyak kerosakan terhadap harta benda dan alam maya ini sendiri.
Bersikap keterlalauan atau melampau adalah sikap yang tidak disukai Allah yang boleh memadamkan cinta Allah terhadap seseorang.
Sesunggunya Allah tidak menyukai sikap melampau, terhadap dalam makan dan minum sekalipun.
Allah berfirman, maksudnya, “Hai anad Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap [memasuki] mesjid, makan dan minumlah, dan jangalah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”. Al-A’raf: 31
Khianat
Khianat ialah perbuatan yang merosakkan dan boleh menyusah dan mencetuskan kemarahan. Khianat itu ada berbagai-bagai macam, seperti mengkhianati amanah orang, merosakkan perjanjian, memungkiri janji dan sebagainya yang meliputi perbuatan “Harapkan pagar, pagar memakan padi”.
Berbuat khianat bukan sahaja bererti memutuskan hubungan dengan manusia, tapi juga bererti memutuskan tali cinta Allah kepada pelakunya, kerana Allah tidak sukakan orang-orang yang berkhianat.
Allah berfirman, maksudnya, “Dan jika kamu khawatir akan [terjadinya] pengkhianatan dari satu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak : menyukai orang-orang yang kerkhianat”.Al-Anfal: 58.
Kufur
Kufur terbahagi kepada dua jenis, iaitu kufur kecil dan kufur besar. Kufur besar, boleh menyebabkan seseorang terkeluar dari agama Islam dan hapus segala amalan pahalanya, seperti perbuatan tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sementara kufur kecil tidak menyebabkan seseorang terkeluar dari agama Islam dan tidak terhapus amalan pahalanya, tapi berdosa, seperti bersumpah dengan sesuatu selain dari Allah, dan kufurkan nikmat-Nya.
Kufur bukan sahaja boleh memutuskan cinta Allah terhadap seseorang, malah boleh menyebabkan dia kehilangan rahmat Allah, kerana Allah tidak menyukai orang yang kufur.
Allah berfirman, maksudnya, “Agar Allah memberikan pahala kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh dari kurnia-Nya. Sesungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang ingkar”.Ar-Rum: 45.
Cinta Dunia
Sikap lekakan dunia, ralik dengan dunia, terpesona dengan kesenangan dan kemewahan dunia, lebih mementingkan dunia dari akhirat adalah sikap yang memutuskan cinta kasih Allah terhadap seseorang.
Berlengah-lengah dengan kehidupan dunia, hanyut dalam arus dunia adalah perbuatan menempah bencana, kerana dunia ini hanya sementara, hanya pinjam-pinjaman yang akan hancur dan fana, sebaliknya yang berkekalan ialah rahmat dan cinta Allah yang sewajarnya diberikan keutamaan dalam menjalani hidup di dunia yang merupakan pentas tempat berusaha keras untuk mengauk keuntungan yang abadi, di sisi Allah S.W.T. nanti.
Kekayaan dan kemewahan yang abadi inilah yang patut menjadi sasaran paling utama dalam mengejar kebahagian, tanpa melupakan pula bahagiannya di dunia.
Allah tidak sukakan orang cintakan dunia dan berbangga-bangga dengan kemegahan dunia yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Allah berfirman, maksudnya, “Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. [Ingatlah] ketika kaumnya berkata kepadanya, “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu bangga; sesungguhnya Allahntidak menyukai oang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Al-Qashah: 76
Tegasnya segala keburukan yang kita lakukan, setiap maksiat yang kita kerjakan, setiap dosa yang kita buatkan, setiap larangan Allah yang langgarkan, semuanya boleh menyebabkan kita kehilangan cinta Allah terhadap kita. Jiika kita kehilangan cinta mansusia terhadap kita, kehilangan cinta kekasih meeka terhadap kita, tidaklah bererti langsung jika dibandingkan dengan kehilangan cinta Allah terhadap kita. Bila cinta Allah telah hilang, maka tidak ada tempat lagi untuk kita di dunia dan juga di akhirat, semoga dijauhkan Allah.
Allah berfirman, maksdunya, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu [kebahagian] negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari [kenikmatan] duniawi dan berbuat baiklah [kepada orang lain] sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di [muka] bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan”. Al-Qashah: 77
Ingatlah, cinta dan rahmat Allah amat luasnya, hingga Allah menyediakan kepada mereka perkara-perkara yang boleh diperolehi manusia dengan mudah, tanpa bersusah payah atau mengharung kesulitan, kerana Allah mencipta manusia berdasarkan cintaNya kepada mereka. Kerana itu sudah sewajarnya mereka mencintai Allah dengan melakukan perkara-perkara yang dierintah Allah dan menjauhkan perkara yang dilarang Allah yang boleh menyebabkan mereka kehilangan cinta Allah yang tidak ternilai harganya itu.
Rasulullah bersabda tentang rahmat Allah yang luas dengan katanya, “Allah menjadikan rahmat seratus bahagian. Dia menyimpan di isisinya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkannya ke bumi ini satu bahagian. Satu bahagian inilah yang dibahagikan kepada seluruh makhluk. [Begitu meratanya satu bahagian yang dibahagikan itu diperoleh pula oleh] seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana dorongan kasih sayang, khuatir jangan sampai menginjak anaknya”. HR: Muslim.
Sentiasalah kita berhtai-hati dalam hidup ini, supaya kita tidak terlanggar pantang larang, baik dengan sengaja atau tidak sengaja yang akan menyebabkan kita menjadi miskin dan hina-dina kerana kehilangan cinta dan rahmat Allah kepada kita. Berusahalah sepantas yang boleh untuk merangkul cinta Allah dan berusahalah pula kita untuk mengekalkan cinta itu supaya tidak kering-kering, malah bertambah-tambah jua.
Sesungguhnya kalau kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita, tapi jika kita mengejar dunia, akhirat akan meninggalkan kita. Kian dekat kita mencari Allah, maka kian dekatlah Allah menghampiri kita. Pintu cinta dan rahmat Allah sentiasa terbuka lebar untuk hamba-hambaNya yang ingin mencari keampunan dan keredaanNya.
xxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment