Seekor Semut Dan Seribu Rahsia

>> Wednesday, January 4, 2012


SEEKOR SEMUT DAN SERIBU RAHSIA



Anda tentu pernah melihat semut. Seekor semut yang kecil. Sejenis serangga. Tapi tahuknya anda, bahawa dalam seekor semut yang kecil itu, yang biasanya dianggap sebagai musuh yang sentiasa mengancam, mengandungi begitu besar rahsia Allah yang tersembunyi padanya?



Dan pernahkah anda digigit oleh semut atau semut-semut secara tidak sengaja sebagaimana mereka menginggit saya dan orang-orang yang tinggal di kampung-kampung?



DIGIGIT SEMUT



Pada suatu malam beberapa hari yang lalu, saya tiba-tiba terkejut dari tidur. Dikejutkan oleh rasa sakit pada lengan sebelah bawah. Jam pukul 1.30 pagi. Bila saya periksa, dua ekor semut kecil sedang mengiggit lengan saya. Pada masa itu lampu siling yang terang di atas tempat saya tidur masih menyala.



Sebenarnya sejak kebelakangan ini, saya lebih suka tidur di luar bilik, di tempat yang terbuka, di atas karpet yang dihamparkan dengan tikar dan tilam untuk menahan sejuk lantai simen daripada menyerap ke badan. Lebih selesa.



Saya perhati semut-semut itu kecil sahaja, warnanya merah. Kami di sini memanggilnya semut gatal, kerana bila kena gigit, akan merasa sakit dan gatal dan terpkasa digaru-garu berulang kali.



Semut banyak mengandungi rahsia yang tersembunyi



Saya bunuh kedua-dua ekor semut gatal di atas lengan saya itu dengan menekan jari telunjuk ke atasnya hingga kedua-duanya mati. Saya sebenarnya tidak begitu tahan dengan gigitan semut, ia akan membengkak kecil dan mengambil beberapa waktu untuk menghilang.



Mujur juga semut itu hanya mengiggit, dan tidak memasuki telinga, Kalau masuk telinga, terpaksa bertindak membunuh dan mengeluarkannya dari dalam telinga dengan memasukkan air ke dalam telinga. Kemudian bila semut itu mati, ia akan timbul terapung di atas permukaan air dalam lubang telinga. Sementara itu kenalah sabar menahan sakit sehingga ia mati kelemasan menjadi bangkai.



Kerana bimbang, saya melakukan pemeriksaan mencari semut-semut lain yang mungkin ada berhampiran. Terkejut saya melihat di bawah tepi tikar pelasah, di atas karpet ada sekumpulan beberapa ekor semut merah kecil sedang asyik menghurung sesuatu. Tentunya sisa-sisa makanan yang terjatuh ketika cucu-cucu saya memakannya siang tadi. Walaupun sudah disapu, masih ada yang tertinggal.



Memanglah bila makanan yang terjatuh di lantai, terutama makanan yang manis, makhluk pertama yang datang mengerumuninyalah sang semut, dan mereka bersedia bertindak balas ke atas sesiapa sahaja yang mengancam atau menganggu mereka yang sedang menikmati sajian istimewa itu. Dan kali ini lengan sayalah yang menjadi mangsa serangan mereka yang merasa terancam itu.



Tidaklah hairan semut itu tiba-tiba ada di situ, kerana tempat tinggal semut itu di merata-rata tempat di dunia, daripada tempat yang tnggi kepada tempat yang serendah-rendahnya. Dari puncak gunung yang tinggi mengawan sampai ke kaki gunung di atas bumi. Dari bangunan pencakar langit membawa kepada tapak di bawahnya. Dari hutan belantara ke pesisir pantai. Ia boleh ditemui di atas pokok yang tinggi, di dalam tanah, bawah batu dan kayu malah juga di padang gurun, dan boleh juga ditemui di rumah-rumah pada zahirnya tidak kelihatan ada semut, tapi bila ada sisa-sisa makanan yang jatuh, maka berebut-rebut semut datang untuk mengiggitnya.



Semut yang mengiggit saya malam itu hanya sejenis semut kecil yang dikenali dengan nama semut gatal, tapi sebenarnya ada kira-kira sebanyak 20,000 spesies semut di dunia ini, dan daripada itu sebanyak 12,000 spesies yang telah dikenal pasti oleh ahli-ahli sains.



Namun begitu, kita hanya mengenali beberapa jenis semut sahaja, antaranya semut kerengga, semu api, semut mayat dan semut gatal. Semut mayat ialah sejenis semut yang amat kecil yang suka menghurung mayat, sebab itu orang-orang kampung meletakkan beras di sekeliling mayat untuk menjaga daripada dihurung oleh semut-semut tersebut.



Di rumah kita, rumah saya dan rumah anda kemungkinan bukan terdapat sejenis semut tapi beberapa jenis semut, dan di luar rumah mungkin terdapat semut-semut dari jenis yang lain pula.



Mengikut kajian, ada semut-semut itu beroperasi pada waktu siang dan sebaliknya ada juga beroperasi pada waktu malam. Sebab itu kita boleh melihat, semut itu di setiap waktu samada sedang merayap beramai-ramai atau sedang memakan sesuatu makanan yang mereka temui di waktu siang atau malam.



BERDISPLIN



Mengikut kajian semut yang tinggal di sesebuah koloni itu jumlahnya mungkin beribu-ribu ekor banyaknya, dan setiap mereka mempunyai tugas-tugas tertentu, seperti ada yang bertugas sebagai pembina sarang tempat tinggal mereka, bertugas mencari makanan, merawat semut-semut, menjaga keselamatan semut-semut dan juga semut yang tugasnya bertelur untuk menyambungkan turunannya supaya tidak pupus.



Dalam sebuah koloni, walaupun mungkin terdapat ribuan ekor semut, dan semua semut-semut itu mengenali antara satu sama lain. Cubalah anda perhatikan semut-semut yang sedang merayap, andainya dalam perjalanan yang sibuk itu mereka bertembung dalam semut yang lain, mereka nampaknya bercium atau bersentuh antara satu sama lain sebelum masing-masing meneruskan perjalanan mereka, yang menunjukkan mereka kenal mengenali antara satu sama lain.



Mengikut kajian, masyarakat semut hidup dalam keadaan teratur dan tersusun, dan berdisplin lebih baik daripada sesetengah masyarakt manusia sendiri. Di samping itu mereka rajin bekerja dan bekerjasama antara satu sama lain.



Pada suatu hari saya nampak ada seekor serangga kecil terbaring mati di atas lantai dekat saya duduk bersila. Tiba-tiba datang seekor semut, selepas menghidu bangkai yang serangga itu dan cuba mengheretnya tapi tidak berdaya kerana berat. Tiba-tiba saya lihat semut itu menghilangkan diri sekejap, masuk di celah-celah barang yang berhampiran, dan sejurus kemudian keluar pula dengan beberapa ekor semut lagi lalu menghurung bangkai serangga itu, dan akhirnya dengan bekerjasama semut-semut itu mereka berjaya mengheret bangkai serangga itu. Saya perhatikan kejadian itu dengan tajub, mengenangkan kebesran Allah dengan ciptaanNya.


Kerengga sejnis semut yang gigitannya menyakitkan bila mengiggit



Menurut kajian dalam badan semut itu ada sebatian kimia yang mengawal segala pergerakan semut yang menyebabkan kehidupanya teratur dan berdisiplin sebegitu rupa.



SEMUT DAN NABI SULAIMAN AS



Sebelum mata saya terlelap kembali malam itu selepas di gigit semut, saya teringat bahwa di dalam kitab suci al-Quran ada sebuah surah yang dinamakan SEMUT atau AN-NAML. Surah ini ada kaitannya dengan Nabi Sulaiman as. yang mempunyai ilmu yang sungguh istimewa kerana dapat bercakap dengan haiwan-haiwan termasuk semut.



Dalam ayat 16 hingga 19 surah tersebut Allah berfirman, “Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata, “Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya [semua] ini benar-benar suatu kurnia yang nyata. Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib [dalam barisan]. Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari, maka dia tersenyum dengan tertawa kerana [mendengar] perkataan semut itu”. An-Naml: 16-19.



Dan saya juga teringat kisah Nabi Sulaiman as. dengan seekor semut. Mengikut ceritanya, pada suatu ketika, Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut berapa banyak yang Allah berikan rezeki kepadanya dalam masa setahun.



Semut itu memberitahu Nabi Sulaiman as, Allah memberikan kepadanya rezeki sebesar biji gandum untuk setahun.



Kemudian Nabi Sulaiman memelihara semut itu dalam sebuah botol dan memberikan kepadanya sebiji gandum untuk dijadikan makanan selama setahun.



Bila cukup setahun, Nabi Sulaiman pun membuka botol itu untuk melihat semut yang dipelihranya itu. Tapi Nabi Sulaiman mendapati semut itu hanya memakan separuh sahaja dripada sebiji gandum yang diberikan kepadanya itu.



Nabi Sulaiman bertanya semut itu kenapa dia hanya memakan sebahagian daripada gandum itu sahaja dan tidak menghabiskan semuanya?



Maka jawab sang semut yang bijaksana itu bahawa sebelum itu dia hanya bertawakal kepada Allah dan dia yakin Allah tidak akan melupakannya. Tapi ketika dia bergantung kepada Nabi Sulaiman, dia tidak yakin apakah Nabi Sulaiman akan ingat lagi padanya pada tahun berikutnya, ataupun terus melupakannya begitu sahaja. Itulah sebabnya dia menyimpam separuh daripada jagung itu untuk dimakan pada tahun berikutnya.



Demikianlah Nabi Sulaman as dengan seekor semut.



Sungguh pun ia hanya seekor semut, tapi padanya mengandungi seribu rahsia. Itulah kata Allah tidak ada suatu benda pun yang Allah jadikan di antara langit dan bumi ini yang sia-sia melainkan semuanya berguna, hanya kita sahaja yang tidak mengetahuinya.



Sehingga ke hari ini ahli-ahli sains masih lagi mengkaji tentang semut, malah ada di antara mereka yang menumpukan kajian khusus tentang semut, antaranya Stephen Martin dan Prof. Falko Drijfhout dari England.



Marilah kita mempelajari semut dan mempelajari kehidupan semut sebagai iktibar dalam kehidupan kita sehari-hari.



Marilah kita perhatikan kehidupan semut. Walaupun ia sejenis serangga yang kecil, tapi ia mengandungi rahisa yang besar.



Seekor semut mengandungi seribu rahsia alam, iaitu rahsia Allah yang memerlukan kita mengkajinya bukan sahaja dengan akal dan fikiran, tapi dengan hati nurani untuk mencari kebesaran Allah yang tersembunyi di dalamnya.



Anda akan melihat Allah di situ. Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana Allah.



Jangan jadi seperti ahli-ahli cerdik pandai bukan Islam mencari rahsia semut dan lain-lain kejadian Allah bukan untuk mencari Allah, tapi hanya sekadar untuk mencari keadaan sesuatu semata-mata, menyebabkan mereka bertambah sesat dan kian jauh dari Allah yang Maha Benar.



Semoga dengan melihat semut akan bertambah ilmu kita tentang Allah. Dan mengenal Allah itulah yang dikatakan makrifat.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP