Bunga Mawar Di angkasa Raya

>> Wednesday, January 18, 2012







BUNGA MAWAR DI ANGKASA RAYA



Bunga mawar adalah sejenis bunga yang cantik, menarik dan mengeluarkan bau yang semerbak wangi yang mempesonakan.



Kelopak-kelopak bunganya yang berkembang di waktu pagi kelihatan lembut seperti beldu yang mengkhayalkan.



Ini sepadan dengan warnanya yang tenang, menyegarkan mata yang memandang, dalam hembusan bayu pagi yang mendamaikan.



Kelopak-kelopak bunganya yang berwarna warni dengan berbagai-bagai warna yang menggamit perasaan, memerah terang, merah muda, putih, kuning oren dan sebagainya.

Mawar-mawar sedang berkembang, alangkah wangi dan indahnya, mengharum semerbak



Bau-baunya yang wangi dan menyegarkan itu terserak dalam buaian bayu pagi yang mendamaikan perasaan, dan terus memanjang sampai ke senja dan malam.



Biasanya manusia, di mana sahaja di dunia ini sukakan bau-bau yang wangi. Bau-bau wangi menyenang dan menyegarkan, dan juga dapat menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit.



Bunga mawar mengeluarkan bau wangi lembut yang menyegarkan untuk menghidunya,



Kami menggunakan bunga mawar pada Blog Pondok Rahmat sebagaimana yang anda nampak ketika melayarinya, kerana kami sukakan bunga mawar dengan segala keindahan, kecantikan dan keharumannya, dan jua kerana Allahyarahmah isteri saya [Asiah Yaacob-semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] juga seorang pencinta bunga ros.



Mandian Bunga Mawar



Seperti bunga-bunga yang lain, bunga mawar boleh digunakan untuk mandian. Seperti mandian herba-herba yang lain itu juga, ia berguna untuk merawat atau pun memulihkan saraf-saraf seseorang.



Tapi dalam masyarakat Melayu tradisional mandian bunga mawar jarang diamalkan, mungkin kerana kurangnya pengetahuan mengenainya, dan mungkin juga kerana kesukaran untuk memperolehi bunga mawar yang agak banyak jumlahnya untuk tujuan mandian tersebut.



Mandian bunga mawar berguna untuk mengembalikan keanjalan kulit, menghaluskan kulit, untuk awet muda dan menyerikan wajah seseorang, terutama para pengantin baru untuk menceriakan hari yang bersejarah buat mereka itu.



Di samping itu, dari segi spiritual pula mandi bunga mawar dapat mencetuskan ketenangan, dan senafas itu juga dapat menghilangan segala keresahan dan kebimbangan yang bersarang di lubuk hati, lebih-lebih jika disertakan dengan doa-doa tertentu yang dipohonan kepada Allah.



Mungkin ada di antara kita akan bertanya, bagaimana perkara ini boleh berlaku?



Jawapannya terdapat dalam ilmu sains fizik yang menegaskan bahawa bunga mawar itu mempunyai aura, atau tenaga atau pun gelombangnya yang tersendiri. Bila bunga-bunga mawar itu direndam dalam air, maka aura itu terperangkap dalam air rendaman itu. Oleh itu, bila seseorang mandi dan berendam di dalamnya, maka aura atau gelombang yang terperangkap itu akan masuk ke dalam badan seseorang menerusi kulit atau bulu-bulu romanya, kemudian aura itu disampaikan kepada saraf-saraf, kelenjer dan disampaikan juga kepada otak.



Nawar kuning bersama mawar merah. Sama indah dan membawa mesej yang sama



Demikianlah fungsi mandian bunga mawar itu berkesan ke atas seseorang yang mandi dengannya.



Bunga Mawar Tumbuh Di angkasa



Selalunya bila kita berbicara tentang bunga mawar atau ros, kita bercakap tentang bunga mawar yang tumbuh di bumi, tempat kita hidup ini. Kita hampir melupakan ataupun terlupa bahawa bunga mawar juga tumbuh di angkasa raya.



Kita mungkin bertanya, bagaimana bunga mawar boleh tumbuh di angakasa raya?



Jawapannya terdapat dalam firman Allah dalam Kitab Suci Al-Quran, “Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar, seperti [kilapan] minyak. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”. Ar-Rahman: 37-38.



Sementara dalam “The Noble Al-Qur’an” terjemahannya berbunyi,”Then when the heaven rent asunder, and it becomes rosy or red like red oil, or red hide”.



Itulah menandakan hari kiamat telah tiba. Mawar di angkasa raya itu lambang hari kiamat.



Gambaran bunga ros merah ini mengikut laporan pernah kelihatan di angkasa lepas dan pernah disiarrakam gambarnya oleh ahli-ahli bintang pada 31 Oktober 1999.



Kami juga pernah melihat gambar-gambar yang beredar dalam internet yang menujukkan pandangan langit yang bersewang dengan warna-warna mawar. Panaroma yang amat indah.



Al-Quran telah menyebutnya kira-kira 1400-an tahun yang lalu, ahli-ahli sains baru menemuinya.



Bunga Ros Dan Hari Kiamat



Oleh itu alangkah baiknya setiap kali kita melihat kelopak-kelopak bunga ros dalam jambangan di halaman rumah gugur bertaburan kerana mencapai usia malanya, langsung mengingatkan kita kepada peristiwa besar yang akan berlaku pada suatu hari nanti, iaitu hari kiamat.



Bagaimanakah langit itu terkoyak-rabak dan gugur ke bumi berkeping-keping seperti kelopak-kelopak bunga ros itukah?

Rajin-rajinlah merenung angkasa anda mungkin bertemu dengan bunga ros dan warnaya terpampang di langit



Allah banyak menyebut tentang Hari Kiamat di dalam Kitab Suci Al-Quran. Khususnya pengamal-pengamal Surah Waqiah, bermula dari ayat pertama lagi fikiran mereka telah terbentur dengan berita hari kiamat yang amat mengerunkan itu.



Allah berfirman:



“Apabila terjadi hari kiamat.



Terjadinya kiamat itu tidak dapat didustakan [disangkal].



Kejadian itu merendahkan [satu golongan] dan meninggikan [golongan yang lain]



Apabila bumi digoncangkan sedasyat-dasyatnya



Dan gunung-gunung hancur luluhkan sehancur-hancurnya



Maka jadilah dia debu yang berterbangan



Dan kamu menjadi tiga golongan”.



Al-Waaqiah: 1-7.



Dalam Surah Al-Ma’aarij, Allah berfirman:



“Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak”.



Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu [yang berterbangan]”.



-Al-Ma’aarij: 8-9.



Itu pandangan suram alam di saat kehancurannya, cukup mendebar dan menakutkan, menggeletarkan diri kita. Tapi di hari-hari biasa memandang dan merenung langit amat memberi manafaat kepada kita, makhluk Allah ini.



Menurut Imam Al-Ghazali memandang dan merenung langit dalam keadaannya yang biasa akan memberi sumbangan kepada pembentukan sebuah peribadi yang mulia, beriman dan bertakwa.



Menurut beliau antara faedah-faedah merenung langit ialah:



Memandang langit boleh mengingatkan kita kepada Allah dengan segala kebesaranNya,



Dapat mencetuskan dalam hati kita rasa takziim atau keagungan terhadap Allah yang Maha Berkuasa.



Dapat mengurangkan berbagai-bagai keinginan kita yang biasanya tidak pernah puas-puas.



Dapat meredakan perasaan resah gelisah yang mungkin bersarang dalam diri kita.



Dapat menghilangkan segala perasaan takut yang mungkin menyerang kita.



Menghilangkan segala fikiran-fikiran jahat dan kotor yang mungkin bertakhta dalam hati kita.



Boleh menghilangkan rasa sedih dan gulana yang membalut diri seseorang.



Boleh menghiburkan hati seseorang yang berada dalam lautan kerinduan.



Boleh menenangkan hati seseorang yang sedang dilambung ombak cinta yang tidak bertepi.



Memandang langit adalah salah satu rahsia Allah untuk mengkabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepadaNya.



Maha Suci Allah, Zat yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui dan Maha Kaya.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP