MADU, Pilihlah Yang Terbaik
>> Wednesday, January 25, 2012
MADU PILIHLAH YANG TERBAIK
Madu ialah sejenis makanan yang istimewa yang dihasilkan oleh lebah. Di dalam madu itu banyak mengandungi bahan-bahan penting yang amat berguna untuk membina kesihatan yang baik dan juga untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit.
Mengenai lebah dan madu ini Allah befirman dalam kitab suci al-Quran, “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, “Hendaklah kamu membuat sarangmu pada gunung -ganang, dan pada pokok-pokok kayu, dan juga pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia”. An-Nahl: 68.
Dan seterusnya, “Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan [yang engkau sukai], serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya padamu”. [Dengan itu] akan keluarlah dari badanmnya minuman [madu] yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia [ dari berbagai-bagai penyakit]. Sesungguhnya yang demikian itu ada tanda [yang membuktikan kemurahan Allah] bagi orang-orang yang mahu berfikir”.An-Nahl:69.
Dalam “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran” pada nota kakinya terdapat penjelasan berikut, “Maka dalam ayat ini diterangkan pula tentang madu atau gula lebah yang menjadi ubat penawar bagi manusia, yang didapati dari makhluk yang kecil-lebah”.
“Allah jua memberi ilham kepada lebah membuat sarangnya pada tempat-tempat yang tersebut. Pembentukan sarang lebah yang demikian rapinya, cara hidupnya dalam sarangnya yang cukup teratur, dan lengkap dengan rajanya, pengawal-pengawalnya dan pekerja-pekerja yang ditugaskan keluar, menyedut madu bunga pokok-pokok tanaman dan tumbuhan untuk dibawa ke sarangnya dari tempat yang sejauh-jauhnya; dan tentang caranya mengeluarkan madu dan menyimpannya dengan sebaik-baik dan sebersih-bersihnya; adalah kesemuanya itu menjadi dalil-dalil yang nyata yang membuktikan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah yang menjadikannya.
Ratu Lebah dikelilingi oleh lebah-lebah rakyatnya
“Dari perisitwa lebah yang tersebut dalam ayat ini, surah ini dinamakan Suran “An-Nahl” [perihal lebah].
Guna Madu
Allah telah lama menjadikan madu sebagai makanan yang berkhasiat dan juga sebagai ubat untuk menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit, sebagaimana terdapat dalam firmanNya, Surah An-Nahl, ayat 68-69 itu.
Sebagai makanan yang berkhasiat, dalam madu banyak mengandungi bahan-bahan yang penting, seperti vitamin, antaranya vitamin B 1, B2, C, B6, B5 dan B3 dan mengandungi bahan-bahan galian seperti magnesium, kalsium, sodium, klorin, phospate, zat besi, fosfor, potassium, sodium dan belerang yang berguna untuk membina kekuataan jasmani manusia.
Demikian juga mengikut kajian, dalam madu itu terdapat beberapa jenis hormon.
Memang telah terbukti, madu lebah mampu mengubat berbagai-bagai jenis penyakit dalam perut, seperti angin medu, merawat gastrik, membuang kotoran yang terdapat dalam usus kecil dan besar, melawas pembuangan air besar, dan membuang kahak yang berlebihan dalam tekak.
Ia merupakan seolah-olah perajurit yang gagah perkasa, mampu membunuh beberapa jenis kuman yang menyerbu masuk ke dalam tubuh manusia, dan juga berguna untuk menjaga mekanisme kesihatan, serta keindahan kulit dan rambut.
Malah mengikut kajian, madu dapat merawat problem mata, iaitu rabun jauh, merawat cirit birit, merawat sakit jantung, lemah dan tersumbat, paru-paru, melecur kebakaran, ulser diabetes, osteoporosis, merawat luka, membekal tenaga dan stamina dan menguatkan tenaga batin lelaki dan perempuan.
Madu juga dipercayai dapat mencerdaskan otak kanak-kanak.
Menurut Mohammad Yasin Owadally, perut yang paling sensitif sekalipun dengan mudah dapat mencernakan madu, dan gula dalam madu pula dengan mudah dapat bertukar kepada jenis-jenis gula yang lain, iaitu daripada fruktos kepada glukos. Ia juga dapat membantu ginjal melepaskan 40 peratus kurang kalori kepada badan, serta menolong mengekalkan badan dalam keadaan langsing dan kemas.
Sebuah sarang lebah yang mengandungi madu yang banyak khasiatnya itu
Madu amat pentas melarut dalam darah, hanya mengambil masa selama 7 minit sahaja untuk memasuki sistem peredaran darah jika diambil dengan air suam. Madu juga kerana tidak mengandungi molikul gula dapat melancarkan fungsi otak, serta juga menolong dalam pembentukan darah baru. Madu dapat memberi pertolongan besar kepada pesakit-pesakit kurang darah dan problem pembuluh darah, di samping bertindak membersih dan menyegarkan darah.
Minuman Nabi
Justeru madu itu kaya dengan bahan-bahan yang berguna dari segi kesihatan dan juga penyembuhan penyakit, maka tidaklah hairan kiranya, Nabi S.A.W. gemar minum madu, sebagaimana Baginda S.A.W suka minum susu.
Di samping gemar minum madu, Baginda S.A.W juga sukakan kuih gula-gula, sebagaimana terdapat dalam Hadis berikut, “Bersumber dari Hisyam bin Urwah, dari Aisyah r.a. dia menceritakan, “Bahawa Rasulullah S.A.W. itu menyukai kuih gula-gula dan madu”.
Baginda Rasulullah S.A.W bersabda, “Bagimu terdapat dua jenis pengubatan, iaitu dengan madu dan dengan al-Quran”.HR:Bukhari.
Sabda Nabi S.A.W itu menunjukkan bagaimana pentingnya pengubatan secara jasmani dan ruhani, iaitu antara ubat yang ada di bumi dengan ubat yang ada di langit.
Ini memberi erti, tidak ada kesembuhan yang sebenarnya tanpa beriman kepada Allah dan kepercacyaan kepada doktor dengan perantaran ubat untuk menyembuhkan penyakit.
Maka madu adalah makanan dan ubat yang mujrab untuk orang-orang yang beriman.
Dan apa yang dimaksudkan dengan Berubat dengan al-Quran itu bukanlah semata-mata bererti menulis mana-mana ayat-ayat al-quran di atas kertas atau atas pinggan kemudian merendamnya dalam air untuk dijadikan air tawar untuk diminum atau direndam dalam minyak untuk disapu atau digosokkan pada tempat yang sakit. Tapi yang dimaksud dengan berubat dengan al-Quran itu juga ialah mengikut displin atau cara yang ditetapkan oleh al-Quran, seperti hidup dengan beriman dan bersih, berpantang, menjaga kesihatan dan menjauhi maksiat dan penyakit-penyakit yang menular dan sebagainya.
Menguji Madu
Biasanya kita sering naik ragu ketika hendak membeli madu, adakah ia madu asli atau madu tidak asli, iaitu campuran dengan bahan-bahan lain, yang telah rosak keasliannya.
Ada beberapa cara digunakan oleh orang-orang kita dalam menguji madu. Entah benar, entah tidak, wallahu’aklam.
Pertama letakkan sedikit madu di atas kuku ibu jari anda, kemudian letakkan ibu jari anda itu menghala ke bawah, kiranya madu tidak menitis jatuh, itulah adalah madu asli yang tidak bercampur, tapi kalau menitis ertinya madu itu tidak asli lagi, tapi telah dicampur dengan air gula dan sebagainya menyebabkannya menjadi cair.
Kedua dengan merendamkan kepala korek api dalam madu, kemudian goriskan batang korek api yang bermadu itu pada alat penggoris di kotaknya, jika dia nyala, madu itu madu asli, tapi jika tidak nyala, madu itu dipercayai tidak asli kerana dicampur dengan bahan yang menyebabkan kepala korek api itu menjadi basah dan tidak mengeluarkan api.
Ketiga dengan menyimpan madu itu dalam peti sejuk, kiranya madu itu tidak membeku, tandanya madu asli, tapi jika dia menjadi mengeras seperti air batu, tandanya ia tidak asli lagi, kerana telah dicampur dengan bahan yang menyebabkan dia menjadi cair.
Keempat masukkan sesudu besar madu dalam sebiji telur mentah yang dipecah dalam sebuah gelas, kacau dengan sudu, kiranya telur itu kelihatan masak, itu adalah tanda madu asli, tapi jika tidak masak dan mentah, tandanya madu itu tidak asli lagi.
Keunikan Kehidupan Lebah
Kalau kita perhatikan kehidupan lebah yang menghasilkan madu ini akan mencetuskan kesedaran kita kepada kebesaran Allah SWT, yang Maha Bijaksana, mengatur kehidupan di dunia ini. Maka dengan itu akan bertambahlah keimanan kita, dan akan bertambahlah kita mengenal Allah S.W.T.
Para ulama mengajak kita mengenal Allah di dalam kehidupan lebah dan madunya itu. Kata Buya HAMKA, inilah yang patut menjadi bahan pemikiran kita bagaiamana teraturnya kehidupan para lebah dalam membuat sarang, menghasilkan madu dan lilinnya itu.
Sebagaiamana yang diketahui, madu yang dihasil oleh kebah itu amat berguna kepada manusia untuk membina kesihatan yang baik, sementara lilinya pula berguna sebagai wadah untuk menahan madunya itu daripada mengalir keluar.
Sebotol madu import yang terdapat di pasaran
Dalam sarangnya itu ada pemerintah, iaitu Ratu Lebah, yang menjadi raja di mana segala perintahnya mesti dipatuhi. Segala lebah-lebah yang lain lagi itu, merupakan bala tentera yang memikul tugas untuk mencari sari bunga dan membawa pulang ke sarangnya untuk menghasilkan madu.
Andainya seekor lebah berjaya menemui sari bunga, dia akan membawa baliknya ke sarang dan menyampaikan informasi kepada rakan-rakan sekerja yang lain di mana sumber bunga itu boleh didapati dengan cara yang tersendiri, mengikut kajiannya dalam bentuk sejenis tarian yang unik untuk mereka sahaja.
Raja lebah itu mempunyai kuasa yang mutlak, perintahnya tidak boleh dicabar, dia tidak terbang ke mana-mana, dan hanya menetap dalam sarangnya itu, dan menjadi perhatian semua lebah yang tunduk patuh kepada perintahnya.
Dalam sebuah koloni lebah, setiap ekor lebah dipastikan rajin dan usaha, dan tidak boleh bermalas-malas atau lari daripada tugasnya, kalau tidak, dia akan menjadi korban kepada kawan-kawannya yang lain yang tidak mampu melihat si pemalas berada di kalangan mereka.
Demikianlah secara ringkas kehidupan lebah, sejenis binatang kecil yang tidak berakal dan berfikiran tapi dalam suasana yang begitu kompliketed dan menakjubkan kita manusia memikirkannya.
Di situlah letaknya rahsia kebesaran Allah. Di situlah anda akan menemui Allah Maha Pencipta.
Perhatikanlah Firman Allah, “Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi [seraya berkata], “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia,Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka”.Al-Imran: 191
Minuman berkhasiat
Untuk minuman madu yang berkhasiat khusus, sediakan sebiji telur ayam, sebaik-baiknya telur ayam kampung, sebiji asam limau nipis, 11 biji lada putih atau lada solah, satu sudu kicap masin, dan satu inci halia.
Caranya, pecahkan telur mentah dan masukkan ke dalam sebuah bekas, tumbuk halia, perah ambil airnya masukkan ke dalam telur, tumbuk lada putih sampai hancur halus, masukkan ke dalam bahan tadi, masukkan sadu sudu kicap masin dan perah limau nipis ke dalamnya.
Kemudian goncangkan bahan-bahan tersebut sehingga kelihatan berbuih-buih, kemudian tapis dan minum, sebaik-baiknya pada waktu petang, untuk menambahkan tenaga. Selain itu rasanya juga enak, campuran antara rasa manis, nasam dan masin.
Lebah yang menghasilkan madu itu didapati hampir terdapat di seluruh dunia, kecuali di Antartik. Mengikuti kajian lebah mempunyai kira-kira 20,000 spesies, sejenis serangga sosial yang hidup berkelompok.
Selain daripada menghasilkan madu, lebah juga mempunyai peranan penting untuk mengkahwin bunga-bunga, dan menghasilkan lilih lebah.
Ia membuat sarang-sarangnya di atas bukit dan gunung, di pohon-pohon kayu dan juga di atap-atap rumah.
Warna madu lebah tidak serupa antara setempat dengan setempat, ia tergantung kepada jenis-jenis bunga yang dihisapnya, seperti pokok nenas, kelapa, kelapa sawit, pokok getah, gelam dan sebagainya.
Rasanya juga mungkin berbeza-beza antara sejenis madu dengan sejenis madu. Umpamanya ada madu yang rasanya kelat atau pahit kerana bunga yang disarinya dari jenis bunga yang kelat atau pahit rasanya.
Ada sesetengah madu terasa kecapan sedikit masam, ini adalah kerana pemerosesn madu secara tradisi memerah dengan anak-anak dan telur-telur lebah sekali yang menyebabkan rasanya masam. Madu ini tidak boleh disimpan lama.
Menurut kajian madu yang berada di pasaran negara kita Malaysia sekarang hanya sedikit sahaja terdiri daripada madu asli, tapi sebahagian besarnya bukan madu asli, kerana telah dicampur dengan bahan-bahan seperti gula, dan juga terdapat madu tiruan atau sintetik, yang bukan madu, kerana 100 peratus terdiri daripada gula kasar yang diproses.
Menggunakan madu tiruan bukan sahaja tidak memberi faedah sebagaimana diharap-harapkan, tapi juga sebaliknya boleh menjadi ancaman kepada kesihatan penggunanya.
Madu di negara kita dan juga di nunsantara yang termasyur ialah madu yang diperolehi daripada lebah yang membuat sarang di atas pokok tualang yang biasanya tinggi-tinggi. Di Sumatera Barat pokok tualang ini dikenali dengan nama pohon sialang di mana lebah didapati suka membuat sarang di atasnya.
Daripada segala madu yang terdapat di serata dunia ini, madu dari manakah yang paling baik?
Mengikut Buya HAMKA madu yang paling baik ialah madu yang berasal dari negara-negara Arab. Kata beliau, “Dan kalau kita bandingkan madu lebah di seluruh dunia ini, maka madu lebah dari tanah Arablah yang amat terkenal paling banyak khasiatnya dan lebih pekat daripada madu lebah dari daerah-daerah lain.
“Dalam Hadis-hadis Nabi S.A.W terdapat kesaksian yang menguatkan bahawa madu itu memang mengandung ubat. Banyak penyakit yang dapat disembuhkan oleh madu lebah. Namun madu lebah dari tanah Arab lebih istimewa daripada madu-madu lebah dari negeri-negeri lain. Mungkin kkerana kering gersangnya padang pasir itu, sehingga lebah pun bergulet hebat mencari kembang yang akan disarinya, sehingga hasilnya pun luar biasa daripada di daerah lain”..
Tapi mungkin kerana tidak mempunyai cukup penerangan, madu-madu dari negara Arab tidak begitu populer di negara kita, kerana itu kita lebih cenderung mencari madu-madu yang berasal dari negara-negara bukan Arab dan bukan Islam, seperti madu dari Australia dan New Zealand, Amerika Syarikat dan lain-lain negara yang kita dakwa lebih berkhasiat daripada madu dari neagra-neagra Arab, walaupun harganya juga bukan murah.
Pilihlah madu yang terbaik, dan minumlah satu atau dua sudu madu setiap hari untuk menjaga kesihatan. Ahli-ahlis sains percaya bahawa hanya sesudu penuh madu sahaja dapat memberi memberi manfaat kepada jasmani kita.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni
0 comments:
Post a Comment