Meneroka Nilai Hidup

>> Saturday, January 28, 2012


MENEROKA NILAI HIDUP



Sebagai insan pernahkah anda bertanya apakah hidup ini? Apakah erti hidup ini? Apakah nilai-nilai hidup ini? Bagaimanakah anda telah menjalani hidup anda? Apakah yang telah anda lakukan semalam atau sehari dua yang lepas?



Dua hari lepas, pada tengah harinya, kami menghadiri jemputan majlis bercukur cucu seorang jiran kami yang baru dilahirkan. Suasana kegembiraan menyelubungi majlis itu, kerana menyambut ketibaan manusia baru, kurniaan Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.



Dan pada sebelah petangnya pula, kami menghadiri majlis menyambut menantu keluarga yang tidak berapa jauh dari rumah kami. Suasana lebih gembira, kerana kedatangan begitu ramai tetamu meraikan kedua-dua pengantin, dan menunaikan jemputan tuan rumah. Suasana meriah dan agak berwarna warni.



Kelmari pula, pada sebelah tengahnya, kami menghadiri sebuah majlis menyambut menantu kekuarga yang tempatnya agak jauh dari rumah kami, dan pada sebelah petang kami menhgadiri majlis menyambut menantu, jiran dekat dengan rumah kami.



Semua majlis sambutan tersebut meriah, dan kegembiraan terpancar pada wajah-wajah mereka yang berkenaan, dengan kurniaan rahmat Allah kepada mereka.



Semuanya bererti kehidupan, memperluas dan memperlanjutkan kehidupan umat manusia di muka bumi, berkahwin dan melahirkan keturunan yang akan menyambut zuriat manusia di alam buana ini.



Hidup dan mati silih berganti pergi dan datang, selagi dunia ini berkembang, dan selagi kiamat tidak datang. Tapi apakah hidup itu sebenarnya? Dan apakah nilai hidup itu? Adakah ia sekadar kahwin dan beranak?



Kebetulan pada waktu itu saya sedang mengulangi membaca sebuah buku kecil yang berjodol NILAI HIDUP yang mengandungi dua buah tulisan ahli fikir Islam yeng terkemuka, As-Syahid Syed Qutb dan Maulana Abul-a’la al-Maududi, terjemahan sahabat saya yang dihormati Prof.Mahmud Zuhdi Haji Abul Majid dan diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.



Tulisan As-Syahid Syed Qutb sedikit sebanyak ada perkaitan dengan perosalan kehidupan dan nilai-nilai hidup. Saya cuba mengolah dan menyaring, dan mengetus buah fikiran ahli fikir yang agung itu untuk menjadi bahan renungan bersama. Semoga memberi manfaat jua.



Hidup Untuk Orang Lain



Menurut As-Syahid Syed Qutb, jika kita hidup hanya semata-mata untuk diri kita, hidup akan terasa amat singkat dan kerdil, iaitu bermula dari permulaan kita mengenal hidup dan berakhir dengan kematian.



Tapi jika kita hidup untuk orang lain, untuk sesuatu konsep, maka hidup ini akan ternampak panjang dan mendalam, bermula dari permulaan kehdiupan dan terus berlanjutan selepas kematian. Kehidupan yang seperti ini akan memberi keberuntungan hakiki yang begitu banyak kepda seseorang.



Hidup ini bukan hitungan tahun, tapi dengan hitungan rasa. Justeru apa yang dianggap “khayal” oleh golongan rasionalisma dalam perkara ini sebenarnya suatu “hakikat” yang lebih hakiki daripada apa yang mereka anggap sebagai hakikat. Jika rasa terhadap hidup dibuang, bererti kita mengosongkan diri kita dari hidup itu sendiri dalam ertinya yang hakiki. Andainya kita berjaya mengecapi rasa hidup yang berlipatganda, maka ianya bererti kita telah menjalani hidup yang berlipat ganda.



As-Syahid Syed Qutb menegaskan, “Kita sesungguhnya menjalani hidup yang berlipatganda bagi diri kita apabila kita hidup untuk orang lain. Sejauh mana kita menambah perasaan terahdap orang lain, maka sejauhlah itulah ertinya kita menambah rasa hidup kita, malah seterusnya menambah hidup kita itu sendiri”.



Bibit-bibit Kejahatan



Bibit kejahatan itu walaupun kelihatan tumbuh subur tapi tidak mempunyai tapak yang kukuh, dan menghalang kebaikan daripada menerima cahaya dan udara. Tapi pokok kebaikan walaupun tumbuh dengan sederhana tapi mempunyai tapak yang kukuh memberi ganti kepanasan dan udara dan terus hidup menghadapi segala halangan dan rintangan.



Dari sudut kebaikan, setiap manusia memang banyak mempunyai nilai kebaikan, tapi kebaikan itu tidak kelihatan dengan sekilas pandangan. Hanya dengan bersikap lapang dada, dengan sedikit rasa persaudaran yang hakiki, dan sedikit simpati yang jujur terhadap mereka maka akan terseralah sumber kebaikan yang ada pada mereka. Dengan itu mreka akan memberi balasan kasih sayang dan kepercayaan mereka kepada kita.



Menurut keyakinan beliau “Kejahatan tidaklah begitu mendalam dalam jiwa manusia, sebagaimana kadangkalanya kita pernah menganggap yang demikian. Ia hanya berada di bawah lapisan keras yang dibuat guna menghadapi perjuangan untuk hidup. Bila manusia-manusia itu merasa damai, kulit keras itu akan melahirkan buah yang manis dan enak. Buah yang manis dan enak ini hanya akan dilahirkan untuk sesiapa manusia yang boleh merasa damai bila berada di sampingnya, merasa yakin terhadap persudaran, dan merasa simpatinya yang hakiki atas perjuangan, kedukaan, kesalahan dan sehinggakan kebodohan mereka. Sedikit rasa toleransi pada permulaan cukup untuk mewujudkan semua ini, tidak sebagaimana anggapan banyak orang”.



Bila rasa cinta, kasih sayang dan kebaikan subur dalam diri kita, maka kita akan bebas daripada berbagai-bagai problem berhubung dengannya. Dengan itu, kita tidak perlu mengampu, kita akan menemui berbagai-bagai kebaikan pada orang lain, kerana mereka memang wajar menerima pujian. Tapi kebaikan itu kita tidak akan nampak, kiranya dalam diri kita tidak mempunyai rasa cinta dan kasih sayang.



Dengan adanya rasa cinta dan kasih sayang itu, kita akan bebas dari menanggung beban rasa tidak senang hati terahdap mereka, tidak perlu meannggung sabar di atas kesalahan dan kebodohan mereka, malah sebaliknya kita akan menaruh simpati dan bertimbang rasa dengan mereka. Dengan itu kita tidak akan berusaha mencari-cari titik-titik kelemahan orang lain, dan akan bebas dari beban rasa cemburu dan dengki terahdap mereka. Dengan itu juga kita akan merasa begitu damai dan bahagia, kerana memberi rasa kasih sayang dan kepercayaan pada orang lain.



Bertimbang Rasa



Andainya kita mengasingkan diri kita dari orang lain kerana merasa diri kita lebih mulia dan unggul dari mereka, maka bererti kita telah memilih jalan yang tidak bernilai.



Sebaliknya kemuliaan yang sejati ialah bergaul dengan mereka dengan semangat timbang rasa dan kasihan belas terhadap segala kelemahan dan kesalahan mereka, dan dengan semangat yang wajar untuk menolong mereka dan mengangkat darjah mereka sedaya upaya kita.



Tapi ini bukanlah ertinya kita terpaksa merendah-rendah diri kita atau ideal kita yang murni. Tdak juga bererti kita harus menggampu dan memuji segala kelakuan mereka yang buruk, dan demikian sebaliknya bukan membuat mereka merasa kedudukan kita lebih tinggi dari mereka. Kemuliaan yang sejati adalah berkompromi dalam beberapa sikap yang bertentangan dan dengan sikap lapang dada.



Pertolongan



Bila kekuatan kita telah mencapai di tahap yang tertentu, kita tdak lagi merasa malu untuk meminta pertolongan daripada orang lain, walaupun daripada mereka yang kurang dari kemampuan kita. Harga diri kita tidak jatuh kerana meminta pertolongan orang lain.



Jika kita cuba melaku sesuatu secara sendirian dan enggan meminta pertolongan orang lain, mengaku usaha orang lain sebagai usaha kita, demikian jika kita merasa tidak senang bila orang menolong kita mencapai kejayaan, maka bererti kepercayaan kita kepada diri kita sendiri tidak besar, dan kita memang mempunyai kelemhan-kelemahan yang tertentu, kerana kalau kita benar-benar berkemampuan, kita tidak akan merasa demikian, hanya kanak-kanak yang baru belajar berjalan sahaja menolak bantuan orang lain untuk menolongnya berjalan.



Hanya orang-orang yang benar-benar mampu sahaja bersedia menerima pertolongan orang lain, dengan rasa gembira dan berterima kasih.



Andainya kita bersikap monopoli terhadap buah fikiran dan pegangan hidup kita, dan enggan berkongsi dengan sesiapa pun, maka ini membuktikan kepercayaan kita kepada buah fikiran dan pegangan hidup kita itu tidaklah kuat, dan bukan benar-benar lahir dari lubuk pemikiran kita sendiri, dan mencintainya tidak lebih daripada cinta kita kepada diri kita sendiri semata.



Tegas beliau, “Kegembiraan sejati adalah hasil secara tabi apabila buah fikiran dan pegangan hidup kita menjadi milik orang lain. Dengan sedikit kesedaran bahawa ianya-walaupun setelah kita meninggal dunia akan memberikan kebahagian kepada orang lain, sudah cukup untuk hati kita penuh dengan rasa senang dan bertuah”.



Hanya para peniaga sahaja yang mementingkan “hubungan perniagaan”, dalam brang-barang dagangan mereka supaya tidak dieksploitasikan orang lain dan merampas keuntungan daripada mereka. Tapi kepada ahli-ahli fikir dan tokoh-tokoh ideologi mereka merasa bahagia bila buah fikiran dan ideologi mereka dianuti bersama oleh orang lain, dan mengakuinya sebagai hak mereka sendiri.



Ahli-ahli fikir tidaklah beranggapan bahawa segala buah fikiran adalah hak mereka, tapi mereka hanya orang tengah yang peranananya memindahkan buah fikiran itu kepada orang lain. Ia bukan daripada sumber mereka dan bukan dari ciptaan mereka. Segala kebahagian mereka adalah kerana mereka selalu mempunyai hubungan dengan sumber pemikiran yang asli.



Dalam hal ini, ada perbezaan yang jauh, antara nemahami hakikat dengan mengenal hakikat, yang pertama ialah pengetahuan dan yang kedua ialah pengenalan atau makrifat.



Dalam bahagian pertama terdapat berbagai-bagai pecahan. Bahagian sains terdapat berbagai-bagai pecahan demikian juga dengan bahagian agama.



Sebaliknya bahagian yang kedua hanya terdapat tenaga yang satu yang berkait dengan tenaga yang besar yang berhubung dengan sumber yang asal.



Pakar



Kita memerlukan banyak pakar dalam setiap bidang ilmu pengetahuan, bukan sahaja dengan semangat rela berkorban, tapi juga dengan rasa kenikmatan sebagaimana seorang ahli ibadat menghadiahkan rohnya kepada Allah dengan penuh kesukaan dan kegembiraan.



Mereka inilah menurut As-Syahdi Syed Qutb, “Orang yang mengetahui melalui tanggapan mereka apa yang disebut sebagai kesatuan bagi gejala-gejala yang terdapat pada pengetahuan sains, seni, akidah dan kerja. Mereka tidak memperkcilkan mana-mana satu daripadanya dan tidak menganggap dirinya lebih tinggi dari perkara-perkara tersebut”.



Hanya orang-orang yang kerdil sahaja yang beranggapan bahawa adanya pertentangan antara tenaga-tenaga yang berlainan gejala itu , menyebabkan mereka menyerang sains atas nama agama dan memerangi agama atas nama sains, memperkecilkan seni atas nama kerja, atau memeranagi hidup yang cergas dan progresif atas nama akidah tasauf.



Perkara Luar Biasa



Mempercayai secara mutlak perkara-perkara luar biasa dan ghaib adalah merbahaya kerana boleh membawa kepada khurafat dan menjadikan hidup ini sebagai dongeng yang besar.



Sebaliknya pula, menolak secara mutlak perkara-perkara tersebut tidak kurang juga bahayanya, kerana boleh menutup semua pintu dan boleh menyebabkan pernolakan kepada semua benda yang tidak dapat dilihat kerana kedangkalan fikiran. Justeru wujud ini kelihatan sempit atau kerdil dan terbatas kepada setakat yang diketahui sahaja, sedangkan hakikat sebenarya ia terlalu kerdil jika dibandingkan dengan kebesaran alam ini.



Kemampuan manusia memahami sedikit demi sedikit mana-mana tenaga yang tidak mereka ketahui sebelumnya dan di luar kemampuan pengetahuan mereka sudah cukup untuk menyedarkan mereka bahawa masih banyak lagi tenaga-tenaga lain yang tidak mereka kenali.



Penghormatan kita terhadap pemikiran manusia memerlukan kita memberikan perhatian yang wajar terhadap majhul untuk membolehlkan kita merasai kebesaran alam ini dengan sebenarnya, dan menyatakan kepada diri kita tentang kedudukan dan status kita dalam alam yang luas ini. Ia juga menyebabkan terbukanya berbagai-bagai tenaga bagi jiwa manusia, yang akan menyebabkan kita mengenali dan merasai ikatan antara kita dan alam di dalam diri kita. Sehingga ini ikatan itu lebih besar dan mendalam daripada apa yang kita fahami melalui fikiran kita, dan inilah yang menyebabkan kita setiap hari menemui perkara baru dari majhul dan kita masih terus hidup.



Kebesaran Tuhan



Bagi sesetengah orang sekarang beranggapan bahawa mengakui kebesaran Tuhan yang mutlak bererti merendahkan harga manusia dan memperkecilkan peranannya dalam wujud ini. Seolah-olah bagi mereka, Tuhan dan manusia itu dua musuh yang berebut kebesran dan kekuatan di dalam wujud ini.



Sedangkan jika kita merasa kebesaran Tuhan itu bertambah, maka bererti kita pun merasa bertambah besar kerana kita dijadikan oleh Tuhan yang Besar.



Orang yang merasa diri mereka tinggi bila mereka merendah dan mengingkari Tuhan adalah mereka yang singkat dn dangkal pandangannya.



Orang-oang seperti ini menyagka manusia hanya mencari Tuhan bila mereka lemah, sedangkan dalam keadaan kuat mereka tidak memerlukan Tuhan, seolah-olah kelemhan boleh mebuka mata sedangkan kekuatan boleh menutupnya.



Itulah kata Syed Qutb, “Orang yang beriman dengan kebesaran Tuhan yang Maha Mutlak tidak merasakan kehilangan atau kelemahan dalam diri mreka, tetapi sebaliknya merasa bangga dengan bertumpang kepada kekuatan yang paling besar, yang menguasai wujud ini. Mereka tahu bidang kebesaran mereka ialah di bumi ini dan di antara sesama manusia. Kekuataan mereka tidak akan bercanggah dengan kebesaran Tuhan yang Mutlak di dalam wujud ini sekiranya mereka mempunyai cagaran kebesaran dan kebanggaan dalam iman mereka yang mendalam. Ini berbeza sekali dengan orang yang meniupkan diri sendiri seperti “belon” yang apabila sudah kembong hanya menutup matanya dari melihat ufuk –ufuk wujud ini”.



Tujuan Yang Suci



Sukar untuk kita fahami bagaimana kita dapat sampai kepada tujuan yang suci menerusi jalan yang kotor, kerana tujuan yang suci tidak hidup dalam hati yang tidak bersih. Justeru bagaima hati yang bersih boleh menggunakan cara yang kotor. Kalau kita pergi ke tempat yang bersih melalui jalan yang kotor, sudah tentu kita akan sampai dalam kedaan diri kita yang kotor. Kekotoran akan melekat di kaki kita. Demikan jugalah kalau kita menggunakan jalan yang kotor, kekotoran itu akan melekat di jiwa kita dan akan tertinggal di situ dan juga di tempat yang kita sampai.



Dari segi keruhanian, cara adalah sebahagian dripada tujuan, tanpa berpisah. Orang yang merasakan kebaikan sesuatu tujuan, sudah tentu tidak tergamak untuk melakukannya dengan cara yang buruk. Tujuan yang baik, tidak menghalal cara yang kotor. Tapi kepada Barat, kerana mereka hidup dengan otak, dan alam otak mungkin ada pembahagian dan perbezaan antara tujuan dan cara untuk mencapainya.



Kegembiraan Jiwa



Satu-satunya cara untuk mendapat kegembiraan jiwa yang murni dalam hidup inilah kejayaan memberi ketenangan, kepercayaan, dan harapan kepada orang lain. Ianya merupakan kelazatan dari langit yang aneh yang tidak ada tandinngya, iaitu pertautan suci dari langit di dalam tabi kita. Ia tidak meminta ganjaran dari luar, kerana gajaran sudah terdapat di dalamnya.



Namun begitu, mungkin ada masalah kepada sesetengah orang ialah masalah mengenang budi. Mengenang budi memang berguna. Tapi ada kesan kegembiraan yang berbzia ketika kita menerima kenangan budi dengan kegembiraan ketika kita memberikan rasa damai, rela, percaya, harapan atau gembira kepada orang lain. Inilah sebenarnya kegembiraan yang jernih dan suci yang lahir dari dalam diri kita yang mengandungi ganjaran di dalamnya, tanpa memerlukan unsur-unsur dari luar untuk memautnya.



Hakikat Memberi



Kadang-kadang sukar untuk membezakan antara memberi dan menerima, kerana dari segi keruhaniannya kedua-duanya mempunyai pengertian yang sama. Kerana setiap kali kita memberi, ertinya kita menerima, iaitu mengambil dari apa yang kita berikan, kerana kegembiraan dengan apa yang kita berikan tidak berkurangan daripada kegembiraan mereka yang menerimanya.



Kerana itu, katanya beliau tidak lagi merasa takut menghadapi kematian, kerana beliau telah melakukan semuanya yang beliau mampu lakukan. Katanya masih banyak lagi perkara-perkara yang beliau berhasrat untuk melakukannya sekiranya umur beliau masih panjang, tapi beliau tidak akan merasa dukacita jika tidak sempat melakukannya, kerana orang lain akan melakukannya. Perkara itu tidak akan pupus, jika ianya memang sesuai untuk hidup. Beliau percaya kekuasaan Tuhan tidak akan membiarkan mana-mana buah fikiran akan menjadi mati.



Beliau juga tidak gerun menghadapi maut, kerana beliau telah berusaha untuk menjadi orang baik setakat kemampuannya, dan telah menyesali segala kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukannya. Dan beliau menyerahkan segala kesalahan dan kesilapannya kepada Tuhan dengan harapan mendapat rahmat dan kemaafan, dan beliau juga tidak merasa bimbang dengan keseksasannya,kerana nenurut beliau keseksaan yang hak dan pembalasan yang adil. Katanya beliau biasa bertanggungjawab terahdap segala hasil perbuatannya, baik atau buruk, dan beliau tidak akan merasa perit menghadapi pembalasan atas kesalahan beliau di hari kiamat.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP