Memilih Pakaian Yang Sesuai Dengan Diri

>> Sunday, January 22, 2012




PETUA MEMIKAT SUAMI



MEMILIH PAKAIAN YANG SESUAI DENGAN DIRI



Pakaian adalah salah satu keperluan yang penting kepada manusia, lelaki dan perermpuan. Ia perlu untuk memperlindungi badan daripada berbagai-bagai ancaman alam luar dan juga untuk menutup aurat yang wajib ditutup supaya tidak terdedah kepada umum.



Malah kepada sesetengah wanita pula mungkin beranggapan bahawa pakaian itu merupakan sebahagian daripada alat-alat perhiasan mereka, Justeru itu pakaian merupakan sebahagian daripada pembentukan peribadi kaum wanita.



Biasanya pakaian yang dipakai oleh seseorang itu dapat mencerminkan peribadi mereka. Malah dapat juga mencermin budaya dan agama mereka. Melihat kain “kuning kumbang lilin” melilit badan seseorang lelaki, kita kenal dia seorang Tok Cai atau sami Siam. Demikian juga dengan orang-orang Kristian, orang Hindu dapat dikenali daripada pakaian mereka.



Pakaian itulah sebahagian daripada identiti kita. Dari pakaian orang mengenal kita. Oleh itu berpakaianlah yang sesuai dengan bangsa dan agama kita.



Memilih Pakaian



Di samping itu, kita mestilah pandai untuk memakai pakaian yang sesuai dengan masa dan tempat. Berpakaian yang wajar pada tempat yang wajar.



Walau bagaimanapun, perkara yang amat penting diberi perhatian oleh wanita Islam dalam berpakaian ialah pakaian yang sopan dan menutup aurat sebagaimana dituntut oleh agama. Menutup aurat itu yang nombor satu.

Yang penting dalam berpakaian ialah menutup aurat. Tidak terbuka di sana dan terdedah di sini, macam tak cukup kain



Pada hari ini kita lihat memang ramai kaum wanita yang mampu membeli pakaian-pakaian yang mahal dan beraneka fesyen. Tapi sayangnya, kata Fatimah Yasin dalam ceramah, ada di antara mereka yang memakainya tidak kena dengan tempat dan masanya, dan juga tidak sesuai dengan bentuk badan mereka sendiri.



Di samping itu, pemilihan warna-warna pakaian juga perlu diberi perhatian, sesuai atau tidak dengan tubuh seseorang.



Kalau anda memilih pakaian, pilihlah pakaian yang sederhana, baik dari segi fesyen, corak atau warnanya.



Pada waktu siang hari warna pakaian yang sesuai ialah warna-warna yang muda dan seumpamanya. Warna seperti itu menyejukkan pandangan.



Bagi mereka yang berkulit gelap, akan kelihatan lebih cerah jika memakai pakaian berwarna kuning muda, dan warna keemasan-emasan muda.



Pada waktu malam pula, boleh dipakai pakaian yang warna gelap, warna keemasan dan yang berkilat-kilat sesuai dengan sinaran lampu.



Pakaian Ke Pejabat



Kalau ke pejabat, biarlah pakaian yang sederhana dan kemas. Jika anda memakai baju kaftan, tidak sesuai untuk ke pejabat atau ke pasar.



Kerana baju kaftan sebenarnya sesuai untuk dikenakan pada sebelah petang atau malam, untuk tujuan bersiar-siar atau berehat-rehat di rumah bersama-sama suami dan keluarga.



Pakaian kebaya moden biasa, baju gaun yang berfesyen sederhana atau baju kurung moden sangat sesuai untuk ke pejabat asalkan menutup aurat. Di samping kelihatan sopan, cara berpakian ini juga dapat memperbaiki personaliti seseorang.



Memakai barang-barang kemas cara keterlaluan juga tidak sesuai untuk pergi ke pejabat.



Di samping pakaian, kasut juga hendaklah dipilih sesuai dengan pakaian yang anda pakai.



Di samping itu, sebagai wanita yang bekerja anda perlu juga mengetahui cara-cara memilih pakaian yang sesuai dengan diri anda. Umpamanya wanita yang berpunggung besar, ada pakaian yang sesuai dengan mereka, wanita yang bongok belakangnya, ada pakaian yang sesuai dengan mereka, wanita yang mempunyai payu dara yang besar, ada pakaian yang sesuai untuk mereka, wanita yang terlalu tinggi atau terlalu kurus, ada pakaian yang sesuai untuk mereka, wanita yang tidak berpinggang atau tidak ramping pinggangnya, ada pakaian yang sesuai untuk mereka, demikian juga wanita yang gemuk dan pendek ada pakaian yang lebih sesuai untuk mereka.



Perkara-perkara ini telah didedahkan oleh Fatimah Yasin dalam ceramahnya itu, tapi saya keberatan untuk mengemukakanya di sini atas sebab-sebab tertentu.



Sekali lagi perlu diingat, tujuan kita berpakaian ialah untuk menutup aurat, dan bukan sebaliknya untuk kelihatan seksi dan dengan tujuan untuk menggoda mata lelaki yang memandang. Kalau anda hendak menggoda, godalah suami anda ketika berdua-duan di rumah.



Sesungguhnya Islam tidak menghalang wanita menghias diri mereka, khususnya untuk dilihat oleh suami yang mereka kasihi. Ingatlah wanita yang menghias diri untuk kelihatan cantik di mata suami akan memperolehi ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Tapi malangnya kebanyakan wanita hari ini lebih mementingkan kecantikan mereka ketika berada di luar rumah daripada ketika berada bersama suami di dalam rumah.



Demikianlah sedikit panduan tentang pakaian untuk wanita yang perlu keluar rumah, khususnya untuk pergi bekerja atau ke pejabat.



xxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP