Bagaimana Dengan Hati Anda?Periksalah Selalu

>> Tuesday, January 10, 2012




BAGAIMANA DENGAN HATI ANDA? PERIKSALAH SELALU.



Apakah hati?



Dari segi biologinya hati ialah sejenis anggota yang terletak dalam badan manusia berwarna perang kemerah-merahan yang fungsinya penting untuk menjaga kesihatan anda, antaranya mengawal kandungan gula dalam darah.



Dari segi kerohanian pula, hati ialah hati batin, kalbu atau sanubari yang amat berpengaruh bukan sahaja terhadap jiwa seseorang, tapi juga memberi kesan kepada jasmaninya.



Jika hati sanubari atau kalbu ini baik, maka baiklah seorang hamba Allah itu dari segi lahir dan batinnya, tapi jika hati kalbu in tidak baik, maka buruklah lahir dan batin seseorang itu. Kedua-keduanya berkait rapat.



Tapi kalau hanya anggoa hati jasmani yang setongkol itu rosak, ia belum lagi pasti dapat mempengaruhi jiwa seseorang insan untuk rosak bersama-samanya.



Ikut Hati Mati



Ada sebuah kenyataan yang terletak di Jalan Kota Bharu-Kuala Lumpur, di Kampung Keruh, KK berupa peringatan kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya memandu dengan selamat berbunyi,” IKUT HATI MATI”.


-------"Ikut Suka DUKA, Ikut Rasa BINASA, IKUT HATI MATI.Kenapa Ikut Hati Mati?



Kenapa “Ikut Hati Mati”, kerana sejauh yang diketahui hati selalunya menjadi panduan kepada manusia untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dan diredai Allah. Itulah hati sanubari.



Sedangkan peringatan jalan raya tersebut memperingatkan pemandu-pemandu supaya memandu tidak mengikut kata hati yang mungkin akan menimpakan bencana ke atas mereka, tegasnya mereka mungkin ditimpa kemalanagan yang akan membawa kebinasaan atau maut.



Walau bagaimana pun pada umumnya hati itu boleh diklasfikasikan kepada dua jenis, iaitu hati yang baik dan hati yang jahat. Kedua-dua hati memang dapat pengaruhi manusia, di mana hati yang baik akan membawa kebaikan dan sebeliknya hati yang jahat akan membawa kejahatan.



Mengikut Baginda Rasulullah ada tiga jenis yang berbeza-beza.



Pertama hati orang kafir, iaitu hati yang tidak menentu kalu kedudukannya.



Kedua hati orang munafik, iaitu terbelenggu di atas kulitnya.



Ketiga hati yang berbelah bahagi atau hati taraddud, yang mempunyai dua dorongan yang bertentangan, iaitu dorongan kebaikan dan dorongan kejahatan. Hati ini akan terpengaruh kepada salah daripada dua dorongan yang bercanggah itu.



Dalam hati ini selalu berlaku pertempuran antara nafsu kejahatan dan kebaikan, antara bisikan-bisikan syaitan yang menggesa ke arah kejahtan dengan seruan-seruan malaikat supaya hati itu tidak melakukan kemungkaran dan kekal dalam iman dan takwa.



Kata Imam Ghazali, “Hati terus bertaraddud di antara kedua-dua dorongan itu sehinggalah salah satunya dapat menguasainya dengan sepenuhnya.



“Jika sifat-sifat yang menguasainya itu berupa sifat-sifat syaitan seperti jahil, tamak, cintakan dunia dan sebagainya, maka berkuasalah syaitan dan hati condong kepada hizbul [parti] syaitan dan membelakangkan hizbul malaikat.



“Jika sifat-sifat yang menguasainya itu berupa sifat-sifat malaikat nescaya hati tidak akan condong kepada godaan syaitan, kepada gesaannya supaya mengejar keduniaan dan memperkecilkan hari akhirat, bahkan ia akan condong kepada hizbu malaikat, dan segala perbuatan anggota-anggota jasmani akan memperlihatkan kepatuhan penuh terhadap Allah”.



Hati yang jahat inilah yang dikatakan “Ikut hati Mati”, kerana pengaruhnya amat buruk sekali kepada tuan yang empunya hati itu sendiri.



Rasulullah saw. bersabda, “Ketahuilah dalam tubuh itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuh itu, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh itu, itulah hati”.



Justeru itu pemandu jalan raya yang memandu secara tidak beradab, tidak mengikut peraturan, samseng dan ganas, menggambarkan pemandunya mempunyai hati yang telah rosak yang perlu segera diperbaiki dengan sewajarnya supaya ianya tidak menjadi bertambah parah.



Selalu Menjaga Hati



Kita hendaklah selalu awas dan berwaspada dengan hati kita. Hati kita sentiasa berubah-berubah dan mudah benar bergoncang, oleh itu perlu dibentengi dengan keimanan dan ketakwaan.


Sentiasalah Jaga Hati Anda Supaya Tidak Ternoda



Mengenai hal ini Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya hati itu lebih cepat berubah daripada makanan yang sedang mendidih dalam periuk”.



Sabda baginda saw. lagi, “Sesungguhnya hati itu terletak di antara dua jari dari jari-jari Tuhan. Apabila Dia suka, diluruskannya dan jika Dia suka, dibengkokkannya”.



Justeru itu baginda saw. sering berdoa kepada Allah, “Wahai Tuhan yang mengubahkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu”.



Saya suka mengingatkan diri saya sendiri, dan juga anda supaya sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa yang berikut supaya hati kita sentiasa menuju ke jalan yang lurus dan diredai Allah.



“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau sesatkan hati kami, sesudah Engkau tunjuki Kami [ke jalan yang benar] dan berilah kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau amat suka memberi”. Ali-Imran:8.



Seseorang yang hatinya telah sesat, maka hati itu tidak lagi berguna, kecuali memberi bencana kepadanya. Hati seperti ini telah diserang oleh virus-virus merbahaya yang menyebarkan penyakit kronik, menyebabkan hati itu menjadi pejal dan keras membatu.



Bila dikatakan kepada seseorang “keras hati”, ertinya orang itu tidak lagi bersedia menerima nasihat orang lain walaupun baik, malah dia lebih bersedia mengikut kata hatinya yang keras yang telah dikuasai oleh nafsu syahwat itu. Nasihat kepadanya tidak masuk ke dalam telinga, seperti mencurah air ke daun keladi. Kebenaran kepadanya tidak lagi bermakna, segala-galanya telah gelap pekat, yang ikut mempengaruhi seluruh jasadnya ke arah kedurjanaan.



Allah berfirman, “Sama sahaja bagi mereka apakah kamu memberi peringatan kepada mereka ataukah kamu tidak memberi peringatan kepada mereka, mereka tidak akan beriman”. Yassin:10.



Hati yang seperti ini termasuk dalam golongan hati yang jahat, hati yang tidak dikurniakan taufik dan hidayah, hati yang telah ditakluk oleh hawa nafsu yang bermaharajalela, hati yang dikelilingi oleh kehinaan dan keburukan, seperti jahil, tamak haloba, cintakan dunia, dusta, suka mengumpat, dan sebagainya lagi daripada sifat-sifat keji.



Oleh sebab hati ini telah dipenuhi oleh hawa nafsu yang melimpah sampai ke dada dan ke serluruh anggota-anggotanya, maka syaitan pun dengan mudah menguasai dan menakluknya, memujuk dan merayunya dengan memberi harapan-harapan yang palsu dan berjaya menggodanya terjun ke lautan dosa. Hati yang dikuasai oleh nafsu syahwat ini tidak nampak lagi pada akhirat dengan segala akibatnya.



Malah lebih jauh lagi orang yang keras hati ini mungkin akan bertindak sesuka hatinya, dan tidak lagi merasa gentar dan takut kepada Allah. Dia tidak merasa takut kepada ancaman-ancaman Allah, tidak takut lagi kepada azab-azab Allah. Dia akan terus jadi jahat dari muda sampai ke tua.



Hatinya telah menjadi gelap kelam yang menghijabkannya daripada melihat cahaya dan kebenaran. Jasadnya telah terkurung dalam jeriji hatinya yang gelap pekat dan jauh daripada sinar cahaya.



Hati Yang Keras



Hati seperti itulah yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah saw, dalam sabdanya, “Yang paling jauh kepada Allah Taala adalah hati yang keras”.



Sebaliknya kata Baginda saw. hati yang baik ialah hati orang Mukmin, iaitu hati yang tidak bersangkut, iaitu dengan syak dan wasangka, di mana pada hati itu terdapat sebuah pelita yang menerangi.



Menurut Imam Ghazali hati ini ialah sebuah hati yang berpegang kejat kepada kebaikan, padat berisi dengan takwa, tumbuh dengan amalan anggota-anggota jasmani. Hati ini suci daripada akhlak-akhlak yang bejat dan sentiasa mendapat lintsan-lintasan kebaikan yang datang daripada Allah menerusi malaikat-malaikatNya.



Kata Imam Ghazali, “Malaikat akan mendapati hati ini baik pada jauharnya, suci dengan ketakwaannya, terang-benderang dengan sinaran cahaya akal, berseri-seri dengan cahaya makrifat dan keyakinan, dan amat sesuai untuk dijadikan tempat menetap dan persemayamannya”.



Maka malikat pun membekalkan hati itu dengan tentera maknawiyah serta membimbingnya ke arah kebaikan, dan malaikat sentiasa menggalakkannya menggemari segala kebaikan dan memudahkan segala perkara yang dihadapinya.



Menurut Imam Ghazali, hati mukmin seperti ini diterangi oleh cahaya rububiah [pemelihaan ketuhanan] sehingga tidak terlidung sebarang kesyirikan yang tersembunyi, dan tipu daya syaitan tidak dapat mengkaburkan cahaya hati ini. Hati ini telah dibersihkan dari sifat-sifat Muhlikat [perosak] seperti kejahilan, tamak, cintakan dunia dan sebagainya. Sebaliknya hati ini dipenuhi dengan sifat-sifat sifat Munjiyat [penyelamat] iaitu sifat-sifat yang terpuji, seperti syukur, sabar, takutkan Allah, memohon kepadaNya, mengharap kepadaNya, bersifat zahid, kasih, sayang, reda, cinta rindu kepada Allah, bertawakal kepadaNya dan lain-lain sifat yang mulia lagi.



Inilah dikatakan hati, “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram”. Ar-Rad:28



Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami sebuah hati yang bersih dan suci, hati yang sentiasa berada di sisiMU, hati yang tidak dicemari oleh segala rupa kejahatan dan kemaksiatan dan hati yang sentiasa dibaringi oleh iman dan takwa dan sentiasa berada di atas jalan yang benar menuju ke persada Ilahi.



Allah berfirman, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak”.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Dejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP