Bulan Telah Terbelah

>> Monday, January 16, 2012










BULAN TELAH TERBELAH




Sekali sekala, berdirilah di balkoni rumah anda yang tersergam besar dan indah itu, atau keluarlah dari rumah untuk menyedut udara malam yang segar, kemudian dongkalah kepala anda ke langit, dan lihatlah bulan sedang mengembag di angkasa raya.



Perhatikanlah makhluk Allah yang berusia ribu-ribuan itu masih untuh tergantung di dada langit memancarkan cahayanya yang lembut tenang, memukau alam semesta.



Kita akan terpesona melihat panaroma alam semesta yang diterangi oleh bulan dan bintang-bintang yeng bergermerlapan di angkasa raya. Apalah sangat kita ini, seperti debu-debu seni yang berterbangan dihembus angin nasib, sekejap ke atas, sekejap ke bawah, sekejap hilang, sekejap timbul.



Maka bemadahlah Buya HAMKA, “Kita akan lesu dan kita akan terpesona melihat alam di sekeliling kita. Bertambah kita mengetahuinya, bertambah kita lesu dan bertambah kita terpesona, terharu, mengeluh, memikirkan kebesaran dan keagungan Allah dan kekecilan, kekerdilan diri kita sendiri”.


“Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia juga menjadikan padanya matahari dan bulan yang bercahaya”.Al-Furqan:61,



Lihatlah bulan bukan dengan mata lendir anda semata, tapi lihatlah bulan dengan mata hati anda, dengan mata hamba Allah yang telah dibasahi oleh iman dan takwa.



Kalau anda melihat dengan mata kasar anda, yang akan anda nampak hanya bentuk dan fizikal bulan itu semata, tidak lebih dari itu. Tapi jika anda melihat dengan mata hati anda, niscaya anda akan melihat rahsia-rahsia yang tersembunyi di sebaliknya. Melihat kebesaran dan keagungan Allah.



Itulah sebabnya ada hamba Allah yang bertambah imannya ketika melihat bulan, dan sebaliknya ada pula mereka yang menjadi sesat-barat ketika melihat bulan, kerana dadanya telah tandus dari iman.



Tanda Kenabian



Pada suatu masa orang-orang kafir Quraisy di Mekah yang memusuhi dan membenci Baginda Rasulullah S.A.W. telah meminta ditunjukkan tanda-tanda Kenabian Baginda kepada mereka jika Baginda S.A.W. benar-benar seorang nabi.



Bulan di suatu petang, pudar di langit biru, menunggu ketibaan malam



Maka Nabi S.AW. pun memohon kepada Allah supaya dikurniakan tanda kenabian itu.



Dalam peristiwa ini, maka bulan pun terbelah menjadi dua bahagian yang bercerai.



Sebelah bulan yang terbelah itu terletak di atas gunung Abu Qubais, sementara sebelah lagi terletak di bahagian bawahnya.



Kejadian bulan terbelah ini dapat dilihat oleh orang ramai, baik mereka yang berada berhampiran tempat kejadian, dan juga orang yang berada jauh dari situ.



Peristiwa itu berlaku ketika bulan purnama.



Tidak Beriman



Walau bagaimanapun orang-orang kafir tetap menafikannya dan mengatakannya sebagai perbuatan sihir.



Dalam versi lain, bulan yang terbelah itu dikatakan sebelah berada di sebelah timur dan sebelah berada di sebelah barat.



Mengulas perbezaan pendapat ini, Al-Halabi berkata, “Mungkin bahagian yang berada di puncak gunung Abu Qubais itu adalah arah ke timur dan bahagian yang berada di bawahnya pula terletak arah ke barat. Justeru, kedua-dua riwayat itu tidak bertentangan”.



Walau bagaimanapun, dalam peristiwa seperti ini sihir hanya boleh berkesan kepada orang-orang yang berada berdekatan, tapi tidak kepada mereka yang berada di tempat lain.



Qadi ‘Iyad Ibn Musa al-Yahsubi dalam Muhammad Mesenger Of Allah mengungkap Hadis berikut “Masruq berkata pada masa itu dia berada di Mekah dan orang-orang kafir Quraisy berkata, “ Anak Abu Kabsha telah mnyihir kamu”. Salah seorang daripada mereka berkata, “Jika Muhammad telah menyihir bulan, sihirnya itu tidak tersebar ke seluruh alam. Tanyalah orang-orang yang datang daripada kota-kota yang lain adakah mereka juga melihatnya’. Bila mereka sampai lalu ditanya dan memberitahu bahawa mereka juga melihatnya”.

Gambar ini telah lama berlegar di Internet yang dikatakan rekahan bekas bulan itu telah terbelah



Maka orang-orang kafir Quraisy pun berkejaran ke Kota Mekah menunggu orang yang baru pulang dari perantauan, dan ketika rombongan yang pertama sampai dari perjalanan ke Mekah itu, maka orang-orang kafir Quraisy itupun bertanya, “Apakah kamu melihat sesuatu yang aneh dengan bulan?”.



Mereka menjawab, “Benar. Pada suatu malam yang lalu kami melihat bulan terbelah menjadi dua, dan saling menjauh antara satu sama lain, kemudian bersatu kembali”.



Peristiwa bulan terbelah dua ini berlaku pada tahun kesembilan dari kenabian.



Mendengar penjelasan itu sebahagian mereka telah beriman, tapi sebahagian lagi tetap dengan kekafirannya.



Mukjizat Rasulullah



Sebenaranya peristiwa bulan terbelah ini merupakan salah satu daripada berbagai-bagai Mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang dikurniakan Allah kepada Baginda.



Mengenai peristiwa ini, Allah berfirman dalam kitab suci Al-Quran, “Sungguh telah dekat hari kiamat, dan bulan pun telah terbelah”.-Al-Qamar:1.



Dalam The Noble Quran terjemahan Dr,Muhammad Taqi-ud-Din Al-Hilali dan Dr,Muhammad Muhsin Khan berbunyi, “Sungguh telah dekat saatnya, dan bulan pun telah terbelah [penduduk Mekah meminta Rasulullah S.A.W menunjukkan kepada mereka keajaiban, lalu Baginda menunjukkan kepada mereka bulan terbelah”.



Di samping itu diberinya notakaki yang bermaksud, “Diriwayat oleh Anas ra., “Penduduk Mekah meminta Rasulullah S.A.W menunjukkan kepada mereka satu tanda [keajaiban]. Maka Baginda menunjukkan kepada mereka [keajaiban itu] bulan terbelah”. Sahih Al-Bukhari.



Buya HAMKA dalam tafsir AL-AZHARnya telah mengemuka beberapa Hadis yang membenarkan bulan terbelah itu.



Mengulas peristiwa itu beliau menegaskan. “Menilik kepada Hadis-hadis yang menceritakan riwayat bulan belah itu, dapat kita katakan bahawa ahli-ahli pembawa riwayat itu tidaklah ada yang patut dicela. Di antaranya yang terkemuka meriwayatkan Hadis-hadis ini ialah Bukhari dan Muslim sendiri”.



Beliau juga mengemukakan pendapat Sayid Quthub dalam tafsir “Fi Zhilail Quran” yang menegaskan, “Riwayat tentang terbelahnya bulan dan keadaan orang Arab menyaksikan sendiri perbelahan itu itu adalah berita yang mutawatir, semua sepakat menetapkan terjadinya hal itu, Cuma perselisihan tentang bagaimana bentuknya belahan itu secara tafshil [mendetail] dan secara keseluruhannya”.



Mendapat Taufik



Peritiwa bulan terbelah ini dikatakan telah mempesona seorang Inggeris, lalu beliau mendapat taufik dan hidayah untuk memeluk agama Islam kira-kira 1400-an selepas peristiwa itu berlaku. Beliau adalah Ketua Al-Hizb Al-Islamy British, Daud Musa Pitkhok.

Perhatikanlah bulan dan bintang-bintang yang gemerlapan di langit, anda akan menemui rahsia besar di sebaliknya



Menurut Mohammad Sodikin Rahman dalam bukunya Misteri Keajaiban Dunia, Daud Musa Pithok pernah membaca terjemahan ayat 1, Surah Al-Qamar itu yang menyatakan bulan telah terbelah. Kerana tidak yakin dengan peristiwa itu beliau lalu mengkasampingkan terjemahan itu seluruhnya buat beberapa lama.



Kata Daud Musa Pitkhok, selepas itu pada suatu hari beliau menonton siaran TV, rancangan diskusi tiga orang pakar angkasa Amerika Syarikat. Mereka antara lain menceritakan perbelanjaan yang besar telah dihabiskan untuk membolehkan angksawan mereka mendarat di bulan, dan seterusnya menceritakan bahawa mereka telah menemui tanda-tanda bahawa bulan pernah terbelah pada masa dahulu, dan kemudiannya bertangkup kembali.



Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh juruacara diskusi tersebut, mereka berkata, “Kami mendapati secara pasti dari batu-batuan yang yang terpisah [kerana] terpotong di permukaan bulan sampai di dalam perut bulan. Kami meminta para pakar geologi untuk menelitinya, dan mereka mengatakan, “Hal ini tidak mungkin terjadi kecuali jika memang bulan pernah terbelah lalu bersatu kembali”.



Musa Daud Pithok terpukau dengan penjelasan itu dan berkata, “Maka aku pun turun dari kerusi dan berkata, Mukjizat [kehebatan] benar-benar terjadi pada diri Muhammad SAW 1400-an tahun yang lalu. Allah benar-benar telah mengolok-olok AS untuk mengeluarkan dana yang begitu besar, hingga 100 juta dolar, hanya untuk menetapkan akan kebenaran Muslimin! Agama Islam ini tidak mungkin salah. Lalu aku kembali membuka Mushaf al-Quran dan aku baca Surah alQamar. Dan saat itulah awal aku menerima dan masuk Islam”.



Demikianlah untuk renungan bersama, semoga kita dikurniakan taufik, hidayah dan makrifah yang tidak ternilai harganya.



Oh bulan mana bintang



Atau pucuk kayu ara,



Kalau tuan mencari Tuhan



Di dalam hati dalam dada.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:




Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP